Ahad, 19 Ogos 2018

Munsyi Dewan (Bahasa)

Ahad, 19 Ogos 2018
Munsyi Dewan (Bahasa)
Oleh: Amatara
mrasulharon@yahoo.com
MUNSYI atau ahli bahasa lantikan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) perlu berupaya berdikari dalam menggerakkan khidmat dan kepakaran bahasa mereka dalam usaha membantu memartabatkan bahasa Melayu.

DBP sudah memperkenalkan empat kategori Munsyi sejak 1995 dan yang paling awal, ialah lantikan Munsyi Dewan (Bahasa) membabitkan 216 orang.

Kalangan Munsyi ini dilantik supaya boleh membantu dan mengembangkan perkhidmatan kepakaran mereka dalam bahasa Melayu dan, tetapi ada antaranya yang tidak begitu aktif dalam usaha ini.
Munsyi yang dilantik perlu menggerakkan sendiri program bagi usaha memartabatkan bahasa Melayu. Munsyi berperanan  untuk menghidup dan menggerakkan khidmat kepakaran bahasanya dalam pelbagai bentuk untuk masyarakat.

Kumpulan 39 orang pencinta bahasa Melayu yang terlibat dalam Bengkel Pembinaan Munsyi Dewan (Bahasa) di IPG Kampus Tengku Ampuan Afzan terdiri daripada bangsa Melayu, China dan India. Kumpulan yang terdiri daripada pegawai KPM, pegawai Perpustakaan Negara Malaysia, pensyarah IPG, pensyarah bahasa Melayu universiti di China, adiguru, pegawai pakar bahasa Melayu PPD, peguam, dan guru-guru ini diharapkan dapat melaksanakan tugas Munsyi Dewan iaitu:

-penceramah bahasa Melayu yang dilantik DBP untuk mengendalikan kursus, ceramah dan taklimat bahasa Melayu di sektor awam dan swasta.

-menjadi pakar rujuk bahasa Melayu untuk membantu DBP dalam usaha mengembangkan bahasa Melayu.

Ahad, 12 Ogos 2018

Mat Rempit ditukar kepada Mat Bunga Raya

Saya mencadangkan supaya gelaran 'mat rempit' ditukar kepada gelaran 'Mat Bunga Raya' bagi mengubah imej penunggang motosikal.

Gelaran 'mat rempit' berbunyi seperti sampah masyarakat dan menggambarkan golongan itu sebagai samseng jalanan. Itulah gelaran yang mereka sukai. Seperti ada prestij. Kelompok ini tidak suka digelarkan nama manja dan mempunyai elemen kebaikan kerana bagi mereka gelaran yang baik akan menjejaskan status mereka. Mereka mahu dianggap bijak sedangkan pelajaran entah ke mana. Mereka mahu dianggap berani sedangkan bertempiaran menunggang motosikal apabila melihat kelibat polis  Mereka mahu dianggap berstatus tinggi sedangkan poket tidak berisi. Mereka mahu dilihat berhati kering sedangkan bila berseorangan begitu berperibadi.

Imej penunggang motosikal harus diubah supaya dilihat lebih berdisiplin dan berhemah, dengan ini saya cadangkan nama 'mat rempit' ditukarkan kepada 'mat bunga raya'. Biar mereka berjiwa kebangsaan.

Ia akan menggambarkan adanya semangat perpaduan bagi semua peminat motosikal seperti satu keluarga yang harmoni. Biar mereka bersatu hati memajukan ekonomi keluarga dan diri mereka sendiri. Jangan biarkan mereka bersantai di kedai kopi di tepi jalan dengan belanja tidak lebih RM1.00 hanya minum air kopi. Berilah mereka peluang menjana pendapatan tinggi agar dapat merasai nikmat mi dan roti.

Sebagai 'mat bunga raya', hormati pengguna jalan raya yang lain dan tidak menggunakan jalan awam sebagai litar lumba.

Ibu bapa perlu bersikap tegas dan menjaga tingkah laku anak-anak bagi menangani isu kemalangan motosikal dalam kalangan remaja dan orang muda yang sering menunggang mengikut perasaan.

Jangan benarkan mereka menunggang motosikal jika tiada lesen. Jaga dan hormati 'mat bunga raya' kerana masa depan negara bergantung kepada mereka.

Sabtu, 11 Ogos 2018

Adakah Cikgu Firdaus Tidak Terbeban?

Cikgu Firdaus, kawan penulis yang pernah  mengajar di kawasan pedalaman pada tahun 90-an, sentiasa sudi berkongsi pengalaman beliau menjadi guru di  sekolah  kategori pedalaman, tiada bekalan air bersih, tiada jalan raya dan tiada bekalan elektrik di samping sukar mendapat isyarat telefon, namun beliau tidak cepat melatah dan menganggap sebagai sebahagian cabaran. 

"Aku tidak pernah merungut dan tidak membiarkan mulut menutur sepertimana kalimat guru kini, beban, beban, beban", kata Cikgu Firdaus.

Mengajar subjek Matematik dan subjek-subjek lain, Cikgu Firdaus Yazid selalu menyatakan, "mengajar di mana-mana sekolah sekalipun, semuanya ada cabaran. Cuma bentuk cabarannya agak berbeza dan warga pendidik kena sabar dan kuat."

Sekolah Cikgu Firdaus beroperasi dengan generator yang menjadi sumber tenaga utama, bekalan air pula diperoleh daripada tadahan air hujan dan air sungai. Capaian telefon juga tidak kuat dan kadangkala tiada langsung. Tempat beliau berkhidmat ini juga tidak dapat dilalui menggunakan pengangkutan darat kerana tiada jalan menghubungkan kampung ke kawasan luar. Jadi, pengangkutan air merupakan pengangkutan utama.

Sepanjang mengajar di pedalaman, beliau lihat segala kekurangan yang ada sudah menjadi perkara biasa bagi penduduk. Mereka tidak menganggap ini  masalah besar buat diri masing-masing.

Timbul kesedaran di hati beliau melihat murid-murid yang tidak mengeluh apabila belajar dalam kepanasan dan serba kekurangan, tetapi masih mampu memberi perhatian dalam kelas. Semangat ingin belajar, membuka hati Cikgu Firdaus untuk mengajar dengan ikhlas dan semampu yang boleh.

Pengalaman mengajar sebegini mungkin tidak diperoleh di mana-mana. Beliau bersyukur diberi peluang berkhidmat di suatu tempat yang tidak pernah dibayangkan kehidupannya sebelum ini. Kenangan tersebut terus melekat di minda beliau hingga dijemput Allah SWT pada bulan Julai 2013.

Pedalaman banyak mengajar beliau erti hidup dan sentiasa bersyukur dengan segala nikmat yang diberi. Cabaran dan ujian sentiasa ada dalam kamus kehidupan.  Sesat di ladang, jambatan runtuh semasa perjalanan balik ke sekolah, mengharungi arus sungai deras, jauh daripada klinik dan hospital serta terlibat kemalangan mengelak lori balak di dalam hutan, antara perkara yang beliau tempuh.

Terserempak binatang buas, bawa isteri sarat mengandung melalui jalan balak, berhujan menaiki bot, menemui individu yang meminta bantuan kerana dibaham buaya, mengurus jenazah dan banyak lagi, juga antara pengalaman beliau yang sukar dilupakan.

Perjalanan mengambil masa yang lama dari sekolah ke satu tempat ke satu tempat yang lain. Untuk ke bandar terdekat, Cikgu Firdaus terpaksa menaiki bot dahulu untuk ke kampung bersebelahan yang mana pengangkutan darat hanya boleh dicapai di sana. 

Kemudia menempuh perjalanan melalui jalan balak lagi selama berjam-jam sebelum tiba di bandar. Bergantung juga kepada cuaca, sekiranya cuaca tidak mengizinkan seperti hujan lebat mahupun kemarau, bot-bot kecil tidak dapat melalui sebahagian kawasan di sungai, menyebabkan Cikgu Firdaus terpaksa mengambil pilihan lain, yang mengambil masa lebih lama untuk sampai ke bandar.

Ramai lagi orang yang di luar sana diuji dengan ujian lebih berat daripada kita.

Kepada guru era kini,  buka minda, belajar menerima keadaan sekeliling, belajar memahami dan bertoleransi. Ikhlaskan niat, terima apa yang ada dan dalam masa sama kita akan sentiasa muhasabah diri untuk lebih mengenal kenapa Allah SWT memilih kita sebagai guru.

Cikgu Firdaus telah tiada, sepatutnya 100 guru lagi menggantikan allahyarham. Adakah Cikgu Firdaus tidak terbeban? Sekali dipanggil guru tetap dipanggil guru walaupun jasad sudah dimamah bumi. Sekiranya membawa gelaran keramat itu beban, tinggalkan bebanan itu.

Rabu, 8 Ogos 2018

Indah Sentosa Bumi Merdeka

MERDEKA! MERDEKA! MERDEKA!

Hari Kebangsaan Malaysia disambut di seluruh negeri pada setiap 31 Ogos setiap tahun bagi menandakan negara bebas daripada belenggu penjajahan sejak 1511 hingga tahun 1957. Hari kebangsaan merupakan peristiwa utama dan disambut secara besar-besaran dengan mengadakan perarakan warna warni, konsert, pertunjukan pentas, pertandingan dan pelbagai lagi pertunjukan yang diadakan di tempat-tempat yang ditetapkan setiap tahun. Pada 31 Ogos 2018 ini, Malaysia akan menyambut ulang tahun hari kemerdekaan yang ke-61.


MEREDAH SASA BUMI MELAKA,
AMALAN DAYANG PENGGERAK HIASAN
INDAH SENTOSA BUMI MERDEKA,
TINGGALAN MOYANG TUNGGAK WARISAN.

Sejarah Malaysia bermula pada zaman Kesultanan Melayu Melaka iaitu sekitar tahun 1400 Masihi. Pada masa kegemilangannya, wilayah kesultanan ini meliputi sebahagian besar Semenanjung dan Pantai Timur Sumatera. Melaka muncul sebagai sebuah kerajaan yang gemilang kerana pemimpin yang berwibawa, system pentadbiran dan pemerintahan yang cekap di samping kedudukannya yang strategik berada di titik pertemuan antara Asia Timur dengan Asia Barat. Keadaan ini membolehkan Melaka muncul sebagai pusat perdagangan utama khususnya bagi perdagangan rempah di Asia Tenggara. Islam pula muncul sebagai agama utama yang tersebar dan menjadi anutan utama penduduk Melaka kerana rajanya sendiri telah memeluk agama tersebut. Pada tahun 1511, Melaka jatuh ke tangan Portugis dan bermula dari tahun inilah Tanah Melayu berada dalam era penjajahan. Selepas itu, Tanah Melayu jatuh ke tangan Belanda pada tahun 1641 dan akhirnya jatuh pula ke tangan British pada tahun 1824 melalui Perjanjian Inggeris-Belanda. British telah campur tangan dalam semua urusan pentadbiran Tanah Melayu yang sebelum ini diuruskan oleh Raja-Raja Melayu dengan bantuan pembesar-pembesar negeri. Campur tangan British ini telah menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan penduduk tempatan. Beberapa individu bangkit menentang penjajah antaranya di beberapa buah negeri seperti Dol Said, Tok Janggut, Datuk Bahaman, Rentap, Datuk Maharajalela, Rosli Dhoby dan beberapa tokoh yang lain.

BERLAPIS CEMPAKA DI SISI KEKWA,
INDAH REDUP DIHIAS MELATI;
SEMANGAT MERDEKA KEKAL DI JIWA,
NESCAYA HIDUP LEBIH BERERTI.

Pada era 1920-an dan 1930-an, kebanyakan nasionalisme, kesedaran politik dan pembangunan negara penduduk Tanah Melayu mula mendapat pendidikan, sama ada dari Timur Tengah atau pendidikan tempatan. Hasilnya, muncul golongan berpendidikan yang mula memperjuangkan semangat nasionalisme. Mereka menggunakan media cetak seperti akhbar, majalah, cerpen dan novel untuk menyebarkan ideologi masing-masing. Ada dalam kalangan mereka telah membentuk persatuan seperti Kesatuan Melayu Singapura (KMS) dan Kesatuan Melayu Muda (KMM) dan yang bermatlamat mengusir penjajah dan membentuk kerajaan sendiri. Kemaraan tentera Jepun ke Tanah Melayu pada 8 Disember 1941 hingga 15 Februari 1942 menandakan bermulanya satu lagi era penjajahan di Tanah Melayu. Walau bagaimanapun, Jepun yang menduduki Tanah Melayu sehingga tahun 1945 menyerah kalah ekoran pengeboman bom atom ke atas Hiroshima dan Nagasaki. Pengunduran Jepun telah memberi ruang kepada Parti Komunis Malaya (PKM) untuk menguasai Tanah Melayu. PKM telah melancarkan serangan menguasai Tanah Melayu melalui kekerasan, pembunuhan tiga orang pengurus peladang getah Eropah di Sungai Siput, Perak. Lantaran itu, pada bulan Jun 1948, Sir Edward Gent telah mengisytiharkan darurat di seluruh Tanah Melayu. PKM tidak berjaya menakluki Tanah Melayu dan British kembali berkuasa. Pentadbiran Tentera British (British Military Administration) atau BMA adalah antara akhir Perang Dunia II dan Penubuhan Malayan Union.

RAWA DI TANJUNG KEMAS DIPAKU,
DI DADA JEJAWI BERSILANG HIASAN;
JIWA MEYANJUNG LAGU NEGARAKU,
TANDA PERTIWI DIJULANG WARISAN.

Pada 1 April 1946, British menubuhkan Malayan Union. Walau bagaimanapun, gagasan ini mendapat tentangan daripada orang Melayu kerana penghapusan institusi diraja dan hak keistimewaan orang-orang Melayu. Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj telah menaikkan semangat perjuangan penduduk Tanah Melayu ketika itu apabila tindakannya membentuk Parti Perikatan pada 1952 mula membuka mata British untuk membenarkan penduduk Tanah Melayu mentadbir sendiri negaranya. Perpaduan antara tiga kaum utama iaitu Melayu, Cina dan India telah menampakkan hasil apabila Perjanjian London yang ditandatangani pada 8 Februari 1956 telah memberi petanda bahawa Persekutuan Tanah Melayu akan merdeka pada 31 Ogos 1957. Sekembalinya Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj dari London, Tunku telah membuat pengisytiharan kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu di Padang Bandar Hilir, Melaka pada 20 Februari 1956. Pada 27 Mei 1961, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj telah mencadangkan penggabungan lima buah jajahan iaitu Persekutuan Tanah Melayu, Singapura, Sabah, Sarawak dan Brunei untuk membentuk sebuah negara yang baharu. Pada 9 Julai 1963, wakil-wakil kerajaan British, Persekutuan Tanah Melayu, Sabah, Sarawak dan Singapura kecuali Brunei disebabkan perkara yang tidak dapat dielakkan. Hasrat untuk membentuk sebuah negara yang dinamakan MALAYSIA tercapai pada 16 September 1963.









Awalan meN-

Munsyi Md Rasul bin Haron@Amatara Bahagian Matrikulasi 30 Jun 2022 Panduan Bahasa PROSES PENGIMBUHAN 2) Awalan meN- fungsi pengg...