Sabtu, 4 Ogos 2018

Hari Keluarga Sektor PKP

Sektor Personel, Kewangan dan Pembangunan (PKP), Bahagian Matrikulasi, Kementerian Pendidikan Malaysis telah mengadakan Hari Keluarga Sektor PKP di Bangi Wonderland Theme Park. Program tersebut diadakan pada 4 Ogos 2018, hari Sabtu. 

Pn. Reni Junita binti Yahya, Ketua Penolong Pengarah Sektor PKP dalam ucapan perasmian beliau, menzahirkan kegembiraan atas pelibatan pegawai dan kakitangan serta keluarga dalam menjayakan program Hari Keluarga Sektor PKP pada kali ini. Q

Beliau menekankan tentang peri pentingnya kejeleketan dalam kalangan warga Sektor PKP. Program yang diterapkan dengan elemen kasih-sayang, hormat-menghormati dan kebahagiaan selaras dengan hasrat Kementerian Pendidikan Malaysia untuk menjadikan ketiga-tiga elemen tersebut sebagai amalan keluarga pendidikan.

Rabu, 1 Ogos 2018

Memandu dan Menunggang


Sewaktu aku memandu kereta, aku biasanya akan merasa cukup selesa dan selamat duduk di atas tempat duduk dengan kemasan kulit dan dilindungi dengan lapisan besi dan kaca pelindung.  

Sewaktu aku menjadi penunggang motosikal pula, jiwaku sentiasa dijentik yang diri aku ini sentiasa dalam bahaya. Aku tahu, sedikit kelalaian di atas motosikal yang aku kendalikan, akan mengakibatkan kecederaan, malah boleh membawa maut.

Sewaktu aku menunggang motosikal berkuasa tinggi sepuluh tahun yang lalu, aku tahu walaupun ia dilengkapkan dengan pelbagai pakej teknologi keselamatan terkini untuk menyelamatkan penunggang, tetapi satu perkara yang selau ingat dan disemadikan dalam hati, secanggih manapun teknologi itu ia tidak akan mampu menandingi keupayaan semulajadi manusia itu sendiri.

Aku mesti tahu dan mengelak semua elemen yang mungkin akan membunuh aku. Jadi, selain daripada memperbaiki teknik tunggangan, aku mesti mampu mengenal pasti bahaya yang ada di sekeliling aku.

Selepas sekian lama memandu dan menunggang, minda aku secara automatik akan mampu menganalisis bahaya sewaktu memandu tidak kira apa kenderaan yang kita pandu sekalipun. Seringkali aku melihat situasi kenderaan besar mengambil kesempatan dengan memandu seperti raja di jalanan tanpa menghiraukan keselamatan pengguna jalan yang lain. Sebenarnya pemandu kereta juga tidak kurang yang memandu secara berbahaya, memotong sesuka hati dan tidak menitikberatkan risiko kemalangan.

Aku tahu yang orang Malaysia terkenal sebagai pemandu jalan raya yang ganas, tidak sabar, mementingkan diri dan tidak mematuhi undang-undang jalan raya. Maka tidak hairanlah jika negara kita mempunyai kadar jumlah kemalangan yang tinggi terutama apabila tiba di musim-musim perayaan atau cuti panjang. Walaupun ramai pemandu lain yang bersikap sabar, berhemah dan mematuhi undang-undang. Tetapi oleh kerana sikap segelintir ini, ramai yang marah dan rasa tidak puas hati.

Sebagai pemandu, kita perlu sedar yang kita kongsi gunakan jalan raya. Kita sepatutnya berusaha untuk menjadi pemandu yang berhemah dan bersopan santun. Kita boleh mengurangkan risiko kemalangan dengan mengikuti peraturan dan keselamatan jalan raya.

Jangan selalu ingatkan diri sahaja. Pemandu-pemandu lain mungkin seorang bapa, isteri, ataupun anak orang. Kadang-kadang, nyawa sekeluarga dalam satu kereta.


Mengimbau Sejarah Kemerdekaan Negara


Merdeka 1957



Mengimbau sejarah kemerdekaan tanah air, rancangan kemerdekaan PTM bermula pada 8 Februari 1956 di Lancaster House, London. Perjanjian Kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu telah ditandatangani di antara YTM Tunku Abdul Rahman Putra, Ketua Menteri Perekutuan Tanah Melayu bagi pihak kerajaan Persekutuan Tanah Melayu dengan Mr. Alan Lennox-Boyd, Setiausaha Negara Tanah Jajahan British bagi pihak Kerajaan British.
Wakil dari Kerajaan Persekutuan Tanah Melayu yang hadir sama pada upacara itu ialah Dato' Abdul Razak Hussein, Dr. Ismail Abdul Rahman, Encik T.H.Tan, Encik Abdul Kadir Shamsuddin, Kolonel H.S Lee dan wakil-wakil daripada Raja-raja Melayu yang terdiri daripada Dato' Panglima Bukit Gantang Haji Abdul Wahab bin Toh Muda Abdul Aziz (wakil Sultan Perak), Dato' Nik Ahmad Kamil (wakil Sultan Kelantan). Dato' Mohd Seth Mohd Said (wakil Sultan Johor) dan Encik Abdul Aziz Majid (wakil Sultan Selangor) manakala perwakilan daripada Kerajaan British yang turut serta di upacara ini ialah Mr. John Hore, Menteri Negara; Mr. Donald MacGillivary, Pesuruhjaya Tinggi British bagi Persekutuan Tanah Melayu; Mr. David Watherston, Ketua Setiausaha Persekutuan Tanah Melayu dan Mr. Oscar Spencer, Menteri Hal Ehwal Ekonomi Persekutuan Tanah Melayu.
Sekembalinya rombongan Perjanjian Kemerdekaan tersebut ke Tanah Melau pada 20 Februari 1956, YTM Tunku Abdul Rahman Putra, Ketua Menteri Persekutuan Tanah Melayu telah mengumumkan bahawa menurut Perjanjian Kemerdekaan yang ditandatangani pada 8 Februari 1956, Persekutuan Tanan Melayu akan mencapai kemerdekaan secara rasminya pada 31 Ogos 1957. Pengumuman itu disambut dengan jeritan "Merdeka! Merdeka! Merdeka!" oleh lebih daripada 100,000 orang yang datang dari seluruh  pelosok Persekutuan Tanah Melayu.
Kepulangan rombongan tersebut yang sememangnya ditunggu dan dinantikan, diiringi oleh sepasukan pemuda bermotosikal dan berpuluh-puluh kereta dari Lapangan Terbang Batu Berendam Melaka ke Padang Banda Hilir Melaka.
Melaka telah dipilih sebagai tempat mengumumkan tarikh kemerdekaan sebagai simbolik bahawa negeri tersebut adalah antara yang mula-mula dijajah oleh kuasa asing. 
Mengimbau sejarah pada 31 Ogos 1957, hujan turun dengan lebatnya sehingga jam 6.30 pagi, acara yang sepatutnya dimulakan pada jam 7.00 pagi ditangguhkah kepada 8.00 pagi kerana masih ramai yang belum dapat hadir. Perekutuan Tanah Melayu telah merdeka secara rasminya tepat jam 9.30 pagi. Sambutan kemerdekaan diadakan di Stadium Merdeka dengan disaksikan lebih 20,000 orang termasuklah Raja-raja Melayu, tetamu-tetamu khas dari luar negara dan anggota-anggota kabinet Kerajaan Persekutuan.
YTM Tunku Abdul Rahman Putra kemudiannya membaca Pengisytiharan Kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu. Sebaik selesai, beliau melaungkan kata keramat, "MERDEKA" sebanyak tujuh kali dan disambut oleh ribuan rakyat yang membanjiri Stadium Merdeka. Upacara ini kemudiannya disusuli dengan seruan azan yang melambangkan Islam sebagai agama rasmi negara yang baru merdeka, diikuti dengan acara menaikkan bendera Persekutuan Tanah Melayu sambil diiringi dengan lagu kebangsaan, 'Negaraku'.  Sebanyak 101 das tembakan meriam dilepaskan menandakan Persekutuan Tanah Melayu telah menjadi negara yang merdeka dan berdaulat.
Dalam masa beberapa hari lagi, Persekutuan Tanah Melayu yang dikenali sebagai Malaysia akan menyambut Hari Kemerdekaan yang ke-61 tahun.Sambutan Hari Kebangsaan 2018 adalah penuh bersejarah kerana pertama kali diraikan di bawah tampuk kepimpinan kerajaan baharu Pakatan Harapan.
Bertemakan 'Sayangi Malaysiaku', Putrajaya dipilih sebagai lokasi sambutan pada 31 Ogos nanti bagi meraikan kerajaan baharu pimpinan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad di pusat pentadbiran kerajaan persekutuan itu.
Sambutan akan bermula di Padang Kota Lama, Pulau Pinang dengan majlis pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2018 yang akan disempurnakan Perdana Menteri pada 4 Ogos.

Sabtu, 28 Julai 2018

Aku Kian Layu di Bumi Sendiri

Asal usul aku adalah daripada filum Austris. Filum Austris terpecah dua, iaitu rumpun Austroasia dan Austronesia atau dahulunya aku dikenali sebagai Melayu-Polinesia. Ada beberapa pendapat tentang salasilah aku. Namun demikian, kesemua mengatakan dan mengakui bahawa orang-orang Melayu ialah pengguna asli aku ini.

Aku menjadi sebutan berbanding dengan keluargaku yang lain seperti Melanesia, Mikronesia dan Polinesia. Aku ditutur juga di pantai timur Pulau Sumatera dari Aceh Timur hingga ke Sumatera Selatan. Terdapat dialek aku seperti Temiang, Deli, Serdang, Langkat Asahan, Panai, Riau, Jambi, Kuantan, Palembang, Siak, Bengkulu, Bangka dan Belitung. Dialek aku ada yang terpecah kepada subdialek. Antaranya dialek Riau yang melahirkan bahasa Indonesia dan bahasa Melayu kuno yang selepas itu bahasa Melayu klasik. Aku terus berkembang dan menjadi insan penting. Begitu panjang sejarah hidup aku.

Kini, aku kian layu di bumi sendiri. Apakah usaha dan sumbangan memperjuangkan kelangsungan hidup aku yang semakin tenat ini? Adakah dengan hanya menuding jari dan menyalahkan sesama sendiri boleh menyihatkan semula aku ini?

Aku bukan hak eksklusif milik satu bangsa sahaja, tetapi aku adalah milik semua. 

Hatiku terluka apabila ada anak Malaysia tidak yakin dengan kehebatan aku. Mereka tanpa rasa silu di hati, membandingkan aku dengan bahasa lain termasuk bahasa penjajah.

Aku semakin sakit apabila terdapat  sebilangan pemimpin tidak tahu untuk menggunakan aku. Dalam persidangan di Parlimen tidak kira di Dewan Rakyat atau pun di Dewan Negara, akan ada pemimpin menggunakan aku secara lintang-pukang.

Aku didakwa atas alasan tidak lengkap untuk urusan meningkatkan ilmu pengetahuan disebabkan kekurangan aku dari segi istilah. Aku dianggap tidak sesuai hidup dalam kecanggihan sains dan teknologi. Apakah wajar aku diperlekehkan kerana alasan-alasan ini? Tidakkah sedar orang luar menilai ketinggian dan keunikan aku?

Tanggapan bahawa aku hanya dimiliki oleh orang Melayu dan bukannya teras kepada pembangunan negara bangsa antara faktor kenapa bahasa kebangsaan masih gagal dimartabatkan dan dihormati pada kedudukan sewajarnya termasuk dalam kalangan rakyat asing yang berada di negara ini.

Sehingga kini ramai rakyat negara ini memahami istilah bangsa sebagai merujuk kepada kaum masing-masing iaitu sama ada Melayu, Cina, India serta kaum minoriti lain dan bukannya melihat ia sebagai penduduk yang tinggal di Malaysia.

Aku sebagai bahasa kebangsaan yang juga teras perpaduan negara bangsa bagi semua rakyat Malaysia tidak menonjol. Ia akhirnya meninggalkan kesan psikologi bahawa aku hanya dimiliki dan dipertuturkan oleh orang Melayu saja sehingga lupa kedudukannya sebagai bahasa kebangsaan dan teras negara Malaysia.

Hakikatnya sekarang semakin ramai generasi muda bukan Melayu terutama Cina dan India yang fasih bertutur bahasa Melayu. Mari kita pecahkan tembok pemisah bahawa aku untuk orang Melayu sahaja agar aku akan dituturi dan dihormati dengan lebih meluas.

Usaha untuk memartabatkan aku  sebenarnya terletak pada kesungguhan rakyat negara ini sendiri dan mereka juga perlu mengubah persepsi bahawa hanya yang fasih berbahasa Inggeris saja mempunyai status sosial lebih tinggi.

Awalan meN-

Munsyi Md Rasul bin Haron@Amatara Bahagian Matrikulasi 30 Jun 2022 Panduan Bahasa PROSES PENGIMBUHAN 2) Awalan meN- fungsi pengg...