PELAWAT SEJAK 17.05.2009

Google+ Followers

Komuniti Wadah Pajak Song

Sabtu, 24 Julai 2010

Pemikiran Melayu Dalam Sejarah Melayu

OLEH
MD RASUL BIN HARON
Guru Sejarah
SMK Selayang Bharu
Batu Caves
Selangor Darul Ehsan
Sejarah Melayu atau Sulalat-us salatin ditulis dalam zaman Islam seperi hasil-hasil sastera yang kita warisi dari zaman silam, seperti Hikayat Sang Boma atau Hikayat Seri Rama yang mengisahkan penghujung zaman peradaban Hindu dan permulaan serta perkembangan peradaban Melayu dalam zaman Islam merupakan kisah-kisah yang membawa ethos dan world-view zaman peralihan itu.

Kedatangan Islam sendiri diceritakan dalam bentuk mitos, iaitu sultan yang memerintah diislamkan dalam mimpi selepas bertemu Nabi Muhammad (s.a.w) dan adakalanya telah sedia berkhatan. Kita tahu ini berlawanan dengan ajaran Islam yang menjauhi hal-hal yang tahyul. Tetapi kenapakah diceritakan dengan jalan mitos? Ini juga memerlukan jawapan yang ilmiah bukan setakat jawapan orang Melayu suka berkhayal. Cerita Kitul dan Raja Mundaliar(orang India Hindu, bukan orang Melayu Islam) yang membawa fitnah bukanlah menggambarkan nilai korupsi dalam peradaban Melayu Islam atau Hindu, tetapi adalah gambaran bagaimana lemahnya manusia, terutama sekali apabila hidupnya menjadi kompleks.

Penyebaran Islam sendiri oleh makhdum-makhdum dari atas angin tidak sunyi daripada dikritik dalam Sejarah Melayu seperti yang dilihat pada episod Tun Mai Ulat Bulu. Tetapi ini tidak bermakna bahawa semua penyebar agama mencari kekayaan di negeri bawah angin.

Sejarah Melayu lebih merupakan kitab yang memaparkan perubahan sosial di kalangan manusia Melayu. Struktur sosial peradaban Melayu telah mantap apabila Islam masuk ke dalam Melayu. Adat istiadat diraja pun diatur, dan Islam telah diletakkan pada struktur yang sedia ada dengan perubahan kepada makna. Kestabilan masyarakat tidak disentuh kerana ideologi Islam diterima walaupun tidak dipraktikkan seratus peratus dan kemungkinan mempraktikkan seratus peratus tetap ada kerana sepanjang masa itu tidak kurang pula para pemikir dan pendakwah Islam di rantau ini menyebarkan ajaran Islam yang benar. Jadi pada satu pihak kita dapati struktur sosiopolitik yang tidak berubah, kegiatan ekonomi juga tidak terjejas, corak hidup yang pada bahagian besar bersambung seperti dahulu dan yang cuma berubah ialah ethos dan world view yang dibawa oleh Islam.

Begitu juga dengan aspek pemikiran yang lain seperti tahap intelektualisme orang-orang Melayu yang tinggi dapat dilihat melalui peristiwa-peristiwa yang terdapat di dalam Sejarah Melayu.

Penulis amat tertarik kepada muslihat atau tipu helah yang terdapat dalam Sejarah Melayu. Selain itu, sejauh manakah sumbangan muslihat atau tipu helah ini dalam Sejarah Melayu? Mengapakah ia dianggap penting ? Apakah kesannya kepada kesarwajagatan, kekayaan, keabadian dan kebenaran atau lebih teliti lagi berdasarkan kebijaksanaan (wisdom) kefasihan (eloquent), keanggunan (elegant), keadilan (justices) dan kebenaran (truth) dalam Sejarah Melayu.

Peristiwa-peristiwa yang terdapatnya unsur muslihat dalam beberapa bab iaitu cetera pertama, cetera kelima, cetera keenam, cetera kelapan, cetera ketiga belas, cetera kelima belas, cetera ke dua puluh tujuh berdasarkan karya agong. Sejarah Melayu diselenggara oleh W.G. Shellabear.

Berdasarkan penelitian saya, muslihat yang digunakan dalam Sejarah Melayu ini lebih memperlihatkan kebijaksanaan , kesabaran, berpandangan jauh, teliti, tindakan dan kata-katanya yang pada setiap pengucapnya itu tergolong daripada orang bawahan (rakyat atau pembesar) dan tidak datangnya akal yang bernas itu daripada keturunan raja-raja walaupun ada cuma segelentir sahaja.. Hal ini menjelaskan bahawa, rakyat juga mempunyai otak yang geliga berbanding orang yang berkuasa. Yang membezakan antara rakyat dan raja itu adalah berdasarkan waadat yang pernah termeterai di Bukit Siguntang.

Keseluruhan daripada teks Sejarah Melayu ini banyak dipengaruhi oleh unsur waadat di antara Demang Lebar daun dan Sang Sapurba yang terkandung di dalamnya tentang kesetiaan dan kepatuhan rakyat terhadap rajanya. Sama ada di pihak rakyat atau raja itu jika ingkar turut menerima padahnya. Biar apa pun kesetiaan dan kepentingan kepada sesuatu perkara itu mencetuskan tipu helah yang akhirnya membawa kepada kebaikan dan keuntungan kepada pihak raja atau negeri.

Pertama : Peristiwa perjalanan hendak menakluk Negeri China. Iaitu Raja Suran telah membatalkan rancangannya menakluk China kerana terpedaya dengan muslihat yang dipersembahakan oleh Raja Cina yang menghantar orang-orang tua, pohon bidara yang sudah berbuah, jarum berkarat yang memperlihatkan betapa jauhnya negeri China dari Singapura. Konsepnya – Keupayaan berfikir secara kritis membuatkan negeri China terselamat daripada ditakluki oleh Raja Suran.

Kedua: Peristiwa Tatal dan menarah kepala Budak iaitu Betara Majapahit menghantar utusan ke Singapura dengan satu bingkisan sekeping tatal tujuh depa panjangnya, ditarah tiada putus dan nipisnya seperti sehelai kertas yang digulung seperti subang. Manakala Raja Singapura pula membalasnya dengan menarah kepala budak dengan menggunakan beliung kalang. Konsepnya – menunjukkan kepandaian dengan cara tersembunyi tanpa melibatkan peperangan.

Ketiga: Peristiwa Badang beradu kekuatan dengan Benderang di satu majlis keramaian. Peristiwa itu secara tidak langsung menguji sejauh mana keupayaan Badang dan Benderang sebelum memulakan peraduan yang sebenarnya. Dalam majlis itu, tindih menindih peha di antara kedua-duanya telah berlaku. Konsepnya – Melihat keupayaan seseorang musuh itu sebelum benar-benar beradu kekuatan dan dengan cara itu, maruah dapat dijaga jika gagal dalam peraduan tersebut.

Keempat: Peristiwa Raja Pasai ditipu dan ditawan. Raja Pasai telah diculik dan dijadikan pengembala ayam. Oleh itu, Sidi Ali Ghiathudin telah memberikan pelbagai persembahan hingga akhirnya Raja Pasai dapat dibebaskan oleh Raja Syahrun Nuwi. Konsepnya – Pemberian pelbagai persembahan sebenarnya merupakan tipu helah termakan budi dan akhirnya orang yang menerima sesuatu pemberian itu tidak dapat menggelakkan daripada membalasnya kelak.

Kelima: Peristiwa kebijaksanaan Tun Perak iaitu semasa peperangan dengan Siam, segala anak dan isteri parajurit telah dibawa bersama dan mengikat puntung api di akar pokok kayu bakau bagi memperlihatkan jumlah askar Melaka lebih ramai daripada Siam. Konsepnya – Mengelakkan sebarang perasaan takut atau ingin cabut lari kerana dengan cara ini, semua askar yang berperang akan berjuang berhabis-habisan mempertahankan anak dan isteri. Juga kebijaksanaannya menyelamatkan Melaka daripada kuasa Siam.

Keenam: Peristiwa perhubungan dengan China iaituTun Perpatih Putih memperlihatkan kebijaksaannya dengan memakan sayur kangkung yang tidak dipotong untuk melihat dengan jelas Raja China. Konsepnya – Kebijaksanaannya ini menguntungkan kerana dapat melihat dengan jelas Raja China tanpa dikenakan sebarang hukuman.

Ketujuh: Peristiwa perkahwinan Tun Kudu dan dengan Seri Nara Diraja. Sultan Muzaffar Syah telah menceraikan Tun kudu kerana mahukan Tun Perak menjadi bendahara menggantikan Seri Nara Diraja. Konsepnya – Perlantikan Tun Perak tidak meninggalkan sebarang perasaan kecil hati di antara pengikut Seri Nara Diraja.

Kelapan: Peminangan Puteri Gunung Ledang. Hantaran yang dikenakan mustahil dapat diperolehi. Konsepnya – Menolak kemahuan Sultan dengan bijaksana.

Sekian.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
WADAH PAJAK SONG
Terima Kasih