GOMBAK, 17-18 April 2009- Satu kem Intergrasi Unit Uniform telah diadakan di lembah tenang SMK Seri Gombak. Seramai 80 peserta perkemahan menikmati pengalaman baru bermalam di kawasan indah dan payah di sekolah. Banyak aktiviti yang dilakukan oleh para peserta. Antaranya, motivasi besar, explorace,LDK, senaman pagi, persembahan bakat dan aktiviti kawad.
Menurut, Penolong Pengarah Projek Perkhemahan 2009, YM Tengku Shahrul bin Awang Hafez, perkhemahan pada tahun ini amat mencabar dan menjadi ingatan kepada pelajar-pelajar SMK Seri Gombak. Selain itu nilai-nilai budi bahasa turut diterapkan sepanjang perkhemahan. Tambah beliau, tatkala kita bercakap mengenai amalan berbudi bahasa, sudah semestinya budi itu dikaitkan dengan cara bertutur, ciri perwatakan yang semestinya melibatkan interaksi sesama manusia di atas buana Malaysia yang bertuah ini. Dalam bahasa Melayu, berbudi bahasa selalunya dikaitkan dengan masyarakat Melayu. Masyarakat menilai keperibadian seseorang individu berdasarkan tingginya nilai budi pekerti. Seseorang individu itu tidak dinilai pada paras wajah yang cantik sahaja, malah dinilai pada budi bahasanya. Pendapat beliau disokong oleh Cik Wina sambil berpantun;
Bunga Melati bunga di darat
Bunga seroja di tepi kali
Hina besi kerana karat
Hina manusia tidak berbudi
Tegak rumah kerana sendi
Runtuh sendi rumah binasa
Sendi bangsa ialah budi
Runtuh budi, runtuhlah bangsa
Motivasi besar pada 17 April, 2009 dikendalikan oleh pakar motivasi, Cik Wina. Beliau berjaya membuatkan semua peserta dan jurulatih menangis teresak-esak bagai anak kecil kehilangan ibu. Bait-bait ayat yang indah amat menyentuh hati sesiapa yang mendengarnya walaupun hati sekeras besi ia tetap mencair bagai kena api gunung berapi. Beliau yang petah bercakap pada malam program motivasi, mengayat sepenuhnya sehingga meresap masuk ke dalam roh peserta-peserta program perkhemahan. Tambahan pula SMK Seri Gombak juga mempunyai kepakaran 'gertak' dan 'hentak' peserta-peserta seperti Azam, Yuzi, Tengku, Fahmi, Firdaus, Pak Yem dan Othman turut membantu mengecutkan perasaan peserta-peserta program yang pada masa itu memang sudah lemah dibuai kata-kata syahdu Cik Wina.
Menurut jurulatih-jurulatih yang lain, kebolehan yang dimiliki oleh Cik Wina adalah anugerah Ilahi kepada seorang guru yang punyai visi dan mentaliti tinggi tanpa memerlukan terapi. Yang jelas di sini kerjasama guru-guru dan jurulatih telah menjadikan Perkhemahan Integrasi Unit Uniform mencapai objektifnya.
Apapun kejayaan Program Perkhemahan Integrasi Unit Uniform adalah hasil kerjasama yang utuh dalam kalangan guru-guru SMK Seri Gombak serta bantuan fasilitator-fasilitator yang terdiri daripada ahli-ahli Musyrif al-Musolla.