Memaparkan catatan dengan label Laman Kreatif. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Laman Kreatif. Papar semua catatan

Jumaat, 27 Julai 2018

Bulu Roma Mencanak Tegak Sehingga Tidak Mampu Turun


Assalamualaikum WBT.

Pada petang semalam, penulis dapat bertemu dan berbual dengan kawan penulis di sebuah restoran berdekatan dengan rumah penulis. Cuma perbualan antara kami berdua tidak sepertimana biasa. Kawan penulis menjentik hati penulis dengan mengemukakan persoalan sama ada penulis percaya atau tidak dengan kewujudan makhluk halus atau diistilahkan oleh orang Melayu sebagai hantu, toyol dan lain-lain. Terkesima dengan soalan yang menebak, mulut terkunci seketika. 

Penulis memberi respons pertanyaan tersebut berdasarkan pembacaan dan pengetahuan yang tidak seluas manapun. 

"Beginilah", penulis mula menyusun kata perbualan.  "Mereka ini tergolong dalam kumpulan, jin dan syaitan. Jin dan syaitan pula telah dijelaskan dalam Al-Quran tentang kewujudannya. Oleh itu, hal ini melibatkan tentang akidah dan wajib beriman dengan kewujudannya." Kata aku. Wajah kawan penulis makin menjelmakan keresahan dalam hatinya. 
Penulis terus melontarkan pendapat,  "Menjadi rukun iman iaitu percaya kepada benda-benda ghaib dan ia telah disebutkan di dalam al-quran seperti jin, syaitan, syurga dan neraka. Oleh itu, tidak mempercayai makhluk halus boleh meruntuhkan akidah kita".  Kawan penulis terus meneguk air kopi sambil tangan kiri mendagu.
"Orang Arab menggelarkan makhluk halus ini sebagai Al-Asybah ( bayang-bayang). Makhluk halus ini tidak dapat dilihat dengan mata kasar akan tubuh badannya. Sebaliknya, mereka menjelmakan diri mereka dalam bentuk manusia dan binatang-binatang. Hal ini pernah berlaku ketika mesyuarat para musyrikin Quraisy apabila syaitan menyamar menjadi seorang pemimpin Quraisy bagi menghasut untuk membunuh Nabi SAW."
"Makhluk halus juga boleh menjelma sebagai binatang-binatang sebagaimana disebutkan dalam sebuah hadis bagaimana seorang sahabat menikam seekor ular yang berada di dalam rumahnya dan sahabat tersebut meninggal dunia kerana makhluk halus bertindak balas."
"Bagi aku, sifat semulajadi manusia adalah takut kepada sesuatu yang menakutkan. Dan hantu digambarkan sebagai sesuatu yang menakutkan. Maka, takut kepada hantu adalah biasa dan ia tindak balas semula jadi seorang manusia. Apa yang ditegah ialah, takut yang membawa kepada hilangnya takut kepada Allah SWT, takut kepada azab-Nya dan takut digolongkan menjadi ahli neraka, iaitu takut yang berlebih-lebihan." Penulis terus memberi pandangan yang tidak semestinya diterima oleh kawan penulis.
Usai penulis meluahkan rasa dan kata, kawan penulis mula mengaktifkan peti suaranya. Ceritanya, "pada minggu lepas, aku pulang lewat dari pejabat. Keadaan memang gelap pada waktu itu sementelahan lampu-lampu telah ditutup secara automatik." 
Penulis dapat bayangkan keadaan gelap pada waktu itu kerana penulis juga bertugas di Putrajaya sepertimana kawan penulis. Kawan penulis meneruskan ceritanya, "perjalanan dari bilik aku ke pintu utama untuk menggunakan lif hanya 20 meter sahaja. Aku ditemani dengan lampu-lampu emergency yang ditulis EXIT.  Selalunya memang tidak pernah merasai apa-apa, tetapi pada hari itu, semasa aku melalui kaunter pertanyaan, kelihatan kelibat seorang perempuan cantik tersenyum sambil duduk menyandar di kerusi. Perempuan yang tidak dikenali itu hanya membisu, sesekali memandang tepat kepada aku.  Seram dan sejuk keadaan badan aku. Bulu roma tegak berdiri. Aku perlu meletakkan jari di sistem perakam waktu elektronik yang dinamakan e-Jari. Aku perlu melalui di hadapan perempuan yang tidak dikenali itu. Aku kuatkan semangat yang telah merudum dengan mulut terkumat-kamit membaca ayat al-Kursi yang sudah tidak betul susunannya." 
Kawan penulis terus bercerita kepada penulis yang sedang mendagu pula, " sebaik sahaja selesai meletakkan jari yang sudah beberapa kali di e-Jari, aku terus ke pintu utama dan mencanak membuka pintu. Pada waktu itu, ekor mata menunjukkan perempuan cantik yang tidak dikenali itu masih memandang aku. Betapa sukarnya pada waktu itu untuk mendapatkan kunci yang tersimpan di dalam poket seluar. Kunci untuk pintu utama kerana aku orang terakhir yang meninggalkan pejabat pada hari itu. Perempuan itu sangat cantik, jelas di bawah sinaran lampu emergency."
Penulis dapat gambarkan wajah perempuan itu berdasarkan cerita yang penuh dengan kesungguhan kawan penulis.
Rambut ikal mayang
Hidung mancung bak seludang
Pipi bak pauh dilayang
Mata bersinar bak bintang kejora
Bibir merah bak delima 
Kulit putih kuning bak langsat ranum
Dagu bak lebah bergantung
Alis lentik berlesung pipit
Leher jinjang meneguk air berkaca
Pipi tergantung bak ulas bermuda
Gigi tersusun bak sirih
Rambut ikal mayang
Hidung mancung bak seludang
Pipi bak pauh dilayang
Mata bersinar bak bintang kejora
Kawan penulis menghabiskan cerita yang disimpannya selama seminggu. Kejadian yang dialaminya tidak diceritakan kepada kawan-kawan sepejabat. Dia sudah serik menjadi personalia yang  terakhir keluar daripada pejabat.


Ahad, 16 Oktober 2011

oleh kerana kami ni guru



Norlilah Ismail


oleh kerana kami ni guru...
bila ada sedikit ganjaran,
semua pakat marah
semua mengungkit pelbagai alasan
waktu kerja jadi bandingan
paling hangat sebab cuti cikgu panjang
ada yang mencemuh sebab murid tak pandai pandai pun
ada yang mencebek sebab murid panjat pagar tanpa gerun
cikgu berniaga antara yang hebat terima kutukan
sampai ke PPD, cikgu yang pergi kursus pun dapat aduan
kereta cikgu lawa, besar pun kena bahan
guru malas, guru tak guna, guru tak bersopan...
haihhhh..... banyak lagi yang mereka bidaskan

oleh kerana kami ni guru...
kalau boleh, jangan ada kenaikan
kalau boleh, tak payah cuti, kerja berpanjangan
kalau boleh,,segala  perangai murid, cikgu disalahkan
kalau boleh, segala aktiviti di sekolah tak perlu bayaran
kalau boleh, semua hal ehwal murid kena selesaikan
kalau boleh, apa sahaja masalah kesihatan murid uruskan
kalau boleh, jangan ada seorang pun murid kena jangkitan
kalau boleh, .....uruslah semua, asal murid pandai, sekolah bagus,
sukan menang, ibu bapa tiada aduan dan senyum memanjang....

oleh kerana kami ni guru..
kami dengar segala rungutan
kami baca tulisan kutukan kalian
kami telan semua kepahitan
kami melihat semua gelagat kelakuan
kami menggelengkan kepala dengan kesalan

oleh kerana kami ni guru..
kami kenal yang merungut tu dulu
luka di kaki cikgu yang balutkan
yang menulis kutukan tu dulu
pensil pun pernah cikgu hadiahkan
yang panas bersuara lantang
kami pernah didik jadi pemidato handalan
dan kamu ..kamu ..kamu  kamu dan semua kamu
pun sama,..bertanding sukan cikgulah yang bertempik beri sokongan
kalau peperiksaan kamilah yang mengamin doa kejayaan kalian
kalau sakit, kamilah yang hantar ke klinik untuk rawatan

oleh kerana kami ni guru..
ilmu yang dicurah telah pun kami halalkan
tidak pula kami tuntut kembali segala yang kami berikan
sekadar...
kami akan lebih tenang
sekiranya anak murid pandai beri penghargaan
peka dan tahu mengenang
jasa orang yang telah menjadikan kamu "orang"
sebagai tanda ilmu diberi ..
telah terkesan

(semoga Allah selamatkan  semua murid dan bekas murid ku dari kederhakaan ... kerana marah dek ganjaran yang di taqdirkan..ampunkan mereka Tuhan..)

nulikan
Norlilah Ismail

Sabtu, 15 Oktober 2011

Cerpen Tengkuk Ayam



MD RASUL BIN HARON

Wajah Kampung Teluk Rumbia pagi itu tetap ceria. Senyuman dan gelak ketawa menghiasi paras rupa. Manakan tidak, rata-rata penghuninya bagaikan berpesta melihat jentera memotong padi yang lahap menjamah. Di hujung bendang, tiga empat ekor kerbau balar seperti tidak mengendahkan tetamu yang diundang oleh Haji Senin. Bagi mereka, lebih baik berkubang, dapat juga bersabunkan lumpur. Seperti Pak Lang yang tetap dengan kerjanya, mengasah dan membuat hulu pisau menoreh. Dia tidak ambil peduli dengan kerenah orang kampung yang sibuk melihat jentera memotong padi. Bagi mereka, di masa itulah pesta untuk menangkap ikan puyu. Bagi Pak Lang, yang penting dalam hidupnya, pisau toreh dan hulu pisau Ah Koi mesti disiapkan.


Itulah kerja Pak Lang sejak dari muda hinggalah umur enam puluh lima tahun. “Berhentilah Pak Lang ! Anak-anak Pak Lang kan dah besar. Si Aris tu, dah jadi orang besar kat pelabuhan tu. Amat pula, dah keluar universiti.Dah jadi cikgu.Nak kerja apa lagi, Pak Lang,” tegur Mat Paton. “Paton! Paton ! Pisau-pisau nilah buat aku anak beranak tak kebulur. Biar mereka senang. Aku tak mahu mereka susah. Masa arwah Mak Lang kau ada dulu, duit ubatnya semua pakai duit upah buat hulu pisau ni,” kata Pak Lang. Paton sedar Pak Lang mempunyai prinsipnya sendiri. Baginya, rezeki halal ada di mana-mana. Hanya usaha yang gigih diperlukan. Semua orang sudah tahu tentang prinsip Pak Lang. Dia tidak akan berhutang dengan orang lain walaupun dibelenggu kemiskinan. Paton hanya tersengeh menampakkan giginya yang kuning.

Pak Lang membelek-belek pisau toreh yang telah diasah. Melihatkan kekilatan pisau itu mengingatkan Pak Lang tentang kesusahannya dahulu dalam membesarkan tujuh anaknya. Pak Lang sedar yang dia tidak mempunyai sebarang harta. Tanah untuk membuat rumah yang beratapkan nipah itu dipinjamkan oleh Haji Senin. Baginya, tuan tanah tersebut bila-bila masa sahaja boleh mengusirnya keluar. Dia tidak sanggup melihat isteri dan tujuh anaknya menderita. Basikal yang diletakkan di tepi tiang rumahnya, diperiksa rapi. Basikal itulah yang digunakan untuk membawa pisau-pisau yang telah siap diasah.

Anak-anak Pak Lang begitu memahami keadaan ayah mereka. Matahari sudah melutut nanti barulah mereka sekeluarga dapat makan tengah hari. Itu sudah menjadi satu rutin. Menu utama mereka nasi bergulaikan air berlaukkan garam kasar menjadi hidangan. Anak-anaknya tidak pernah mengeluh, cuma kadang-kadang timbul keinginan untuk menikmati makanan seperti anak-anak Haji Senin makan. “Pak, bila kita boleh makan ayam?” tanya Razak. Pak Lang tidak jadi menyuapkan nasi ke dalam mulut. Pertanyaan seperti itu membuatkan nafsu makannya terbantut. Apa tidaknya, Pak Lang merasakan seperti ditampar rasa kekecewaan. Kalau boleh, mahu ditangkapnya ayam sereban dan disuruh isterinya memasak seperiuk gulai ayam. Biar mereka makan hingga air liur mereka kering. Biar orang kampung tidak kata anak-anaknya tidak cukup makan terutama Mak Ngah Timah. Biar mata Mak Ngah Timah terbeliak melihat Amat meratah ayam.

Mak Ngah Timah memang suka melihat orang lain susah. Baginya, Pak Lang sekeluarga seperti tidak wujud dalam kampung itu. Mak Ngah Timah betul-betul marah dengan abangnya Haji Senin kerana terlalu berbudi kepada Pak Lang. “Dahlah hidup menumpang, buah mempelam Haji Senin pun nak dikebas. Nanti, tanah ni pun dibuat hak sendiri,”kata Mak Ngah Timah kepada Mak Lang. Mak Lang hanya mampu menjawab dengan linangan air mata. Sejak peristiwa tersebut hubungan Mak Ngah Timah dengan keluarga Pak Lang tidaklah sebaik dahulu. Pak Lang betul-betul ingat apabila Amat dituduh mencuri mempelam Siam Haji Senin. Sedangkan, Ah Kooi yang memberikan buah mempelam Siam tersebut kepada Pak Lang. Pak Lang sedar, kemiskinan sentiasa menjadi bukti pertuduhan di mahkamah desa. Ah Kooi lebih mendalami kehidupan Pak Lang berbanding Mak Ngah Timah dan sekutu-sekutunya.

“Pak, Amat nak tengkuk ayam cukuplah,” celah anak lelaki bongsunya. Kali ini Pak Lang terus bangun. Dia bukan bangun kerana marah. Dia tinggalkan nasi bukan kerana tidak bersyukur. Dia bukan tersinggung dengan kata-kata anaknya. Hatinya begitu pilu mendengar rintihan anak-anaknya. Isterinya yang duduk bersimpuh di sebelahnya hanya melihat kepada Amat dengan mata yang sayu. “Amat, kita bukan macam Haji Senin. Cukuplah dengan apa yang ada Amat,” tegur abangnya, Aris. Amat hanya mendiamkan dirinya tetapi dalam hatinya seperti satu azam yang melekat kuat untuk mengubah hidangan rutin mereka.


Mendengar rintihan Amat, Pak Lang terus mencapai basikal menuju ke rumah Ah Kooi. Tujuan hanya satu, tengkuk ayam. “Ah Kooi, Ah Kooi, akulah,”jerit Pak Lang. Ah Kooi terperanjat suara yang pernah dikenalinya, lalu membuka pintu. “ Oh! Pak Lang. Apa hal?” Pak Lang hanya menundukkan kepalanya. “Susah aku nak cakap, tapi ada tak pisau yang hendak diasah? Kalau boleh, lebihkan sikit.” Ah Kooi kebingungan kerana selama ini Pak Lang tidak pernah bertindak sedemikian rupa. Terdetik di hatinya untuk bertanya tentang masalah Pak Lang, tetapi niatnya terbantut begitu sahaja. “Tentu ada sesuatu.” Bisik hatinya. “Ada, ada Pak Lang. Nanti kejap, aku ambil kat belakang.” Pak Lang menggulung rokok daun nipahnya seperti menggulung satu harapan. Dia perlu menyiapkan asahan dan hulu pisau sebanyak mungkin pada malam ini juga. Dia tidak peduli, biarlah dia terpaksa bersengkang mata hanya kerana tengkuk ayam. Biarlah sampai matahari celik dari lena, dia tetap dengan tujuannya. “ Nah, ada tiga puluh bilah yang perlu Pak Lang siapkan, bolehkah?” Kata Ah Kooi sambil menepuk-nepuk bahu Pak Lang. “Aku akan siapkan malam ini juga,” Pak Lang seperti berjanji.

Pak Lang mengayuh basikal seperti peluru yang dimuntahkan oleh senapang patah Haji Senin. Pak Lang yakin hasrat Amat untuk makan tengkuk ayam kesampaian. Dia akan menyuruh Mak Lang memasak gulai tengkuk ayam. Amat pasti tersenyum puas dengan menu baru Mak Lang.

Sebaik sahaja sampai ke rumah, Pak Lang terus mencapai pelita ayan yang sudah seusia dengan Amat.

Kalau pelita ayan itu bersekolah, sudah tentu sekarang dalam darjah empat. Biar darah Pak Lang kering dihisap nyamuk. Biarlah matanya cengkung menahan mata dari lelap. Biarlah. Apapun tengkuk ayam mesti digulaikan. Pak Lang tekun menyiapkan kesemua bilah pisau toreh sehinggakan tidak sedar gema azan subuh berkumandang. Lantas Pak Lang meninggalkan kerja tersebut dan terus berwuduk, bersolat dan bermunajat kepada Ilahi. “Ya Allah, aku bersyukur kepadaMu kerana memberiku kekuatan untuk memenuhi impian anakku. Hanya kepadaMu aku berserah untung nasibku. SesungguhNya, Kau maha mengasihi dan mengasihani hambaMu ini. Amin.”

Tengah hari itu, anak-anaknya terutama Amat makan dengan penuh selera. Maklumlah gulai tengkuk ayam. Pak Lang hanya tersenyum puas melihat telatah anak-anaknya. Biarlah. Biarlah tengkuk ayam yang menjadi idaman bukannya daging ayam. Itulah hakikatnya bagi keluarga yang miskin yang sentiasa bersyukur walaupun mendapat sebahagian daripada sepatutnya.

Silauan pisau toreh mengejutkan Pak Lang dari lamunan. Pak Lang terasa bahunya dihinggut orang. “Sudahlah Pak Lang, saya benar-benar insaf kerana selama ini saya menuduh yang bukan-bukan kepada keluarga Pak Lang terutamanya Amat”.Mak Ngah Timah mengesat air matanya dengan hujung bajunya. Pak Lang hanya mengangguk-angguk kepalanya tanpa sepatah kata. Baginya itu cerita dulu.

Sekarang, anak-anaknya telah berjaya malah tidak perlu lagi makan tengkuk ayam kerana kemewahan yang mereka kecapi. Begitu juga dengan dirinya tidak lagi susah seperti dahulu. Sayup-sayup terdengar deruman enjin kereta memasuki perkarangan rumah Pak Lang. Pak Lang meninggalkan Mak Ngah Timah termanggu-manggu seorang diri.

Di waktu begini




Norlilah Ismail

Di waktu begini
apa gunanya
mempersoalkan
juga mempertikaikan
apa yang kena
dan apa yang tak kena.....

Di waktu begini
pasrah.....
menuruti denai taqdir
yang akan membawa
aku ...
ke lembah kedaifan seorang hamba
menjengah jendela rahmat Yang Maha Esa
dan kedua tangan ku
mengaut air kemampunan Mu
untuk ku basahi wajah ini

nukilan
Norlilah Ismail

mahu semalam berpanjangan..


Norlilah Ismail


sebentar tadi..
kau, ku lihat meriba
anak yang menangis kelaparan
seorang lagi menarik narik lengan baju mu
meragam mahukan perhatian
malah ada dua lagi putera mu yang sedang menyuap...
dan kamu sendiri
kelihatan letih tak bermaya....

semalam
kau, ku kenal ceria
senyuman mu manis dan lerekan mata mu nakal
bertambah manis dengan tahi lalat di bawah mata mu
celoteh mu menjadi hiburan rakan rakan.......
ada sahaja yang akan jadi usikan
ada sahaja rakan jadi bahan gurauan..
kamu mudah dibawa bicara
memang ramai yang mengemari kamu
memang ramai yang meminati kamu
memang ramai yang mahu menjadi pasangan mu

semalam..
tiba tiba kamu menghilang
ghaib dari pandangan
suara dan gurauan tiada kedengaran
ramai yang tertanya tanya
dan aku juga mencari cari kau ke mana..

semalam ..
berita kau lari ke sempadan menggemparkan
menuruti kasih hati yang tak pernah kami kenal
tekad dan nekad tindakan tanpa menggunakan akal
ibu dan bapa semuanya kau ketepikan
dan aku hanya mampu mengeluh dan mendoakan
itulah mimpi yang kau igaukan
teruslah bermimpi
kerana aku hanya mahu
kau yang ku kenal semalam
terus ceria berpanjangan.......

nukilan
Norlilah Ismail

membajet...


Norlilah Ismail


bajet,
sebelum diumum
semua mengaku ada formula
ramai juga yang mengaku sudah maklum
tentang bonus, tentang gaji, tentang mana yang patut....
nujum nujum pak belalang pun rancak mentafsir...

sekarang semua dah jelas.
ada yang tepat,
ada yang sikit sikit mengena
dan ada yang jauh menyasar

bonus dapat
gaji pun naik
sistem saraan diperbaharui
yuran dah mansuh
malah baucer bantuan pulak dihulur

syukurlah...
dalam pada masa sahabat di sana kebuluran
kita masih mendapat ganjaran
syukurlah..
dalam pada masa ramai sahabat di sana yang menjadi pelarian
kita masih boleh menambah selesa kehidupan
dalam pada masa ramai sahabat di sana yang mengganggur tanpa pekerjaan
kita pula ditambah umur persaraan

amatilah..
kasih dan sayang Allah pada kita
adalah mustahil memuaskan hati setiap umat
ayuh!! membajetkan diri dengan kemampuan
ambillah iktibar dari peristiwa silam
kaum yang kuat juga akhirnya tenggelam
kerana kurangnya rasa
kesyukuran....

nukilan
Norlilah Ismail

Sabtu, 27 Ogos 2011

Manisnya syawal ini....


NORLILAH ISMAIL


syawal setahun lepas
kita bermaafan
Setahun bukannya lama
setahun~ berlalu tak terasa
setahun~ telah merakam bebagai gelagat
setahun~ kita kadang kadang baik kadang kadang jahat
setahun~ ada ceria, ada muram,

kini,
syawal datang lagi
ia kembali untuk kita penuhi
dengan keikhlasan, mohon diampuni
juga keikhlasan hati kemaafan diberi
kerana
siapa yang tak pernah buat silap
siapa yang tak lupa mengulangi salah..
mana ada yang tak lepas mengumpat
mana ada yang terbabas mengata
mungkin juga yang tersilap sangka
mungkin juga yang lupa nak menyapa
dan ada yang marah dalam diam
ada yang membenci dalam samaran

apa gunanya syawal
kalau hati tak lepas berdendam
semarakkan cahaya syawal
hingga menebusi ego diri
mencairkan keangkuhan hati
untuk mengakui kesilapan
juga menghulurkan memaafkan

maniskan syawal ini
tiada dosa tertanggung lagi
mungkin ini syawal terakhir dalam hidup ini
sudah tiada kita dalam syawal setahun lagi
SELAMAT HARI RAYA AIDIL FITRI..

nukilan
Norlilah Ismail

Ahad, 21 Ogos 2011

Warna




NORLILAH ISMAIL
 warna kurniaan Allah
menghiasi kehidupan yang bertuah
di bumi sementara kita dipindah

warna ciptaan tuhan
memberi indah pada pandangan
dan manusia yang memulakan
warna menjadi lambang,
warna ada pengertian
warna ada sekatan
warna ada hukuman

kacau!!!
ada yang biru benci hijau..
ada yang merah sekongkol dengan kuning
ada kuning musuh ketat pada merah
ada putih ...

bila awan jatuh ke bumi




NORLILAH ISMAIL
 bila awan jatuh ke bumi
jatuhnya tiada gegaran
tiada gempa yang menakutkan
namun hati penuh pertanyaan

bila awan jatuh ke bumi
mungkin benar
atau hanya mainan kecanggihan rekaan
ada agenda menipu manusia
yang mungkin teruja
dan terperangkap dalam bida'ah
awan di langit turun membawa tuah..
cebisan awan disimpan sebagai tangkal rumah
bila awan jatuh ke bumi
ima...

Sabtu, 13 Ogos 2011

Sampaikan


NORLILAH ISMAIL
Pen.Kanan HEM
SMK Selayang Bharu



sampaikan
walaupun penuh kepahitan
walaupun penuh keperitan
yang pahit itu ubat
ubat yang perit untuk ditelan

sampaikan
walaupun sepotong ayat
yang membuka sejuta harapan
ibarat kunci
pintu lapisan resah
bersedia untuk diubah

sampaikan
dengan lidah pertuturan
dengan mata pandangan
dengan pena penulisan
dengan hati keikhlasan...

Nukilan
Norlilah Ismail


Khamis, 4 Ogos 2011

menahan diri..


 
 
by Norlilah Ismail on Sunday, July 31, 2011 at 7:04pm
setahun sekali ia kembali
dinanti nanti
disambut dengan berbagai promosi
dari perabut sampailah jamuan berbuka sekali
Ramadan...
aura mu sememangnya mengasyikkan
penuh keberkatan
menuntut penghayatan...

tapi
bila Ramadan yang berkat
dituruti Syawal yang hebat
sebenarnya ia adalah berkat
namun ada yang mengeksploitasi selagi sempat
yang  benar cuba disesat...

Syawal diseru
pakaian raya untuk bergaya
perabut raya biar nampak kaya
kueh raya, duit raya untuk menceria hari raya

semuanya pasal raya
Syawal yang hebat hanya untuk gaya
hanya sebagai  satu simbol beraya beria ia
dan Syawal menangis dalam ceria

Ramadan juga  merintih hiba
kerana hadirnya tidak menepati makna
sebagai pembawa nikmat pasrah seorang hamba
sebagai penunduk nafsu gila
dengan menahan diri
dari bicara yang sia sia
juga
manahan mata
menahan telinga
menahan hati
dari segala yang lara
dari segala yang Allah tak suka...

sesungguhnya
menahan diri sendiri
juga bukan suatu
yang mudah
seperti dikata

nukilan
Norlilah Ismail

Ahad, 24 Julai 2011

kaduk oh kaduk

kaduk oh kaduk



by Norlilah Ismail on Thursday, July 21, 2011 at 10:05pm
kan orang tua dah kata
bak si kaduk naik junjung
terasa macam hebat
dari melata kini
membelit naik memuncak

kaduk oh kaduk
dijunjungke
disanjungke
kau tetap kaduk
sirih juga dipilih orang
pengeras
pembuka bicara
beradab
menyunting pinangan


nukilan
Norlilah Ismail

Rabu, 20 Julai 2011

Hadir

Hadir

by Norlilah Ismail on Monday, July 18, 2011 at 4:30pm

jika hadir ku

memberi erti
berjanjilah ...
kita bergandingan hingga ke akhir


jika hadir ku
sekadar mengisi ruang
berjanjilah...
cukup di sini ia berakhir
inilah permulaan .....yang tidak akan berakhir

Nukilan
Norlilah Ismail

jika hadir ku
ibarat gerimis yang melenyapkan kemarau
umpama damar menyumbi tiris
seperti rempah ratus penyedap rasa
berjanjilah

Sabtu, 16 Julai 2011

Pilih dan ikut



NORLILAH ISMAIL












kita berhak
hak memilih
dari banyak pilihan yang ditawarkan
pilih pilih pilih
jangan salah memilih

kita berhak
hak mengikut
dari banyak yang jalan yang ditawarkan
ikut ikut ikut
jangan salah mengikut

pilih dan ikut
bukan mudah rupanya
bukan senang kiranya
kerana
jelas kini....
yang dulu paling yakin memilih
yang dulu paling jitu mengikut
kini
melaung
meraung
sesal..
kerana
tersilap
pilih dan ikut...

nukilan
Norlilah Ismail

Jumaat, 1 Julai 2011

Kalau bukan Kita, siapa? Puisi yang dideklamasi untuk sambutan Hari Guru Daerah Gombak 2011




Kalau Bukan kita, siapa?

Setiap kali tibanya
16 haribulan Mei,  tarikh keramat
Tarikh hangat untuk membakar semangat
Setiap guru, setiap cikgu dan juga sifu…

Kita ulangi ikrar janji
Kita laungkan kembali
Lagu diri kita
Simfoni perjuangan kita
Agar
Kita tidak lupa
Siapa kita
Apa agenda kita

Cikgu,
Perjuangan kita,
Semakin sengit,
Kian lama, kian pahit
Ancaman tak mengenal siapa
Di alam nyata juga di alam siber

Dirobeknya minda
Dicemarinya jiwa
Diracuni naluri perpaduan
Hati suci, anak anak didik kita


Cikgu
Di bahu kita terpikulnya tugas
Murid kita ajar, dalam kelas
Langsung tak mau, ada yang terkandas


Cikgu,
Mengajarlah dengan ikhlas
Tanpa mengharapkan balas

Cikgu,
Di Hati kita tersulamnya hasrat
Murid dipimpin, agar mereka tidak terjerat
Dek ilusi dakyah sesat
Oleh anasir anasir keparat
Yang mahukan kita hidup melarat
Merempat…

Di jiwa kita, tertanam perjuangan
Menentang kejahilan
Menegakkan kebenaran
Menyinari laluan
Dan  membenamkan kegelapan

Cikgu,
Kalau bukan kita, siapa?
Yang akan menyedarkan anak anak didik kita
Tentang Negara
Tantang warisan bangsa
Tentang keagungan nusa
Tentang kemuliaan bertoleransi antara pelbagai kaum bangsa
Tentang kesinambungan merdeka
Yang tidak ternilai harga

Cikgu,
Kalau bukan kita, siapa?
Yang akan terus membaja
Benih benih perkasa
Dari diancam petualang durjana
Agar benih terus merendang di bumi pusaka

Cikgu,
Kalau bukan kita, siapa?
Yang akan menenun hamparan segar
Mekar hijau untuk kita bentang dan hampar
Di setiap inci tanah air ini
Mengalih gersang dan kontang
Dan kita akan mampu bersenang senang


Cikgu,
Kalau bukan kita, siapa?
Untuk menjana transformasi
Menjadikan harapan kepada realiti
Yang akan mendidik …. membela
Benih perkasa mendewasakan diri
Hingga layak mewarisi
Bumi betuah ini
Dan kemerdekaannya sekali

Moga moga
Suatu hari, suatu ketika
Kita akan terus diingati
Oleh anak cucu generasi
Sebagai cikgu yang membentuk jati diri

Moga moga
suatu detik, suatu masa
nesan pusara kita kelak tidak dicemari
dengan cemuhan
oleh anak cucu generasi
sebagai cikgu yang lalai berfungsi


Nukilan
Norlilah Binti Ismail.

Sabtu, 25 Jun 2011

Setaat bumi.....



di bumi
kita adalah umat
bukan untuk saja saja
jauh sekali nak tunjuk ngada ngada
itu tak kena
ini tak selesa....

di bumi
kita tercampak
diberi peluang hidup
untuk berfikir

contohi bumi
walau sibuk berputar
pada paksi
agar siang bertukar malam
dan malam  kembali siang;..sudah pasti

bumi makhluk setia
beredar mengelilinggi mentari
tepat setahun tak  pernah lewat
maupun sehari lebih cepat
dan musim juga silih berganti
mewarnai kalendar kehidupan

Bumi tak pernah engkar
paksi dan orbit adalah landasan
kesibukan adalah agenda
ketaatan
pada Pencipta

Wahai manusia
kenapa..............
tidak kau contohi
makhluk bumi yang taat
yang tidak pernah mengingkari
Perintah Allah.
dan sibuk bukan lagi alasan...
kau akur taat!!


Nukilan
Norlilah Ismail

Ahad, 19 Jun 2011

Suatu ketika ... sempena Hari bapa





Ayahanda,
Suatu ketika
aku sentiasa di atas ribaan mu
aku sentiasa di dalam kendungan mu
dan hati terbuai dengan sapaan manja mu

suatu ketika
kau tidak pernah susah
mengiringi perjalananku ke sekolah
saban pagi aku dibekali dengan nasihat
dan hati senang dengan genggaman sayang mu

suatu ketika
entah mengapa keserasian memudar
kenakalan remaja ku sering mencabar
segala larangan mu tak lagi aku hindar
kau masih menasihati dengan sabar
aku memberontak, hingga akhirnya aku, kau tampar
kesalan wajah mu  jelas terpapar
ego dan tolol yang mendorong aku terus engkar
dan hati ini penuh  marah dengan tindakan mu yang wajar

kini
bila usia menjadi hakim
aku pula diuji oleh tuhan
mampukah aku ayah?
baru aku sedari
baru aku fahami
apa yang kau rasai
apa erti kasih sayang abadi
bukan terletak pada manja dan hanya menuruti
dan aku lemas dalam erti kesalan di hati

Ayahanda
bantulah aku
pandulah aku
ampunilah aku
Kaulah yang terbaik buat ku
tapi aku bukan yang terbaik buat mu

izinkan aku
mengambil kesempatan sementara ada waktu
menebus kesilapan lalu
agar anak anak ku
tidak menuruti jejak ku!!

Nukilan
Norlilah Ismail

Ahad, 12 Jun 2011

Jika masa berundur















jika
masa berundur
apakah yang bersalah
akan perbetulkan langkah?
apakah yang susah
akan mencari kesenangan?

Jika
masa berundur
mampukah aku
bersedia..
mencari segala
mengikut rasa
memilih
yang berkenan di hati
dengan simpulan mati
yang tak mungkin terlepas lagi

Jika
masa berundur
berilah ruang untuk aku bersyukur
berilah teman yang berani menegur
berilah cahaya meluput kabur
berilah peluang
untuk ku
undur!!

nukilan
Norlilah Ismail

Jumaat, 10 Jun 2011

Sebutir mutiara bernama maaf

Oleh:
Norlilah Ismail
Pen.Kanan HEM
SMK Selayang Bharu

maaf
terlalu sukar jika diburu
kerana ia tidak kelihatan pada kompas mata
terlalu berharga
kerana ia tidak dapat ditimbang di neraca harta
terlalu suci
kerana ia terbit dari hati
yang cekal menghapus rasa benci
yang kental memadam rasa marah
yang tulus menelan rasa dendam

maaf
adalah mutiara
yang bersinar
setelah ia menyakiti....

Kemaafan







Norlilah Ismail

Kemaafan
jika terlalu kerap....
akan tawar

bukan mudah dipinta
juga tidak senang diberi

hanya bermakna
apabila
.....dimohon atas dorongan kesalan
.....dipinta dengan bimbingan keikhlasan
.....diperkukuh dengan perjanjian
.....tiada siaran ulangan

Awalan meN-

Munsyi Md Rasul bin Haron@Amatara Bahagian Matrikulasi 30 Jun 2022 Panduan Bahasa PROSES PENGIMBUHAN 2) Awalan meN- fungsi pengg...