Selasa, 15 Mac 2011

Guru pemupuk budaya membaca










 

WALAU apa sahaja kecanggihan perkakasan dan perisian yang digunakan dalam sistem penyampaian maklumat, membaca merupakan satu proses yang amat diperlukan untuk mengakses, menterjemah dan akhirnya memahami maklumat tersebut.
Proses ini berlaku di sekolah dan guru merupakan sumber utama yang mampu memupuk budaya membaca ini dalam kalangan murid.

Memang tidak dapat dinafikan membaca merupakan proses yang bosan serta tidak digemari oleh sebahagian besar murid-murid. Kita tidak boleh menyalahkan mereka kerana membaca memerlukan daya tumpuan yang tinggi. Sedangkan isi bacaan, gaya penulisan dan olahan serta susunan grafik yang terdapat pada halaman-halaman buku tersebut amat mempengaruhi daya tarikan membaca.

Tidak hairanlah kenapa buku-buku atau majalah-majalah yang mempunyai gambar, saiz huruf yang besar serta susunan grafik yang menarik dan berwarna warni menjadi pilihan murid-murid. Manakala buku yang terlalu tebal, saiz huruf yang kecil dan tidak mempunyai gambar, kurang digemari oleh mereka.

Dalam hal ini guru harus memainkan peranan yang penting dalam usaha memupuk budaya membaca. Mereka tidak seharusnya memberi arahan sahaja kepada pelajar untuk membaca tetapi perlu merangka aktiviti yang sesuai dan menarik agar rasa bosan dapat ditangani.

Sebagai contoh aktiviti yang boleh dirancang oleh guru bolehlah mengandungi arahan seperti berikut:
• Mencari dan meneroka: mencari maklumat dan meneroka kisah yang terdapat di dalamnya.
• Menyenarai: menyenarai maklumat yang berkaitan dengan topik yang dibaca.
• Melakar: melakar peta minda atau bentuk grafik yang lain
• Menilai: membuat jangkaan, mengkaji kebaikan atau kelemahan dan membuat cadangan terhadap bahan bacaan tersebut.
• Mempersembah: menyampaikan isi bacaan yang dilakar dalam pelbagai bentuk dan gaya persembahan seperti lakonan, bacaan berirama, berhujah dan sebagainya mengikut kesesuaian tahap masing-masing.

Aktiviti-aktiviti yang disebutkan di atas sebenarnya telah menggabungkan pelbagai deria dan gaya belajar serta mengambil kira aspek kepelbagaian kecerdasan yang ada pada seseorang murid. Malah aspek pemikiran kritis dan kreatif serta budaya inovasi sudah digarapkan dalam aktiviti ini.

Guru seharusnya kreatif dalam proses merancang corak pembelajaran dan pemilihan media pengajaran kepada murid-murid. Kekangan masa serta hal-hal lain tidak harus dijadikan alasan kenapa pengajaran yang berasaskan sumber dan aktiviti tidak dapat dijalankan. Perancangan yang rapi, pemilihan yang bijak serta jiwa yang ikhlas mampu mewujud pembelajaran yang menarik dan berkesan ke arah pembentukan modal insan yang bermaklumat dan mulia.

PERINDU SETIA

Nor Wahida
Grup SeruPuisi














Titisan hujan gugur menyembah bumi
Titisan mataku mengenangkan kenangan kita
Maafkan kekhilafanku pada mu
Kehadiranku tidak menyenangi perasaanmu

Kedatanganku hanya sekadar teman dihatimu
Agar berbunga dan sentiasa bermekar di wajahmu
Mendamaikan hati yang sedang bergelora

Gelora apa dihatimu sayang?

Andai kau mengerti apa yang kurasai
Kau akan paham apa erti sayang

Segalanya musnah kerana kehadiran teman-temanku
Membawa keburukan dan menodai pertemuan kita
Katamu…..siapalah aku
Hina dimatamu dan buruk di hatimu

Andaiku berputar masa indah kita berdua
Akanku lakukan semua itu
Namun sayang……

Kau buang jauh perasaanku ini
Sejauh-jauhnya..
Adakah aku menanti harapan yang tidak pasti
Terus menunggu kemaafanmu

Biarkan ku menjadi perindu indah disebalik
Tingkah lakumu

Biar aku menjadi pemerhati bayang-bayang
Yang menjadi sebahagian duniaku

Biarkan aku menjadi penunggu cinta sejati
Sejati dan suci
Dibawah cahaya rembulan
Bercahaya seluruh genap nyawaku
Sehingga akhir hayatku

Sayang…..
Maafkan segalanya…..
Akan ku sampaikan rindu ku
Padamu pada Maha Tinggi
Dalam doaku…

Sejenak..

Norlilah Ismail
Grup SeruPuisi


 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
sejenak..
aku tontoni gambar gambar
kemusnahan sebuah bandar
bagaimana segalanya musnah
kampung halaman tunduk rebah

sejenak
aku lihat kekuasaan
kapal di laut diusung naik ke darat
pesawat terapung bak kapal terbang kertas
yang hanyut di longkang
lantas lapangan mendarat berubah jadi pelabuhan

sejenak
aku nampak
orang jadi bingung
mana rumah?
mana kereta?
mana bini?
mana suami?
mana anak?
mana kedai?
mana jiran?

sejenak
aku akur dan syukur
Allah beri sedikit
teguran....
peringatan..
amaran...
tiada kuasa melebihi mu
Tuhan...


nukilan
norlilah ismail

Kualiti yang perlu ada pada setiap guru

1.0 PENDAHULUAN

Keguruan ialah satu jawatan professional seperti mana kerjaya-kerjaya lain dalam masyarakat dunia. Sebagai guru yang profesional, guru perlu melaksanakan kerjayanya dengan sepenuh hati, bersedia menanggung semua konsekuen yang sesuai dengan nilai profesion ini. (Dr Ragbir Kaur a/p Joginder Sigh, 2007) Salah satu agenda penting dalam matlamat perancangan pembangunan pendidikan bagi RMK-9 ialah membangunkan istem pendidikan bertaraf dunia. Dalam agenda ini kerajaan akan memperkukuhkan kurikulum sekolah yang seimbang dari segi jasmani, emosi, rohani dan intelek, mempunyai disipin yang tinggi, bersikap kerjasama, dan mampu memainkan peranan dalam masyarkat, serta melahirkan sejumlah sekolah yang baik dan cemerlang untuk dijadikan show case kepada negara-negara lain di dunia. (Ucapan menteri Pendidikan Malaysia dalam Perhimpunan Bulanan Kementerian Pelajaran Malaysia). Dr Ismail Zain, dalam kertas kerjanya yang bertajuk ‘Pendidikan Bertaraf Dunia Kearah Pembestarian Dalam Proses Pengajaran dan Pembelajaran (selepas ini di tulis p&p)” menjelaskan pendidikan bertaraf dunia sebagai wacana dalam dasar pendidikan negara yang meletakkan proses pendidikan sebagai satu bidang yang penting dalam kehidupan seharian khususnya di sekolah-sekolah yang berfungsi sebagai institut perkembangan ilmu.


2.0 CIRI-CIRI GURU BERKUALITI
Ciri dalam Kamus Dewan 2007 didefinisikan sebagai sifat (unsure,tanda) yang khusus pada sesuatu atau membezakannya daripada yang lain. John Macdovalo (1993) menyatakan kualiti sebagai memenuhi keperluan atau kehendak pelanggan. Jemaah Nazir Sekolah pula mendefinisikan kualiti sebagai ciri-ciri atau sifat kecemerlangan yang dikehendaki oleh sesuatu barang, alat perkakas, dan perkhidmatan (ISO8402). Maka, dapatlah dikatakan untuk menghasilkan pendidikan bertaraf dunia, ciri-ciri guru yang berkualiti ialah guru yang memenuhi keperluan pelajar dalam pelbagai aspek sama ada dari segi p&p, sahsiah, kemahiran, kepakaran dan pengurusan. Oleh itu antara ciri-ciri yang perlu ada pada guru berkualiti bagi menghasilkan pendidikan bertaraf dunia, guru perlulah:
2.1 Bertindak sebagai penyebar ilmu
Menurut Ragbir Kaur (2007), fungsi guru ialah mendidik murid dalam pelbagai ilmu pengetahuan dan kemahiran daripada pelbagai disiplin dalam kurikulum sekolah. Para guru haruslah memiliki sifat-sifat amanah, dedikasi, komited pada tugas, ikhlas, sanggup berkorban masa dan tenaga dan mempunyai sikap membantu dan menyampaikan seberapa banyak ilmu kepada murid-muridnya. Penekanan di sini ialah mengenai sikap dan penampilan guru itu sendiri terhadap konsep ilmu. Guru harus mendalami ilmu sebanyak mungkin supaya dapat menyebarkan ilmu kepada para pelajar bagi melahirkan insan dan warganegara yang berilmu. Dalam era transformasi pendidikan guru hendaklah menghasilkan pelajar yang mampu berfikir secara kreatif dan kritis serta memperkembangkan potensi pelajar dalam semua aspek JERIS (Jasmani, Emosi, Rohani, Intelek dan Sosial) bagi mencapai pendidikan bertaraf antarabangsa.
2.2 Bertindak sebagai Pembentukan Nilai / Role Model
Nilai merupakan kriteria penting bagi mengukur mutu sesuatu benda. Menurut Ragbir Kour (2007) guru harus membentuk murid-murid untuk memiliki akhlak yang mulia dan mempunyai nilai-nilai murni yang tinggi. Nilai-nilai yang perlu diterapkan ialah moral, agama, terminal dan instrumental. Jadi, guru seharusnya mempunyai sifat dan kualiti peribadi, profesional, dan sosial yang baik dan murni supaya dapat menjalankan tugas sebagai pendidik dengan sempurna. Sebagai ibu bapa kedua kepada murid-murid, segala nilai dan tingkah laku guru menjadi contoh teladan kepada para pelajar. Nilai-nilai murni yang ditonjolkan oleh guru di sekolah secara tidak langsung akan diterapkan dalam jiwa pelajar. Menurut Ee Ah Meng (2003) guru yang beriltizam akan menjadi role model kepada para pelajarnya. Secara tidak langsung, guru berkenaan akan dapat memupuk beberapa ciri peribadi yang positif melalui amalan-amalannya di dalam bilik darjah.
2.3 Bertindak Sebagai Pengamal Budaya Ilmu
Menurut Mok Soon Sang 2007, Profesor Syed Muhammad al-Altas menyatakan ilmu merupakan sesuatu yang bermakna dan membawa penyuburan serta semangat kepada jiwa manusia. Hal ini menunjukkan ilmu merangkumi semua aspek kehidupan luaran dan dalam jiwa manusia. Guru sebagai pengamal ilmu perlu mempraktikkan budaya ilmu seperti membaca, berfikir, memerhati, berkarya, bersumbangsaran, dan bertukar fikiran serta mencari pengalaman baru (Ragbir Kour (2007)). Dalam p&p, guru akan memindahkan ilmu yang baik, meninggikan adab murid, serta memberi petunjuk ke arah kebenaran sebagai seorang pengamal ilmu. Sebagai seorang guru, budaya ilmu harus menjadi kriteria utama dan harus dipupuk dalam diri supaya menjadi teladan bagi para pelajar mencontohinya. Budaya ilmu di kalangan guru dan pelajar adalah sejajar dengan salah satu matlamat yang terkandung dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan iaitu melahirkan generasi yang mencintai ilmu pengetahuan dan seterusnya menjadi teras dan tunjang dalam amalan pendidikan seumur hidup.
2.4 Mengamalkan kemahiran profesional Guru merupakan tenaga ikhtisas di dalam bidang perguruan yang dipertanggungjawabkan untuk mendidik murid-murid di sekolah. Oleh itu, guru yang mempunyai kemahiran profesional serta kecerdasan emosi yang tinggi memainkan peranan besar dalam menghasilkan generasi yang berpendidikan, berkemahiran, berbudaya ilmu dan berakhlak selaras dengan Falsafah Pendidikan Negara. Peranan ini penting bagi membawa pendidikan negara Malaysia ke arah pendidikan yang bertaraf dunia (Dr. Ragbir Kaur, 2007). Antara kemahiran yang perlu ditekankan ialah kemahiran berfikir dan pemikiran konstruktif. Para pelajar mestilah dididik menggunakan daya fikir tinggi dan minda untuk melahirkan pelajar-pelajar untuk belajar sepanjang hayat dan mempunyai modal intelektual tinggi menghadapi era globalisasi. Kemahiran berfikir dan pemikiran konstruktif perlu juga terarah kepada pandangan jauh dan luar biasa (Mohamad bin Muda, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pendidikan Guru Kementerian Pendidikan Malaysia).
2.5 Bersifat profesional dan peka dengan segala perkembangan pendidikan
Craft (2002) menyarankan bahawa untuk menjadi pendidik yang profesional, seorang guru perlu peka terhadap inisiatif pendidikan yang terkini.. Guru yang profesional juga sentiasa mengikuti perkembangan terhadap kajian-kajian lampau dan terkini bagi mengemaskinikan pengetahuan dan kemahiran p&p guru. Mak Soon Sang (2007), menegaskan guru hendaklah melengkapkan diri dengan menguasai kemahiran menggunakan internet untuk memperolehi maklumat tentang perkembangan matematik dan pedagogi pengajaran masa kini di samping membimbing murid-murid menggunakan internet sebagai p&p. Selain itu guru perlu mengaplikasikan teknologi maklumat (ICT) di dalam bilik darjah melalui program SLE (Smart Learning Environment) yang bertujuan meningkatkan pengetahuan guru terhadap penggunaan ICT. Antaranya aplikasi word processing, spreadsheet, database, desktop publishing, dan graphing (Dr Ranbir Kaur a/p Joginder Sigh, 2007).
2.6 Mengamalkan pengajaran efektif
Mak Soon Sang (2007) mengenalpasti ciri-ciri pengajaran efektif dari segi perancangan, pelaksanaan, dan penilaian pengajaran.
2.5.1 Perancangan pengajaran
Clarke dan Cutler (1990) menyatakan keberkesanan pengajaran bergantung kepada perancangan, pelaksanaan, penilaian terhadap proses dan objektif pembelajaran. Oleh itu, mengenalpasti objektif pengajaran merupakan salah satu ciri kualiti pengajaran yang diperlukan dalam perancangan. Cohn et al, (1987) selanjutnya menyokong pendapat ini dengan menyatakan guru harus membuat refleksi kendiri untuk menilai objektif pengajarannya setelah selesai melaksanakan pengajaran. Oleh itu guru harus mempunyai kemahiran dalam memilih strategi p&p yang sesuai kerana ia merupakan suatu rancangan untuk melaksanakan aktiviti p&p juga mahir dalam penggunaan kaedah dan teknik mengajar untuk menyampaikan isi pelajaran dengan cara yang berkesan, kerana pemilihan kaedah dan teknik mengajar yang sesuai akan menjamin keberkesanan pengajaran serta pencapaian objektifnya secara optimum.
2.5.2 Pelaksanaan pengajaran
Mok Soon Sang (2002), mengatakan peranan guru dalam pelaksanaan dan kejayaan proses pengajaran dan pembelajaran meliputi tugas-tugas seperti menganalisis objektif dan isi kandungannya, menentukan keperluan pelaksanaan seperti melengkapkan diri dengan kemahiran mengajar dan penyediaan bahan-bahan pelajaran, merancang dan melaksanakan pengajaran, membuat penilaian untuk mengenalpasti kelemahan dengan tujuan meningkatkan keberkesanan dalam pelaksanaan pengajaran dengan membuat pengubahsuaian dalam rancangan mengajar.
2.5.3 Penilaian pengajaran
Yap, Wan, dan Ismail (1985) dalam Kertas Kerja oleh Profesor Dr. Saedah Siraj mentakrifkan penilaian dalam pendidikan dan pembelajaran sebagai satu aktiviti untuk mendapatkan maklumat yang berguna bagi menentukan pencapaian sesuatu objektif p&p. Ingham (dalam Saedah Siraj, 2000) menyarankan supaya pendidik membuat penilaian dan menghargai perbezaan setiap individu kerana setiap perbezaan itulah yang akan menentukan cara setiap individu itu belajar dan juga boleh memberi pengalaman pembelajaran kepada masing-masing.
3.0 KESIMPULAN
Oleh itu dalam menuju pendidikan bertaraf dunia, guru adalah agen terpenting dalam merealisasikan pendidikan anak bangsa Malaysia dalam mengharung cabaran di tahap yang lebih tinggi. Pengisian guru yang berkualiti seperti yang di bentangkan iaitu guru perlulah bertindak sebagai penyebar ilmu, pengamal budaya ilmu, guru sebagai role-model, mengamalkan pengajaran efektif, peka dengan segala perkembangan pendidikan, dan mengamalkan kemahiran profesional mampu meyediakan generasi muda untuk menghadapi kemungkinan-kemungkinan yang berupa masyarakat industri, ekonomi yang global, kebanjiran teknologi tinggi dan sentiasa bertambah canggih, penggunaan komputer sebagai keperluan urusan harian dan limpahan maklumat sejagat. Sebagaimana yang ditegaskan oleh Mohamad bin Muda, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pendidikan Guru Kementerian Pendidikan Malaysia dalam ucapannya, para pendidik adalah wahana yang boleh menentukan corak manusia yang mampu menghadapi alaf baru, abad ke-21. BIBILIOGRAFI
Kamus Dewan, Edisi Keempat. Dewan Bahasa Dan Pustaka Kuala Lumpur 2007.
Dr. Ragbir Kaur a/p Joginder Singh (2007). Panduan Ulangkaji Pendidikan Untuk KPLI Sekolah Menengah dan Sekolah Rendah. Kumpulan Budiman Sdn. Bhd. Kuala Lumpur.
Dr Wan Shamsuddin Bn Wan Mamat (Disember 1998). Pengisian Wawasan Pendidikan Negara Menuju Abad 21.
Dr Ismail Zain, Pendidikan Bertaraf Dunia Ke Arah Pembestarian Dalam Proses Pengajaran Dan Pembelajaran.
http://www.tutor.com.my/ online on 24/02/2008
Mak Soon Sang (2007). Ilmu Pendidikan Untuk KPLI (Komponen 3: Profesional Keguruan) Sekolah Rendah. Kumpulan Budiman Sdn. Bhd., Subang Jaya.
Mohamad Bin Muda (1991), Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pendidikan Guru Kementerian Pendidikan Malaysia. Cabaran Dan Harapan dalam Pendidikan Menghadapi Alaf Baru.
Professor Dr Saedah Siraj dan Nurhayati Ishak (26-28 Disember 2006). Peningkatan Kualiti Pengajaran Di Institut Pengajian Tinggi Di Aceh, Prosiding Persidangan Antarabangsa Pembangunan Aceh, UKM Bangi. http://pkukmweb.ukm.my online on 24/02/2008

Melayu jangan pupuskan jawi

Oleh SAHLIZAH MOHAMED






LEBIH 700 tahun lalu sejak penemuan Batu Bersurat di Terengganu pada kurun ke-13, tulisan jawi pernah mengalami pasang surutnya. meskipun ia pernah menjadi tulisan rasmi bagi Negeri-negeri Melayu Tidak Bersekutu semasa penguasaan British.
Pada zaman lampau, tulisan jawi memainkan peranan penting sebagai pengantara dalam semua urusan pentadbiran, perdagangan dan adat istiadat.
Namun, peredaran zaman menjadikan tulisan jawi yang merupakan salah satu tradisi dalam tamadun Melayu Islam semakin terpinggir sedangkan ia sepatutnya menjadi skrip budaya dan skrip diraja.
Menjadi tanggungjawab semua pihak yang cintakan jawi dan tidak mahu tulisan keramat orang Melayu itu pupus begitu sahaja dengan mengambil inisiatif bagi memastikan ia terus subur selari dengan arus pemodenan.
Merungkai lanjut tentang itu, Pensyarah Usuluddin, Hubungan Muslim/Bukan Muslim Pemikiran Islam dan Ketamadunan Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr. Amini Amir Abdullah tidak terkecuali daripada melontarkan sokongan tatkala topik memartabat tulisan jawi diajukan kepadanya.
“Bagi saya, kita perlukan satu peruntukan undang-undang. Contoh mudah ialah menerusi pengiklanan iaitu papan-papan iklan yang hendak dipasang mesti disertakan dengan tulisan jawi.
“Memanglah Bahasa Melayu itu bahasa kebangsaan, jadi ia termasuklah dengan tulisan jawi,” katanya ketika ditemui di UPM, baru-baru ini.

Dr. Amini turut melahirkan rasa hairan kerana sebagai seorang pensyarah yang sering melakukan pelbagai kajian, dia melihat pada zaman lampau, bahasa Cina datang dengan tulisannya. Begitu juga bahasa tamil, tetapi mengapa aliran yang sebaliknya pula berlaku kepada tulisan Melayu?
“Masyarakat Cina amat berbangga dengan kaligrafi mereka, tetapi mengapa kita tidak? Kaligrafi Cina sudah berusia hampir 2000 tahun sedangkan jawi pula baru sekitar 700 ke 800 tahun lalu,” ungkapnya.
Meneruskan bicara, Dr. Amini turut menyelitkan pendekatan top down yang menyaksikan pergerakan daripada golongan atasan sehingga ke peringkat akar umbi.
Baginya, pendekatan sedemikian mampu merealisasikan undang-undang, peraturan atau perancangan yang membawa kepada kejayaan jika sesebuah perundangan diimplementasikan.
“Kita jadikan konsep 1Malaysia sebagai contoh. Ia bermula dari atas iaitu daripada Perdana Menteri kita dan lihat sahaja kepada keberkesanannya,” ujarnya ketika ditemui di pejabatnya baru-baru ini.
Katanya, masyarakat sering melaungkan mahu warisan melayu dipertahankan, ironinya mereka tidak menyedari bahawa tulisan jawi itu adalah sebahagian daripada warisan.
Dr. Amini turut mencadangkan agar tulisan jawi dimasukkan ke dalam peperiksaan besar seperti Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) atau Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan bersifat wajib lulus.
Kuasai tulisan jawi



Tidak hanya tertumpu kepada satu arah sahaja, pendekatan bermotifkan down top juga perlu diberi penekanan bermula daripada sikap pelajar terutamanya yang sudah matang untuk memperkasa tulisan jawi.
“Jangan hanya terarah kepada satu bahagian iaitu guru menyampaikan dan murid pula hanya menerima. Tenaga pengajar perlu kreatif sambil menerapkan ciri-ciri pemahaman, ingatan dan praktikal.
“Perlu ada perancangan, pelaksanaan, pemantauan dan penilaian, penambahbaikan dan tindakan pembetulan baru boleh berjaya,” jelasnya sambil memberitahu sistem pembelajaran Program Jawi, al-Quran, bahasa Arab dan Fardu Ain (j-QAF) merupakan satu langkah yang terbaik untuk terus menghidupkan tulisan jawi.
Sementara itu, Pengarang Utusan Melayu Mingguan, Mohd. Kamil Yusuff ketika mengulas mengenai penubuhan j-QAF memberitahu, semakin ramai yang sudah boleh menguasai tulisan jawi berbanding generasinya empat dekad lalu.
“Saya berada dalam darjah satu pada tahun 1971 dan pada tahun itu, sistem pendidikan negara dirombak dengan mengetepikan jawi.
“Selepas itu, jawi tidak lagi diajar sebagai satu subjek wajib, sebaliknya ia hanya sekadar subjek serpihan dalam subjek lain seperti bahasa Melayu,” katanya.
Mohd. Kamil menekankan salah satu daripada punca kelemahan penguasaan tulisan dan bacaan dalam jawi kerana sikap seseorang itu sendiri.
Sementara itu, Ketua Eksekutif Yayasan Karyawan, Datuk Dr. Hassan Ahmad ketika dihubungi turut berkongsi rasa gusar ekoran tahap penggunaan tulisan jawi yang digunapakai pada ketika ini.
“Satu ketika dulu, tulisan jawi sangat berpengaruh, namun kini seperti dipandang sepi sedangkan ia merupakan ‘peralatan’ yang sangat penting dalam proses pembinaan tamadun Melayu Islam di rantau ini.
“Bagi saya, salah satu daripada cara untuk menyebarkan tulisan jawi ialah melalui bahan bacaan seperti akhbar dan buku bacaan yang wajib dipelajari oleh pelajar Melayu dalam mengikuti mata pelajaran Bahasa Melayu atau Sastera Melayu.



“Sekurang-kurangnya terdapat keseimbangan antara tulisan jawi dan tulisan rumi. Jika boleh, saya mahu pelajar universiti yang mengikuti pengajian bahasa Melayu atau Sastera diwajibkan membaca satu naskhah atau manuskrip lama mungkin pada abad ke-17 atau 18 yang ditulis dalam tulisan jawi,” jelasnya.
Memelihara tulisan jawi
Dr. Hassan turut meluahkan kebimbangan kerana dia enggan Malaysia menjadi seperti Turki yang sudah tidak lagi mementingkan tulisan jawi.
“Saya takut kita menjadi seperti Turki. Mereka sudah tidak tahu membaca tulisan jawi dan membaca al-Quran pula menerusi terjemahan dalam bahasa Inggeris.
“Bagi saya, apa yang penting buat masa ini ialah memiliki sebuah dasar yang tegas untuk terus memelihara tulisan jawi. Pada pandangan saya, dasar kita tidak tegas dan selalu berubah-ubah, bukan hanya dalam konteks ini, tetapi hampir dalam semua bidang. Mungkin ia disebabkan oleh desakan atau dipengaruhi orang lain,” katanya ketika hubungi.
Pada masa yang sama, Dr. Hassan turut meletakkan peranan tulisan jawi sebagai sebuah tapak atau asas kepada seseorang Islam untuk sembahyang, mengaji dan membaca doa-doa menerusi tulisan arab.
“Bagaimana hendak membaca al-Quran jika tidak tahu tulisan jawi? Tidak mustahil pada masa akan datang al-Quran hanya dibaca melalui terjemahan tulisan rumi yang belum tentu sebutan dan cara bacaannya serupa.
“Tidak mustahil dalam masa 20 atau 30 tahun lagi, kita tidak akan mempunyai pengkaji atau sarjana yang mampu mengkaji naskhah Melayu lama yang ditulis dalam tulisan jawi untuk diterbitkan dalam sebagai karya klasik Melayu yang hebat,” ungkapnya lagi.

Kosmo Online 10 Mac 2011

Murid 11 tahun lebih bijak daripada Einstein



CLAVERLEY - Seorang murid perempuan, Victoria Cowie (gambar) yang baru berusia 11 tahun dikatakan lebih bijak berbanding saintis terkenal seperti Albert Einstein dan Stephen Hawking kerana dia memiliki skor kecerdasan (IQ) mencecah 162, lapor sebuah akhbar semalam.
Kepintaran Cowie diakui selepas dia mendapat skor 162 dalam ujian IQ.
Pencapaian itu adalah lebih baik daripada skor yang diperoleh oleh saintis terkenal, Albert Einstein, Stephen Hawking dan pengasas perisian komputer, Bill Gates iaitu 160.
"Saya sangat sukakan teka-teki dan menyelesaikan masalah. Saya mahu belajar dalam jurusan sains, terutama biologi," katanya yang sudah mendapat tawaran biasiswa untuk melanjutkan pelajaran di empat buah sekolah berprestij.
Selain meminati mata pelajaran sains dan membuat eksperimen, Cowie juga suka berlakon, menari dan bermain alat muzik.
Ibunya, Alison, memberitahu, anaknya itu mempunyai kemampuan membaca sejak kecil dan pernah memenangi anugerah sains di sekolah.
Ibu bapanya kurang pasti daripada mana Cowie mewarisi kepintarannya itu.
Purata IQ manusia ialah 100.
Ekoran keputusan tersebut, Cowie mengalahkan kepintaran Napoleon Bonaparte yang mendapat skor 145, Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), Hillary Clinton (140), penyanyi terkenal, Madonna (140) dan pengarah filem, Quentin Tarantino (160). - Agensi

Kosmo Online 13 Mac 2011

Awalan meN-

Munsyi Md Rasul bin Haron@Amatara Bahagian Matrikulasi 30 Jun 2022 Panduan Bahasa PROSES PENGIMBUHAN 2) Awalan meN- fungsi pengg...