Memaparkan catatan dengan label Motivasi. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Motivasi. Papar semua catatan

Ahad, 13 November 2011

Merangsang 'booster' semangat




Para pembaca yang dirahmati Allah SWT dan kepada pelajar-pelajar yang akan menghadapi SPM 2011 yang akan bermula pada 14.11.2011. Kekalkan tahap motivasi anda dan rangsang 'booster' semangat anda.

1) Ucapkan kata-kata positif
Ini dapat menerbitkan getaran positif dari minda. Berilah semangat pada diri sendiri setiap pagi, setiap hari, dan setiap anda bernafas.
2) Baca artikel-altikel motivasi pendek
Ini dapat merangsang ‘booster’ semangat, supaya ia menjadikan gelombang minda anda menjadi lebih positif.
3) Beristighfar
Saat anda sedar berfikiran negatif, bersangka buruk, atau tiba-tiba memaki hamun sebab anda tidak puas hati, latih diri untuk beristighfar. Ini kerana istighfar dapat mencucikan kekotoran yang terbit dari hati. Perkataan yang kita  baca, lihat dan dengar menerbitkan getaran tenaga minda yang berbeza.

Isnin, 7 November 2011

Tips Keibubapaan- Peringkat Bayi ke Remaja






Peringkat Bayi:
1. Tunjukkan bahawa anda sayang kepadanya.
2. Sentiasa bertenang.
3. Menghayati detik-detik bersamanya selalu.
4. Mengambil gambarnya apabila anda tertarik dengan gerak-geri atau senyumannya di mana-mana anda berada.
5. Memberi anak anda susu ibu.
6. Bawa bersiar-siar di taman untuk mengeratkan hubungan
7. Selalu membaca untuknya.
Peringkat Kanak-kanak:
1. Tunjukkan kasih sayang anda kepadanya.
2. Selalu membaca bersamanya.
3. Belikan permainan yang tidak spesifik ‘ gender’
4. Amalkan disiplin secara konsisten.
5. Didik anak-anak tentang peraturan betul dan salah dalam hidupnya.
Peringkat Remaja:
1. Teruskan bergambar bersama anak anda.
2. Bertenang dan elakkan kata-kata yang boleh menyakitkan hatinya.
3. Menyertai kumpulan sokongan dan kebajikan.
4. Luangkan masa untuk berkomunikasi dengan anak-anak anda..
5. Teruskan dengan mengajar anak-anak anda tentang apa yang betul dan salah dalam kehidupan.
6. Mendengar dan memberi sepenuh perhatian terhadap apa yang dikatakan oleh anak remaja anda. Ini akan membantu anda menunjukkan kasih sayang anda terhadap mereka.

Ahad, 30 Oktober 2011

Peta minda mantapkan ingatan


Sumber:
Portal Pendidikan Utusan:ADAP




PETA minda merupakan kaedah yang berkesan untuk mendapatkan semula maklumat daripada ingatan untuk ditukarkan menjadi bentuk yang boleh dilihat.

Ia boleh membantu untuk meningkatkan kecerdasan dan kemahiran untuk mengukuhkan daya ingatan serta pemahaman.

Peta minda merangsang pelbagai keupayaan yang ada dalam diri. Misalnya, anda perlu memikirkan mengenai maklumat yang diperlukan dan membuat pemilihan mengikut keinginan diri.

Secara langsung, anda berhubung secara aktif dengan maklumat yang ada dalam ingatan atau dalam perkataan lain, anda sebenarnya sedang berbicara dengan daya ingatan sendiri.

Peta minda juga boleh merangsang beberapa anggota anda yang mempunyai peranan tersendiri seperti berfikir, memerhati, memilih, melukis dan menentukan anda memahami apa yang anda inginkan.

Tangan anda ikut serta dalam kerja-kerja tersebut. Ia dapat memahirkan diri dengan disiplin yang penting dalam pembelajaran.

Menggunakan peta minda bermakna anda harus menggunakan kemahiran menyusun maklumat yang betul dan tepat dan mudah difahami.

Peta minda juga membolehkan anda membuat perkaitan dengan lebih mudah dan cepat.

Apa yang anda ingat akan dapat diperkukuh melalui gambaran dan tulisan yang anda lakukan.

Kemudian anda mengaitkan pula dengan beberapa isi kecil yang lain.

Ini lama kelamaan akan membentuk idea keseluruhan mengenai apa yang anda inginkan daripada daya ingatan anda.

Ada juga pendapat yang mengatakan bahawa penggunaan peta minda akan menambahkan keseimbangan otak kiri dan otak kanan.

Anda telah ditunjukkan mengenai keperluan keseimbangan antara otak kiri dan otak kanan dalam rencana-rencana yang terdahulu.

Apa yang menarik mengenai peta minda ialah ia merangkumkan semua aspek bahasa, analitis, reka bentuk, matematik, deria dan sebagainya dalam usaha keseluruhannya.

Kelebihan lain yang terdapat pada peta minda ialah ia mudah digunakan serta sesuai untuk semua tujuan.

Peta minda amat sesuai untuk tujuan menelaah pelajaran, mengambil nota yang diajar oleh guru, membaca buku, persediaan sebelum berbahas, untuk bermesyuarat, malah untuk persediaan membeli-belah.

Anda tidak perlu menuliskan semuanya pada sekeping atau lebih kertas.

Anda tidak akan sukar untuk memikirkan secara mendalam kerana ingatan anda dibantu oleh hasil lukisan dan tulisan mata dan tangan anda.

Peta minda boleh disediakan dengan mudah. Pada buku tulis atau sekeping kertas, tulis topik utama yang menjadi perhatian anda. Topik tersebut, misalnya pembelajaran, eloklah dituliskan di bahagian tengah.

Dari sini, pelbagai perkara lain yang berkaitan dengan topik pembelajaran akan dihasilkan dalam bentuk cabang atau cawangan daripada pembelajaran tadi.

Daripada cabang-cabang tadi, anda boleh menghasilkan pelbagai fakta isi kecil yang lain bentuk ranting. 

Di samping itu, anda boleh juga menggunakan pelbagai imej lain yang boleh mencorakkan peta minda dengan lebih menarik.


KECANTIKAN WANITA





Untuk membentuk bibir yang menawan, ucapkanlah kata-kata kebaikan. Untuk mendapatkan mata yang indah, carilah kebaikan pada setiap orang yang anda jumpai. untuk mendapatkan bentuk badan yang langsing, bagikanlah makanan dengan mereka yang kelaparan. Untuk mendapatkan rambut yang indah, mintalah seorang anak kecil untuk menyisirnya dengan jemarinya setiap hari. 
 
Untuk mendapatkan sikap tubuh yang indah, berjalanlah dengan segala ilmu pengetahuan, dan anda tidak akan pernah berjalan sendirian. Manusia, jauh melebihi segala ciptaan lain. Perlu senantiasa berubah, diperbaharui, dibentuk kembali, dan diampuni. Jadi, jangan pernah kecilkan seseorang dari hati anda. Apabila anda sudah melakukan semuanya itu, ingatlah senantiasa. Jika suatu ketika anda memerlukan pertolongan, akan senantiasa ada tangan terulur. Dan dengan bertambahnya usia anda, anda akan semakin mensyukuri telah diberi dua tangan, satu untuk menolong diri anda sendiri dan satu lagi untuk menolong orang lain. 
 
Kecantikan wanita bukan terletak pada pakaian yang dikenakan, bukan pada bentuk tubuh, atau cara dia menyisir rambutnya. Kecantikan wanita terdapat pada mata, cara dia memandang dunia. Karena di matanya terletak gerbang menuju ke setiap hati manusia, di mana cinta dapat berkembang. Kecantikan wanita bukan pada kehalusan wajah. Tetapi pada kecantikan yang murni, terpancar pada jiwanya, yang dengan penuh kasih memberikan perhatian dan cinta dia berikan. Dan kecantikan itu akan tumbuh sepanjang waktu.

Rabu, 26 Oktober 2011

Belajar melalui kesilapan






BELAJAR melalui kesilapan bukan bermakna anda perlu melakukan kesilapan ketika belajar.  Ungkapan tersebut  bermaksud setiap kesilapan yang dilakukan mampu memberi pengajaran, menginsafi ketelanjuran, menyedari kelemahan diri dan memberi ruang untuk membuat penambahbaikan.

  • Memberi pengajaran
    Seseorang itu boleh belajar bukan sahaja daripada guru atau sumber lain tetapi daripada setiap kesilapannya.  Sebagai contoh jika seorang murid melakukan kesilapan dalam latihan matematik, kesilapan tersebut dengan secara tidak langsung memberi pengajaran  atau maklumat tentang jawapan atau kaedah yang sebenarnya yang harus dilakukan.  Dengan cara ini dia sudahpun memperolehi pengetahuan baru.
  • Menginsafi ketelanjuran 
    Setiap manusia tidak boleh lari daripada melakukan kesilapan.  Walau bagaimanapun ini tidak bermakna ia boleh dijadikan alasan setiap kali kita melakukan kesilapan. 
Setiap hukuman yang diterima akibat ketelanjuran yang dilakukan secara sengaja atau tidak sengaja, seperti melanggari peraturan atau garis panduan disiplin sekolah harus diinsafi,  dijadikan iktibar  serta bertekad untuk meninggalkannya. 
Dalam hal ini keinsafan yang kita alami ini merupakan proses belajar yang mampu memberi bimbinga ke arah jalan yang benar.
  • Menyedari kelemahan 
    Kekuatan dan kelemahan sentiasa berada di diri kita.  Seseorang yang kuat dari segi fizikal mungkin lemah dari segi mental atau kerohaniannya. Begitulah juga sebaliknya. 
    Oleh itu kesilapan yang dilakukan itu memberi isyarat kepada kita bahawa di samping kekuatan yang kita peroleh terdapat lagi banyak kelemahan yang perlu diatasi. 
    Dengan cara ini manusia belajar supaya dapat mengelakkan diri daripada sifat angkuh, riak atau sombong terhadap apa yang dimiliki. 
    Hal ini bukan bermakna kita tidak boleh bangga dengan kekuatan yang ada pada diri kita.  Kebanggaan mampu meningkatkan aras harga diri yang sekali gus menjadi faktor penggerak atau motivasi ke arah kejayaan.  
    Walau bagaimanpun kebanggaan ini seharusnya digandingi dengan kesyukuran.  Kesyukuran mampu mengelakkan diri kita menjadi riak atau sombong.  Kesyukuran mendekati diri kita kepada Allah dan menghargai setiap pemberianNya kepada kita serta mampu memupuk rasa bertimbang rasa kepada yang tiada.  Inilah satu pengajaran yang amat besar pada diri kita.
  • Membuat penambahbaikan 
    Hari ini lebih baik daripada hari semalam dan hari esok lebih baik daripada hari ini.  Ungkapan ini menunjukkan setiap hari kita perlu melakukan perubahan diri untuk menjadi cemerlang.  Setiap kelemahan bukan berakhir dengan kekecewaan tetapi perlu membuat penambahbaikan untuk mencapai kejayaan.
 Justeru, murid-murid tidak seharunya takut atau malu jika berlaku kesilapan ketika belajar. Anda harus mengkaji setiap kesilapan yang dilakukan dan seterusnya mengambil tindakan yang bijak untuk mengatasinya. 
Ingat! setiap kesilapan memberi ruang dan peluang untuk anda 

Selasa, 25 Oktober 2011

Guru perlu dalami ilmu psikologi tingkahlaku





RESAH masyarakat terhadap masalah disiplin pelajar cukup berasas apatah lagi pelbagai insiden luar jangkaan mampu disumbangkan mereka meskipun umur hanya setahun jagung.
Peningkatan kadar jenayah atau disiplin ini bukan saja membimbangkan institusi persekolahan malah masyarakat turut keliru serta tercari-cari apakah mekanisme terbaik boleh diguna pakai bagi menanganinya.
Meskipun banyak lambakan kempen menerusi sesi ceramah dan pameran, ia masih belum ampuh untuk melembutkan hati pelajar.

Akibatnya, masyarakat tertanya-tanya apakah pendekatan selama ini salah atau pelajar semakin naik lemak hingga sukar dinasihati lagi.

Masih adakah lagi jalan penyelesaiannya?
Pensyarah Kanan Jabatan Psikologi dan Kaunseling, Fakulti Pendidikan dan Pembangunan Manusia Universiti Pendidikan Sultan Idris, Ab Aziz Mohd Yatim, berkata cara didikan pelajar masa kini tidak boleh dilakukan secara semberono tanpa disuntik elemen tertentu yang boleh ‘mematahkan’ sikap degil pelajar.

Beliau berkata, kemampuan pelajar hari ini sukar dijangka hingga ada ketikanya mampu mencapai tahap tertinggi dengan keberanian luar biasa.

“Melihat rentak sebilangan pelajar hari ini, memang menakutkan kerana mereka sangat ekstrem hingga mampu melahirkan keberanian tanpa batasan.

“Memang wajar masyarakat melahirkan kebimbangan namun jalan penyelesaian masih ada, jangan mudah berputus asa,” katanya.

Bukan hairan lagi apabila masyarakat menganggap pelajar hari ini terutama peringkat menengah, penyumbang masalah disiplin.

Biarpun hanya segelintir, mereka yang melanggar disiplin bagaikan memberi persepsi buruk kepada pelajar lain.

Yang bermasalah pula terus ‘bermaharajalela’ hingga menyebabkan masyarakat semakin muak untuk membantu sebaliknya membiarkan guru dan sekolah mengatasinya.

Beliau berkata, meskipun disiplin pelajar menjadi antara isu hangat, tidak bermakna setiap pihak hanya mampu berdiam diri atau melepaskannya kepada golongan minoriti.

Pelajar, katanya, adalah kelompok yang memerlukan bimbingan berterusan selain pendekatan sesuai untuk menyedarkan tindakan dilakukan adalah salah.

“Kebanyakan hanya pandai menuding jari atau melepaskan tanggungjawab itu kepada orang lain tanpa mahu duduk semeja mencari jalan penyelesaian.

“Pada masa sama, menganggap pelajar bermasalah sudah tiada masa depan dan terus memberi tekanan hingga menyebabkan nasib pelajar semakin terumbang-ambing.

“Mencari penyelesaian dengan bertunjangkan konflik akan memburukkan lagi keadaan dan pelajar melihat pertelingkahan itu sebagai medium melepaskan diri” katanya.

“Ada kalanya, masyarakat suka menyalahkan guru dan sekolah kerana tidak bertindak namun kesalahan itu tidak wajar diletakkan pada bahu golongan terbabit semata-mata.

“Masyarakat perlu akur, senario pendidikan sekarang terlalu banyak ‘pantang larang’ hingga menyukarkan segala tugasan yang ingin dibuat.

“Namun, itu bukan alasan mereka tidak mengambil tindakan cuma caranya saja tidak bersesuaian dengan jiwa pelajar,” katanya mengakui guru hari ini perlu belajar cara terbaik untuk menakluk tentangan pelajar.

“Jika menggunakan pendekatan lama, sudah tidak sesuai kerana zaman ini pelajar lebih bijak mencipta alasan. Untuk itu, guru perlu ada ilmu psikologi yang hebat bagi menakluki emosi mereka.

“Kebiasaannya, tindakan atau hukuman diselarikan dengan pendekatan berbentuk fizikal seperti rotan dan denda namun terlupa menyentuh emosi sedangkan ia aspek paling mudah untuk menjinakkan pelajar.

“Pendekatan salah bukan saja tidak menyelesaikan masalah malah mengundang lebih banyak konflik kedua pihak hingga mampu mewujudkan jurang selain perasaan tidak puas hati,” katanya.

Beliau berkata, guru perlu menunjukkan kasih sayang dan perhatian dengan ikhlas tanpa niat menghukum atau sindiran supaya pelajar rasa lebih selesa untuk meluahkan perasaan.

Menurutnya, ada guru hanya tahu mengajar namun tidak mendidik menyebabkan hasrat menjadikan pelajar hari ini sebagai generasi berilmu, berdisiplin dan berperibadi mulia sukar.

“Ini bukan tuduhan namun ada kalanya guru tidak pandai berdiplomasi dan hanya mengajar berpandukan nota semata-mata sedangkan matlamat sebenar adalah memberi pendidikan.

“Antara mengajar dan mendidik memang jauh perbezaannya. Bayangkan jika guru pun boleh terasa dan melenting jika ditegur, apatah lagi pelajar yang masih muda dan teraba-raba mencari arah.

“Sebab itu penting guru bermuhasabah dan mencari pendekatan sesuai sebelum mengenakan hukuman supaya pelajar memahami apa dilakukan itu bukan disebabkan benci namun peringatan menjadikan mereka lebih baik,” katanya.

Ditanya adakah cara itu seolah-olah membuatkan pelajar seperti besar kepala dan semakin manja, beliau menafikannya kerana pelajar pasti faham yang dilakukan itu sekadar hukuman membetulkan kesilapan.

“Malangnya, ramai guru terlupa hingga menyebabkan pelajar melihat hukuman itu seolah-olah misi ‘balas dendam’ dan melepaskan perasan benci hingga menjadikan mereka terus memberontak.

“Berdasarkan pengalaman dan kajian, saya percaya jika guru pandai menggunakan budi bicara, pelajar boleh menerima dan mampu diubah. Cuma tidak boleh mengharapkan keajaiban berlaku sekelip mata sebaliknya perlu berterusan dan disertai doa,” katanya.

Faktor penyumbang masalah disiplin pelajar:

  • Kurangnya perhatian dan kasih sayang ibu bapa pada era globalisasi kerana lebih mengutamakan kerjaya hingga lupa tanggungjawab mendidik anak.


  • Kemunculan media massa serta sumber bacaan tanpa batasan hingga menyebabkan pelajar ingin meniru dan mencuba.


  • Pengaruh rakan sebaya kerana menganggap rakan sebagai rakan sebenar lantaran ibu bapa sukar meluangkan masa untuk mendengar atau berdampingan dengan anak.


  • Kegagalan pihak sekolah untuk bertindak pantas dan telus kerana ada sebilangan cuba merahsiakan masalah disiplin yang berlaku.


  • Ketiadaan program selepas sekolah yang sesuai atau menarik hingga pelajar lebih gemar menghabiskan masa di tempat tidak berfaedah.

  • Ahad, 23 Oktober 2011

    “Gagah Tapi Tidak Bengis, Lembut Tapi Tidak Lemah, Pemurah Tapi Tidak Boros, Genggam Tapi Tidak Bakhil”



    Laman Web JAKIM



    “Gagah tapi tidak bengis" bermaksud setiap penjawat awam perlu menghargai kesihatan tubuh badan agar dapat berkhidmat dengan tenaga dan minda yang sihat. Justeru, sekalipun seseorang diberi kuasa, namun tidak wajar sewenang-wenangnya menunjukkan sifat bengis kepada sesiapa.
    “Lembut tapi tidak lemah” adalah sikap bijaksana Rasulullah yang mendidik seseorang itu agar menunjukkan kelembutan serta kesantunan adab supaya tindak-tanduk disenangi oleh orang ramai. Namun, kelembutan tidak wajar disalahgunakan sehingga dilabel pula sebagai seorang yang lemah.
    “Pemurah tapi tidak boros” juga merupakan sifat ihsan Rasulullah yang mengajar manusia agar sama-sama memanfaatkan nikmat jawatan, gaji serta keistimewaan yang diperolehi melalui sedekah kerana ianya menambah keikhlasan serta keberkatan. Namun, sifat pemurah tidak wajar diselewengkan sehingga mengundang pembaziran.
    “Genggam tapi tidak bakhil” bermaksud, sesiapa yang diberi kuasa hendaklah menjaga amanah dengan kawalan yang bijaksana. Namun jangan sampai bersikap haloba serta bakhil sehingga tidak menunaikan perkara yang sepatutnya ditunaikan.
    Itulah taklimat ringkas bersulam nasihat yang telah disampaikan oleh Dr. Abu Bakar Sarpon, Timbalan Presiden Institut Integriti Malaysia, Kuala Lumpur merangkap ahli Lembaga Penasihat ILIM kepada 14 orang ahli lawatan ke institut tersebut pada 17 Oktober 2011, anjuran Unit Perhubungan Awam ILIM.
    Rombongan yang diketuai oleh Ustaz Zamzuri bin Ruslan, mewakili Pengarah ILIM bagi menjayakan program Lawatan Rakan Latihan ini bertujuan untuk mendapatkan maklumat serta berkongsi pandangan di dalam menambah baik mutu perkhidmatan kepada setiap pelanggan ILIM.
    Dalam pertemuan yang diaturkan, ahli rombongan diberi taklimat berkaitan fungsi Institut Integriti Malaysia semenjak ditubuhkan pada tahun 2004 dalam menjayakan Pelan Integriti Nasional (PIN) untuk membasmi rasuah serta menyalakan sikap integriti, etika serta moral di kalangan rakyat Malaysia.
    Hasil lawatan tersebut telah banyak menyedarkan ahli rombongan akan kegigihan kerajaan menanamkan sikap integriti pada semua rakyat Malaysia. Usaha-usaha tersebut dilaksanakan melalui program seminar, forum, poster, kursus dan lain-lain kepada penjawat awam, peniaga, institusi keluarga, masyarakat, pelajar serta sektor awam.
    Antara pesanan Dr. Abu Bakar Sarpon sebelum menamatkan sesi lawatan tersebut ialah “Laksanakanlah perkara yang betul pada setiap masa dan tempat. Maka itulah Integriti.”

    Jumaat, 21 Oktober 2011

    Singkirkan kebosanan diri dari hidup anda


    Santapan Rohani
    ADAP(Portal Pendidikan Utusan)


    Orang yang hidup mengekang diri dengan satu gaya hidup sudah tentu akan dilanda kebosanan. Ini adalah kerana, pada dasarnya jiwa manusia memang memiliki kecendrungan mudah merasa bosan . Tabiat dasar setiap manusia adalah tidak suka berada di dalam satu keadaan yang sama. Oleh kerana itu Allah memutar zaman dan tempat bagi manusia, memberikan berbagai bentuk makanan, minuman dan mencipta makhluk yang beraneka ragam. Ada malam dan siang, ada dataran tinggi dan dataran rendah ada putih ada hitam, ada panas dan dingin, dan ada manis dan masam. Keberagaman dan perbezaan ini seringkali disebut Allah dalam beberapa firmannya. di antaranya Allah menyebut bahawa :
    • .............dari perut lebah itu keluar minuman (madu) yang bermacam-macam warnanya..(!n-Nahl : 69)
    • ..........dari pohon korma yang bercabang dan tidak bercabang...(Ar-Ra'd : 4 )
    • yang serupa (bentuk dan warnanya) tetidak sama (rasanya)....Al-An'am : 141)
    • dan di antara gunung itu ada garis-garis (seperti jalan yang bewarna) putih dan merah yang beraneka macam warnanya ... (fathir : 27 )
    • dan masa-masa, (kejayaan dan kehancuran) itu, kami gilirkan di antara manusia...(Ali-'Imran : 140 )
    • Malahan Bani Israil pernah bosan dengan makanan mereka yang paling baik dan mengeluh kepada Allah :.... Kami tidak boleh sabar (tahan) dengan satu makanan sahaja ... (Al-baqarah : 61)
    Al-Makmun satu ketika pernah dihinggapi rasa bosan di mana kadang-kadang beliau membaca sambil duduk sesekali dengan berdiri, dan pada saat yang lain sambil berjalan. Dan kerana itu pula ia pernah berkata : "Jiwa manusia itu dipenuhi rasa kebosanan "


    Allah berfirman : ....(Iaitu) orang-orang yang mengingat Allah sambil berdiri atau duduk atau dalam keadaan berbaring ...(Ali-"Imran : 191 )


    Sesiapa yang bersedia merenung sejenak dan memikirkan sesuatu yang berhubung dengan ibadat. Tentu ia akan menemui berbagai jenis dan ragam dalam bentuk dan makna yang terkandung di dalamnya. Dalam ibadat terdapat amalan qalbiyyah (yang berkaitan dengan hati) qaulliyyah (yang berkaitan dengan perkataan) amaliyyah (yang berkaitan dengan tindakkan) maliyyah (yang berkaitan dengan harta) , solat, zakat, puasa, haji, jihad. bahkan di dalam solat ada posisi berdiri, rukuk, sujud dan duduk.


    Oleh kerana itu sesiapa yang menginginkan kepuasannya semangat yang tinggi dan produktiviti maka ia hendaklah mempelbagaikan aktiviti di dalam pekerjaannya, membaca buku yang berbagai jenis ( dengan berbagai teknik dan kemahiran membaca) . Misalnya ketika membaca ia mempelbagaikan bacaannya di antaranya Al-Quraan, Tafsir, Sirrah, Hadith, Fiqh, Sejarah, Sastera dan Ilmu Pengetahuan dan sebagainya. Demikian pula di dalam menjalankan kegiatan. Anda perlu menentukan masa untuk beribadah, mencari hiburan mengunjungi sahabat handai, menerima tetamu, berolahraga berekreasi. Waktu belajar, dengan itu nescaya jiwanya akan selalu merasa segar dan ceria, kerana ia melakukan pelbagai aktiviti dan merasakan keindahan dan sesuatu yang baru.

    (Dipetik dari kitab LA TAHZAN karangan Dr Aidh Bin Abdullah Al-Qarni ms 85 : Sebuah kitab yang terlaris di Timur Tengah dan Indonesia)

    Menghindari jenayah di sekolah


    Portal Pendidikan Utusan


    SANTAPAN MINDA Oleh Dr. Ismail Zain
    JIKA disebut perkataan jenayah ia amat menakutkan apatah lagi jika gejala ini berlaku dalam kalangan warga sekolah. 
    Sebenarnya gejala  jenayah ini bermula dengan segelintir murid yang melakukan tindakan hanya bertujuan sekadar dijadikan hiburan sahaja. Bagaimanapun kadang kala ia boleh menimbulkan ketegangan di kedua-dua belah pihak yang berakhir dengan tragedi.
     Gejala ini boleh dibendung oleh murid-murid sejak awal lagi dengan mengambil beberapa langkah seperti yang berikut.

    • Bersopan santun dalam perbualan: Lidah itu lebih tajam daripada pedang. Begitulah perbandingan yang boleh dibuat tentang kata-kata yang dikeluarkan oleh seseorang ketika berlakunya perbualan. Oleh yang demikian murid-murid harus sentiasa bersopan santun dan saling hormat-menghormati antara satu sama lain ketika berkomunikasi.
    Bersopan santun ketika berbual bermaksud percakapan  yang menyeronokkan kedua-dua belah pihak. Sesuatu yang tidak menyakitkan hati orang lain, tidak menyinggung perasaan, tidak menyentuh soal peribadi dan keluarga serta tidak menyentuh kelemahan seseorang dengan tujuan menghina.  
    Emosi juga harus dikawal kerana terdapat segelintir murid yang nipis telinganya iaitu cepat berang atau naik angin jika sesuatu tindakan atau perbualan itu menyentuh perasaan mereka.
    • Berkawan secara menyeluruh tanpa mempunyai kumpulan tertentu Memang tidak dapat dinafikan bahawa berkawan secara berkumpulan adalah baik terutamanya ketika kita melakukan aktiviti pembelajaran seperti berdiskusi, mengadakan bengkel dan mengulang kaji pelajaran. 
      Walau bagaimanpun terdapat sedikit kelemahan jika amalan ini diteruskan dalam kegiatan sosial yang lain atau pergaulan harian.
    Pergaulan yang tetap dalam satu-satu kumpulan akan mengakrabkan hubungan kekeluargaan dalam kumpulan tersebut tetapi meninggalkan jurang yang besar keakraban antara kumpulan. 
    Dengan itu akan lahirkan bibit-bibit ketidakpuasan antara kumpulan disebabkan beberapa perkara yang remeh-temeh. 
    Sebagai contoh jika seorang murid itu ditegur kerana melanggar peraturan sekolah, maka rakan-rakan kumpulannya agar bertindak untuk campur tangan.  Maka berlakulah pula pertelingkahan intrakumpulan yang akan berakhir dengan pergaduhan.
    • Laporan kepada guru Setiap perkara yang berlaku yang boleh menimbulkan kepincangan harus dilaporkan dengan segera kepada guru.  Murid tidak seharusnya berasa takut atau mengambil tindakan sendiri untuk menyelesaikan masalah tersebut. 
      Segala laporan adalah sulit dan murid tidak perlu bimbang tentang keselamatan diri kerana guru serta pihak sekolah akan sentiasa memantau dan melindungi mereka.

    Berama-samalah kita menjaga dan mengawal diri daripada telibat dengan gejala jenayah kerana ianya akan merugikan semua pihak serta menjejas proses pembelajaran.

    Sesungguhnya  persekitaran belajar yang kondusif  mampu menimbulkan minat, menjana pemikiran yang kreatif dan inovatif serta menyemai semangat muhibah ke arah mengapai kejayaan yang cemerlang.

    Trauma


    Portal Pendidikan Utusan


    MENURUT Pensyarah Jabatan Psikologi dan Kaunseling, Universiti Malaya, Profesor Dr Suradi Salim, trauma yang berlaku berbeza mengikut setiap orang serta bergantung kepada perasaan, persepsi dan pemikiran terhadap sesuatu kejadian yang menimpa diri mereka.

    “Jika kejadian yang berlaku boleh membuatkan kehidupan mereka hancur dan tidak boleh mengatasinya, maka bantuan sepatutnya diberikan bagi mengelakkan kesan yang lebih buruk seperti masalah psikologi.
    “Mereka memerlukan bantuan intervensi psikologi daripada mereka yang pernah mendapat latihan khusus bagi menghadapi masalah trauma yang dihadapi mangsa kejadian.

    “Bagi mangsa yang masih boleh menghadapinya, sokongan harus diberi oleh ahli keluarga agar mereka tidak berputus asa dalam kehidupan. Pelbagai cara boleh dilakukan antaranya dengan mendengar luahan hatinya, melihat perasaan terhadap kejadian yang menimpa dan memberikan kata-kata seperti “Awak sudah lakukan terbaik dalam menghadapi situasi sekarang”.

    “Tetapi sebaiknya dapatkan bantuan daripada pakar di hospital, kaunselor atau ahli psikologi yang memang dilatih dalam intervensi psikologi agar perasaan takut mereka boleh diubah.

    “Situasi sebegini seharusnya diatasi oleh mereka yang ada latihan dan kalau dibiarkan, kehidupannya akan terhalang dan takut untuk menghadapi atau melihat tempat kejadian.

    “Bantuan segera daripada pakar dapat mengelakkan mereka daripada menghadapi masalah tekanan pasca trauma untuk jangka masa panjang yang akan mewujudkan masalah sakit mental seperti skizofrenia,” katanya.

    Trauma biasanya berpunca daripada apa saja kejadian mengejutkan dan tidak disangka yang menyebabkan mereka terperanjat.

    “Kejadian yang membuatkan mereka tidak berupaya menghadapinya disebabkan tiada pengalaman lalu dan belum pernah berlaku yang mereka sendiri tidak tahu bagaimana untuk mengatasinya.

    “Kini, kehidupan kita semakin kompleks dan banyak kejadian berlaku seperti ragut, kemalangan dan jenayah yang kadangkala secara tidak langsung dapat menimbulkan perasaan trauma di kalangan sesiapa saja,” katanya.

    Apa yang penting dalam menghadapi mangsa trauma adalah bantuan segera yang harus diberikan kepada mereka selepas kejadian sama ada dalam setengah jam atau lebih lama daripada tempoh itu mengikut kesan dan tahap serius mangsa.

    “Mungkin pakar akan mengambil masa selama setengah jam sehari bagi mendengar segala luahan mangsa dan kadangkala kekerapan mengadakan sesi rawatan sehingga lima hingga enam minggu mengikut tahap trauma yang dihadapi. Ada juga yang boleh pulih hanya dalam masa sehari.

    “Sesi rawatan akan diteruskan bagi membuat penilaian untuk melihat seberapa serius trauma mereka dan mengenal pasti kemahiran mereka secara rasional supaya dapat dibantu dengan segera,” jelasnya.

    Bagi ibu bapa atau orang terdekat mangsa, bantuan daripada segi sokongan kata-kata harus diberikan dalam menyedarkan dan meyakinkan mereka untuk mewujudkan perasaan bahawa masih ada orang sekeliling yang sayang serta memberi bantuan.

    “Jangan beri nasihat seperti awak perlu positif untuk hadapi semua ini sebaliknya cadangkan cara untuk menghadapi masalah misalnya suruh mereka amalkan ayat al-Quran dan jika masih berpanjangan, yakinkan mereka untuk berjumpa pakar,” nasihatnya.

    Pendekatan yang biasa dilakukan oleh pakar dalam menangani trauma:

    1. Mendengar luahan perasaan mangsa dan bantu mereka untuk memberi persepsi kejadian. Tujuannya untuk menganggar sejauh mana perasaan atau masalah dihadapi sama ada ia akan menyebabkan trauma atau masalah lebih serius.

    2. Setelah anggaran dibuat, tindakan seterusnya akan diambil dan jika serius, mangsa akan dihantar ke hospital agar dapat menghalang kesan yang lebih buruk berlaku.

    3. Jika trauma tidak serius, bincangkan strategi atau cara untuk dilakukan mangsa bagi menghilangkan rasa takut dan terkejut.

    4. Menetapkan tempoh untuk mengadakan sesi rawatan sama ada setengah jam setiap hari atau dapat dipulihkan dalam masa sehari saja. Pelbagai cara akan dilakukan untuk menenangkan mereka dan mengurangkan rasa bingung.

    5. Walaupun mereka sudah pulih, kaunseling masih lagi diberi jika diperlukan

    Gangguan emosi


    Portal Pendidikan Utusan



    SANTAPAN MINDA Oleh DR ISMAIL ZAIN
    EMOSI mempunyai pengaruh yang besar terhadap pemikiran atau tindakan seseorang individu.  Jika emosinya terganggu ia boleh mengakibatkan seseorang itu mengalami kemurungan serta penurunan prestasi diri.
    Bagi golongan murid-murid jika gejala ini berlaku pada diri mereka terutamanya pada saat-saat menghadapi peperiksaan, maka sudah tentu sedikit sebanyak akan menggugat proses mengulang kaji pelajaran.
    Gangguan emosi boleh berlaku apabila seseorang itu mengalami perasaan sedih, marah, kecewa, bosan dan sebagainya ditambah pula dengan kurangnya daya tahan diri serta mempunyai aras harga diri yang rendah.  
    Perasaan seumpama ini mungkin menyentuh jiwa mereka disebabkan berlakunya sesuatu peristiwa, terdengarnya sesuatu berita, mengalami sesuatu  keperitan hidup atau mempunyai persepsi yang negatif terhadap apa yang berlaku pada diri mereka selama ini berbanding dengan rakan-rakan yang lain.
    Sebagai contoh, kritikan yang berbentuk cemuhan daripada rakan, guru atau ibu bapa yang berkaitan dengan tindakan atau prestasi diri boleh menyebabkan mereka berasa terhina dan akhirnya tidak mampunyai semangat untuk belajar.
    Peristiwa sedih yang berlaku pada keluarga seperti kematian, penceraian, pertelingkahan serta tidak kesefahaman antara anggota keluarga boleh memberi tekanan kepada murid-murid. Pengalaman yang lampau seperti kegagalan dalam ujian juga mempunyai impak dalam kehidupan mereka.
    Walau bagaimanapun gejala seumpama ini boleh dielakkan atau sekurang-kurangnya dikurangkan jika kita mengambil langkah-langkah yang lebih positif.
    Anda tidak seharusnya mengenang kembali peristiwa yang telah berlalu. Anggapkanlah itu sebagai satu pengalaman yang mampu meningkatkan lagi ketahanan dan keinsafan diri. 
    Sesuatu yang baik itu bolehlah dijadikan teladan tetapi sesuatu yang buruk itu janganlah dipendamkan dalam hati tetapi harus dielakkan daripada berulang lagi. Apa yang perlu dibuat ialah melihat masa hadapan yang cerah yang bakal ditempuhi oleh anda. 
    Segala kejayaan yang akan ditempuhi berada di dalam genggaman anda. Hanya sedikit usaha beserta tumpuan yang sepenuhnya, anda mampu membuat perubahan dan meraih kejayaan.
    Anggapkan segala cemuhan yang dialami itu sebagai satu bentuk luahan hati mereka yang sayangkan diri anda serta inginkan melihat kejayaan anda.  Ia juga merupakan cabaran yang seakan-akan memberi  isyarat kepada  kita untuk membuat perubahan diri. 
    Dalam usaha untuk mengekalkan tumpuan anda terhadap pelajaran, pastikan anda mempunyai jadual belajar yang komprehensif. Pastikan setiap ruang dan peluang diisi penuh dengan aktiviti-aktiviti yang menjurus pada persiapan untuk mengulang kaji pelajaran.  
    Jangan dibiarkan ruang-ruang yang kosong memenuhi diri anda kerana ruang yang kosong ini boleh membawa fikiran anda melayang jauh ke alam fantasi yang akhirnya mampu mengganggu emosi anda.
    Segala kejayaan yang bakal anda alami pada masa hadapan sesungguhnya bermula dengan langkah pertama yang anda ambil untuk membuat perubahan diri pada masa dan detik ini.

    Tip Keluarga Bahagia




    View Blog
    Tip Rumahtangga Yang Bercirikan Syurga
    • Meningkatkan ilmu pengetahuan pada seisi rumah itu. 
    • Penghayatan agama yang berterusan. 
    • Memastikan seisi rumahtangga dalam keadaan sihat sejahtera dan aman damai. 
    • Perlu adanya pengukuhan ekonomi. 
    • Komunikasi yang cemerlang. 
    • Wujudnya kemesraan antara suami dan isteri. 
    • Suasana rumahtangga yang selesa. 
    Tip Komunikasi Keluarga Cemerlang
    • Berkongsi melakukan tugasan di rumah
    • Berbincang dalam membuat perancangan sesama ahli kelaurga atau sebelum membuat keputusan yang memberi kesan kepada keluarga 
    • Menggunakan humor yang bersesuaian untuk mengurangkan ketegangan yang disebabkan oleh konflik yang mungkin berlaku. 
    • Meraikan hari ulangtahun perkahwinan dan hari lahir bersama ahli keluarga. 
    • Makan malam bersama. 
    • Beribadah secara berjemaah. 
    • Riadah bersama keluarga atau membawa keluarga pergi bercuti di tempat yang bersesuaian.

     Tip Komunikasi ke Arah Meningkatkan Kasih Sayang Berkekalan
    • Berkongsi impian dan tugasan di rumah. 
    • Tidak mudah dan tidak sesekali merasa kecewa walaupun menempuh cabaran dan masalah dalam rumahtangga. 
    • Tidak berdendam-kesumat antara satu sama lain. 
    • Sentiasa memohon maaf dan memaafkan kesilapan masing-masing. 
    • Sentiasa mencari emas dalam diri pasangan. 
    • Menganggap pasangan sebagai kawan yang paling akrab. 
    • Sentiasa bersolat jemaah dan saling doa mendoakan pasangan. 
    • Berterus terang mengenai perselisihan yang kecil untuk mengelakkan konflik yang lebih besar. 
    • Memahami kepentingan hubungan seks. 
    • Mencari perubahan untuk merangsang perubahan dalam rumahtangga.
    Tip Komunikasi Cemerlang, Gemilang, Terbilang Pasangan Suami Isteri
    • Berdoa kepada Allah S.W.T untuk sentiasa disayangi oleh pasangan. 
    • Sentuh dan tegur pasangan sebelum menyambung kerja lain apabila pasangan balik ke rumah. 
    • Berlatih untuk menjadi pendengar yang baik. 
    • Memberi pujian kepada pasangan mengenai penampilan masing-masing dan memberi galakan kepada perubahan yang cuba dibuat oleh pasangan. 
    • Memujuk apabila pasangan marah atau berkecil hati 
    • Ucapkan kata-kata syang atau romantik dua kali sehari. 
    • Memberi perhatian terhadap perkara yang disampaikan oleh pasangan dengan tekun. 
    • Peluk pasangan dengan penuh kasih sayang tujuh kali sehari. 
    • Ucapkan terima kasih atas setiap khidmat yang diberikan oleh pasangan. 
    • Sentiasa memastikan bilik tidur dalam keadaan kemas seperti baru berkahwin

    Rabu, 19 Oktober 2011

    TIP UNTUK MENJADI ‘IBU SUPER’ DI TEMPAT KERJA




    * Tambahkan pendidikan dan ilmu pengetahuan.
    * Tingkatkan kemahiran komunikasi dan perhubungan.
    * Bina keyakinan diri anda.
    * Tonjolkan diri anda.
    * Utamakan disiplin.
    * Guna keunikan atau kelebihan yang ada dalam diri anda.
    * Fokus terhadap apa yang ingin dilakukan.
    * Banyakkan informasi dengan membaca dan bertukar-tukar pandangan.
    * Sediakan ruang kerja atau persekitaran kerja yang harmoni.
    * Aturkan jadual kerja dengan baik dan berdisiplin.
    * Sekiranya perlu menunda satu tugasan pastikan ia dilakukan dengan bijak dan ada penyelesaiannya.
    * Pastikan diri anda tenang walau berhadapan dengan apa jua situasi sekalipun.

    Ulang kaji secara efektif



    Sumber:
    Portal Pendidikan Utusan(ADAP)

    MENGULANG kaji sama ada membuat pembacaan atau membuat latihan hendaklah dilakukan dalam keadaan yang tenang dan suasana yang sesuai.
    Buat persiapan yang rapi sebelum memulakan ulang kaji supaya ia boleh berlaku secara berkesan tanpa banyak gangguan.
    Sila ikuti panduan yang berikut untuk membantu keberkesanan ulang kaji anda.

    1. Pastikan mata anda sentiasa segar dan ceria

    Anda perlu memastikan bahawa ada dibekalkan dengan cahaya yang mencukupi sewaktu membaca.

    Pembacaan yang dilakukan dalam keadaan yang agak kelam atau pun terlalu terang boleh memberikan keadaan tidak selesa kepada mata anda. Mata juga akan menjadi cepat letih.

    Untuk meningkatkan dan mengekalkan kesegaran mata, anda harus memastikan bahasa anda mendapat bekalan Vitamin A yang mencukupi. Vitamin A sangat berguna untuk mata anda.

    Sumber-sumber vitamin A yang asas termasuklah sayur-sayuran seperti lobak merah, perahan air buah, ubi kentang, jagung, telur dan sebagainya.

    Baik juga jika anda dapat mengamalkan senaman mata yang ringkas namun berguna kepada mata anda. Antara senaman ringkas yang boleh anda gunakan ialah:

    i. Memanaskan mata (yang terpejam) dengan cahaya matahari atau di bawah sinaran cahaya dalam suhu yang sesuai.

    Cara ini amatlah mudah. Apabila berada di luar rumah atau bangunan, anda pejam mata anda dan kemudian halakan wajah ke arah matahari. Pejamkan mata. Alih-alihkan pandangan anda ke kiri dan ke kanan supaya cahaya matahari mengenai mata secara tidak langsung.

    ii. Panaskan mata dengan telapak tangan anda.

    Selepas membaca buat beberapa jam, gosokkan kedua-dua telapak tangan anda antara satu sama lain. Selang beberapa lama, setelah anda berasa tapak tangan anda agak panas, tekupkan kedua-dua telapak tangan anda pada kedua-dua mata anda. Mata anda akan kembali segar dan bersedia untuk terus membaca dengan berkesan.

    Selepas anda berusaha mengulangkaji, dan menguasai teknik-teknik menghafal serta membaca, tibalah masanya untuk anda menghadapi hari penentuan, atau hari peperiksaan.

    Peperiksaan selalunya dikaitkan dengan pelbagai perkara. Antara lain, ia bertujuan untuk:

    1. Menguji setakat mana maklumat dapat diterima oleh anda sebagai pelajar yang mempunyai pendidikan formal.

    2. Memberi peluang untuk anda menunjukkan kemahiran dalam pelbagai perkara yang telah dipelajari dalam proses pembelajaran sepanjang hidup anda.

    3. Mengukur keupayaan pembelajaran.

    4. Menentukan kelayakan mengenai keupayaan kognitif atau mental anda sebagai pelajar.

    5. Menentukan kecenderungan dan tanggapan anda terhadap apa yang anda pelajari dalam proses pembelajaran formal anda di sekolah.

    Doakan anak setiap hari





    "ANAK saya degil, tak mahu dengar cakap!"
    "Anak saya malas belajar setiap kali peperiksaan dan ujian di sekolah dia selalu dapat nombor corot!"
     "Anak saya malas solat, kalau tak suruh, dia tidak akan buat!"

    Sebagai ibu bapa, pasti ada yang pernah mengeluh sebegini. Perkara ini memang biasa terjadi, lebih-lebih lagi sekiranya anak anda sudah boleh bercakap, berfikir dan menilai (walaupun penilaian berdasarkan tahap peringkat umur mereka saja).
    Kanak-kanak dalam lingkungan umur dua hingga tujuh tahun memang sering dilabelkan lasak kerana ingin mencuba apa sahaja yang dilihat dan mereka juga didapati 'tidak dengar kata'.
    Apa yang berlaku adalah ketiadaan komunikasi dua hala antara ibu bapa dan anak. Di samping itu, kanak-kanak sebenarnya tidak dapat mendengar arahan dengan baik kerana tidak memberikan perhatian kepada suara ibu bapa.
    Sebaliknya, perhatian mereka hanya tertumpu kepada permainan mereka dan alam sekeliling yang ingin diterokai.

    Justeru, sekiranya anak anda degil, sering memberontak, membaling barang dan memusnahkan permainan, siapakah yang bersalah?

    Sudah tentu orang dewasa kerana tidak berusaha untuk memahami kehendak si anak. Berikut ada beberapa panduan yang boleh digunakan bagi menangani anak sebegini.

     

    - Cuba fahami bahasa anak anda dengan bertanya secara lembut kepadanya. Sebaiknya tinggalkan sebentar apa yang anda lakukan sama ada sedang memasak atau membasuh baju dan berikan perhatian kepada anak.

    Selalunya ibu bapa bercakap sambil lewa saja tetapi sebaiknya, pandang muka dan tatap matanya dengan penuh kasih sayang.

    Berapa kali dalam sehari kita bertentang mata dengan anak? Perhubungan mata sangat penting dalam apa jua jenis komunikasi walaupun dengan anak kecil. Ingatlah, kanak-kanak sangat memerlukan belaian kasih sayang dan perhatian daripada ibu bapa.

    - Sebaik sahaja anda pulang bekerja dan mengambil anak dari pusat jagaan kanak-kanak, luangkan masa setengah jam terlebih dahulu bersama anak. Jangan terus ke dapur untuk memasak atau mengangkat kain di ampaian.

    Berikan perhatian pertama kepada anak. Tanyakan dengan lembut dan mesra apa yang dibuatnya seharian di rumah bersama pembantu rumah atau di tadika. Dukung dan peluklah dia serta nyatakan di telinganya yang anda sangat sayangkannya.

    Bermain-main dengannya kira-kira setengah jam, barulah anda minta diri untuk ke dapur. Mudah-mudahan dia akan lebih mendengar kata kerana perhatian yang diharapkannya sudah diperoleh.

    - Ajarkan anak dengan perkataan "tunggu sebentar boleh" sekiranya anak perlukan sesuatu dan anda tidak dapat melakukannya kerana sedang sibuk di dapur.



    Layan dia sebaik sahaja berkesempatan. Jangan buat tidak tahu sahaja atau bersikap acuh tidak acuh kerana sebenarnya anda sedang mengajar anak agar tidak menghiraukan orang tua. Kita tidak boleh mengharap dia patuh setiap arahan kita kerana Allah tidak menjadikan dia demikian.

    Ingatlah, anak belajar dengan meniru setiap perbuatan kita. Buktinya boleh dilihat apabila dia melayani adiknya pula.

    - Cuba fahami personaliti anak anda. Setiap anak dikurniakan Allah dengan personaliti tersendiri. Anak yang suka menjerit walaupun tidak mempunyai apa-apa sebab boleh dikategorikan sebagai inginkan perhatian.

    Oleh itu, jika anak ini menjerit, berilah perhatian kepadanya seperti memandang ke arahnya atau bertepuk tangan jika dia menyanyi. Bagaimanapun, anda boleh mengajarkan kepadanya bahawa perbuatan suka menjerit tidak bagus kerana boleh mengganggu adik kecil yang sedang tidur.

    Sekiranya anak suka menjerit, anda boleh meminta dia menjerit di dinding berulang kali sehingga dia letih. Mungkin dia akan berhenti menjerit atau membuat perangai beberapa hari.

    Sekiranya dia mengulanginya semula, anda suruh dia lakukan perkara yang sama sehingga dia berhenti. Berikan dia hadiah sekiranya anda dapati dia tidak menjerit atau semakin kurang menjerit dalam sehari. Katakan padanya, "Mama berikan hadiah coklat kerana kakak tidak menjerit hari ini." Dengan ini, anak akan faham bahawa ibu bapa tidak menyukai perbuatan itu.

    - Sentiasa ingatkan diri anda mengenai sifat positif anak yang keletah dan kerenah anak yang menghiburkan.

    Tumpukan perhatian anda kepada kelebihan itu. Jangan mengingati kekurangan anak dan doakan setiap kali selesai sembahyang. Bayangkan anak dengan semua sifat positif yang anda inginkan setiap kali berinteraksi dengan anak.

    Anda juga boleh berbuat demikian setengah jam setelah anak sudah masuk tidur dan nyenyak tidurnya. Usapkan dengan lembut pada ubun-ubun kepalanya, cium dan bacakan selawat serta sebutkan harapan anda kepadanya.

    Anak-anak hidup dalam dunia yang tiada peraturan. Ibu bapa yang membuat peraturan, disiplin dan galakan kepada anak.

    - Periksa siapa yang biasa ditemui anak-anak anda setiap hari. Sekiranya anda menghantarnya ke rumah pengasuh, periksa setiap individu dalam rumah itu (pengasuh, ahli keluarga pengasuh dan kanak-kanak lain yang diasuh).

    Adakah terdapat mereka yang membawa unsur negatif? Jika ada, sebolehnya usahakan untuk mencari tempat pengasuhan yang lain kerana perkara ini tidak boleh dibiarkan begitu sahaja.

    Biar bersusah hari ini untuk mencari pengasuh yang baik daripada kita menangis di kemudian hari kerana anak tidak mahu menjadi baik. 



    - Apabila kita memarahi anak pada usia ini dengan nada menengking, menjerit, memaki, mengejek, merotan, mencubit, menjentik dan seumpamanya, hati anak yang asalnya lembut akan menjadi semakin keras.

    Dia akan menunjukkan pelbagai cara pemberontakan kerana kesakitan yang dialami di dalam hati dan secara fizikal. Semakin kerap ibu bapa memarahi mereka, maka semakin kuat pemberontakan mereka.

    Anak-anak pada usia ini tidak 'makan' dengan cara seperti ini. Ia mungkin hanya berkesan untuk beberapa ketika sahaja. Tetapi cara ini tidak berkesan untuk mendidik sifat baik yang berpanjangan di dalam diri mereka.

    Untuk anak-anak yang nakal, jika mereka melakukan kesalahan, dekati anak serta dakap, peluk, cium, sayang dan dudukkan anak di atas pangkuan, berilah nasihat secara hikmah.

    Ceritakan pada mereka apa yang mereka buat itu salah dan apa yang mereka boleh lakukan untuk membetulkan kesilapan tadi.


    sumber : Siti Zarinah Sahib. www.hmetro.com.my
                  sitizarinah@hmetro.com.my


    Awalan meN-

    Munsyi Md Rasul bin Haron@Amatara Bahagian Matrikulasi 30 Jun 2022 Panduan Bahasa PROSES PENGIMBUHAN 2) Awalan meN- fungsi pengg...