Memaparkan catatan dengan label Artikel. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Artikel. Papar semua catatan

Khamis, 30 Jun 2022

Awalan meN-

Munsyi Md Rasul bin Haron@Amatara

Bahagian Matrikulasi

30 Jun 2022

Panduan Bahasa

PROSES PENGIMBUHAN


2) Awalan meN-

fungsi penggunaan / maksud

- melakukan / membuat sesuatu (mengorek, menggoreng, menggali, melukis)

- mengeluarkan suara (menyalak, mengaum, mengiau)

- mencari / mengumpulkan (merotan, merumpur, mendamar)

- menuju sasaran; menghala ke arah/tempat (melaut, mendarat, menepi, menghulu)

- berlaku seperti / menyerupai (menggunung, membatu)

- hidup sebagai (menjanda, menduda)

- menjadi (menguning, memanjang, memucat) 

meng- menjadi menge- apabila diimbuhkan pada kata dasar yang bersuku kata satu

contohnya mengebom, mengesahkan, mengepos, mengetin, mengecat, dan mengelap

namun demikian ada beberapa kata pinjaman bersuku kata satu yang tidak bergabung dengan imbuhan menge- , contohnya membrek, menstor, mengklip, memblok

 

 

Isnin, 27 Jun 2022

PROSES PENGIMBUHAN

 

Munsyi Md Rasul bin Haron@Amatara

Bahagian Matrikulasi

23 Jun 2022

Panduan Bahasa

c) Awalan beR- + kata adjektif

- berada dalam keadaan (bergembira, bermuram, berdukacita)

- memperoleh/mendapat (beruntung, berjaya berhasil)

d) Awalan beR- + kata tugas

- menjadi (bersatu)

- bilangan dalam kumpulan (berdua, berempat)

- bersama-sama (berserta)

- mendapat (beroleh)

 * beR- menjadi bel- apabila diimbuhkan pada perkataan ajar dan unjur

beR- + ajar – belajar beR- + unjur - belunjur

 * beR- menjadi be- apabila diimbuhkan pada kata dasar yang bermula dengan

huruf 'r' beR- + renang – berenang beR- + rasa -- berasa


Jumaat, 24 Jun 2022

Pengimbuhan

 

Munsyi Md Rasul bin Haron@Amatara

Bahagian Matrikulasi

24 Jun 2022

Panduan Bahasa

b) Awalan beR- + kata kerja

- melakukan perbuatan (berkumpul, berlari, bertukar, berucap)

- perbuatan yang melibatkan / mengenai diri (bercukur, bersolek, bersembunyi

berhias, berehat, berjemur)

- saling melakukan perbuatan (berkelahi, bergaduh, bertumbuk,bertemu)

- keadaan yang sudah sedia berlaku (bersusun, berjahit, berjawab, bertulis)

 

c) Awalan beR- + kata adjektif

- berada dalam keadaan (bergembira, bermuram, berdukacita)

- memperoleh/mendapat (beruntung, berjaya berhasil)

-

d) Awalan beR- + kata tugas

- menjadi (bersatu)

- bilangan dalam kumpulan (berdua, berempat)

- bersama-sama (berserta)

- mendapat (beroleh)

 

* beR- menjadi bel- apabila diimbuhkan pada perkataan ajar dan unjur

beR- + ajar – belajar beR- + unjur - belunjur

 

* beR- menjadi be- apabila diimbuhkan pada kata dasar yang bermula dengan

huruf 'r' beR- + renang – berenang beR- + rasa -- berasa

 

PROSES PENGIMBUHAN

Munsyi Md Rasul bin Haron@Amatara

Bahagian Matrikulasi

24 Jun 2022

Panduan Bahasa


- Imbuhan ialah bentuk terikat yang ditambah pada kata yang lain sehingga dapat

mengubah bentuk dan makna sesuatu kata.

- Imbuhan dapat mengubah atau menetapkan kelas pelbagai kata seperti kata nama,kata kerja kata adjektif dan kata keterangan

 

IMBUHAN AWALAN

1) Awalan beR-

a) Awalan beR- + kata nama

- mempunyai/ memiliki (bermisai, berjanggut, berbulu, berduri, berisi)

- memakai/ menggunakan (berkasut,berkereta, bertali, bersudu)

- mengerjakan/ mengusahakan (berkebun, berkedai, berladang, bersawah)

- menghasilkan/ mengeluarkan (berbuah, bertelur, berdarah, berpeluh, beranak)

- meminta bantuan daripada (berguru, berdukun )

Khamis, 23 Jun 2022

Jenis-jenis penggandaan

 

Munsyi Md Rasul bin Haron@Amatara

Bahagian Matrikulasi

23 Jun 2022

Panduan Bahasa


a)penggandaan penuh – menggandakan keseluruhan kata dasar sama ada kata dasar

berimbuhan/tanpa imbuhan

(hotel-hotel, penumpang-penumpang, pemburu-pemburu)

b)penggandaan separa – menggandakan sebahagian daripada kata dasar

- kata dasar boleh terdiri daripada kata tunggal/kata terbitan

i) penggandaan suku kata yang pertama pada kata dasar

(tamu-tetamu, daun-dedaun, bola- bebola)

ii) penggandaan kata dasar berimbuhan hanya menggandakan kata dasar utama dan tidak melibatkan imbuhan sekali

- gandaan boleh berlaku di hadapan/di belakang kata dasar

(bertolak-tolak, sayang menyayangi, bersalam-salaman)

c) Penggandaan berentak – menggandakan kata dasar mengikut rentak bunyi

kata dasar dalam penggandaan ditambah dengan perkataan yang lain bunyinya

i) penggandaan berentak pengulangan vokal

saki – saki-baki hiruk – hiruk-pikuk

calar – calar-balar

ii) penggandaan berentak pengulangan konsonan

tanah- tanah-tanih compang-compang-camping

gopoh - gopoh-gapah

d) Penggandaan bebas- - penggandaan yang tidak melibatkan ciri-ciri

persamaan bunyi

riuh – riuh-rendah segan – segan-silu

PROSES PENGGANDAAN

 

Munsyi Md Rasul bin Haron@Amatara

Bahagian Matrikulasi

23 Jun 2022

Panduan Bahasa


Penggandaan – kata dasar yang digandakan (diulang sebutannya)

- penggandaan penuh, penggandaan separa, penggandaan berentak

* membawa aspek makna yang tertentu

- maksud jamak/banyak (rumah-rumah, baju-baju)

- maksud tunggal/satu (kanak-kanak, rama-rama, lelabah)

- nama haiwan/binatang (jejentik, kelip-kelip,kunang-kunang, dedalu)

- menyerupai sesuatu (anak-anak, orang-orang, siku-siku)

- pelbagai/beraneka jenis (kayu-kayan, hutang-piutang, kuih-muih)

- perbuatan yan berulang-ulang (menggeleng-geleng, meloncat-loncat)

- perbuatan yang berbalas-balas/saling (bersalam-salaman, bantu-membantu)

- perbuatan yang berlanjutan (berangan-angan, tercari-cari)

Rabu, 8 September 2021

Kata Sendi Nama

Munsyi Md Rasul Haron 
Bahagian Matrikulasi
KPM

Kata Sendi Nama

Kata sendi nama ialah perkataan yang menghubungkan kata nama atau kata ganti dengan perkataan lain dalam sesuatu ayat. Biasanya kata sendi akan diletakkan di hadapan frasa nama (oleh Aina, demi awak, dalam hati). 

Walaupun begitu, setiap satu kata sendi nama ini mempunyai tugas atau fungsi-fungsi tertentu yang berlainan yang ditentukan oleh peraturan khusus. Kata sendi nama ada juga yang mewakili kata-kata lain contohnya, dalam berfungsi sebagai kata arah atau kata adjektif, sampai berfungsi sebagai kata kerja dan akan berfungsi sebagai kata bantu. 

Contoh-contoh kata sendi nama:

ke, pada, kepada, dari, daripada, di, akan, dengan, demi, hingga, kerana, oleh, sebab, sampai, seperti, untuk, serta, laksana, sejak, terhadap, umpama, antara, tentang dan dalam.

Contoh-contoh ayat:

1. Adib menyanyi sampai hilang suaranya. 

2. Burung-burung puyuh itu terbang ke arah utara.  (nota: kata sendi nama ke tidak boleh digunakan di hadapan kata nama atau frasa nama yang merujuk manusia atau binatang)

3. Benang berasal daripada kapas. (nota: daripada hanya terhad kepada punca merangkumi manusia, haiwan dan benda termasuk unsur mujarad)
 
4. Faridah baru pulang dari pekan. (nota: dari digunakan untuk tempat dan waktu)

5. Mereka berbincang tentang masalah yang dihadapinya. 

6. Wang itu ada pada nenek.

NOTA:

Untuk makluman, tajuk dalam penulisan perlu ditulis dengan menggunakan huruf besar pada setiap permulaan perkataan. Sunggupun begitu, jika dalam tajuk terdapat kata sendi, permulaan huruf tersebut perlu ditulis menggunakan huruf kecil. 

Konvokesyen Universiti Selatan Malaysia Secara dalam Talian Tahun 2021.✅

Konvekesyen Universiti Selatan Malaysia Secara Dalam Talian Tahun 2021.✖

Penggunaan "di" sebagai Kata Sendi Nama dan Imbuhan Awalan

DALAM bahasa Melayu, terdapat kata sendi nama yang menjadi perkataan yang diletakkan di hadapan frasa nama. Antara kata sendi nama yang lazim digunakan ialah di, ke, dari, daripada, pada, kepada, bagi, demi, tentang, seperti, bagai, umpama, laksana, sejak, terhadap, akan, oleh, hingga, untuk, antara, dalam, dengan dan sampai.

Semua kata sendi nama yang hadir di hadapan kata nama atau frasa nama tersebut mempunyai tugas atau fungsi yang berlainan dan penggunaannya ditentukan oleh peraturan yang khusus. Beberapa kata sendi nama yang disenaraikan ini termasuk juga dalam golongan kata yang lain. Contohnya, kata sendi nama “akan” berfungsi juga sebagai kata bantu. Kata sendi nama “dalam” turut berfungsi sebagai kata arah dan kata adjektif. Kata “sampai” digolongkan juga dalam kata kerja. Sementara kata sendi nama “antara” pula berfungsi juga sebagai kata arah.

Bagi kata sendi nama “di”, penggunaannya khusus digunakan di hadapan frasa nama yang menunjukkan tempat. Contoh ayat adalah seperti yang berikut:

  • Ibunya merupakan pengarah di syarikat pengangkutan itu.
  • Tiga orang pelajar yang mengikuti ekspedisi itu sesat di dalam hutan.
  • Pesta flora yang menjadi acara tahunan di Malaysia diadakan di Putrajaya.
  • Negeri Perak terletak di antara negeri Kedah dan negeri Selangor.

Perkataan “di” juga turut berfungsi sebagai imbuhan awalan yang ditulis rapat dengan perkataan selepasnya. Namun demikian, masih terdapat pengguna bahasa Melayu yang tidak dapat membezakan penggunaan perkataan “di” sebagai kata sendi nama dan “di” sebagai imbuhan awalan. Kekeliruan ini menyebabkan kata sendi nama “di” ditulis rapat dengan perkataan yang mengikutinya, manakala imbuhan awalan “di” ditulis terpisah daripada perkataan selepasnya.

Selasa, 4 Jun 2019

Kesantunan Berbahasa Kian Sirna

Oleh:

Munsyi Md Rasul bin Haron
(AMATARA)

Yang kurik itu kundi,
Yang merah itu saga;
Yang cantik itu budi,
Yang indah itu bahasa.

Berapa ramaikah di antara kita peduli bahawa bahasa Melayu merupakan satu bahasa yang utama di rantau kepulauan Melayu pada suatu ketika dahulu? Bahasa Melayu bukan sahajadiungkapkan oleh jutaan penduduk di rantau ini malah bahasa ini juga pernah mengalami sejarah hidup yang panjang sejak kelahirannya puluhan abad yang lalu.

Harus diingati bahawa sejak abad ke-7 Masihi, bahasa Melayu telah menjadi bahasa kerajaan, bahasa perdagangan, bahasa pengajian agama dan lingua franca bagi rantau Kepulauan Melayu di bawah kerajaan Sriwijaya. Pada zaman kesultanan Melayu dari sekitar abad ke-13
hingga abad ke-19, bahasa Melayu mencapai puncak kegemilangan sebagai bahasa tamadun Melayu baharu, dengan menjadi bahasa pentadbiran, bahasa diplomasi, bahasa undang-undang, bahasa ilmu dan falsafah, bahasa perdagangan, bahasa ketatanegaraan dan bahasa sastera tinggi.

Tidaklah keterlaluan jika dikatakan bahawa bahasa Melayu kini diangkat sebagai bahasa kelima terbesar di dunia, dengan lebih 300 juta orang penutur. Bahasa Melayu tersebar luas sehingga dipelajari oleh penutur dan orang asing, dan usaha ini telah menyemarakkan proses pendidikan bahasa Melayu di peringkat antarabangsa.

Lebih-lebih lagi dalam usia emas kemerdekaan Negaraku Malaysia, bahasa Melayu telah menjadi salah satu asas pembinaa negara yang penting melalui tiga peranan besar iaitu sebagai bahasa kebangsaan, bahasa rasmi dan bahasa ilmu.

Pada masa yang sama, martabat bahasa Melayu sudah mula tergugat. Kemerosotan dalam aspek mutu bahasa pula berkaitan dengan kurang pekanya sebilangan anggota masyarakat terhadap bentuk bahasa Melayu yang baku dan ragam bahasa Melayu rasmi, khususnya
dalam konteks bidang yang rasmi seperti pentadbiran, penyiaran dan pendidikan.

Percampuran ragam bahasa basahan dengan bahasa yang baku dalam situasi rasmi menjadikan bahasa Melayu kehilangan darjat dan citra sebagai bahasa budaya tinggi. Perkara ini tidak harus dibiarkan berlarutan. Bahasa basahan ini ialah bahasa pertuturan
sehari-hari. Bahasa ini tidak mementingkan unsur tatabahasa kerana yang dipentingkan ialah kefahaman antara penutur dan pendengar. Oleh hal yang demikian, ia tidak digunakan dalam
tulisan atau ucapan rasmi. Bentuknya pula sering dipengaruhi oleh dialek dan slanga daerah.

Begitu juga dengan dunia internet dan dunia media sosial yang dimeriahkan dengan bahasa santai. Walaupun masyarakat kita sedang mengalami migrasi ke masyarakat maya, bahasa
Melayu perlu diletakkan di tempatnya. Penggunaan bahasa Melayu yang baku mengalami penyempitan maka terjelmalah bahasa Melayu baharu yang diungkap secara sambalewa.

Masalahnya kini ialah, masyarakat tidak lagi memikirkan aspek kesantunan berbahasa Melayu ketika berkomunikasi walaupun pemimpin negara yang begitu ringan mulut di Parlimen. Nilai-nilai murni ketika berbahasa Melayu telah dilupakan. Situasi ini amat membimbangkan kerana ditakuti generasi pada masa kini melupakan nilai-nilai murni dan kesantunan ketika berkomunikasi. Penggunaan ujaran yang tidak santun ini secara tidak langsung menunjukkan gambaran keperibadian masyarakat Malaysia kerana berita yang disiarkan secara dalam talian ini boleh diakses oleh seluruh dunia.

Menurut Asmah Haji Omar (2000), kesantunan bahasa ialah penggunaan bahasa sehari-hari yang tidak menimbulkan kegusaran, kemarahan dan rasa tersinggung daripada pendengar. Menurut Amat Juhairi Moain (1992) pula kesantunan merujuk kepada kesopanan dan kehalusan dalam menggunakan bahasa ketika berkomunikasi sama
ada melalui lisan atau tulisan. Bahasa yang sopan mempunyai kosa kata yang halus untuk menyampaikan sesuatu mesej. Kesantunan bahasa ini dapat memperkukuh lagi perpaduan dalam kalangan masyarakat pelbagai etnik di negara kita. Dengan adanya definisi daripada ilmuan-ilmuan ini maka terbuktilah bahawa kesopanan ini terbahagi kepada banyak aspek antaranya ialah dari aspek pertuturan, pengunaan bahasa dalam komunikasi.

Sejajar dengan itu, penggunaan bahasa Melayu tidak sekadar mengungkapkan kata-kata yang jelas bermakna iaitu dapat difahami oleh semua, melainkan juga belajar mengungkapkan kata-kata sesuai dengan situasi dan dengan kesopanan masyarakat. Dalam situasi tertentu ada
kata-kata yang tidak patut diucapkan, walaupun makna perkataan tersebut sesuai dengan maksud si pengucap. Dalam kalangan tertentu ada kata-kata yang tabu diucapkan walaupun kita beranggapan kata itulah yang paling tepat untuk menyampaikan maksud kita.

Kata tabu merupakan penggunaan kosa kata yang tidak santun diungkapkan oleh setiap individu yang hidup bermasyarakat. Kosa kata tersebut merupakan makian dan ungkapan kotor yang diungkapkan mengikut sekehendak hati.

Sehubungan dengan itu, marilah kita mendenyutkan cinta yang sama untuk memartabatkan bahasa Melayu dan meletakkan bahasa kelima paling banyak dituturkan di dunia ini ditempatnya. Sikap individu yang membusung dada meminggirkan bahasa Melayu dan tidak
menggunakannya secara bersungguh-sungguh amat dikesali. Dasar yang telah diputuskan melalui Perlembagaan, akta serta peraturan perlu diperkasakan secara berterusan dan bukannya merendahkan martabat bahasa Melayu. Sesudah mencapai kemerdekaan, negara
kita telah membangun dengan bahasa Melayu sebagai wahana komunikasinya, seperti yangdigunakan dalam sistem pendidikan dan pentadbiran.

Ikat jerami muat ke kandar,
Selepas makan mandi di telaga;
Ungkap difahami wasangka terhindar,
Bahasa Melayu penyatu warga.

Isnin, 3 Jun 2019

Hasrat yang Menjengkelkan

Munsyi Md Rasul bin Haron
@Memartabatkan Bahasa Melayu
Bahagian Matrikulasi KPM
Putrajaya
3 Jun 2019

KEBITARAAN BAHASA MELAYU

SARJANA Belanda, Francois Valentijn mengungkapkan kebitaraan bahasa Melayu pada abad ke-16 sebagai yang berikut:

“Bahasa mereka, bahasa Melayu, bukan saja dituturkan di daerah pinggir laut, tetapi juga digunakan di seluruh kepulauan Melayu dan di segala negeri-negeri Timur, sebagai suatu bahasa yang difahami di mana-mana saja oleh setiap orang, tidak ubah seperti bahasa Perancis atau Latin di Eropah, atau sebagai bahasa Lingua Franca di Itali dan di Levant. Sungguh luas tersebarnya bahasa Melayu itu sehingga kalau kita memahaminya tidaklah mungkin kita kehilangan jejak, kerana bahasa itu bukan saja dimengerti di Parsi bahkan lebih jauh dari negeri itu, dan di sebelah timurnya sehingga Kepulauan Filipina.”

PERKEMBANGAN BAHASA MELAYU

Bahasa Melayu telah mengalami proses perkembangan yang begitu pesat. Sejak merdeka, bahasa Melayu telah dinaikkan martabat sebagai bahasa kebangsaan yang menggantikan bahasa Inggeris yang ketika itu menjadi bahasa rasmi tunggal negara, dan dijadikan bahasa pengantar utama di sekolah kebangsaan dari peringkat rendah hingga ke peringkat menengah tinggi sampai ke peringkat pengajian tinggi. Selain itu, bahasa Melayu menjadi pendukung dan berperanan sebagai bahasa perpaduan di kalangan masyarakat Malaysia yang berbilang kaum dan beragam bahasa.

HASRAT YANG MENJENGKELKAN

Kerajaan Sarawak yang bersedia melaksanakan pengajaran dan pembelajaran (PdP) Matematik dan Sains dalam bahasa Inggeris bermula dengan murid Tahun Satu di sekolah kebangsaan (SK) seluruh negeri, tahun depan amat menjengkelkan.

Menteri Pendidikan, Sains dan Penyelidikan Teknologi Sarawak, Datuk Seri Michael Manyin Jawong, berkata ada sejumlah 1,265 sekolah rendah di negeri ini, termasuk 1,046 SK yang akan mengambil bahagian dalam program itu.

Manakala baki 219 pula adalah sekolah jenis kebangsaan Cina (SJKC) yang lebih cenderung meneruskan PdP subjek berkenaan menggunakan bahasa Mandarin.

Oleh hal yang demikian, Sarawak perlu melatih 2,657 guru, tahun ini, yang akan mengajar Matematik dan Sains Tahun Satu pada tahun depan. Daripada jumlah itu, 1,005 akan dilatih untuk mengajar Sains dalam bahasa Inggeris, 1,275 bagi Matematik dan 377 lagi kedua-dua subjek.

Perendah martabat bahasa Melayu ini juga memaklumkan bahawa bagi tahun berikutnya, seramai 7,508 guru akan menjalani latihan untuk mengajar dua subjek berkenaan kepada murid Tahun 2 hingga Tahun 6. Dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), murid diberi pilihan menjawab soalan dalam bahasa Inggeris atau Melayu, yang mana lebih selesa bagi mereka.

Menurut pakar memperlekehkan bahasa Melayu lagi, program tersebut disokong dan dibantu oleh Kementerian Pendidikan kerana ia adalah idea Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, supaya sekolah memilih untuk menjalankan PdP dua subjek berkenaan dalam bahasa Inggeris atau bahasa Melayu.

Kerajaan negeri sanggup memperuntukkan RM9 juta bagi menjayakan program ini yang bukan dasar pun.

PPSMI GAGAL

Kajian DBP, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Pembina mengesahkan PPSMI gagal sebelum dimansuhkan 2012 dan tidak patut kerajaan sekarang mengulangi semula kesilapan.

Penguasaan Bahasa Inggeris hendaklah ditingkatkan melalui mata pelajaran itu sendiri. Pelajarilah dari negara lain melaksanakan sistem pendidikan dalam bahasa kebangsaan mereka sendiri sebagai bahasa penghantar seperti Jerman, China, Belanda, Perancis, Jepun dan Korea.

Menurutnya, UNESCO dalam piagamnya menegaskan keberkesanan pendidikan adalah menggunakan bahasa sendiri.

Sebagai Munsyi Dewan (Bahasa), saya TIDAK BERSETUJU bahasa Inggeris dijadikan bahasa pengantar dalam Sains dan Matematik untuk penguasaan Bahasa Inggeris kerana ia melibatkan subjek yang berbeza.

Ahad, 28 Oktober 2018

Ayat Aktif dan Ayat Pasif serta Ayat Songsang

Ayat aktif terdiri daripada:

Frasa Nama + Frasa Nama

Frasa Nama  + Frasa Adjektif

Frasa Nama + Frasa Kerja

Frasa Nama + Frasa Sendi Nama

Ayat pasif pula  ialah ayat yang kata kerjanya mengandungi imbuhan kata kerja pasif di- dan ter-.

Ayat songsang pula apabila keempat-empat bentuk ayat aktif di atas diterbalikkan, iaitu Frasa Nama, Frasa Adjektif, Frasa Kerja dan Frasa Sendi Nama yang berperanan sebagai predikat atau keterangan ayat menjadi pemula ayat atau dikehadapankan sebelum objek.

Contoh:  
Ayat aktif:
Kucing itu mengejar tikus.

Ayat pasif: 
Tikus itu dikejar kucing.

Ayat pasif songsang:
Dikejar kucing tikus itu                       

Contoh:
Ayat aktif:
Adik saya comel. 

Ayat pasif :
(Ayat ini tidak boleh menjadi ayat pasif kerana ayat pasif hanya bagi ayat yang mengandungi kata kerja.)

Ayat songsang: Comel adik saya.

Sabtu, 20 Oktober 2018

Pada dan Kepada

Menurut Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga, perkataan “kepada” dan “pada” tergolong dalam kata sendi nama.

Perkataan “kepada” terletak di hadapan kata nama atau frasa nama untuk menyatakan sasaran yang merujuk (i)  manusia, (ii) haiwan, (iii) unsur mujarad, (iv) menyatakan pecahan dan (v) menyatakan perubahan keadaan.

Contoh ayat:

i. Sila kembalikan borang itu kepada pejabat ini.

ii.Sisa makanan itu diberikan kepada kucing.

iii.Pastikan  anak-anak anda tidak terdedah kepada bahaya dadah.

iv. Peserta bengkel dibahagikan kepada dua kumpulan.

v. Suhu badannya meningkat kepada 39oC.

Perkataan “pada” pula digunakan di hadapan kata nama atau frasa nama untuk menunjukkan keterangan waktu dan tempat. Contohnya:

i.  Bas kami bertolak pada pukul tujuh pagi.

ii. Layang-layang itu tersangkut pada tiang telefon.

Perkataan “berdasarkan” dan “berasaskan” tidak perlu diikuti dengan “kepada” atau “pada”. Perkataan “berasaskan” dan “berdasarkan” merupakan kata kerja tak transitif yang memerlukan pelengkap (kata nama). Sebagai contoh; berdasarkan soalan, berasaskan pemikiran.

Merujuk ialah kata kerja transitif yang perlu diikuti objek daripada frasa nama, iaitu perkara.  Contohnya merujuk perkara. Walau bagaimanapun frasa "merujuk kepada perkara"  telah mantap penggunaannya dalam kalangan masyarakat dan diterima.

Ahad, 14 Oktober 2018

Bawang dan Membawang

Sumber: Klik Web DBP
Oleh WAN NORASIKIN WAN ISMAIL dan NURUL NAJIHAH JAMAL

SEJAK akhir-akhir ini perkataan membawang menjadi begitu popular dalam kalangan masyarakat di Malaysia. Perkataan ini bukan sahaja diperkatakan oleh golongan remaja, malah turut menjadi bahasa basahan dalam kalangan orang dewasa dan kanak-kanak. Perkataan membawang bagaikan cendawan tumbuh selepas hujan dalam media sosial, seperti Twitter, Whatsapp, Facebook dan Instragram. Media cetak, seperti akhbar juga memaparkan tajuk berita yang menggemparkan yang turut menggunakan perkataan membawang sebagai tajuk utama bagi menarik perhatian pembaca untuk membaca berita dan artikel yang disiarkan. Media massa seperti TV dan Youtube juga tidak ketinggalan memaparkan iklan yang menggambarkan situasi membawang.

Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, bawang ialah sejenis tumbuhan (bebawang) yang umbinya dimakan. Bawang terdiri daripada beberapa jenis, seperti bawang benggala, bawang bombai, bawang cina, bawang merah sejenis bawang yang berwarna merah keungu-unguan, bawang kecil, bawang putih bawang kecil yang berwarna putih dan kuat

Memetik artikel yang ditulis oleh Masril Mat Rosdi yang bertajuk Lima Jenis Makanan Yang Dikaitkan Dengan Sifat Manusia beliau mendefinisikan perkataan membawang sebagai bercakap dengan mengisahkan khabar-khabar atau hal-hal yang buruk mendefinisikan perkataan membawang sebagai bercakap dengan mengisahkan khabar atau hal yang buruk atau umpatan tentang orang lain di belakang; bergosip; berbicara atau berdesas-desus tentang seseorang; mengumpat. Menurutnya, walaupun kelihatan seperti ‘berita terkini’, semua perbuatan itu sebenarnya umpatan. Namun begitu, bagi sesetengah orang, sebarang aktiviti tidak akan bermakna tanpa membawang, istilah yang dipopularkan oleh netizen bagi perbuatan mengumpat. Membawang bukan bererti memfitnah perkara yang tidak benar, sebaliknya sama dengan definisi ghibah atau mengumpat yang dilarang dalam Islam, iaitu terhadap perkara yang tidak disenangi walaupun benar, seperti ketinggian atau berat badan seseorang.

Menurut Iqa Norhizan dalam artikelnya yang bertajuk “Fenomena ‘Mak Cik Bawang’”, kegiatan membawang ini semakin menjadi-jadi pada akhir tahun 2017. Katanya, sejarah mak cik bawang merujuk golongan wanita yang datang untuk bergotong-royong membantu sesuatu majlis kenduri. Sambil duduk memotong bawang, mereka gemar bercerita serta mengumpat antara satu sama lain. Pelbagai cerita akan keluar ketika mengopek bawang, bermula daripada cerita peribadi, jiran tetangga sehinggalah cerita artis dalam dan luar negara. Mereka mengupas dan mengulas isu ke isu. Jika suatu masa dahulu kegiatan membawang terhad kepada aktiviti tertentu, kini aktiviti membawang ini mula tular dalam media sosial dan masyarakat lebih suka membawang di internet kerana mempunyai pengikut yang banyak.

Fenomena peluasan makna kata ‘membawang’ terhasil daripada kekreatifan pengguna dalam penggunaan sesuatu kata. Melalui ayat contoh di bawah, kita boleh melihat makna membawang berdasarkan penggunaan semasa berdasarkan contoh ayat yang diambil daripada akhbar tempatan dan internet. Melalui beberapa contoh ayat yang diteliti, makna membawang dapat difahami dengan lebih jelas konteks penggunaannya dalam masyarakat.

Antara contoh ayat yang berkaitan perkataan membawang termasuklah yang berikut:

1. Netizen membawang isu rantai emas RM6.4 juta serta jam Rolex 3.5 juta.

2. Cepat sangat membawang “Tarif Elektrik Naik”.

3. Saya dan seluruh keluarga amat rapat dan kalau bertemu, pasti ada saja membawang sesama sendiri.

4. Hari ni kita masak sambil membawang.

5. Netizen zaman sekarang memilih untuk membawang di internet.

6. Ibu rakan terbaik untuk membawang.

7. Kalau lelaki start membawang, kalah perempuan.

Berdasarkan contoh ayat 1 hingga ayat 7, perkataan membawang merujuk aktiviti perbualan, berborak, bersembang dan lain-lain tentang sesuatu isu. Isu yang dibualkan merupakan isu hangat yang didebatkan dalam kalangan masyarakat.

Ayat contoh berikut pula menunjukkan aktiviti membawang sebagai sesuatu yang negatif, seperti menjurus kepada perbuatan menceritakan perihal orang lain.

1. Jenab dengan Joyah tak ada kerja lain ke? Asyik membawang fasal orang sesaje demetuhh.

2. Guru-guru suka membawang fasal anak murid di bilik guru.

3. Mencari bahan untuk membawang bersama rakan sekerja tentang artis popular?

4. Jomlah kita membawang sekejap. Ada cerita panas ni.

5. Apabila berjumpa, tak sah kalau tak membawang fasal orang lain.

Ayat contoh berikut pula merupakan larangan kepada aktiviti membawang.

1. Janganlah jadikan majlis Aidilfitri tersebut sebagai acara membawang sehingga matlamat penganjurannya terpesong.

2. Allah tak suka kita banyak gosip membawang fasal orang lain.

3. Budaya kecam-mengecam dan membawang ini haruslah dihentikan.

Sebagai hasil penelitian, perkataan membawang membawa maksud yang hampir sama dengan perkataan bersembang, berborak, berbual, bergebang, mengata, mengumpat, gosip, mencela, berbual, mencela, mengkritik, mengecam dan membidas. Makna bagi kesemua kata yang hampir sama dengan membawang ini, menurut Kamus Dewan Edisi Keempat diturunkan seperti di bawah:

Perkataan dan Makna perkataan
mengata bercakap buruk tentang seseorang mengumpat menceritakan hal yang buruk-buruk atau mencela orang lain (di belakang); mengata-ngata; gosip cakap-cakap yang mengisahkan khabar-khabar atau hal-hal yang buruk atau umpatan tentang orang lain; bergosip berbicara atau berdesas-desus tentang keburukan (kejelikan) seseorang, mengumpat: menggosipkan memperkatakan atau memperbualkan (sesuatu) sebagai gosip.berbual bercakap-cakap dengan tidak tentu perkaranya; berborak bersembang berbual, berborak, bercakap-cakap:berborak berbual-bual kosong, bergebang: bergebang bercakap-cakap mengenai sesuatu perkara; berbual, bersembang mencela menyatakan kekurangan atau cela sesuatu; mengecam; mengkritik: mengkritik memperkatakan (mengulas dan sebagainya) keburukan atau kelemahan sesuatu atau seseorang; mengkritik hebat (keras, pedas) mengecam, membidas, mencela:mengecam menegur keburukan orang dan lain-lain; mencela; membidas; membidas mengecam.

Hasil penelitian terhadap perkataan yang berkolokasi dengan perkataan membawang, jelas menunjukkan bahawa perkataan yang hadir di sekeliling perkataan membawang membawa makna yang hampir sama. Perkataan membawang bukan hanya membawa makna seperti di atas, malah bersinonim dengan bahasa kiasan seperti membawa mulut, suka menjaga tepi kain orang, dan mesyuarat tingkap. Ternyata bahawa perkataan membawang dikaitkan dengan sesuatu budaya yang negatif.

Dalam hal ini, Mohd. Haikal Isa, seorang wartawan hiburan akhbar Kosmo dalam artikelnya Nora Danish Hadam Kritikan menyatakan aktiviti membawang yang membawa unsur negatif ini seharusnya dibendung. Menurutnya lagi, sesungguhnya trend ‘penyakit’ sebegini harus ditinggalkan jauh di belakang kerana bukan sahaja memberikan cerminan yang tidak baik kepada masyarakat setempat, malah mampu memporak-perandakan keharmonian sejagat. Sesungguhnya masyarakat Melayu bijak memilih kata melalui kepintaran dan kefahaman dalam masyarakat berdasarkan pengamatan yang tajam terhadap alam sekitarnya.

Ahad, 7 Oktober 2018

Elipsis

Tiga titik dikenali sebagai elipsis, iaitu yang menunjukkan pengguguran bahagian teks, khususnya petikan, sama ada di bahagian awal, bahagian tengah, atau bahagian akhir sesuatu ayat atau teks, contohnya:

a) . . . bahawa kita menemui perbezaan asas antara semangat kapitalis dengan prakapitalis.

b) Bahasa Melayu menghadapi masa depan yang amat cerah . . . menghasilkan murid-murid yang mendapat pendidikan seluruhnya dalam bahasa Melayu.

c) . . . dan memberinya rezeki dengan tidak disangka-sangkanya  . . .

Selain itu, elipsis menunjukkan sesuatu yang bersambung, contohnya: 1,2,3, . . .

Hal ini bermakna tiada empat titik, yang ada ialah elipsis iaitu tiga titik.

Ahad, 30 September 2018

Penggunaan Frasa di mana.

Assalamualaikum WBT.

Wujud kekerapan yang tinggi penggunaan frasa di mana ini sebagai kata hubung dalam ayat.

Dalam penulisan, dua ayat atau lebih dihubungkan antara satu sama lain dengan menggunakan kata hubung sebagai ikatan; dan ayat gabungan yang terhasil ini dikenal sebagai ayat majmuk.

Dalam binaan ayat majmuk, kita perlu menggunakan kata hubung yang sesuai dengan maksud yang terkandung dalam ayat supaya ayat yang terbina itu gramatis.

Ayat yang dibina akan menjadi salah tatabahasanya jikalau kata hubung yang tidak sesuai digunakan.

Nampaknya, sudah menjadi satu kecenderungan pengguna bahasa, menggunakan frasa di mana sebagai penghubung antara dua ayat dalam penulisan dan pertuturan.

Dengan berdasarkan fungsi penggunaannya, jelaslah frasa di mana tidak boleh digunakan sebagai penghubung ayat kerana ayat yang terbentuk begitu janggal rasanya, malah ayat yang demikian bersifat keinggerisan.

Perhatikan ayat contoh berikut:

1. Wasiat merupakan satu-satunya cara di mana seseorang itu boleh memberikan hartanya kepada sesiapa yang dikehendakinya.

2. Sesuatu perindustrian di mana barang-barang yang dikeluarkan mungkin beratus-ratus kilometer jauhnya daripada pengguna.

Ayat (1) boleh dibina tanpa menggunakan perkataan di mana. Malah, tanpa perkataan di mana, ayat itu sudah sempurna maksudnya. Ayat berkenaan boleh ditulis semula sebagai

1a. Wasiat merupakan satu-satunya cara seseorang itu boleh memberikan hartanya kepada sesiapa yang dikehendakinya.

Kata di mana dalam ayat (2) pula kelihatan diada-adakan, sedang frasa tersebut dapat digantikan dengan perkataan "tempat" yang lebih jelas dan tepat kepada makna ayat tersebut. Oleh itu, ayat (2) boleh ditulis semula sebagai:

2a. Sesuatu perindustrian tempat barang-barang dikeluarkan mungkin beratus-ratus kilometer jauhnya daripada pengguna.

Pengguna bahasa perlu faham bahawa bukan dalam semua kes frasa di mana tidak boleh hadir di pertengahan ayat.

Selain digunakan sebagai kata tanya, di mana boleh hadir di pertengahan ayat jika maksud ayat merujuk tempat. Misalnya:

3.  Pembunuh itu memberitahu polis di mana senjata api itu dicampakkan.

4.  Datuk tidak ingat di mana beliau meletakkan cermin matanya.

Demikian huraian ringkas tentang kesalahan penggunaan frasa di mana yang tidak mengikut aturan bahasa.

Oleh itu, kuasailah aturan bahasa ini yang telah ditetapkan supaya kesalahan berbahasa dapat dielakkan.

Jumaat, 24 Ogos 2018

Kata Sendi "pada" dan "kepada"

Untuk makluman semua, kata sendi nama "pada" digunakan di hadapan kata nama atau frasa nama untuk menunjukkan keterangan waktu dan tempat, digunakan dalam ungkapan ada + pada  (manusia dan haiwan) dalam beberapa situasi tertentu, seperti yang berikut:

(i) menunjukkan keterangan waktu apabila mendahului kata nama yang menyatakan waktu atau masa. Antaranya adalah seperti yang berikut:

(a)

...pada masa lapang...(gramatis)

...di masa lapang... (tidak gramatis)

(b)

...pada zaman moden...(gramatis)

...di zaman moden... (tidak gramatis)

(ii) kata sendi nama "pada" apabila didahului perkataan "ada", mesti diikuti oleh kata nama yang merujuk manusia dan haiwan. Antaranya adalah seperti yang berikut:

(c)

...ada pada ayah...(gramatis)

...ada di ayah... (tidak gramatis)

(d)

......ada pada kucing...... (gramatis)

...... ada di kucing...... (tidak gramatis)

(iii) sebagai perkataan yang terletak di hadapan kata nama yang menunjukkan tempat bagi perbuatan sesuatu kata kerja yang mengandungi maksud sandaran. Antaranya adalah seperti yang berikut:

(e)
...bergantung pada...(gramatis)

...bergantung kepada...(tidak gramatis)

(f)

...dipasang pada kereta...(gramatis)

...dipasang di kereta...(tidak gramatis)

(g)

...digantung pada dinding... (gramatis)

...digantung di dinding...(tidak gramatis)

Kata sendi nama "kepada" terletak di hadapan kata nama atau frasa nama untuk menyatakan sasaran yang merujuk manusia, haiwan, unsur mujarad, menyatakan pecahan dan menyatakan perubahan keadaan. Contohnya:

(h) sasaran merujuk manusia

... menghantar surat kepada ibu... (gramatis)

...menghantar surat ke ibu ...(tidak gramatis)

(i) sasaran merujuk haiwan

... menghadiahkan kucing kepada kakak... (gramatis)

...menghadiahkan kucing ke kakak ... (tidak gramatis)

(j) merujuk unsur mujarad (abstrak)

...penting kepada negara Malaysia... (gramatis)

...penting pada negara Malaysia ...(tidak gramatis)

(k) menyatakan pecahan

... terbahagi kepada dua kumpulan... (gramatis)

... terbahagi ke dua kumpulan ...(tidak gramatis)

(l) menyatakan perubahan keadaan

...daripada 32 darjah Celsius kepada 35 darjah Celsius ... (gramatis)

... daripada 32 darjah Celsius ke 35 darjah Celsius ... (tidak gramatis)

... daripada sedih kepada gembira... (gramatis)

... daripada sedih ke gembira ...(tidak gramatis)

Kesilapan Bahasa

Amatara Memartabatkan Bahasa Melayu
mrasulharon@ yahoo.con
http://pajatsong.blogspot.com

Semua rakyat tanpa mengira kaum, bangsa dan agama harus menerima hakikat kesilapan bahasa berlaku kerana kesilapan pengguna bahasa sendiri yang kurang menghargai dan menghayati konsep satu bangsa satu bahasa. Kesalahan bahasa tidak sepatutnya berlaku kerana bahasa Melayu telah dimartabatkan sebagai bahasa Kebangsaan dalam Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan, Akta Bahasa Kebangsaan 1963/1968, Akta Pelajaran 1961 dan 1996. Semua pengguna bahasa sepatutnya perlu mempelajari, menguasai dan menggunakan bahasa Melayu dengan lancar dan betul jika mereka benar-benar rakyat Malaysia. Langkah kerajaan mendaulatkan bahasa Melayu diharap dapat memastikan bahasa Melayu digunakan secara meluas oleh bangsa Malaysia seterusnya dapat mengurangkan kesalahan bahasa dalam pertuturan dan penulisan.

Imbuhan memper-

Memperdalam atau memperdalamkan?
Memperluas atau memperluaskan?
Memperlebar atau memperlebarkan?
Mempersembah atau mempersembahkan?
Memperlekeh atau memperlekehkan?

Sebenarnya, mudah sahaja untuk mengetahui sama ada anda menggunakan imbuhan 'memper-' secara tepat atau sebaliknya. Imbuhan 'memper-' terdiri daripada dua imbuhan (mem- dan per-) dan digunakan untuk menggambarkan situasi yang lebih tinggidaripada keadaan sedia ada. Contoh:

Memperlebar=> Keadaan sedia ada yang sudah lebar dilebarkan lagi.
Pihak kerajaan sedang memperlebar lebuh raya persekutuan untuk mengurangkan kesesakan lalu lintas.
(Lebuh raya persekutuan yang sedia ada lebar dilebarkan lagi).

Baik, adakah kedua-dua perkataan 'memperlebar' dan 'memperlebarkan' boleh digunakan dalam Bahasa Malaysia? Jawapannya, tidak!

Undang-undang Bahasa Malaysia yang perlu anda patuhi ialah:
=> Kata adjektif tidak boleh menerima lebihdaripada dua imbuhan.

Jadi, 'lebar' merupakan kata adjektif. Oleh itu, perkataan tersebut tidak boleh menerima lebih daripada dua imbuhan. Maka, perkataan 'memperlebarkan' adalah salah dalam Bahasa Malaysia kerana perkataan tersebut mempunyai tiga imbuhan (mem-, per-, -kan).

Memperdalam atau memperdalamkan?
Jawapan: Memperdalam (Dalam=> kata adjektif)

Memperluas atau memperluaskan?
Jawapan: Memperluas (Luas=> kata adjektif)

Memperlebar atau memperlebarkan?
Jawapan: Memperlebar (Lebar=> kata adjektif)

=>Kata kerja pula boleh menerima tiga imbuhan.

Mempersembah atau mempersembahkan?
Jawapan: Mempersembahkan (Sembah=> kata kerja)

Memperlekeh atau memperlekehkan?
Jawapan: Memperlekehkan (Lekeh=> kata kerja)

Khamis, 23 Ogos 2018

TUJUH WASIAT RAJA-RAJA MELAYU

WASIAT YANG DITERJEMAHKAN DALAM PERLEMBAGAAN PERSEKUTUAN – Secara Ringkas
1.      MALAYSIA – perkara 1 (Nama, negeri-negeri dan Wilayah-wilayah Persekutuan) Persekutuan dinamai Malaysia pada 16 September 1963. Negeri-negerinya terdiri daripada Johor, Kedah, Kelantan, Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Perak, Perlis, Pulau Pinang, Sabah, Sarawak, Selangor dan Terengganu.
2.      TANAH SIMPANAN MELAYU – Perkara 89 (Tanah Rizab Orang Melayu)
Mana-mana tanah di sesuatu negeri yang menjadi tanah rizab orang Melayu sebelum hari merdeka mengikut undang-undang yang ada, maka tanah itu boleh terus-menerus menjadi tanah rizab orang Melayu mengikut undang-undang itu sehingga selainnya diperuntukkan oleh Badan Perundangan Negeri dengan suatu Enakmen.
3.      REJIMEN ASKAR MELAYU – Seksyen 16(1) Akta Angkatan Bersenjata 1972
Seksyen tersebut menyatakan:”Mana-mana orang boleh diambil masuk ke dalam angkatan tetap; dengan syarat bahawa hanya orang Melayu boleh diambil masuk ke dalam Askar Melayu Diraja”.
Askar Melayu Diraja diilhamkan pada tahun 1902 dan ditubuhkan pada tahun 1932 di bawah Malay Regiment Ordinance. Pasukan pertama Askar Melayu Diraja terdiri daripada 23 orang dan meningkat kepada 2 batalion pada tahun 1941. Askar Melayu Diraja pernah berperang dengan tentera Jepun di Pengkalan Chepa, Kelantan dan di Singapura dalam Perang Dunia Kedua.
Angkatan Tentera Malaysia terdiri daripada tiga perkhidmatan iaitu udara, darat dan laut yang semuanya terbuka kepada semua kaum. Askar Melayu Diraja hanya satu komponen dalam pelbagai bidang ketenteraan dan berperanan mempertahankan negara dari ancaman dan pencerobohan dari luar Negara tetapi tidak terlibat dalam ketenteraan awam dan keselamatan dalam negara.
4.      RAJA-RAJA MELAYU – Perkara 32 (Kepala Utama Negara Bagi Persekutuan Dan Permaisurinya)
Kepala Utama Negara bagi Persekutuan digelar Yang di-Pertuan Agong yang mengambil keutamaan mengatasi segala orang lain dalam Persekutuan. Raja Permaisuri Agong mengambil keutamaan mengatasi segala orang lain dalam Persekutuan selepas yang di-Pertuan Agong. Yang di-Pertuan Agong dipilih oleh Majlis Raja-Raja selama tempoh jawatan lima (5) tahun.
5.      ISLAM – Perkara 3
(Agama Bagi Persekutuan)
Islam ialah agama bagi Persekutuan tetapi agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana bahagian Persekutuan. Raja/Sultan di setiap negeri ialah Ketua Agama Islam bagi negerinya dan bagi negeri-negeri yang tidak mempunyai Raja/Sultan, Yang di-pertuan Agong adalah Ketua Agama Islam negeri itu termasuklah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya.
6.      BAHASA MELAYU – Perkara 152 (Bahasa Kebangsaan)
Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan bahasa kebangsaan di Malaysia ialah Bahasa Melayu. Kedudukan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan bagaimanapun tidak menafikan kedudukan dan hak bahasa lain untuk digunakan, dipelajari dan dikembangkan sekalipun dengan menggunakan dana awam. Pindaan kepada Perkara ini tidak boleh diluluskan dengan tiada perkenan Majlis Raja-Raja.
7.      KEDUDUKAN ISTIMEWA ORANG MELAYU DAN KEPENTINGAN SAH KAUM-KAUM LAIN – Perkara 153 (Perizaban Kuota Mengenai Perkhidmatan, Permit Dan Sebagainya Untuk Orang Melayu) 
Perlembangan Persekutuan memberikan tanggungjawab kepada yang di-pertuan Agong memelihara kedudukan istimewa orang Melayu dan Bumiputera mana-mana negeri Borneo dan kepentingan-kepentingan sah kaum-kaum lain. Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan rizab kuota orang Melayu dan bumiputera dalam perkhidmatan awam, kemudahan pelajaran, permit dan lesen perniagaan.

(Dipetik dari Jabatan Penerangan Malaysia, R05 (B.M) JANUARI 2010 (100), Arkib Negara Malaysia 2010/0008911)

Kata Bilangan

Kata Bilangan

1.      Terdapat enam jenis kata bilangan:

Kata bilangan tentu seperti satu, seratus, sejuta dan sebagainya.

Kata bilangan tidak tentu seperti beberapa, para, semua, setengah-setengah, dan sebagainya.

Kata bilangan pecahan seperti setengah, suku, dan sebagainya.

Kata bilangan pisahan seperti masing-masing, dan setiap.

Kata bilangan himpunan seperti berbagai-bagai, kedua-dua, dan sebagainya.

Kata bilangan tingkat seperti pertama, kedua, keenam dan sebagainya.

2.      Kata bilangan seperti setengah-setengah, tiap-tiap, berbagai-bagai dan kedua-dua tidak boleh disingkatkan.

salah
a. setengah orang
b. tiap murid
c. berbagai warna
d. kedua mempelai

betul
      a. setengah-setengah orang
      b. tiap-tiap murid
      c. berbagai-bagai warna
      d. kedua-dua mempelai

3.      Kata para tidak boleh diulang.

Para-para penduduk perlu bekerjasama. ( salah )

Para penduduk perlu bekerjasama. ( betul )

4.      Kata bilangan tentu seperti satu, dua, tiga dan seterusnya tidak boleh didekatkan dengan kata bilangan pecahan seperti suku dan setengah untuk penghitungan.

dua setengah meter ( salah )
dua suku jam ( salah )
tiga setengah ringgit ( salah )

dua meter setengah ( betul )
dua jam suku ( betul )
tiga ringgit setengah ( betul )

Awalan meN-

Munsyi Md Rasul bin Haron@Amatara Bahagian Matrikulasi 30 Jun 2022 Panduan Bahasa PROSES PENGIMBUHAN 2) Awalan meN- fungsi pengg...