Isnin, 26 September 2011

Seni ekspresif tangani gejala disiplin


Oleh MOHD. FADZLY MOHD. IZAB
pendidikan@utusan.com.my


Remaja terutamanya para pelajar merupakan golongan yang paling sukar untuk diberi nasihat berbeza dengan kanak-kanak atau orang dewasa kerana kelompok ini masih berada dalam satu tahap perkembangan.
Pensyarah Jabatan Pendidikan Kaunselor dan Psikologi Kaunseling, Universiti Putra Malaysia (UPM), Profesor Madya Dr. Rusnani Abd Kadir berkata, golongan remaja ini mampu dinasihati melalui kaedah tertentu yang bersesuaian dengan peringkat umur mereka.
"Di peringkat usia dari 12 hingg 21 tahun, remaja kebiasaannya gemar berada dan melakukan sesuatu perkara secara berkumpulan.
"Mereka belajar secara berkumpulan di sekolah, bersukan dan bermain dalam kumpulan serta menghabiskan masa terluang melakukan aktiviti-aktiviti lain juga secara berkumpulan.
"Oleh yang demikian, golongan ini lebih mudah untuk didekati dan dinasihati dengan pendekatan seni ekspresif seperti terapi berkelompok," katanya.
Beliau berkata demikian ketika membentangkan kertas kerja pada Seminar Pembangunan Profesional Guru Bimbingan dan Kaunseling Peringkat Kebangsaan di UPM Serdang, Selangor, baru-baru ini.
Menurut Rusnani, terapi kelompok adalah salah satu pilihan ideal kerana ia merupakan pendekatan yang selamat dan biasa digunakan.
"Pendekatan secara berkumpulan ini menyediakan ruang yang selamat untuk remaja belajar dan berlatih tentang sosial atau kemahiran diri seperti bekerjasama, mengikut giliran dan pengurusan rasa marah," jelasnya.
Katanya lagi, dalam mewujudkan sesebuah kumpulan remaja, ahli terapi perlu menimbangkan keperluan, keupayaan dan diagnosis potensi seseorang ahli.
"Kumpulan yang diwujudkan berdasarkan sesuatu isu lebih cepat mendapat kefahaman sesama mereka berbanding kumpulan yang diwujudkan berdasarkan umur," ujarnya.
Rusnani menjelaskan, tidak seperti orang dewasa, remaja memerlukan lebih banyak cara inovatif dalam menyuarakan perasaan selain menggunakan pendekatan terapi pertuturan.
"Kumpulan terapi seni ekspresif ialah satu cara yang sempurna bagi membolehkan golongan remaja berkomunikasi tentang idea-idea dan perasaan sukar melalui pelbagai medium artistik.
"Terapi seni membantu golongan ini menyelesaikan masalah, meningkatkan harga diri, membina kemahiran sosial dan pengurusan tingkah laku," terang beliau.
Rusnani memberitahu, kumpulan-kumpulan terapi seni memerlukan lebih persediaan daripada kumpulan terapi perbualan.
Hal ini kerana, katanya, ketua kumpulan bertanggungjawab untuk merancang topik sesi, mendapatkan bahan-bahan perlu dan menstrukturkan sesi supaya ahli-ahli boleh menyiapkan kerja seni mereka serta mempunyai masa untuk perbincangan.
"Sesi terapi seni ekspresif biasanya diadakan selama satu setengah hingga dua jam dan 12 hingga 30 minit pertama merupakan gerakan memanaskan badan.
"Manakala 20 hingga 45 minit pula ditumpukan kepada kegiatan seni dan diakhiri dengan perbincangan lanjutan," jelasnya.
Pada penghujung setiap sesi, ujarnya, ahli-ahli boleh berkongsi ciptaan mereka, membincangkan perasaan tentang kegiatan itu dan memperbaiki kekurangan jika perlu sebelum mereka kembali ke dunia sebenar.

Awalan meN-

Munsyi Md Rasul bin Haron@Amatara Bahagian Matrikulasi 30 Jun 2022 Panduan Bahasa PROSES PENGIMBUHAN 2) Awalan meN- fungsi pengg...