Setiap kali apabila kita memandu atau menunggang motosikal di jalan raya, pasti jiwa kita pernah tersentak dengan deruman enjin kenderaan yang cc nya kecil tetapi memiliki pesona ekzos sebesar tiang telefon awam. Kebanggaan dapat dilihat pada raut wajah pemandunya apabila ekzosnya menghasilkan bunyian yang mampu mengalahkan deruman kenderaan yang bernilai ratusan ribu ringgit. Seperti anjing menyalak bukit, makin kuat menyalak, bukit tetap kukuh.
Kenapa kita sebagai pengguna jalan raya hanya mewujudkan stigma negatif terhadap pengguna motosikal. Bukan semua penunggang motosikal bertindak melanggar undang-undang lalu lintas. Kenapa media arus perdana hanya menonjolkan keburukan yang dilakukan oleh penunggang motosikal. Sedangkan golongan ini lah menyurai masalah kesesakan trafik di bandaraya. Mereka punyai kereta dan ada yang memiliki kereta yang lebih hebat daripada kereta berekzos besar. Golongan ini begitu praktikal. Mereka tidak perlu menghambakan diri dalam kesesakan. Mereka punyai kerendahan hati yang sukar difahami.
Cuba kita perhatikan kereta yang mempunyai ekzos besar ini. Berapa harga kereta itu di kedai-kedai kereta terpakai? Golongan ini mendesup di lorong tiga lebuh raya. Penuh dengan penumpang. Tangan kanan di hulur keluar sambil tangan kiri memegang stereng. Hawa dingin tidak berfungsi. Menderum enjin yang berusia. Memasang aksesori melampau. Lampu penuh stylo. Stereng sebesar piring kuih. Minyak tidak pernah melebihi paras tengah. Terfikir oleh kita, siapakah mereka ini? Tahap pendidikan? Pekerjaannya dan wang sakunya?
Mampukah mereka ini melunaskan tuntutan saman kerana memandu laju melebihi had laju yang ditetapkan? Adakah berbaloi membayar RM 300 dengan kenderaan yang boleh dihapus kira? Kita sepatutnya mengukur baju ikut potongan badan kita sendiri. Bersyukur dengan apa yang kita ada. Pendidikan anak-anak keutamaan. Kalau lambang kereta Viva janganlah kita tampal pula dengan lambang Camry. Kereta adalah keperluan. Bukan kemahuan. Fungsi asas kita memerlukan kereta ialah untuk bergerak dari point A ke point B. Semua ini adalah hak peribadi masing-masing. Cuma jangan memandang rendah kepada penunggang motosikal. Merangkumkan mereka sebagai Mat Rempit adalah tidak wajar sama sekali sedangkan sebahagian besar daripada golongan ini adalah orang penting dalam sesuatu organisasi atau agensi.