Potensi diri begitu unik sebenarnya. Ramai yang menyatakan potensi sebagai nasib atau tuah yang berlaku di luar kawalan individu. Sebenarnya potensi boleh dikesan, dipupuk seterusnya digilap untuk menghasilkan kejayaan yang cemerlang.
Melalui kekuatan dan kelemahan yang kita ketahui memudahkan kita membuat perancangan. Sebarang kesilapan perlu diperbaiki dan kekuatan wajar dikekalkan.
Individu yang gagal berkemungkinan tidak kenal dirinya sendiri. Sebaliknya, mereka yang terus mencipta kejayaan demi kejayaan faham dan tahu tentang kehendak diri .
Ketua Pegawai Eksekutif Richworks Resources Sdn. Bhd., Dr. Azizan Osman berkata, setiap individu perlu mengenalpasti potensi diri dan mencari kekuatan serta mengetengahnya secara positif.
Tidak dinafikan manusia memiliki sifat-sifat negatif, namun ia boleh dikurangkan. Apa yang penting ialah kita perlu mendalami diri sendiri, cuba melakukan terbaik dan seterusnya menerima diri seadanya.
''Untuk mencari potensi diri, pelbagai cara boleh dilakukan. Namun kepercayaan dan daya usaha menjadi pemangkin kepada kejayaan mencapai potensi diri. Begitu juga dengan tindakan yang menjurus kepada apa yang ingin dicapai mestilah selari dengan matlamat yang diimpikan.
"Pelbagai cara boleh dilakukan bagi mengenali potensi diri seperti melalui cap jari, senarai soalan, anak mata, tahi lalat dan tarikh lahir,'' katanya ketika ditemui di Shah Alam, baru baru ini.
Beliau yang mempraktikkan kaedah tarikh lahir menyatakan, apabila telah mengenali potensi diri sekali gus boleh membangunkan diri, kenal pasti rakan bisnes yang sesuai atau tidak, suami isteri, anak tidak mahu belajar, pekerjaan dan pelajaran.
Lafazkan kata-kata seronok
Sementara itu, seseorang itu perlu sentiasa melafazkan kata-kata seronok bagi memberi lonjakan semangat kepada diri, keluarga atau rakan.
''Mulakan melafazkan kata-kata seronok atau puji-pujian kepada pasangan atau anak-anak. Insya-Allah apabila sifat-sifat positif itu telah tertanam di dalam minda, maka kejayaan akan menyusul kemudian dan seterusnya kekayaan,'' ujarnya.
Menurut Dr. Azizan, kata-kata pujian atau seronok memang agak susah untuk diterima. Bagaimanapun, kita harus memulakannya kerana inilah sebenarnya kunci kepada menaikkan semangat kita dalam mencapai kejayaan dan matlamat yang diimpikan.
''Selalunya, saya akan menasihatkan pasangan suami isteri untuk menulis kata-kata seronok atau impian mereka. Contohnya suami buat kenyataan; saya kacak, saya kaya, saya berjaya. Buat dalam lima hingga 10 kenyataan. Isteri juga buat seperti; saya cantik, saya kurus, saya berjaya.
''Lepas tu tukar kenyataan-kenyataan itu. Suruh suami baring dan usap kepala dan baca kenyataan yang suami buat. Suami juga lakukan untuk isteri. Seeloknya buat sebelum tidur selama 21 hari.
Lakukan selama 21 hari
''Kenapa 21 hari kerana kitaran lengkap sel di dalam minda lengkap selama 21 hari. Setiap sel ada ingatan kepada apa yang selalu diperkatakan atau diprogramkan. Sekiranya dilakukan selalu, insya-Allah apa yang dihajati akan menjadi realiti dan hubungan suami isteri lebih rapat, kurang bergaduh dan lebih memahami,'' ujar penerima anugerah Platinum Awards 2004/2005 dari Cobra Group, England.
Beliau yang fasih berbahasa Cina memberitahu, perkara ini boleh juga dibuat untuk anak-anak. Sebagai contoh, jika anak susah hendak mendengar cakap atau susah hendak belajar, dinasihatkan semasa anak itu tidur, usap kepalanya lalu katakan seperti dia anak yang baik, dengar cakap ibu, dia anak yang pandai dan kata-kata positif yang lain.
''Ramai ibu bapa silap jika anaknya nakal, dia cakap jangan nakal, psikologi itu tidak betul. Cara yang betul ialah kamu anak yang baik, kamu ini anak yang dengar cakap.
''Kenyataan positif ini penting sebab minda ini mempunyai berjuta-juta sel yang mengeluarkan bahan kimia yang dipanggil serotonin. Bila kita menyatakan perkataan yang gembira, serotoninini akan mengeluarkan sel-sel yang padu yang boleh menerima kenyataanbagi disimpan di dalam minda. Waktu tidur dipilih kerana pada masa inilah alpha brain wave berada pada tahap tenang dan maksimum. Bila buat seterusnya selama 21 hari, anda akan lihat perubahannya.
''Jika tidak gembira, minda akan mengeluarkan ceretin. Bila keluar ceretin negatif, dia menarik situasi negatif. Sebagai contoh, bangun pagi dah terlambat, kelam kabut, pergi pula gosok baju, bocor pula, ada sahaja yang tidak kena sepanjang hari. Ini kerana bangun pagi pada frekuensi alpha, minda kita sudah negatif lalu akan menarik lebih banyak perbuatan menjadi huru hara.
''Sebab itulah kita kena bertenang, selawat untuk lebih relaks,'' katanya yang telah mendalami ilmu metafizik iaitu mengenal diri melalui tarikh lahir sejak di tingkatan tiga lagi.
Bodoh, nakal jangan disebut
Pemegang Ijazah Doktor Falsafah Sains Metafizik Gordon University, Florida, Amerika Syarikat ini turut menegaskan, kesan sekiranya disebut 'bodoh', 'nakal' berulangkali kepada isteri atau anak-anak turut akan tertanam di dalam minda mereka. Akhirnya mereka mengakui sendiri bahawanya mereka sememangnya bodoh dan nakal.
''Sebab itulah kita perlu berhati-hati dalam mengeluarkan kata-kata terutama pada anak-anak dan suami isteri kerana ia adalah sebahagian daripada doa,'' katanya yang bermentor kepada seorang pakar bidang metafizik terkenal, T. Harve Eker dari Kanada.
Menurut Dr. Azizan, pasangan juga harus saling puji memuji kerana ia boleh membuatkan getaran kebahagiaan dan kekayaan. Selain itu, sentiasa berterima kasih pada suami isteri selain berterima kasih kepada Tuhan.
Sementara itu, mengenai program percuma bengkel Rahsia Tarikh Lahir- Kenali Potensi Diri yang akan diadakan di seluruh negara bermula 30 Januari ini di Shah Alam, bolehlah layari www.skpd2010.com untuk mendapatkan maklumat lanjut atau hubungi 013-2442244.
Sumber: Utusan Malaysia, 26 Jan 2010