Sabtu, 16 Julai 2011

Pilih dan ikut



NORLILAH ISMAIL












kita berhak
hak memilih
dari banyak pilihan yang ditawarkan
pilih pilih pilih
jangan salah memilih

kita berhak
hak mengikut
dari banyak yang jalan yang ditawarkan
ikut ikut ikut
jangan salah mengikut

pilih dan ikut
bukan mudah rupanya
bukan senang kiranya
kerana
jelas kini....
yang dulu paling yakin memilih
yang dulu paling jitu mengikut
kini
melaung
meraung
sesal..
kerana
tersilap
pilih dan ikut...

nukilan
Norlilah Ismail

Prestasi akademik penting untuk capai SBT

BERITA SABAH (UTUSAN BORNEO)
by NIK JASNI CHE JAAFAR. Posted on July 6, 2011, Wednesday
JUARA...Aksi salah seorang pelajar dalam acara lari berganti-ganti.

KECEMERLANGAN akademik adalah kriteria penting yang perlu diberi perhatian oleh pihak sekolah bagi membolehkan sesebuah sekolah mencapai status Sekolah Berprestasi Tinggi (SBT).
Timbalan Penolong Pegawai Pelajaran Daerah Kota Kinabalu, Wanihim Othman berkata kriteria itu amat perlu di samping kecemerlangan pelajar dalam bidang bukan akademik.
“Pencapaian akademik amat penting, terutamanya pencapaian dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) yang menjadi salah satu indikator prestasi sesebuah sekolah,” katanya.
Pada masa sama, beliau menjelaskan kerjasama yang baik antara guru, ibu bapa dan komuniti setempat adalah salah satu kriteria yang ditetapkan kepada sekolah untuk mendapatkan pengiktirafan SBT.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan penutupan Kejohanan Temasya Balapan ke-dan Padang ke-12 Sekolah Kebangsaan (SK) Pengiran Siti Hafsah, Karambunai, dekat sini, baru-baru ini.
Turut hadir Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SK Pengiran Siti Hafsah, Aslamalaitulakma Mohamad, dan Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Karambunai, Amin Mandini.
“Kerana itu, usaha yang lebih giat perlu dilaksanakan oleh pihak sekolah dan PIBG bagi memastikan peningkatan pencapaian murid-murid,” kata Wanihim.
Beliau turut mencadangkan agar diadakan program latih tubi bersama belia dan beliawanis kampung terbabit untuk membantu pelajar tahun enam yang akan berhadapan UPSR.
Wanihim turut memuji usaha YDP PIBG sekolah itu untuk membawa mahasiswa Politeknik Kota Kinabalu sebagai mentor kepada murid-murid tahun lima dan enam.
Sementara itu, Guru Besar SK Pengiran Siti Hafsah, Mohamad Hassan berkata pihak pengurusan sekolah itu akan terus berusaha untuk meningkatkan prestasi pelajar mereka.
“Pihak sekolah juga akan terus menggiatkan usaha dengan melaksanakan pelbagai program yang telah dirancang dari semasa ke semasa bagi mencapai tahap Sekolah Berprestasi Tinggi,” katanya yang juga Pengerusi Pengelola Kejohanan.
Mendapat sokongan daripada Umno Cawangan Sepanggar, temasya ini turut mendapat kerjasama daripada Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SK Pengiran Siti Hafsah, belia dan beliawanis Kg Karambunai dan PKK.
Selain merupakan acara tahunan sekolah, acara ini bertujuan memupuk rasa cintakan sekolah dalam kalangan bekas pelajar selain memupuk hubungan baik antara pihak sekolah dan komuniti setempat.

Kes buli di sekolah catat penurunan 9.42 peratus


Posted on July 15, 2011, Friday
Hasil usaha pencegahan dilakukan oleh pelbagai pihak iaitu sekolah, ibu bapa dan kementerian: Puad


TANJUNG MALIM: Kes buli di sekolah mencatat penurunan sebanyak 9.42 peratus tahun lepas hasil pelbagai usaha pencegahan yang dilakukan banyak pihak antaranya sekolah, ibu bapa dan Kementerian Pelajaran.
Timbalan Menteri Pelajaran Dr Mohd Puad Zarkashi berkata, kementeriannya menerima sebanyak 2,617 laporan kes buli di sekolah sepanjang tahun lepas berbanding 2,889 kes pada tahun 2009 dan 3,107 kes pada tahun 2008.
“Penurunan itu suatu petanda baik dalam usaha kita memerangi gejala buli di sekolah,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Portal E-Buli di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di sini, semalam.
Pelancaran portal itu turut dihadiri Naib Canselor UPSI Prof Datuk Dr Aminah Ayob dan wakil persatuan ibu bapa, guru dan institusi pengajian tinggi awam serta swasta.
Portal yang bertujuan membantu mangsa buli dan menangani penularan gejala tidak sihat itu boleh dilayari menerusi laman web http://ebuli.upsi.edu.my.
Mohd Puad berkata, penurunan kes buli itu bukan satu ‘lesen’ untuk semua pihak mendabik dada malah patut dijadikan pembakar semangat untuk meneruskan usaha mencegah gejala buli di sekolah.
Katanya, langkah terbaik untuk mencegah gejala itu ialah membentuk keperibadian yang cemerlang dalam setiap diri pelajar.
“Dalam membentuk keperibadian pelajar, ibu bapa sebenarnya memainkan peranan yang paling penting bukan menyerahkan bulat-bulat tanggungjawab itu kepada guru di sekolah,” katanya.
Beliau berkata, guru pada masa kini pula tidak sepatutnya terikat kepada tanggungjawab tradisional mereka untuk memberikan ilmu kepada pelajar tetapi turut berusaha membentuk keperibadian pelajar tersebut.
Sementara itu, Mohd Puad turut meluahkan kebimbangannya mengenai gejala negatif di dalam media baru yang mampu memberikan kesan buruk kepada pelajar.
“Kita berusaha membawa pembelajaran digital kepada pelajar antaranya memberikan netbook kepada mereka melalui program netbook 1Malaysia tetapi pelajar kita sekarang banyak gunakan netbook itu untuk lakukan aktiviti yang tidak berfaedah yang memudaratkan mereka, mereka sepatutnya mencari ilmu di Internet,” katanya. — Bernama

Wajib Lulus Bahasa Inggeris 2012

Kerajaan menimbang kemungkinan untuk mewajibkan calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) lulus subjek Bahasa Inggeris sebagai syarat kelayakan untuk mendapatkan sijil menjelang tahun 2012.
Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Mohd. Puad Zarkashi berkata, pertimbangan itu adalah berdasarkan cadangan yang diterima daripada pelbagai pihak dan 85 peratus daripadanya bersetuju untuk melaksanakannya.
Bagaimanapun katanya, beberapa perkara penting perlu diperhalusi bagi meningkatkan mutu pengajaran dan pembelajaran subjek tersebut sebelum ia dilaksanakan.
“Kita tidak mahu terburu-buru dan kita kena pastikan tenaga pengajar mencukupi serta kualiti guru-guru terlibat meningkat.
“Tenaga pengajar luar dari United Kingdom dan Australia seperti yang dicadangkan oleh Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin turut dipertimbangkan bagi tujuan tersebut,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Seminar First Steps di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra anjuran FTM Bina Sdn. Bhd., dan Pearson Education bersama Bahagian Pendidikan Guru, Kementerian Pelajaran di sini semalam.
Jelas Mohd. Puad, untuk melaksanakan perkara tersebut, bahagian kokurikulum dan pentafsiran telah diarah melakukan kajian terperinci.


sumber maklumat : Utusan Malaysia

Bicara Akademia: Jurang akademik

 



Keputusan peperiksaan awam peringkat kebangsaan 1996 hingga 2007 menunjukkan secara keseluruhannya pelajar perempuan mempunyai pencapaian lebih baik berbanding pelajar lelaki dalam hampir semua mata pelajaran bagi peringkat Ujian Pencapaian Sekolah Rendah dan Penilaian Menengah Rendah.

Manakala bagi Sijil Pelajaran Malaysia, pelajar perempuan mengatasi lelaki dalam kebanyakan mata pelajaran misalnya Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik dan Sains.

Jurang perbezaan pencapaian akademik pelajar lelaki dan perempuan di peringkat persekolahan memberi impak kepada enrolmen pelajar di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan ia terbukti apabila jumlah kemasukan pelajar perempuan di IPTA seluruh negara secara umumnya melebihi 70 peratus kebelakangan ini.
Prestasi akademik yang kurang memberangsangkan di peringkat persekolahan menafikan peluang pelajar lelaki melanjutkan pengajian ke IPTA, dan fenomena ini bakal memberi kesan negatif terhadap perkembangan sosioekonomi negara.

Mereka juga terdedah kepada masalah sosial dan potensi mereka keluar daripada sistem persekolahan lebih awal daripada yang sepatutnya juga menjadi lebih tinggi.

Senario ini memberikan cabaran kepada pendidik dan sekolah dalam usaha meningkatkan pencapaian pelajar lelaki di peringkat persekolahan. Faktor yang boleh mengurangkan jurang perbezaan pencapaian pelajar perlu diberi tumpuan dan kajian mendalam.

Hasil kajian saya bersama Nor Aniza Ahmad serta Manisah Mohd Ali mengenai Trend Pencapaian Pelajar Lelaki menunjukkan jenis persekolahan dan gaya pembelajaran antara faktor utama memberi kesan terhadap perbezaan pencapaian di antara jantina.
Kami dapati pelajar perempuan mencapai keputusan lebih baik berbanding dengan lelaki di sekolah satu jantina manakala prestasi akademik pelajar lelaki di sekolah bercampur pula lebih baik daripada sekolah satu jantina.

Dapatan kajian kami turut membuktikan perbezaan ketara gaya pembelajaran antara pelajar lelaki dan perempuan yang turut menjadi penyumbang kepada perbezaan pencapaian pelajar.

Pelajar lelaki lebih cenderung kepada gaya pembelajaran tidak berstruktur iaitu lebih cenderung kepada visual, taktual dan kinestatik serta memerlukan pergerakan dalam suasana tidak formal berbanding pelajar perempuan.

Sebagai contoh, pelajar lelaki lebih suka sesi pembelajaran yang tidak terlalu formal dan membolehkan mereka bergerak.

Mereka sukar memberi tumpuan dalam satu jangkamasa yang lama untuk mendengar pengajaran guru berbanding pelajar perempuan.

Pelajar lelaki juga lebih suka kepada visual seperti program komputer yang mempunyai gambar, berwarna dan gambarajah. Di samping itu, mereka lebih cepat mengingat melalui apa yang dilihat di televisyen, tayangan gambar atau video.

Justeru, guru perlu mempelbagaikan strategi, kaedah dan pendekatan pengajaran yang lebih kreatif, berinovasi serta disesuaikan dengan gaya pembelajaran pelajar lelaki dan perempuan.

Maklumat persepsi pelajar lelaki dan perempuan terhadap gaya pembelajaran yang mereka lebih gemari diharap menjana perspektif baru dalam kalangan pendidik.

Mereka perlu membangunkan kaedah pengajaran dan pembelajaran, sumber dan aktiviti pembelajaran yang sesuai dengan pelajar serta menghapuskan halangan pembelajaran.

Guru boleh mengubahsuai suasana di dalam bilik darjah seperti mobiliti, bunyi dan persekitaran bilik darjah tersebut memenuhi profil gaya pembelajaran yang lebih digemari pelajar lelaki dan juga pelajar perempuan.

Justeru, guru perlu mengambilkira keadaan serta ruang belajar di dalam bilik darjah yang lebih kondusif serta selesa dengan keperluan pembelajaran pelbagai pelajar mereka.

Kursus pendidikan guru dan latihan dalam perkhidmatan yang dijalankan sekolah, pejabat pendidikan daerah dan jabatan pelajaran negeri perlu memberi fokus terhadap perbezaan jenis sekolah dan gaya pembelajaran mengikut jantina bagi meningkatkan kualiti pengajaran dan pembelajaran di bilik darjah.

Pendidikan guru juga dicadang memberi penekanan kepada kurikulum pendidikan yang lebih sensitif kepada jantina dan kepelbagaian pelajar.

Keprihatinan mengenai kepelbagaian gaya pembelajaran anak lelaki dan perempuan ini juga membolehkan ibu bapa menyediakan persekitaran lebih sesuai serta memberi motivasi dan galakan pembelajaran bersesuaian.

 sumber maklumat : Berita Harian
Bicara Akademia: Jurang akademik
Profesor Fakulti Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Datuk Dr Zalizan Mohd Jelas, mengemukakan pandangan mengenai realiti serta cabaran kepada pendidik dan sekolah dalam usaha meningkatkan pencapaian pelajar lelaki seperti disampaikan kepada wartawan pendidikan Berita Harian, Rosniza Mohd Taha.

PERBEZAAN pencapaian antara jantina mula diberi perhatian pada 1970-an apabila pencapaian rendah pelajar perempuan diketengahkan manakala sejak pertengahan 1990-an pencapaian rendah pelajar lelaki mula diperkatakan.

Trend perbezaan pencapaian antara pelajar lelaki dan perempuan itu berterusan hingga kini dan menjadi fenomena menyeluruh serta masih relevan untuk dikaji.

Awalan meN-

Munsyi Md Rasul bin Haron@Amatara Bahagian Matrikulasi 30 Jun 2022 Panduan Bahasa PROSES PENGIMBUHAN 2) Awalan meN- fungsi pengg...