Ahad, 10 Mei 2009

Air mata ibu yang terakhir

SELAMAT HARI IBU
APA KHABAR IBU-IBU DI LUAR SANA? SETIAP TAHUN PADA BULAN MEI SEPERTI BIASA SELURUH DUNIA MENYAMBUT HARI IBU. DI MANA PADA SAAT INI PARA IBU DAN WANITA YANG BAKAL MERAIH GELARAN IBU AKAN DIRAIKAN DENGAN PELBAGAI KEJUTAN YANG BEGITU ISTIMEWA. SAMA-SAMALAH MEMBACA LUAHAN RASA PENULIS YANG KEHILANGAN IBU SEMASA PENULIS BERKHIDMAT DI SEBUAH SEKOLAH DI FELDA BUKIT BATU, KULAI, JOHOR. PENULIS TIDAK SEMPAT BERADA PADA SAAT-SAAT IBU MENGHEMBUSKAN NAFAS YANG TERAKHIR.
Ibu...

Selagi cahaya matahari menerangi
bumi yang indah ini
Selagi itulah kurasakan
Kasihmu terus bercambah
Subur dan mekar
Mengasuhku tanpa rasa jemu
Mengharapkan aku
Menjadi orang berguna di hari muka
Lalu aku berusaha berjuang di medan pendidikan
dengan gigih penuh yakin setiap waktu

Ibu...
Masihku pegang pesanmu
Kejayaan tidak datang bergolek
Tanpa usaha dan doa
Kejayaan tidak hadir
Tanpa dicari

Ibu...
Kau mengandungkan aku sembilan bulan
Kau harungi pelbagai cabaran
Kau bertarung nyawa
Melahirkan aku
Kau besarkan aku dengan kasih sayang
Ibu...
Ketika aku sakit kaulah yang paling menderita
Kau tidak tidur menjagaku
Kau sentiasa berada di sisiku
Walau letih, kau tidak pernah merungut dan bersungut
Kau sabar melayan kerenahku
Kau setia menghantar dan mengambilku di sekolah
Walau saat itu kau tidak berduit
Namun kau usahakan demi memenuhi keperluanku
Kau sanggup berkorban untuk memberikan pelajaran untukku
Ibu...
Ketahuilah aku sangat menyayangimu ibu
Aku kagum dengan semangat ibu
Aku berjanji akan merealisasikan impian ibu
Akan aku berjuang hingga ke titisan darah terakhir
Ibu...
Saat aku enak tidur
Kau sudah bangun
Memasak dan menyiapkan bekal untukku
Saat akau bergembira dengan temanku kau bermandi peluh mencari rezeki di bendang
Kau tidak kenal erti putus asa
Kau lakukan segalanya untuk membahagiakan aku
Saat aku melelapkan mata
Merehatkan badan dan bersenang-lenang
Kau bersengkang mata membuat lempeng kesukaanku
Ibu...
Kaulah insan mulia
Kau sanggup menderita dan sakit
Demi melihatku selesa
Pagi itu...
Aku terasa begitu hening
Jiwaku hiba
Hatiku berdebar-debar seakan-akan aku bakal menerima khabar duka
Benarlah panggilan telefon daripada sepupuku
Merungkai segala keanehan perasaanku
Ibu tercinta yang amat kagumi tiba-tiba...
Hancur luluh hati ini saat
Menatap wajah lesu ibu melalui gambar yang dibawa sebagai penemanku di Selatan
Tiada lagi gurauan dan gelak tawa
Tiada ciuman rindu untukku
Tiada pelukan erat untukku
Menatap wajah ibu di rumah kayu tiang seribu
Tubuhnya longlai, ibu terbaring kaku tanpa sebarang riak menyambutku pulang
Perasaan rindu kepada kepada ibu begitu membuak
Ya Allah... Saat itu nafas ibu semakin kuat
Ibu terus membisu sedangkan aku pada waktu itu
Sedang memegang kapur mengajar pelajar-pelajarku
Menurut saudaraku;
Empat kali ibu menitiskan air mata
Pertama ketika anak-anak meminta ampun
Kedua ketika bapa mengampunkan dosa ibu
Ketiga ketika aku tidak ada di sisi
Keempat dan yang terakhir apabila bapa mengucapkan kalimah Allah...
Bibir ibu bergerak menyebut nama Allah
Selepas itu, nafasnya semakin perlahan
Dan terus berhenti
Hanya linangan air mata ibu membasahi pipi
Ibu yang aku cintai sudah pergi
Menghadap Penciptanya
Aku redha dengan pemergian ibu
Doa aku agar ibu ditempatkan di kalangan orang beriman dan menjadi warga Firdausi
Walau masa silih berganti
Namun kehangatan kasih sayang ibu
Masih terasa di sanubariku
Ibu amanlah engkau di sana
Al-Fatihah buat ibu
Buat keluarga dan umat Islam
Yang telah tiada...

Awalan meN-

Munsyi Md Rasul bin Haron@Amatara Bahagian Matrikulasi 30 Jun 2022 Panduan Bahasa PROSES PENGIMBUHAN 2) Awalan meN- fungsi pengg...