Ahad, 22 Julai 2018

Hak Kanak-Kanak.


Sebagai kanak-kanak, mereka mempunyai hak-hak tertentu baik bawah undang-undang sivil mahupun bawah undang-undang Islam. Hak kanak-kanak ini banyak dan antara yang terpenting ialah haknya untuk dihormati sebagai manusia.

Ramai antara kita melihat anak sebagai barang dan mempunyai hak terhadap mereka.

Anak ada hak terhadap ibu bapanya sama seperti ibu bapa mempunyai hak terhadapnya, namun hak tersebut tidak menyebabkan ibu bapa boleh berbuat apa sahaja terhadap anak mereka. Anak pula dalam hasrat menuntut haknya terhadap ibu bapanya, tidak perlu menjadi biadab atau kurang ajar.

Menghargai dan menghormati kanak-kanak seperti kita menghargai dan menghormati orang dewasa akan menjadikan kanak-kanak lebih menghormati orang dewasa. Kanak-kanak akan menjadi lebih yakin dan selamat. Kanak-kanak mempunyai hak untuk tidak dicederakan dan dianiaya. Ini membolehkan dia membesar dengan baik dan menjadi insan berguna.

Kebanyakan kes penderaan kanak-kanak ini sangat menyayat hati dan tidak berperikemanusiaan. Kanak-kanak ini diperlaku dan diseksa seperti binatang sedangkan kita tidak pernah mendera binatang sedemikian rupa.

Sabtu, 21 Julai 2018

Lelaki Membusung Dada

Pagi tadi semasa berada di kedai 24 jam, penulis terkesima apabila melihat gelagat seorang lelaki jalan membusung dada memotong barisan untuk membayar harga bagi sebuah akhbar tabloid.

Tatkala lelaki yang wajah seperti mewakili kelompok VIP, 6 hingga 7 orang yang masih santun berbaris mengikut tertib termasuk penulis berada di barisan paling belakang, terus dikejutkan lelaki tadi yang menerjah di kaunter  tanpa rasa bersalah.

Berdasarkan selipar, baju dan seluar yang dipakai mempamerkan dari mana kelompok lelaki ini datang, hanya wajah dan suara cuba menunjukkan dia daripada kelompok VIP.

Penulis membatalkan membuat pembelian, sebaliknya menyekolahkannya tentang adab. Dalam barisan tadi ada orang tua warga emas dan perempuan hamil. Lelaki tadi hanya tunduk malu dan terus bergegas ke jalan besar untuk menaiki bas yang menjadi kenderaannya.

Tidak sangka lelaki yang menjerit kuat kepada perempuan yang menjaga kaunter tadi, hanyalah manusia biasa.

Khamis, 19 Julai 2018

Kalau Huma Sama Ditugal

Marilah kita menggunakan bahasa Melayu sebaik mungkin demi memastikan bahasa ini akan terus terpelihara dan tidak ditelan masa seiring dengan pemodenan kini.

Kalau lautan sama direnangi,
Kalau lurah sama dituruni,
Kalau sampan sama berdayung,
Kalau lesung sama menumbuk,
Kalau huma sama ditugal,
Kalau masak sama dituai,
Kalau berangan sama dikutip,
Kalau padi sama dituai,
Kalau jala sama menebar,
Kalau pukat sama menarik,
Kalau rakit sama bergalah,
Kalau ruyung sama dipecahkan,
Kalau parit digali,
Kalau tebing dipanjat,
Cubit paha kiri,
Paha kanan sakit juga,
Susah sama susah, senang sama senang.

Sesungguhnya usaha untuk memartabatkan bahasa Melayu memerlukan kerjasama semua.

Bangkitkan Sastera

Di sana sini, masyarakat kita lebih teruja membicarakan tentang pembangunan fizikal. Tidak jemu-jemu bercakap tentang kemajuan sains dan teknologi, kestabilan ekonomi dan suasana politik tanah air malah melangkaui sempadan negara dan benua.

Kesusasteraan tidak lagi menjadi kebesaran, malah kian mengecil. Ada yang berpendapat kesusasteraan tidak lagi relevan dengan kehidupan kini. Akibat penghijrahan ini, khalayak sastera kian mengecil, mengkhusus, dan elitis. Hal ini terjelma daripada beberapa isyarat atau petanda, penulisan dan penerbitan karya sastera tidak lagi menjadi aktiviti yang menghasilkan pulangan ekonomi yang menggalakkan.

Sepi dan sunyinya dunia sastera kini bukan bermakna sudah mati atau lupus bakat sastera dalam kalangan masyarakat hari ini dan akan datang. Kesenyapan ini timbul disebabkan mutu hasil karya dan promosi yang masih perlu dipertingkatkan. 

Masyarakat hari ini memerlukan karya sastera hidup, baharu, dan segar yang dihasilkan bukan sahaja oleh sasterawan ternama, tetapi juga oleh penulis baharu. Sudah sampai masanya, kedua-dua kelompok ini duduk semeja merangka Pelan Induk Pembangunan Kesusasteraan Malaysia 2020-2050  (PIPKM 2020-2050).

Bagi menanamkan minat ge­nerasi muda dalam bidang sastera, maka karya sastera perlu diperkenalkan lebih awal kepada pelbagai pe­ringkat pendidik­an, iaitu sejak dari prasekolah hingga peringkat universiti tanpa mengira aliran, sama ada sastera atau sains.
Selain itu, karya sastera perlu menjadi satu mata pelajaran yang wajib agar dapat dibaca oleh pelbagai kaum, bukan hanya untuk orang Melayu. Mata pelajaran Sastera perlu dijadikan sebagai satu mata pelajaran utama, bukan setakat sisipan mata pelajaran Bahasa Melayu.

Awalan meN-

Munsyi Md Rasul bin Haron@Amatara Bahagian Matrikulasi 30 Jun 2022 Panduan Bahasa PROSES PENGIMBUHAN 2) Awalan meN- fungsi pengg...