Selasa, 27 Disember 2011

PRIHATIN TERHADAP ANAK-ANAK ORANG SUSAH NAK KE SEKOLAH

Sumber:
Laman Web Persatuan Pengguna Islam Malaysia







Malah ada malu ke sekolah kerana hanya memiliki pakaian compang-camping dan lusuh.
MENGIMBAU kembali pada masa dahulu, sebahagian besar daripada mereka yang berada di puncak kejayaan kebanyakannya berasal daripada keluarga yang serba kekurangan. Sewaktu kecil, mereka pernah merasa mempunyai hanya sepasang baju sekolah ataupun menyarung baju bersaiz besar yang telah digunakan oleh kakak atau abang.
Malah ada malu ke sekolah kerana hanya memiliki pakaian compang-camping dan lusuh.
Realitinya, ramai di kalangan mereka yang berjaya dan berjawatan besar hari pernah merasai erti kemiskinan. Sama ada ketika di zaman persekolahan, ketika di kampus ataupun di peringkat awal kerjaya.
Keadaan itu cukup menyakitkan dan mengaibkan. Bukan hanya pada orang tetapi juga pada diri sendiri.
Oleh itu, setiap pelajar yang susah akan berazam untuk mengubah cara hidup dengan berusaha bersungguh-sungguh sehingga mendapat pekerjaan baik, sekali gus mengubah status kehidupan.
Kita yang asalnya susah dan 'makan untuk hidup' kini bertukar senang dan kini 'hidup untuk makan' sehinggakan kesenangan yang dikecapi itu menjadikan segelintir daripada kita terlupa akan erti kemiskinan.

Itulah pentingnya pendidikan kepada generasi muda dalam mengubah nasib hidup sesebuah keluarga. Namun terdapat juga faktor kepincangan dalam pendidikan anak-anak adalah kerana berlakunya kesempitan hidup yang melampau.
Sebenarnya kesempitan hidup bukan alasan untuk mendidik anak dengan baik. Banyak anak-anak dari golongan fakir yang berjaya dan soleh. Ibu bapa mereka berjaya mendidik dengan baik walaupun mempunyai kemampuan kewangan yang terhad. Namun tidak dinafikan, hakikat kesempitan hidup dan pengangguran sedikit sebanyak boleh menjejaskan kestabilan keluarga dan pendidikan anak-anak.
Islam amat mengambil berat soal pengukuhan sosial umatnya. Syariat Islam bukan sahaja menyeru manusia bekerja kuat, bahkan mempunyai elemen-elemen sokongan untuk membasmi kemiskinan. Islam meletakkan asas yang kukuh agar kekayaan diagihkan dengan adil supaya golongan yang fakir atau miskin sentiasa terbela.
Islam amat mengutamakan kesaksamaan, mensyariatkan zakat serta menggalakkan sedekah agar mereka yang berada terdorong untuk menghulurkan bantuan kepada yang susah. Islam amat menggalakkan umatnya agar melindungi dan membantu mereka yang kurang bernasib baik seperti golongan miskin, anak-anak yatim, ibu tunggal serta warga emas atau sakit dan tidak mampu menyara hidup.
Ganjaran yang besar dan berganda ini dijanjikan kepada mereka yang sudi menghulurkan bantuan secara ikhlas. Jika umat Islam menghayati galakan Islam yang hebat ini, nescaya setiap pihak yang kurang bernasib baik pasti terbela.
Walaupun harta bukan jaminan kepada kejayaan pendidikan anak-anak, namun ia sekurang-kurangnya dapat mengelakkan kemelaratan dan kesempitan yang mungkin menjerumus anak-anak ke lembah kerosakan akhlak.

Firman Allah dalam Surah al-Baqarah ayat 220 yang membawa maksud: Anak-anak yatim adalah amanah Allah SWT, orang yang dipertanggungjawabkan menjaga kebajikan mereka perlu melaksanakan tanggungjawab mereka dengan seadil-adilnya. Mereka telah dijanjikan limpah kurnia di dunia dan balasan syurga dan mendampingi baginda di syurga kelak.
Ini jelas menunjukkan bahawa setiap ahli masyarakat juga mempunyai tanggungjawab sosial untuk menghulurkan bantuan demi meringankan bebanan rumah anak-anak yatim yang kadang-kadang mengharapkan bantuan daripada orang ramai.
Ketika ini dengan sesi persekolahan bakal bermula, pasti ramai ibu bapa yang hidupm dibelenggu kemiskinan gusar bagaimana mahu menyediakan keperluan sekolah untuk anak-anak.
Menjejaki anak-anak yang kurang berkemampuan dan membantu mengurangkan beban penderitaan mereka merupakan satu usaha kebajikan Islamic Aid Malaysia (IAM).
Ini juga merupakan salah satu usaha dalam berkongsi nikmat yang telah Allah kurniakan bersama dengan mereka yang kurang berkemampuan.
Firman Allah SWT dalam surah Ibrahim ayat tujuh: Dan ingatlah tatkala tuhan kamu memberitahu, demi sesungguhnya jika kamu bersyukur nescaya aku akan tambahi nikmatku kepada kamu, dan demi sesungguhnya jika kamu kufur ingkar sesungguhnya azabku amatlah keras.
Pernyataan syukur kepada Allah atas nikmatnya itu tidaklah memadai hanya mengucapkan dengan mulut sahaja, tetapi mestilah dilakukan dengan beramal soleh dan membuat kebajikan dengan hati yang ikhlas.
Selain itu, mestilah nikmat itu digunakan pada jalan yang diredai Allah. Lebih bermakna andai nikmat rezeki yang dikurniakan itu dikongsi bersama mereka yang lebih memerlukan.


Awalan meN-

Munsyi Md Rasul bin Haron@Amatara Bahagian Matrikulasi 30 Jun 2022 Panduan Bahasa PROSES PENGIMBUHAN 2) Awalan meN- fungsi pengg...