Selasa, 4 Jun 2019

Kesantunan Berbahasa Kian Sirna

Oleh:

Munsyi Md Rasul bin Haron
(AMATARA)

Yang kurik itu kundi,
Yang merah itu saga;
Yang cantik itu budi,
Yang indah itu bahasa.

Berapa ramaikah di antara kita peduli bahawa bahasa Melayu merupakan satu bahasa yang utama di rantau kepulauan Melayu pada suatu ketika dahulu? Bahasa Melayu bukan sahajadiungkapkan oleh jutaan penduduk di rantau ini malah bahasa ini juga pernah mengalami sejarah hidup yang panjang sejak kelahirannya puluhan abad yang lalu.

Harus diingati bahawa sejak abad ke-7 Masihi, bahasa Melayu telah menjadi bahasa kerajaan, bahasa perdagangan, bahasa pengajian agama dan lingua franca bagi rantau Kepulauan Melayu di bawah kerajaan Sriwijaya. Pada zaman kesultanan Melayu dari sekitar abad ke-13
hingga abad ke-19, bahasa Melayu mencapai puncak kegemilangan sebagai bahasa tamadun Melayu baharu, dengan menjadi bahasa pentadbiran, bahasa diplomasi, bahasa undang-undang, bahasa ilmu dan falsafah, bahasa perdagangan, bahasa ketatanegaraan dan bahasa sastera tinggi.

Tidaklah keterlaluan jika dikatakan bahawa bahasa Melayu kini diangkat sebagai bahasa kelima terbesar di dunia, dengan lebih 300 juta orang penutur. Bahasa Melayu tersebar luas sehingga dipelajari oleh penutur dan orang asing, dan usaha ini telah menyemarakkan proses pendidikan bahasa Melayu di peringkat antarabangsa.

Lebih-lebih lagi dalam usia emas kemerdekaan Negaraku Malaysia, bahasa Melayu telah menjadi salah satu asas pembinaa negara yang penting melalui tiga peranan besar iaitu sebagai bahasa kebangsaan, bahasa rasmi dan bahasa ilmu.

Pada masa yang sama, martabat bahasa Melayu sudah mula tergugat. Kemerosotan dalam aspek mutu bahasa pula berkaitan dengan kurang pekanya sebilangan anggota masyarakat terhadap bentuk bahasa Melayu yang baku dan ragam bahasa Melayu rasmi, khususnya
dalam konteks bidang yang rasmi seperti pentadbiran, penyiaran dan pendidikan.

Percampuran ragam bahasa basahan dengan bahasa yang baku dalam situasi rasmi menjadikan bahasa Melayu kehilangan darjat dan citra sebagai bahasa budaya tinggi. Perkara ini tidak harus dibiarkan berlarutan. Bahasa basahan ini ialah bahasa pertuturan
sehari-hari. Bahasa ini tidak mementingkan unsur tatabahasa kerana yang dipentingkan ialah kefahaman antara penutur dan pendengar. Oleh hal yang demikian, ia tidak digunakan dalam
tulisan atau ucapan rasmi. Bentuknya pula sering dipengaruhi oleh dialek dan slanga daerah.

Begitu juga dengan dunia internet dan dunia media sosial yang dimeriahkan dengan bahasa santai. Walaupun masyarakat kita sedang mengalami migrasi ke masyarakat maya, bahasa
Melayu perlu diletakkan di tempatnya. Penggunaan bahasa Melayu yang baku mengalami penyempitan maka terjelmalah bahasa Melayu baharu yang diungkap secara sambalewa.

Masalahnya kini ialah, masyarakat tidak lagi memikirkan aspek kesantunan berbahasa Melayu ketika berkomunikasi walaupun pemimpin negara yang begitu ringan mulut di Parlimen. Nilai-nilai murni ketika berbahasa Melayu telah dilupakan. Situasi ini amat membimbangkan kerana ditakuti generasi pada masa kini melupakan nilai-nilai murni dan kesantunan ketika berkomunikasi. Penggunaan ujaran yang tidak santun ini secara tidak langsung menunjukkan gambaran keperibadian masyarakat Malaysia kerana berita yang disiarkan secara dalam talian ini boleh diakses oleh seluruh dunia.

Menurut Asmah Haji Omar (2000), kesantunan bahasa ialah penggunaan bahasa sehari-hari yang tidak menimbulkan kegusaran, kemarahan dan rasa tersinggung daripada pendengar. Menurut Amat Juhairi Moain (1992) pula kesantunan merujuk kepada kesopanan dan kehalusan dalam menggunakan bahasa ketika berkomunikasi sama
ada melalui lisan atau tulisan. Bahasa yang sopan mempunyai kosa kata yang halus untuk menyampaikan sesuatu mesej. Kesantunan bahasa ini dapat memperkukuh lagi perpaduan dalam kalangan masyarakat pelbagai etnik di negara kita. Dengan adanya definisi daripada ilmuan-ilmuan ini maka terbuktilah bahawa kesopanan ini terbahagi kepada banyak aspek antaranya ialah dari aspek pertuturan, pengunaan bahasa dalam komunikasi.

Sejajar dengan itu, penggunaan bahasa Melayu tidak sekadar mengungkapkan kata-kata yang jelas bermakna iaitu dapat difahami oleh semua, melainkan juga belajar mengungkapkan kata-kata sesuai dengan situasi dan dengan kesopanan masyarakat. Dalam situasi tertentu ada
kata-kata yang tidak patut diucapkan, walaupun makna perkataan tersebut sesuai dengan maksud si pengucap. Dalam kalangan tertentu ada kata-kata yang tabu diucapkan walaupun kita beranggapan kata itulah yang paling tepat untuk menyampaikan maksud kita.

Kata tabu merupakan penggunaan kosa kata yang tidak santun diungkapkan oleh setiap individu yang hidup bermasyarakat. Kosa kata tersebut merupakan makian dan ungkapan kotor yang diungkapkan mengikut sekehendak hati.

Sehubungan dengan itu, marilah kita mendenyutkan cinta yang sama untuk memartabatkan bahasa Melayu dan meletakkan bahasa kelima paling banyak dituturkan di dunia ini ditempatnya. Sikap individu yang membusung dada meminggirkan bahasa Melayu dan tidak
menggunakannya secara bersungguh-sungguh amat dikesali. Dasar yang telah diputuskan melalui Perlembagaan, akta serta peraturan perlu diperkasakan secara berterusan dan bukannya merendahkan martabat bahasa Melayu. Sesudah mencapai kemerdekaan, negara
kita telah membangun dengan bahasa Melayu sebagai wahana komunikasinya, seperti yangdigunakan dalam sistem pendidikan dan pentadbiran.

Ikat jerami muat ke kandar,
Selepas makan mandi di telaga;
Ungkap difahami wasangka terhindar,
Bahasa Melayu penyatu warga.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Awalan meN-

Munsyi Md Rasul bin Haron@Amatara Bahagian Matrikulasi 30 Jun 2022 Panduan Bahasa PROSES PENGIMBUHAN 2) Awalan meN- fungsi pengg...