|
MD RASUL BIN HARON mrasulharon@yahoo.com |
Kompleks Membeli-belah Selayang Mall yang terletak di Taman Selayang Utama, Batu Caves, Selangor tidak putus-putus menerima kunjungan orang ramai untuk membeli pelbagai jenis barangan. Pada musim cuti sekolah ini, ibu bapa sibuk menunaikan tanggungjawab untuk membeli keperluan persekolahan anak-anak untuk tahun 2011.
Secara tidak langsung, ia menyumbang kepada kesesakan lalu lintas. Ada sesetengah pengunjung yang meletakkan kenderaan di kiri-kanan jalan. Kononnya nak jimat RM 1.00. Kalau parking di dalam kompleks, terbang RM 1.00. Kalau parking di lot-lot yang disediakan oleh Majlis Perbandaran Selayang takut pula mengeluarkan syiling 50 sen untuk satu jam parking. Tindakan yang diambil oleh mereka yang 'kedekut' ini adalah dengan meletakkan kenderaan secara percuma. Penulis yang tinggal berdekatan dengan Selayang Mall dapat tempiasannya. Sukar untuk melepaskan diri daripada halangan yang dicipta oleh mereka yang 'love' RM 1.00. Penulis mencadangkan kepada pihak PDRM dan MPS untuk mengambil tindakan tegas seperti yang lepas-lepas. Kerap lakukan operasi dan tunda kenderaan yang kadang-kadang pemiliknya dengan bangganya meletakkan betul-betul di hadapan papan tanda 'Tunda'.
Kadang-kadang ada sikedekut ini meletakkan kenderaan di tempat menunggunya teksi. Terjadilah pertikaman lidah antara sikedekut dan sipemandu teksi yang masing-masing mempertahankan hak meletakkan kenderaan secara eksklusif. Buangkan sikap kedekut di dalam benak perasaan. Letaklah kenderaan di tempat yang telah ditetapkan. Walaupun agak jauh dari tempat tujuan kita, berjalanlah sikit. Kalau nak ke restoran yang berdekatan kompleks, janganlah sampai nak parking menghampiri meja pelanggan lain. Tidak ada siapa yang nak pandang kehebatan kereta second-hand kita yang dihiasi ekzos yang besar lubang asapnya. Jangan kerana RM 1.00 kita sanggup menyusahkan pengguna lain.