Selasa, 18 Oktober 2011

Tatacara Penggunaan Alternatif Pencahayaan ( Lilin / Pelita )


Laman Web Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia



Pengendalian lilin / pelita yang tidak betul boleh mengakibatkan bencana. Statistik kebakaran menunjukkan bahawa kebakaran rumah akibat penyalahgunaan lilin / pelita kian meningkat.
  • Pastikan lilin atau sebarang punca api yang digunakan di dalam pengawasan anda.
  • Padamkan semua lilin sebelum meninggalkan bilik atau sebelum tidur.
  • Penggunaan liIin di dalam bilik tidur adalah tidak digalakkan. Jika tidak dapat dielakkan, pastikan lilin diletakkan di tempat yang bebas dari langsir, kain, perabot, majalah dan suratkhabar.
  • Pastikan lilin tidak diletakkan berhampiran dengan cecair mudah bakar.
  • Elakkan memasang Iilin berhampiran tingkap atau pintu, di mana ia terdedah kepada tiupan angin yang boleh mengakibatkan ia mudah terbakar bila bertindak balas dengan api.

GUNAKAN PEMEGANG LILIN YANG:
  • Stabil. Tidak mudah menjadi condong atau miring.
  • Bukan daripada bahan mudah bakar.
  • Mempunyai ruang yang mencukupi bagi mengumpul titisan lilin atau jika lilin terjatuh.
Letakkan lilin di atas tempat yang stabil, dan di atas permukaan meja yang tidak bersepah, jauh daripada bucu meja.
Elakkan dari terjaluh akibat dilanggar oleh kanak-kanak, binatang peliharaan atau tikus dan jika terjaluh pastikan ia tidak berhampiran atau terkena bahan mudah bakar. Hidupkan lilin dengan cermat.
Pastikan rambut dan pakaian anda bebas dari punca api.
Pastikan sumbu lilin digunting pada satu perempat inci sebelum digunakan.
Padamkan lilin jika ia terbakar dalam dua inci dari pemegang Iilin.
Padamkan lilin dengan cermat menggunakan pemadam lilin atau tiup lilin dengan perlahan-Iahan.
Padamkan dan sejukkan balang mancis yang digunakan bagi menghidupkan lilin sebelum membuangnya.

PENGGUNAAN LILIN DAN KANAK-KANAK
Berdasarkan statistik kebakaran, ia menunjukkan bahawa hampir sepuluh peratus kebakaran berlaku di rumah adalah berpunca dari kanak-kanak akibat pengendalian lilin yang tidak betul.
  • Jauhkan lilin yang sedang menyala daripada kanak-kanak bermain dengan lilin mahupun titisan lilin dan pastikan ia tidak terkena dengan sebarang bahan mudah bakar.
  • Pastikan anda mengawasi Iilin atau sebarang punca api yang terdedah walaupun seketika, terutamanya apabila terdapat kanak-kanak.
  • Kanak-kanak perlu diberi penerangan tentang bahaya api lilin.
  • Letakkan liIin, mancis dan pemetik api di tempat yang tinggi supaya tidak boleh dicapai oleh kanak-kanak, terutamanya di dalam kabinet yang berkunci.
Semasa bekalan elektrik terputus di kebanyakan rumah, lilin biasanya dijadikan alternatif sumber cahaya. Elakkan dari menggunakan lilin ketika kecemasan.
  • Sentiasa sediakan lampu suluh dan bateri sebagai pengganti lilin.
  • Pastikan anda tidak mengangkat lilin yang sedang menyala.
  • Sebaiknya anda tidak menggunakan lilin yang dipasang bagi melihat atau menerangi semasa menambah cecair mudah bakar.
  • Padamkan semua lilin sebelum meninggalkan bilik atau sebelum tidur.

Tip Keselamatan Kebakaran


Laman Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia





Senarai semak ringkas panduan keselamatan kebakaran berikut dapat membantu anda mencegah kebakaran :
  1. Disyorkan supaya memasang alat pengesan asap di setiap tingkat. Tempat yang sesuai ialah pada siling, di dalam kurungan tangga, bilik tidur dan ruang tamu.
  2. Pastikan ada dua laluan kecemasan dari setiap bilik dan semua penghuni tahu serta telah berlatih menggunakannya.
  3. Jangan sekali-kali merokok sambil berbaring di atas katil semasa berada dalam keadaan mengantuk, mabuk atau setelah mengambil ubat-ubatan yang boleh menyebabkan mengantuk.
  4. Gunakan bekas habuk rokok yang besar dan berat. Pastikan puntung rokok dipadamkan sepenuhnya sebelum dibuang.
  5. Elakkan membuat penyambungan atau membebankan litar elektrik.
  6. Letakkan mancis dan pemetik api di tempat yang tinggi supaya tidak boleh dicapai oleh kanak-kanak.
  7. Bekas-bekas yang mengandungi cecair mudah bakar hendaklah disimpan di tempat yang jauh dan selamat dari punca api dan kanak-kanak.
  8. Jangan biarkan lilin menyala tanpa diawasi walaupun sesaat dan jauhkannya dari kanak-kanak.
  9. Anda disyor meletakkkan satu unit Alat Pemadam Api jenis debu kering ataupun jenis gas di rumah.

Pasukan Bertindak Hak Pengguna (CONSUMER RIGHTS TASK FORCE (CTRF)



Laman Web
Persatuan Pengguna Islam Malaysia

Pasukan Bertindak Hak Pengguna



RASIONAL

1. Terlalu banyak masalah yang dihadapi oleh para pengguna di Negara ini yang menemui jalan buntu. Kebanyakan masalah yang dihadapi ini berlarutan terlalu lama tanpa sebarang penyelesaian pengguna sehingga mengambil masa bertahun-tahun masih tidak dapat diselesaikan serta tidak nampak jalan penyelesaiannya.
2. Pengguna terus merana dan sengsara dengan masalah yang dihadapi dari masalah rumah terbengkalai, kerenah syarikat telekomunikasi (telco), penindasan bank, permasalahan logo halal dan kegagalan fungsi Baitulmal, kegagalan GLC serta banyak lagi bebanan yang akhirnya telah diertikan oleh masyarakat sebagai kegagalan kerajaan yang memerintah. Bagi kami kelemahan dan sinario ini adalah sebagai mensabotaj rancangan dan aspirasi kerajaan oleh badan-badan dokongan kerajaan sendiri. Ia lebih mudah diertikan sebagai gunting dalam lipatan atau duri dalam daging.
3. Pengguna tidak lagi harus berdiam diri dan mengharap semata-mata tetapi mengambil tindakan proaktif bagi bersatu bergerak bersama untuk menyelesaikan masalah mereka.


4. Bagi tujuan ini, Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) mengambil inisiatif untuk mewujudkan Sekretariat Pasukan Tindakan Hak Pengguna (Consumer Rights Task Force Secretariat-CRTF) bagi menangani semua masalah ini dengan terlebih dahulu membuat kajian dari aspek undang-undang, pemantauan, penyelidikan, koordinasi, simulasi dan terus mengambil tindakan kepenggunaan yang berkesan sehingga mengatur gerakan mengadakan demonstrasi, boikot dan saman.
5. Sehubungan dengan itu, kami ingin memohon kerjasama semua pihak untuk sama-sama menyokong sekretariat ini bagi menjaga hak pengguna dan hak rakyat secara bersistematik, pantas dan berkesan.
"BERSAMA KEMBALIKAN HAK DAN MARUAH DENGAN BIJAKSANA"
PASUKAN BERTINDAK HAK PENGGUNA
HOTLINE : 019-6655544 / 019-9130000 FAX: 0342566617
PROACTIVECONSUMER.BLOGSPOT.COM
.......................................................................................
Berikut adalah hak-hak pengguna seperti yang terkandung di dalam perundangan negara yang mesti dipertahankan. Pengguna yang bertanggungjawab mesti bertindak memelihara hak-hak tersebut.

Hak-hak Pengguna

Pengguna yang bertanggungjawab adalah pengguna yang menyedari hak-haknya sebagai pengguna dan bertindak dengan penuh bijaksana dan bertanggungjawab. Lapan hak pengguna yang perlu diketahui dan difahami ialah:

Hak untuk mendapatkan keperluan asas

Pengguna berhak mendapatkan barang dan perkhidmatan asas bagi menjamin kehidupan yang memuaskan di dunia moden ini. Keperluan asas ini termasuk makanan yang mencukupi dan selamat, pakaian, perumahan, kemudahan kesihatan dan pendidikan, dan sebagainya

Hak untuk mendapatkan keselamatan

Pengguna dilindungi daripada pemerosesan dan pemasaran barang serta perkhidmatan yang boleh membahayakan pengguna.

Hak untuk mendapatkan maklumat

Pengguna mesti diberi maklumat yang mencukupi dan tepat untuk memudahkannya membuat keputusan yang bijak. Pengguna hendaklah dilindungi juga daripada dakyah pengiklanan, pelabelan dan amalan lain yang palsu, penipuan dan penyelewengan.

Hak untuk membuat pilihan

Pengguna dipastikan mendapat maklumat langsung mengenai pelbagai keluaran dan perkhidmatan. Pengguna perlu diberikan penerangan yang dapat memberi pilihan dalam membuat keputusan. Perlu ada jaminan bagi menentukan mutu dan perkhidmatan memuaskan dengan harga yang berpatutan.

Hak untuk bersuara

Ini bagi memastikan kepentingan pengguna mendapat pertimbangan yang sewajarnya dalam penggubalan dasar kerajaan dan tindakan yang cepat serta saksama daripada pentadbiran pengadilan.

Hak untuk mendapatkan ganti rugi

Pengguna berhak mendapat penyelesaian untuk pembelian keluaran yang cacat atau berbahaya ataupun perihal dagangannya yang `mengelirukan' serta pampasan bagi perkhidmatan yang menyeleweng atau tidak menepati perjanjian.
Ganti rugi harus diberi bagi keluaran atau perkhidmatan yang mengakibatkan kecederaan kepada penggunanya yang menggunakan keluaran atau perkhidmatan itu mengikut arahan pengeluar. Ganti rugi juga wajib diberikan kepada pengguna yang menjadi mangsa akibat kecuaian majikan.

Hak untuk mendapatkan pendidikan pengguna

Pengguna berhak mendapat pendidikan pengguna yang mencukupi dan berterusan. Ini kerana sistem pendidikan lazimnya tidak memberi perhatian yang sewajarnya kepada pendidikan pengguna. Falsafah pendidikan pengguna masa ini lebih cenderung melatih pelajar menjadi pekerja atau majikan yang berkesan dan kurang melatih bagaimana hendak menjadi pengguna yang bijak.

Hak untuk mendapatkan alam sekitar yang sihat dan selamat

Pengguna berhak hidup dan bekerja dalam alam sekitar yang bersih dan sihat serta bebas daripada sebarang keadaan yang berbahaya. Hak ini diperjuangkan oleh pengguna kerana kadar pencemaran kian meningkat dan adanya unsur alam semula jadi yang semakin pupus atau dimusnahkan.
............................................................................

Ikrar

Pasukan Tindakan Hak Pengguna sedaya upaya akan memastikan hak-hak tersebut terpelihara dan para pengguna terlindung dari kerakusan para kapitalis yang menggunakan pelbagai cara untuk menindas dan menidakkan hak-hak tersebut.

Sekiranya mereka boleh berhelah dan mampu menggunakan pelbagai helah dan propaganda untuk menekan kita, maka kita juga boleh menggunakan taktik yang lebih bijak untuk memelihara hak-hak kita.

Pelbagai pendekatan dan strategi akan dilaksanakan, antaranya : Menyiasat, Mengenalpasti, Menuntut Hak, Menghebohkan, Memboikot, Memprotes, Mencegah dan Mengambil Tindakan Undang-undang.

Para pengguna sudah bosan dengan mainan kapitalis ini. Pengguna sudah jelak dengan janji-janji manis mereka, Pengguna sudah terlalu lama berdiam diri dan menunggu. Akhirnya kerugian terpaksa ditanggung dan menyebabkan keluarga pula jadi porak peranda serta masyarakat menjadi kacau bilau tanpa pembelaan tepat, pantas dan sewajarnya.

Kita tidak boleh hanya mengharapkan kerajaan melakukan semua kerja. Kita tidak lagi menjadi masyarakat yang menunggu disuapkan makanan kemulut. Perkataan "biarkanlah" "ada aku kisah?" "tak apa lah" "itu bukan masalah aku" "itu bukan anak keluarga aku" dan pelbagai lagi perkataan yang hanya menggambarkan sikap mementingkan diri perlu segera dilemparkan dan dibenamkan sejauh-jauhnya kerana masanya sudah tiba. Pengguna Perlu Bergerak, Pengguna Perlu Bertindak, Pengguna Perlu Bersatu. Kita perang habis-habisan mereka yang cuba menipu, mencengkam dan menindas kita.

Sudah tiba masanya rakyat dan para pengguna Bertindak! Bertindak! Bertindak!

"BERSAMA KEMBALIKAN HAK DAN MARUAH DENGAN BIJAKSANA."
PASUKAN BERTINDAK HAK PENGGUNA
HOTLINE : 019-6655544 / 019-9130000 FAX: 0342566617
PROACTIVECONSUMER.BLOGSPOT.COM

Penan di Baram buat sekatan balak lagi


MALAYSIA KINI


Masyarakat Penan sekali lagi dilaporkan membuat sekatan dalam usaha untuk menghalang kayu balak dikeluarkan daripada penempatan mereka di kawasan pertengahan Baram.

Menurut NGO, Dana Tabung Bruno Manser (BMF), kira-kira 70 masyarakat dari perkampungan Ba Abang dan Long Kawi membuat sekatan ke atas jalan pembalakan berhampiran sungai Ba Bunau. Tindaklan itu bagi menghalang syarikat Interhill yang berpangkalan di Miri daripada mengeluarkan balak.


"Mengikut maklumat daripada masyarakat tempatan, sekatan telah didirikan pada Khamis lalu, dan telah dihadiri oleh lebih daripada 70 penduduk pribumi Penan," kata NGO itu.

BMF, dalam kenyataan satu akhbar semalam, berkata bahawa sekatan itu didirikan di kawasan yang dituntut sebagai tanah adat (NCR) masyarakat Ba Abang.NGO yang berpangkalan di Switzerland dan diasaskan bagi memperingati aktivis alam sekitar, Bruno Manser yang hilang di Sarawak pada tahun 2000, berkata bahawa masyarakat Penan menuduh Interhill "melakukan pembalakan secara agresif dan merosakkan alam sekitar sejak beberapa bulan yang lalu"."Usaha oleh masyarakat untuk berunding dengan Interhill didakwa telah gagal. Interhill pernah  dituduh melakukan tindakan yang sama pada tahun 2009."BMF difahamkan bahawa Interhill telah meminta bantuan polis dan Jabatan Perhutanan untuk membubarkan sekatan tetapi masyarakat Penan berkeras meneruskan protes mereka," kata BMF lagi.

Beberapa sekatan-sekatan yang dilakukan oleh masyarakat Penan terhadap pembalak sebelum ini lazimnya didakwa disambut dengan pelbagai ugutan oleh pihak berkuasa.

Pada tahun 2009, enam masyarakat Penan dari Baram tengah telah a memfailkan kes tuntutan tanah NCR dan meminta lesen pembalakan yang dikeluarkan oleh kerajaan diisytiharkan batal dan tidak sah.Kes-kes itu masih belum selesai dibicarakan di Mahkamah Tinggi Miri.

Jangan Salah Guna Bantuan Kewangan Pelajar


Berita Sabah
The Borneo Post
by AMIR ANUAR
PENYERAHAN SIJIL… Tawfiq menyampaikan sijil kepada salah seorang
 Ahli Jawatankuasa PIBG.


TAWAU: Golongan ibu bapa diingatkan supaya jangan menyalah-gunakan bantuan kewangan anak masing-masing yang diperuntukkan oleh pihak kerajaan pusat sebagaimana yang diumumkan oleh Perdana Menteri semasa pembentangan Bajet 2012 pada awal bulan ini.
Pembantu Menteri Kewangan, Datuk Tawfiq Abu Bakar Titingan berkata bantuan RM100 kepada setiap pelajar sekolah bermula tahun hadapan perlu dimanfaatkan sepenuhnya untuk keperluan anak-anak mereka.
“Bantuan itu seharusnya dimanfaatkan untuk setiap keperluan anak-anak termasuk pakaian seragam sekolah agar para pelajar dapat menikmati suasana pembelajaran yang selesa,” katanya semasa merasmikan mesyuarat agung Persatuan Ibu Bapa dan Guru SK Titingan di sini kelmarin.
Menurutnya, rakyat seharusnya bersyukur di atas pemberian bantuan itu lebih-lebih lagi pihak kerajaan turut memansuhkan yuran pendidikan persekolahan para pelajar sekaligus keputusan itu dilihat mampu meringankan beban golongan ibu bapa.
Tawfiq berkata, keputusan itu jelas menunjukkan tentang keprihatinan kerajaan Barisan Nasional terhadap aspek pendidikan anak-anak selain memahami kos persekolahan yang ditanggung oleh golongan ibu bapa khususnya yang berpendapatan rendah dan sederhana.
“Kerajaan turut memberikan keutamaan di dalam usaha untuk meringankan kos sara hidup rakyat dengan memperkenalkan bantuan sebanyak RM500 kepada isi rumah berpendapatan di bawah RM3,000 sebulan.
“Tanggungjawab ibu bapa pula untuk memastikan anak masing-masing menerima pendidikan sempurna sehingga ke peringkat tertinggi untuk mendapat pekerjaan yang mampu menjamin masa depan bukan saja dirinya sendiri tetapi kepada ahli keluarga,” tambahnya.
Dalam pada itu, Tawfiq yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Apas menyerahkan sumbangan RM10,000 kepada pihak sekolah untuk pembinaan surau dan RM20,000 bagi membaikpulih jambatan yang menjadi penghubung di antara Kg Titingan dan Tawau Lama.

Masih ramai pelajar sekolah menengah yang buta huruf di Sabah?


Berita Sabah
The Borneo Post


KOTA KINABALU: Pergerakan Pemuda Umno Putatan menggesa pihak Jabatan Pelajaran Negeri dan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memberikan perhatian menyeluruh kepada masalah pelajar-pelajar sekolah menengah yang buta huruf di negeri ini.
Ketua Pemuda Umno Putatan, Ir Shahelmey Yahya berkata masih ramai pelajar sekolah menengah tidak pandai membaca sama ada di bandar ataupun kawasan pedalaman dan ia adalah satu masalah yang mampu memberikan impak negatif kepada para pelajar selepas tamat pembelajaran di sekolah mereka.
“Berdasarkan penemuan kita, terdapat beberapa pelajar di sekolah-sekolah menengah di sekitar ibu negeri yang masih belum pandai membaca dan ia adalah merupakan masalah meruncing sekiranya tidak ditangani secara rasional dan bijak.
“Sehubungan itu, Pemuda Umno Putatan menggesa pihak bertanggungjawab untuk mengambil tindakan sewajarnya bagi mengenal pasti punca dan seterusnya menyelesaikan masalah pelajar yang buta huruf ini,” katanya sambil menambah di kawasan pedalaman juga berkemungkinan besar mempunyai golongan pelajar buta huruf bukan sahaja di pusat-pusat bandar atau daerah seperti mana diketahui oleh pihaknya.
Tambah Shahelmey, perkara sedemikan amat perlu diberikan perhatian segera malah menurut penemuan pihaknya, ada pelajar yang sedang menghadapi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) merupakan golongan buta huruf.
“Lantaran itu, kita mencadangkan pihak berkaitan untuk mengkaji polisi berkenaan seperti mewujudkan kelas khas kepada golongan pelajar buta huruf terbabit, kerana bukan sedikit melalui penemuan baru-baru ini, ada pelajar tingkatan lima di beberapa buah sekolah masih belum pandai membaca.
“Ini benar-benar berlaku dan kita takut sekiranya golongan ini tamat persekolahan apa akan jadi kepada mereka? Ia akan menyukarkan dari segi ruang persaingan kerjaya dan sedikit sebanyak mempengaruhi kehidupan mereka nanti.
“Bukankah kita mahu menyelaraskan program transformasi negara dengan melahirkan belia-belia yang terdidik dengan asuhan di sekolah-sekolah. Kalau perkara ini berlarutan akan menjejaskan kredibiliti sistem pendidikan di negara kita, khususnya di Sabah,” katanya.
Shahelmey berkata demikian selepas merasmikan Program Smart Jawab SPM 2011 anjuran Pergerakan Pemuda Umno Putatan di SM La Salle dekat sini Sabtu lalu.
Seramai 214 peserta mengikuti program berkenaan yang terdiri daripada pelajar dari SM La Salle, SMK Putatan, SMK Tansau, SM Stella Maris, SMK Pulau Gaya, SMK Kolombong dan SMK Sanzac.
Beberapa penceramah diundangkan khas yang juga terdiri daripada guru-guru cemerlang di sekolah masing-masing untuk menyampaikan motivasi dan ceramah berhubung mengoptimakan keputusan SPM para pelajar.
Dalam pada itu, Shahelmey berkata program itu dilaksana untuk tahun ketiga dan pihaknya menerima respon positif daripada peserta dan guru-guru.
“Program Smart Jawab SPM 2011 ini adalah untuk memperkenalkan teknik-teknik menjawab dan mengoptimakan jawapan-jawapan untuk peperiksaan berkenaan.
“Ini merupakan inisiatif pihak kita untuk anak-anak dalam persediaan menghadapi SPM pada bulan hadapan.
“Pada asalnya, peserta dipilih berdasarkan kepada golongan yang tidak menonjol dalam pembelajaran mereka namun untuk kali ini, ada juga mempunyai rekod cemerlang turut mengambil bahagian.
Katanya, Pemuda Umno Putatan turut merakamkan penghargaan kepada pihak Universiti Teknologi Mara (UiTM) kerana menyediakan bantuan pengangkutan dengan dua bas khusus kepada peserta-peserta Smart Jawab SPM 2011 berkenaan bersempena Program Merubah Destinasi Anak Bangsa (MDAB).

Sentuhan wanita diperlukan


Utusan Borneo
by Sandy Mark Luna
TAHNIAH: Taib menyampaikan Anugerah Datuk Patinggi Laila Taib kepada Empiang sambil
disaksikan oleh Fatimah (tengah).


Penglibatan wanita jayakan transformasi masyarakat kepada struktur baharu
KUCHING: Penglibatan wanita melengkapkan sekali gus mampu menjayakan usaha kerajaan mentransformasikan masyarakat kepada sebuah struktur yang baharu.
Menurut Ketua Menteri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud, golongan wanita kini mempunyai pengalaman yang cukup untuk menerima bentuk-bentuk perubahan yang baharu dalam menuju usaha tersebut.
“Saya percaya mereka dapat menunjuk jalan menuju ke arah transfromasi ini ke-rana ada antara mereka yang begitu jelas sekali memiliki bakat lebih baik dan pengalaman lebih luas untuk memimpin wanita mengambil peranan lebih sempurna pada masa akan datang.
“Jika kita dapat mempu-nyai sentuhan wanita dalam semua usaha mentransformasikan masyarakat kita ke struktur yang baru, saya yakin kita dapat berjaya,” katanya ketika berucap merasmikan sambutan Hari Wanita Peringkat Negeri di sini, semalam.
Hadir sama, isterinya Puan Sri Ragad Kurdi Taib, Timbalan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu serta isteri Dato Sri Empiang Jabu dan Menteri Kebajikan, Wanita dan Pembangunan Keluarga Datuk Fatimah Abdullah.
Taib memberitahu, wanita juga mampu memainkan peranan lebih besar untuk menjalinkan perpaduan dalam masyarakat.
Beliau turut menjadikan Fatimah sebagai contoh wanita di negeri ini yang berbakat dalam menyiapkan masyarakat untuk menuju ke arah transformasi.
Ini dibuktikan dengan keupayaan Fatimah mentafsirkan tujuan kerajaan merombak semula tugas bagi menyambut perubahan akan datang ketika beralih daripada status ekonomi berpendapatan se-derhana kepada ekonomi berpendapatan tinggi, katanya.
Beliau menjelaskan, wanita-wanita yang mahu menyumbang kepada pembangunan masyarakat di negeri ini tidak semestinya mempunyai label tertentu dari segi profesion mereka.
“Itu apa yang Fatimah lihat dalam peranannya sebagai Menteri Kebajikan, Wanita dan Pembangunan Keluarga.
“Saya harap beliau dapat membawa wanita-wanita lain bersamanya,” katanya.

Bulan Kewangan Berhemat




Bulan Kewangan Berhemat merupakan inisiatif FOMCA untuk menggalakkan tabiat kewangan yang sihat di kalangan rakyat Malaysia. Bulan Oktober telah dipilih untuk dijadikan Bulan Kewangan Berhemat Nasional dengan temanya ‘Tanggungjawab Kewangan Bermula Dengan Saya’.

Untuk memastikan kewangan peribadi anda sentiasa berada dalam situasi kesejahteraan, adalah penting untuk anda belajar atau mengkaji semula asas-asas belanjawan, cara untuk menguruskan kredit, membina simpanan, melindungi aset anda, bersedia untuk persaraan dan melindungi diri anda daripada penipuan.

Bulan Kewangan Berhemat Oktober memberi peluang yang sempurna bagi setiap individu untuk menetapkan beberapa matlamat kewangan peribadi dan membuat komitmen ke arah meningkatkan tabiat kewangan kita.


Layari laman web ini dihttp://www.fomca.org.my/kewangan/

Anjing liar ‘cemari’ Sarikei


by Kepu Sidi
Utusan Borneo


BERKELIARAN: Antara gelagat beberapa ekor anjing liar sedang berkeliaran
di Jalan Repok, yang dapat dirakam oleh lensa kamera pemberita, semalam.



Ia mengundang rasa resah, suasana tidak selesa di kalangan penduduk dan pengunjung ke bandar ini

SARIKEI: Masalah kehadiran anjing liar di sekitar bandar ini mengundang rasa resah dan suasana tidak selesa di kalangan penduduk dan pengunjung yang berkunjung ke bandar ini.
Tinjauan pemberita ke beberapa lokasi yang sering diadukan oleh masyarakat sebagai ‘tumpuan’ anjing liar ini mendapati apa yang diadukan oleh masyarakat itu adalah benar.
Kawasan pasar basah, Tamu Nyelong serta beberapa kawasan kedai makan merupakan tumpuan utama sekumpulan anjing liar berkeliaran untuk mencari sisa-sisa makanan yang telah ditinggalkan.
Pekerja sebuah kedai menjual daging segar dan sejuk beku, Wong Lai Meng, 35, berkata, situasi anjing liar ini bukan hanya menjejaskan imej bandar tetapi turut mendatangkan kesan-kesan samping yang lain.
“Anjing liar ini juga antara punca menyebabkan longgokan sampah diselongkar sehingga menjejaskan kebersihan persekitaran.
“Pemandangan seperti ini akan memberi imej yang tidak baik kepada Sarikei, terutama dalam usaha menjadikan bandar ini sebagai sebuah bandar agropolitan,” kata Wong ketika ditemui pemberita, semalam.
Bagi Ahmad Nizam, 52, dari Kampung Seberang Sarikei pula berkata, kehadiran anjing-anjing liar ini boleh memberi ancaman keselamatan kepada masyarakat jika ia tidak diatasi dengan segera.
“Anjing-anjing ini selalu kami jumpa berkeliaran di jalan-jalan raya dan keadaan ini boleh mengundang bahaya kepada para pengguna jalan raya iaitu boleh mengakibatkan kemalangan.
“Sehubungan itu saya menyeru kepada pihak yang bertanggungjawab agar segera mengambil tindakan dan langkah untuk mengatasi masalah ini sebelum kejadian yang tidak diingini berlaku.
“Buat masa ini mungkin anjing itu tidak ganas tetapi siapa tahu keadaan boleh menjadi buruk jika ia terlalu lapar, ia mungkin bertindak agresif,” kata Ahmad.
Dalam tinjuan yang dilakukan oleh pemberita semalam mendapati anjing-anjing liar ini kerap berada dalam kelompok yang membabitkan jumlah sekitar tiga hingga enam ekor dalam satu kumpulan dan merayau dari satu kawasan ke kawasan lain.
Fenomena ini akan menjadi lebih jelas kelihatan pada sebelah petang apabila kebanyakan premis perniagaan sudah mula tutup dan peluang sebegini akan menjadikan anjing-anjing berkenaan bergerak aktif untuk mencari makanan dengan menyelongkar tong dan longgokan sampah.
Rata-rata masyarakat yang ditanyakan pendapat mereka tentang masalah terbabit, memohon agar pihak berkuasa tempatan dan pihak yang bertanggungjawab agar mengatasi masalah terbabit dengan segera sebelum ia menjadi satu masalah yang lebih parah kepada bandar ini.

Awalan meN-

Munsyi Md Rasul bin Haron@Amatara Bahagian Matrikulasi 30 Jun 2022 Panduan Bahasa PROSES PENGIMBUHAN 2) Awalan meN- fungsi pengg...