Khamis, 23 Ogos 2018

Kata Bilangan

Kata Bilangan

1.      Terdapat enam jenis kata bilangan:

Kata bilangan tentu seperti satu, seratus, sejuta dan sebagainya.

Kata bilangan tidak tentu seperti beberapa, para, semua, setengah-setengah, dan sebagainya.

Kata bilangan pecahan seperti setengah, suku, dan sebagainya.

Kata bilangan pisahan seperti masing-masing, dan setiap.

Kata bilangan himpunan seperti berbagai-bagai, kedua-dua, dan sebagainya.

Kata bilangan tingkat seperti pertama, kedua, keenam dan sebagainya.

2.      Kata bilangan seperti setengah-setengah, tiap-tiap, berbagai-bagai dan kedua-dua tidak boleh disingkatkan.

salah
a. setengah orang
b. tiap murid
c. berbagai warna
d. kedua mempelai

betul
      a. setengah-setengah orang
      b. tiap-tiap murid
      c. berbagai-bagai warna
      d. kedua-dua mempelai

3.      Kata para tidak boleh diulang.

Para-para penduduk perlu bekerjasama. ( salah )

Para penduduk perlu bekerjasama. ( betul )

4.      Kata bilangan tentu seperti satu, dua, tiga dan seterusnya tidak boleh didekatkan dengan kata bilangan pecahan seperti suku dan setengah untuk penghitungan.

dua setengah meter ( salah )
dua suku jam ( salah )
tiga setengah ringgit ( salah )

dua meter setengah ( betul )
dua jam suku ( betul )
tiga ringgit setengah ( betul )

Fungsi - nya dalam Ayat

1. Saya amat simpati akan dirinya. (Saya sangat simpati akan Aina.)

2. Saya memarahi Adib kerana dia telah memecahkan pasunya yang mahal itu. (Saya memarahi Adib kerana dia telah memecahkan pasu dia yang mahal itu.)

Fungsi –nya juga dapat digantikan dengan dia atau beliau. Sebagai contoh:

3. Hantar kertas itu kepadanya. (Hantar kertas itu kepada dia/beliau.)

4. Doktor Faridah telah menghantar surat peletakan jawatan kepada majikannya. (Doktor Faridah telah menghantar surat peletakan jawatan kepada majikan beliau.)

Penggunaan –nya yang merujuk kepada Tuhan, ditulis dengan huruf besar dan didahului oleh tanda sempang (-). Penggunaannya terdapat dalam doa, seperti;

5. “Hanya kepada-Nya tempat aku mengadu dan bermohon.”

Fungsi –nya sebagai kata tugas dalam Tatabahasa Dewan terdiri daripada kata penekan dan kata pembenda. –nya sebagai kata penekan memberikan penegasan kepada kata yang bergabung dengannya. –nya jenis ini juga digolongkan sebagai –nya penegas. Misalnya:

6. Sesungguhnya, cikgu itu telah difitnah sebelum ini.

7. Pokok manggis itu nampaknya akan tumbang.

8. Bahawasanya, tuntutan saman itu perlu diteruskan bagi membersihkan nama baik kita.

Kata pembenda menurut Tatabahasa Dewan ialah bentuk kata yang menjadikan sesuatu perkataan yang bukan daripada kata nama sebagai kata nama. Sebagai contoh –nya sebagai kata pembenda yang hadir pada akhir kata sifat itu mengubahkan kata sifat itu menjadi kata nama.

Contohnya:

9. Bukan kepalang rindunya kepadaku.

10. Dia menolak batang kelapa itu dengan kuatnya.

Fungsi –nya pada akhir kata nama membawa makna milik. Contohnya:

11. Kunci keretanya telah rosak.

12. Rumah di kaki bukit itu rumahnya.

Penggunaan –nya dalam ayat berfungsi sebagai objek kata kerja transitif.

13. Lebai Husin telah menutupnya  dengan papan.

14. Ismail telah mengecatnya setelah didesak oleh ibunya.

15. Khairi  menumbuknya beberapa kali.

Perkataan –nya juga digunakan untuk merujuk kepada perkataan atau perkara yang dinyatakan sebelumnya. Pada mulanya, Haziq hanya mengharapkan dia lulus sahaja dalam peperiksaan itu. Namun, harapannya bertukar apabila melihat abangnya telah memperoleh ijazah kelas pertama.

Fungsi –nya dapat pula merujuk kepada penyertaan. –nya membawa makna ‘berserta’ atau ‘bersama-sama’.

16. Siapakah yang belajar dengannya semalam.

17. Rayyan sedang bergurau dengannya di depan rumah.

-nya juga menunjukkan manfaat. Ada pihak lain yang mendapat manfaat daripada sesuatu perbuatan.

18. Zarina menghadiahkan jam tangan yang mahal kepadanya.

19. Ibu memasakkan bubur untuk tetamunya.

Penanda wacana juga menggunakan –nya.

20. Kita mestilah berfikir semasak-masaknya apabila membuat pilihan. Seandainya, kita salah membuat pilihan, maka musnahlah impian kita.

21. Kesimpulannya, semua pihak perlulah bekerjasama untuk memartabatkan bahasa Melayu.

Kesilapan dalam penggunaan –nya.

1. Kata ganti diri ketiga ia dan nya tidak boleh digabungkan menjadi ‘ianya’.

Contoh:

a. Penagihan dadah dalam kalangan remaja perlu dibanteras segera kerana bimbang ianya akan menular. (X)

b. Penagihan dadah dalam kalangan remaja perlu dibanteras segera kerana bimbang perbuatan itu akan menular. (√)

2. Ayat yang hendak dipasifkan, bentuk –nya harus digantikan dengan kata atau frasa nama yang utuh. Binaan ayat tidak dapat diterima, jika –nya tidak digantikan. Teliti ayat 22 dan 24 di bawah ini.

                22. Nya telah ditutup oleh Husin  dengan papan (X)

                23. Lubang telah ditutup oleh Lebai Husin dengan papan. (√)

                24. Nya telah dicat oleh Ismail setelah didesak oleh ibunya. (X)

                25. Bilik telah dicat oleh Ismail setelah didesak oleh ibunya. (√)

                26. Nya ditumbuk oleh Khairi beberapa kali. (X)

                27. Khairul ditumbuk oleh Khairi beberapa kali. (√)

Imbuhan Sanskrit


dasa-sepuluh
dasawarsa, dasalumba

dwi-dua
dwibahasa, dwihala, dwibulanan, dwicembung, dwijantina, dwicekung, dwitahunan, dwisuku, dwiwarna, dwikata, dwimusim

eka-satu
ekahala, ekabahasa, ekawarna, ekafungsi, ekasuku, ekatujuan, ekapaksi

juru-orang yang mahir dalam sesuatu bidang pekerjaan
jurubahasa, juruhebah, jururawat, jurucakap, jurumudi, juruulas, jurujual, jurusolek, juruterbang, jurutera, juruteknik, juruselam

maha-agung/besar
mahasiswa, mahasiswi, maharaja, maharani, mahaguru, maharesi, maha Esa, maha mulia

panca-lima
pancaragam, pancasila, panca delima, pancaroda, pancalogam, pancawarna, pancapersada, pancaindera, pancalumba

pra-sebelum
prakata, prasangka, prasejarah, prasekolah, praujian, prauniversiti, prasarana

tata-sesudah/peraturan
tatabahasa, tatacara, tatatertib, tatanegara, tatarakyat, tatausaha, tatasusila

tri-tiga
tricabang, triwarna, tricara, trisuku, triwulan, tribahasa, trijudul, tripenggal, trimakna, trihala

-ita-wanita/perempuan
biduanita, posnita, pranita

-man-orang yang memilik sifat/orang yang mahir dalam sesuatu bidang
seniman, budiman

-wan-Pemilik sesuatu benda/Pemilik sesuatu sifat /Orang yang mahir dalam 
sesuatu bidang/Orang yang melakukan 
sesuatu perbuatan
karyawan, jutawan, wartawan, negarawan, sasterawan, sukarelawan, olahragawan, biarawan, cendekiawan, dermawan, bangsawan, angkasawan

-wati-Perempuan yang mahir/pakar 
dalam sesuatu bidang
seniwati, peragawati, olahragawati, sukarelawati

Contoh penggunaan dalam ayat:
1. Jalan dwihala itu akan ditukar menjadi jalan ekahala sahaja.
2. Tatatertib di jalan raya mestilah dipatuhi agar kemalangan dapat dielakkan.
3. Sudah hampir triwulan ayahnya menghidapi penyakit barah perut itu.
4. Anak jutawan itu telah diculik pada awal pagi kelmarin.
5. Peragawati itu sedang memperagakan pakaian fesyen baru keluaran Butik Aina.
6. Seniman terkenal P.Ramlee dilahirkan di Pulau Pinang.
7. Jurujual itu pandai memperdayakan pelanggannya.
8. Prakata buku sejarah itu ditulis oleh pengarangnya sendiri.

Ahad, 19 Ogos 2018

Munsyi Dewan (Bahasa)

Ahad, 19 Ogos 2018
Munsyi Dewan (Bahasa)
Oleh: Amatara
mrasulharon@yahoo.com
MUNSYI atau ahli bahasa lantikan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) perlu berupaya berdikari dalam menggerakkan khidmat dan kepakaran bahasa mereka dalam usaha membantu memartabatkan bahasa Melayu.

DBP sudah memperkenalkan empat kategori Munsyi sejak 1995 dan yang paling awal, ialah lantikan Munsyi Dewan (Bahasa) membabitkan 216 orang.

Kalangan Munsyi ini dilantik supaya boleh membantu dan mengembangkan perkhidmatan kepakaran mereka dalam bahasa Melayu dan, tetapi ada antaranya yang tidak begitu aktif dalam usaha ini.
Munsyi yang dilantik perlu menggerakkan sendiri program bagi usaha memartabatkan bahasa Melayu. Munsyi berperanan  untuk menghidup dan menggerakkan khidmat kepakaran bahasanya dalam pelbagai bentuk untuk masyarakat.

Kumpulan 39 orang pencinta bahasa Melayu yang terlibat dalam Bengkel Pembinaan Munsyi Dewan (Bahasa) di IPG Kampus Tengku Ampuan Afzan terdiri daripada bangsa Melayu, China dan India. Kumpulan yang terdiri daripada pegawai KPM, pegawai Perpustakaan Negara Malaysia, pensyarah IPG, pensyarah bahasa Melayu universiti di China, adiguru, pegawai pakar bahasa Melayu PPD, peguam, dan guru-guru ini diharapkan dapat melaksanakan tugas Munsyi Dewan iaitu:

-penceramah bahasa Melayu yang dilantik DBP untuk mengendalikan kursus, ceramah dan taklimat bahasa Melayu di sektor awam dan swasta.

-menjadi pakar rujuk bahasa Melayu untuk membantu DBP dalam usaha mengembangkan bahasa Melayu.

Awalan meN-

Munsyi Md Rasul bin Haron@Amatara Bahagian Matrikulasi 30 Jun 2022 Panduan Bahasa PROSES PENGIMBUHAN 2) Awalan meN- fungsi pengg...