Sabtu, 4 Jun 2011

Ramai pelajar gagal peperiksaan prasyarat ke Al-Azhar

Arkib Utusan: 3 Jun 2011

KUALA LUMPUR 2 Jun - Kerajaan bimbang kerana separuh pelajar Malaysia gagal selepas mengambil peperiksaan prasyarat untuk mengikuti kursus pengajian Islam di Universiti Al-Azhar Mesir.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, 361 daripada 786 calon yang menduduki ujian Lulus Peperiksaan Bahasa Arab (Imtihan Qabul) dan Sijil Non Objection (NOC) bagi sesi 2020/2011 gagal dalam peperiksaan itu.
"Keadaan itu dikhuatiri akan merugikan masa dan menjejaskan pembiayaan kewangan penaja ekoran lanjutan tempoh masa pengajian pelajar.
"Justeru, ingin saya mengingatkan kepada pelajar termasuk guru untuk memandang serius soal kemasukan mereka ke Universiti Al-Azhar kerana kedua perkara itu telah dipersetujui dan diperakui secara bersama oleh Malaysia dan Mesir," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan Majlis Anugerah Kecemerlangan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) dan Ujian Penilaian Kelas KAFA (UPKK) 2010 yang diadakan sempena Karnival Inovasi Islam Peringkat Kebangsaan di Masjid Negara di sini hari ini.
Pada 2009, hanya terdapat lima calon daripada 630 calon yang menduduki kedua peperiksaan itu gagal.
Jamil Khir dalam pada itu berkata, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) bercadang melakukan program pendedahan kepada pelajar Malaysia yang akan melanjutkan pengajian ke Mesir.
Katanya, ia berikutan pelajar Malaysia belum lagi terdedah dengan persekitaran dan budaya Mesir termasuk bahasa Arab.

Pelajar OKU terima anugerah cemerlang

Arkib Utusan : 1 Jun 2011

KUALA LUMPUR 31 Mei - Pertubuhan Orang Cacat Penglihatan Malaysia mahu golongan orang kurang upaya (OKU) tidak hanya mengejar kecemerlangan akademik tetapi mampu menguasai bidang lain.
Presidennya, Mohd. Nazari Othman berkata, meskipun cacat, setiap individu mempunyai potensi besar untuk menyumbang kepada pembangunan modal insan yang menjadi aset negara.
"Mereka juga seharusnya mempunyai anjakan paradigma dan pengetahuan tentang teknologi baru agar mampu bersaing dengan golongan normal serta tidak ketinggalan dalam arus pemodenan," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap menutup Kursus Anjakan Paradigma Pekerja OKU Penglihatan Peringkat Kebangsaan 2011 dan anugerah Pelajar OKU Penglihatan Cemerlang 2010 di sini hari ini.
Pada majlis itu, seramai empat pelajar cacat penglihatan menerima anugerah bagi setiap kategori peperiksaan awam dari Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) sehingga Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM).
Bagi kategori pelajar cemerlang STPM, ia diberikan kepada Mohd. Rifaat Husin yang mendapat 4A 1B manakala Tang Kah Huang menerima kategori Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di atas kejayaannya memperoleh 10A.
Sementara itu, Nor Amirah Azali yang mendapat 6A, 1B dan 1C dipilih penerima kategori Penilaian Menengah Rendah (PMR) manakala Celene Lean, yang mendapat 5A dipilih penerima UPSR.

120 murid miskin sertai Seminar Pendidikan UPSR YBK 2011

Arkib Utusan: 2 Jun 2011

KUALA LUMPUR 1 Jun - Yayasan Basmi Kemiskinan (YBK) dengan kerjasama Unit Pendidikan Utusan Malaysia menganjurkan Seminar Pendidikan UPSR YBK 2011 di Sekolah Kebangsaan Gedangsa, Kuala Kubu Bahru, baru-baru ini.
Penganjuran seminar itu bertujuan memberi pendedahan kepada pelajar mengenai kaedah, tip serta teknik menjawab soalan peperiksaan dengan betul bagi memperoleh keputusan yang cemerlang.
YBK dalam kenyataannya berkata, seminar itu sertai oleh 120 murid keluarga miskin di daerah Hulu Selangor yang melibatkan enam buah sekolah.
Sekolah yang terlibat ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Selisek, SK Gesir Tengah, SK Gedangsa, SK Soeharto, SK Seri Fajar dan SK Keladang.
Selain slot menjawab soalan pelbagai mata pelajaran utama, pelajar juga mendapat tip dan panduan menulis karangan yang baik dalam peperiksaan UPSR menerusi Sisipan ADAP (Akhbar Dalam Pembelajaran).
"Pelajar juga diajar mengunakan akhbar sisipan ADAP dalam sesi pembelajaran pelajar," kata kenyataan itu.
Majlis perasmian penutup seminar itu disempurnakan oleh Pengerusi YBK, Datuk Zainal Abidin Sakom.

Kempen budi bahasa agenda utama 2020

2011/05/28

DILIHAT daripada kelakuan dan sikap sebilangan besar rakyat Malaysia, saya mempunyai kesangsian mengenai keberkesanan usaha diambil setakat ini untuk mempromosikan pengamalan kempen budi bahasa di kalangan rakyat.

Saya ingin menegaskan betapa pentingnya rakyat Malaysia berbilang kaum memperbaharui usaha gigih dalam menjayakan amalan budi bahasa dan nilai murni.
Promosi dan pengamalan ini dirasakan perlu berdasarkan kemerosotan nilai murni dan kurangnya budi bahasa di kalangan sebilangan besar rakyat Malaysia, terutama generasi muda. Kebanyakan pelajar sekolah hari ini tidak bersedia untuk mengucapkan ungkapan terima kasih apabila menerima sesuatu yang diberikan kepada mereka. Bahkan banyak yang nampaknya tidak menghargai apa yang kita lakukan untuk mereka.

Contohnya, saya pernah menghadiri beberapa majlis penyampaian sijil atau anugerah kepada pelajar sebagai menghargai pencapaian akademik mereka. Mereka menerima anugerah dan pergi begitu saja tanpa mengucapkan terima kasih.

Sifat kebiadaban dan tidak berbudi bahasa di kalangan rakyat dapat dilihat daripada cara mereka berkelakuan di tempat awam dan juga di jalan raya.

Sikap tidak bertimbang rasa ialah satu perkara yang biasa dapat dilihat daripada cara pemanduan dan cara meletak kereta di jalan raya, memandu ke dalam kawasan kotak kuning; membuang sampah di tempat awam; merosakkan harta awam dan tidak memohon maaf apabila melakukan kesilapan.
Isu lain juga termasuk bercakap secara kasar dengan pelanggan, merokok di kawasan larangan merokok, meludah di tempat awam dan tidak memberikan tempat duduk untuk warga tua, kurang upaya dan juga wanita hamil. Ada juga banyak isu lain yang boleh disenaraikan dan hal ini berlarutan.

Adalah tepat pada masa bagi rakyat untuk menangani isu ini dan bertanyakan pada diri sendiri sejauh mana mereka mengamalkan sikap berbudi bahasa dan nilai murni berkenaan.

Kempen peningkatan budi bahasa dan nilai murni di kalangan rakyat patut diberi keutamaan dan dijadikan agenda utama negara semasa kita melangkah ke hadapan menjadi negara maju menjelang 2020.

Pembangunan negara tidak wajar hanya membabitkan bidang kemahiran dan kepakaran tertentu, tetapi perlu seiring dengan pembangunan moral, nilai murni dan budi pekerti tinggi.

TAN SRI LEE LAM THYE,
Kuala Lumpur

Pelajar terkilan sikap guru bahasa Inggeris perbodohkan pelajar



Surat Pelajar kepada Berita Harian
2011/05/28

KAMI pelajar tingkatan tiga di SMK Dato Sulaiman, Parit Sulong amat kecewa dengan sikap seorang guru bahasa Inggeris yang berkelulusan dari universiti di Amerika Syarikat.
Pada hari pertama beliau memasuki kelas kami, kami begitu bangga dan teruja kerana mendapat guru bahasa Inggeris lulusan dari luar negara. Tentu hebat orangnya, tentu juga hebat cara mengajarnya dan tentu sekali harapan kami akan dapat menguasai bahasa Inggeris dengan lebih cepat dan mudah. Malangnya, apa yang kami harapkan tidak kesampaian. Pada setiap hari, beliau memulakan pengajarannya dengan memperbodoh-bodohkan kami, mukanya tidak pernah menyenangkan hati kami dan ada kalanya menyalahkan guru bahasa Inggeris kami yang terdahulu.

Agaknya, begitulah caranya lulusan luar negara mengajar? Memaki, menghina, menjatuhkan maruah kami?

Semuanya ini berbeza dengan guru bahasa Inggeris kami yang terdahulu, iaitu lulusan dalam negara saja. Mereka begitu sabar, teliti, sentiasa memberi motivasi dan tekun mengajar, malah tidak kedekut dengan masa, tenaga malahan wang ringgit.

Jika guru lulusan Amerika ini terus mengajar kami, saya rasa akan gagal dalam mata pelajaran bahasa Inggeris dalam peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) kelak.
Mohon jasa baik pengetua menggantikan guru ini dengan guru bahasa Inggeris lain yang lebih memahami jiwa, kehendak dan pencapaian kami.

PELAJAR TERHINA,
SMKDS

Awalan meN-

Munsyi Md Rasul bin Haron@Amatara Bahagian Matrikulasi 30 Jun 2022 Panduan Bahasa PROSES PENGIMBUHAN 2) Awalan meN- fungsi pengg...