Rabu, 7 September 2011

Semarakkan semula semangat patriotisme 30 tahun lalu: STU






KUCHING: Kerajaan diharap dapat menganjurkan kembali program khas sempena Hari Merdeka yang melibatkan semua tempat termasuk daerah dan bahagian di semua negeri.
Presiden Kesatuan Guru-guru Sarawak (STU) William Ghani Bina berkata, ia bagi menyemarakkan semangat patriotisme sama seperti 30 tahun yang lalu.
“Secara umumnya sambutan Hari Merdeka di kalangan orang ramai dilihat begitu biasa sahaja berbanding 30 tahun yang lalu.
“Dahulu kerajaan mengadakan Hari Merdeka dengan menganjurkan program khas di semua tempat termasuk daerah dan bahagian di setiap negeri,” katanya ketika dihubungi Utusan Borneo di sini, semalam.
Namun ia berbeza kini kata beliau, apabila penganjuran program kemerdekaan hanya diadakan di peringkat kebangsaan dan negeri sahaja.
Menurut William, program khas itu bukan sahaja disertai acara perbarisan tetapi pelbagai pertunjukan, lagu-lagu merdeka dan malam merdeka.
Sementara itu, diminta mengulas peranan para pendidik dalam menerapkan nilai-nilai patriotik di kalangan pelajar sekolah, beliau menegaskan ia sentiasa berterusan.
“Nilai itu kita terapkan bukan sahaja dalam pelajaran Pendidikan Moral tetapi sekolah sendiri yang turut sering memainkan lagu-lagu merdeka,” ujarnya.
Justeru kata beliau, semangat patriotik di kalangan pelajar tidak ada masalah, malahan sambutan Hari Merdeka di sekolah turut diadakan setiap tahun.
William dalam pada itu melahirkan pendapatnya bahawa Hari Merdeka sepatutnya disambut pada 16 September tetapi bukan 31 Ogos.
Jelasnya, ia kerana pada 31 Ogos itu negara Malaysia belum lagi wujud dan ia hanya Hari Merdeka untuk Tanah Melayu.
“Kita berharap perihal sejarah kita khasnya Sabah dan Sarawak dapat diperjelaskan lagi kepada umum, kerana mungkin ramai yang belum tahu apa yang berlaku sebenarnya,” tegas William.
Tahun ini genap 48 tahun terbentuknya negara Malaysia apabila Sabah dan Sarawak menyertai Semenanjung pada 16 September 1963.
Justeru itu, kerajaan menjadikan 16 September sebagai Hari Malaysia bagi menerapkan dan meningkatkan semangat serta nilai perpaduan di kalangan rakyat pelbagai kaum.


































Awalan meN-

Munsyi Md Rasul bin Haron@Amatara Bahagian Matrikulasi 30 Jun 2022 Panduan Bahasa PROSES PENGIMBUHAN 2) Awalan meN- fungsi pengg...