Sabtu, 22 Oktober 2011

Putera Mahkota Saudi Putera Sultan meninggal dunia



TERKINI @ 02:09:18 PM 22-10-2011




Putera Mahkota Arab Saudi
Putera Sultan Abdulaziz Al-Saud
DUBAI, 22 Okt ― Putera Mahkota Arab Saudi Putera Sultan yang menerima rawatan di luar negara meninggal dunia hari ini, demikian menurut satu kenyataan rasmi dibawa agensi berita kebangsaan SPA.

Putera Sultan merupakan adik kepada Raja Arab Saudi Raja Abdullah Abdulaziz.
“Putera Sultan telah meninggal dunia di luar negara subuh ini kerana sakit,” kata kenyataan itu.
Sultan, yang dipercayai berusia 86 tahun, berada di Amerika Syarikat kerana sakit dan menjalani rawatan sejak Jun lalu.
Selain selaku putera mahkota negara pengeskport minyak terbesar dunia itu, Putera Sultan juga merupakan menteri pertahanan dan menteri penerbangan sejak empat dekad lalu.
Saluran televisyen Saudi menghentikan program siaran sejak awal pagi ini dan hanya menyiarkan bacaan ayat-ayat al-Quran dengan imej Kaaba.
Upacara pengebumian akan berlangsung di ibu negara Saudi Riyadh Selasa ini, kata SPA lagi.
Raja Abdullah yang berusia lewat 80-an menjalani semula pembedahan awal bulan ini di luar negara dan kelihatan sihat sejak itu.
Menteri Dalam Negeri Putera Nayef, yang dinamakan sebagai timbalan perdana menteri kedua pada 2009, dijangka akan menggantikan tempat Putera Sultan sebagai Putera Mahkota.
Putera Nayef, berusia dalam lewat 70-an, dianggap sebagai lebih konservatif berbanding Putera Sultan dan Raja Abdullah.
Berbanding negara-negara Eropah dan negara lain, takhta Arab Saudi akan diwarisi oleh adik-beradik pengasas kerajaan Saudi, Ibn Saud yang meninggal dunia pada 1953. ― Reuters

Blogger, pengamal media baru jangan lempar fitnah



Harakahdaily.net
Muhammad Faizal  


GOMBAK, 22 Okt: Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, setiap blogger mahupun pengamal media baru perlu banyak belajar agar boleh menjadi seorang penulis yang berhemah.
"Setiap blogger serta pengamal media baru perlu terus belajar dan jangan henti untuk kita terus belajar kerana ia akan dapat melahirkan kita sebagai penulis yang lebih berhemah.
"Kita melihat apa yang berlaku sekarang ini kebanyakan blogger memaparkan dengan perkara yang tidak betul dan melemparkan fitnah-fitnah," jelasnya sewaktu merasmikan Persidangan ICT dan Media Baru 2011 di Dewan Datuk Fadzil Noor, Taman Melewar hari ini.
Tambahnya lagi, sebagai seorang blogger perlu mempunyai sifat-sifat yang mulia, bukannya menulis perkara-perkara fitnah.
Beliau juga memberitahu ada penyakit yang perlu diubat dalam dunia blogger yang dilihat sentiasa melemparkan perkara-perkara yang tidak benar malah menjadikan ia satu usaha penyebaran unsur-unsur jahat dengan niat.
"Penyakit menyebar fitnah perlu diubat kerana ini akan menjadikan budaya ytang tidak sihat di negara ini malah ia akan menjadikan budaya penyebaran fitnah yang tidak berhemah.
"Saya tekankan di sini blogger kena belajar dan mempunyai pengetahuan agama yang kuat, cara ini sajalah yang dapat mengubat penyakit penyebar fitnah di dalam dunia media baru.
"Selain itu pembelajaran kesasteraan juga perlu untuk kita mantapkan penulis ayar ayat-ayat yang kita tulis mempunyai nilai tersendiri serta menarik minat pembaca," sambungnya lagi.
Nik Aziz juga meminta blogger serta pengamal media baru mempelajari bagaimanakah cara untuk menjawab setiap isu fitnah dengan menitik berat serta mengambarkan nilai-nilai keIslaman kerana ia juga dapat memberi kesan mendalam kepada penjelasan kepada fitnah.
"Kita perlu belajar untuk menjawab setiap persoalan dan ini akan memastikan untuk setiap soalan atau fitnah dapat kita perjelaskan kembali dengan cara yang baik, ini akan memberi kesan kepada setiap pembaca.
"Di sinilah yang akan dinilai oleh setiap pembaca dan mereka sendiri yang akan menilai siapa yang betul mahupun tidak dan saya pasti penjelasan yang baik Umno juga akan dapat berubah setelah tidak dapat menimbulkan isu baru kerana penjelasan kita berikan itu," tambah Nik Aziz lagi.
Menteri Besar Kelantan itu juga menjelaskan persaingan juga perlu kerana ia mendatangkan kesan kepada apa yang dilakukan dan dapat menimbulkan kebenaran kepada sesuatu perkara.
"Persaingan yang baik akan melahirkan kebenaran kerana isu yang timbul akan dibahas serta pendapat masing-masing dan akhirnya mendatangkan kebenaran yang diterima oleh semua," katanya.
Persidangan yang dianjurkan oleh Lajnah ICT dan Jabatan IT PAS Pusat bersama dengan Lajnah Penerangan dan Dakwah PAS Pusat selama sehari ini meletakkan objektif menyeragamkan pemahaman garis panduan gerak kerja bersepadu facebook atau twitter kepada semua petugas penerangan dan maklumat di semua peringkat.
Ia juga bertujuan mengulangkaji mengemaskini dan mendapat maklum balas status kesediaan keperluan ICT di semua peringkat serta berkongsi pengetahuan berhubung dengan media sosial dan webtv sebagai sumber maklumat alternatif serta mendapat sokongan dan komitmen dari kepimpinan tertinggi PAS untuk melancarkan Jentera Bersepadu Petugas ICT dalam jentera pilihan raya dan penerangan lebih awal sebagai persediaan dalam menghadapi pilihanraya umum nanti.
 

Perhimpunan anti-murtad di Shah Alam


malaysiakini.com
Salhan K Ahmad
3:06PM Okt 22, 2011


Stadium Shah Alam mula dipenuhi orang ramai yang menyertai Perhimpunan Sejuta Umat.Satu kumpulan nasyid memulakan acara dengan mempersembahkan nyanyian lagu-lagi nasyid.

Beberapa kain rentang turutn dipasang di kawasan stadium, antaranya tertulis Pertahankan Institusi Raja, Hidup Melayu Hidup Islam, Melayu Sepakat Islam Berdaulat.

Selain itu, beberapa orang di kalangan orang ramai yang hadir juga dilihat membawa satu risalah bertajuk "siapa bertanggungjawab Kristiankan Melayu di Selangor?"
Seorang individu mengumumkan melalui pembesar suara di stadium
bahawa terdapat pihak tertentu yang mengedarkan risalah yang "boleh timbulkan masalah."
"This is a peaceful assembly. Tolong jangan resahkan perhimpunan ini.

"Siapa yang jumpa orang yang edar risalah itu, tangkap dan bawa kepada polis," kata individu yang membuat pengumuman itu lagi.
Risalah, yang kelihatan seperti buku kecil (di bawah), memaparkan salib besar pada kulit, dan di dalam menggambarkan pastor kanan Gereja Methodist Damansara Utama (DUMC), Daniel Ho sebagai 'dalang' kepada dakwaan usaha mengkristian tersebut.
Ia juga mengandungi gambar pastor tersebut dan isterinya serta individu lain dalam DUMC dan Sinar Harapan - NGO yang terbabit dalam kontroversi tersebut.
3pm: Dianggarkan sekitar 5,000 orang telah mengambil tempat di kawasan tempat duduk stadium.
3.34pm: Duduk di tempat VIP ialah exco kerajaan Selangor bagi halehwal agama Islam, Datuk Hasan Ali dan bekas naib canselor UiTM, Datuk Ibrahim Abu Shah; pemimpin TERAS, Mohd Azmi Abdul Hamid dan mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria.
Turut kelihatan di kawasan VIP ialah bekas menteri besar Perlis, Tan Sri Shahidan Kassim.
Difahamkan seorang pemimpin Pemuda PAS akan berucap di perhimpunan tersebut.
3.50pm: Pengerusi bersama HIMPUN, Mohd Yusri Mohamad mula menyampaikan ucapan.
3.40pm: Pihak penganjur sekali lagi mengingatkan para peserta bahawa ia adalah satu perhimpunan aman dan tidak akan bertolak ansur dengan sebarang percubaan untuk mencetuskan gangguan.
4pm: Dalam ucapannya, Mohd Yusri Mohamad dalam ucapannya menjelaskan bahawa perhimpunan hari ini bertujuan menyuntik kebenarannya kepada orang Islam dalam berdepan dengan isu murtad.

"Kita harap dapat suntik keberanian dalam diri kita, semuanya akan gerakkan perubahan dari segi undang-undang, dasar dan sikap terutamanya di kalangan mereka yang berkeras ingin murtadkan umat Islam, sedangkan ia kesalahan sebar agama lain kepada orang Islam."
4.20pm: Penulis yang pernah buat kajian ke atas isu Natrah - Fatini Yaacob - pula menyeru supaya golongan bukan Islam berhenti memurtadkan orang Melayu dan membuat provokasi ke atas orang Islam.

"Marilah hormati pilihan agama masing-masing," katanya yang berkata perhimpunan orang Islam yang membuat bantahan dalam isu Natrah pada waktu itu juga disertai golongan bukan Islam.
Beliau memberitahu hadirin bahawa mereka yang berminat, hendaklah membeli bukunya, yang hasil jualannya adalah untuk membina sebuah pusat Islam di Sabah.
4:50pm: Seorang wakil NGO belia dari Felda, Abdullah Abu Bakar, pula berikrar bahawa tidak akan ada kes murtad di tanah rancangan Felda.

Beliau tidak menyebut sama ada pernah ada kes seumpama itu sebelum ini.

Sementara itu, pihak penganjur memuji para hadiran kerana semuanya berjalan dengan aman.
5.02pm: Bekas naib canselor UiTM, Datuk Ibrahim Abu Shah membangkitkan kegiatan kristian militan yang kini didakwa mempunyai 13 orang mubaligh di Malaysia, Indonesia dan Filipina yang bermatlamat memurtadkan orang Islam.

TIP PENGGUNAAN TELEFON BERKAMERA




Jika anda adalah salah seorang daripada jutaan pengguna yang mempunyai telefon berkamera dan mahukan gambar yang terbaik, berikut adalah beberapa tip yang perlu anda ikuti.
1. Ambil gambar seberapa banyak yang boleh. Golongan profesional akan mengambil ratusan gambar foto daripada pelbagai sudut dan posisi. Kemudian pilih yang mana terbaik dan buang yang lain. Anda juga boleh cuba mengambil foto dengan cara yang berlainan.

2. Pegang kamera dengan baik, gunakan kedua-dua tangan jika boleh dan tekan bebutang dengan baik. Kebanyakan imej yang dihasilkan adalah kabur kerana pergerakan ketika anda hendak menekan bebutang. Jika suasana sekeliling agak suram anda boleh pastikan yang kamera anda juga disuramkan dengan meletakkannya di sebelah pokok atau objek besar.
• Pencahayaan
• Pemandangan
• Penyelenggaraan
Pencahayaan
Berhati-hati dengan kualiti dan arah cahaya. Masa yang paling baik untuk merakam foto adalah dalam cahaya luar yang terang dan ruang bilik yang penuh dengan cahaya. Dalam cahaya seperti ini foto anda akan menjadi cantik. Jika dalam cahaya matahari yang terang pastikan yang anda membelakangkan objek yang hendak diambil fotonya. Cara ini mengelakkan kamera anda terdedah dengan cahaya yang berlebihan dan membuatkan objek lebih mudah diperhatikan. Untuk merakam warna yang baik pula, masa yang sesuai adalah senja atau syuruk di mana cahaya matahari masih kurang panas.
1. Dalaman, gunakan flash (jika ada) atau posisikan subjek berhampiran tetingkap di mana ada cahaya dari luar.
2. Gunakan cuaca. Hujan, salji atau kabus memberikan anda foto yang terbaik. Jika ia hujan atau salji pastikan kamera anda dilindungi daripada terkena air atau ais. Pastikan yang anda berada di sebalik tingkap kereta atau rumah ketika merakam imej.
Pemandangan

1. Apabila mengambil potret individu atau kumpulan, dapatkan kumpulan itu rapat serapat yang mungkin supaya muat pada bingkai imej. Jangan berdiri terlalu jauh daripada kamera kerana ini akan membuatkan imej anda kabur. Jangan memakai topi atau kaca mata hitam. Dapatkan juga latar belakang yang baik.
2. Untuk imej aksi, seperti meniup lilin pada kek harijadi, perhatikan aksi dan baru rakam. Kelewatan ini adalah sesuai untuk kamera digital.
3. Pada gambar lanskap tambah subjek pada bahagian depan. Tambahan ini merupakan rumah, atau apa sahaja untuk memberikan imej itu suatu titik menarik. Pastikan juga anda bermain dengan garisan horizon. Dengan cara ini anda pasti akan mendapat gambar yang sesuai yang lengkap dengan awan dan latar belakang yang menarik.


3. Pada konsert dan acara awam, rakamkan konsert itu secara keseluruhan dan tidak hanya kepada penghibur itu sahaja kerana anda tidak akan dapat merakam imej yang baik dari jarak yang jauh.
Penyelenggaraan
1. Pastikan telefon kamera anda sentiasa bercas.
2. Muat turunkan gambar-gambar dengan kerap, untuk membebaskan muatan memori untuk gambar-gambar lain.
3. Tambah lagi memori kepada telefon anda. Lebih banyak memori, lebih banyak foto yang boleh dirakam dan lebih banyak saat-saat indah dapat dirakam. Jika anda sedang melancong, pastikan foto-foto anda disimpan ke dalam CD.

Sekarang anda boleh mengambil gambar-gambar yang menarik dengan telefon berkamera anda.

PANDUAN DAN LANGKAH MENGHADAPI BANJIR




PERSEDIAAN SEBELUM BANJIR
• Dapatkan maklumat tentang banjir di tempat anda.
• Pastikan sistem amaran banjir dan dengar hebahan semasa yang disampaikan melalui radio,televisyen dan agensi-agensi kerajaan yang berkenaan serta Bilik-Bilik Gerakan Banjir Negeri atau Daerah yang berhampiran.
• Periksa lubang air seperi longkang atau saluran najis. Bersihkan halangan dan pastikan ia tertutup rapat supaya air banjir tidak masuk melaluinya.
• Pastikan di mana Pusat Pemindahan dan Pusat Bantuan Bencana di tempat anda.
• Sediakan peralatan kecemasan dan bekalan makanan secukupnya.
• Pastikan seluruh keluarga anda mengetahui cara-cara bertindak semasa kecemasan di rumah.
SEBELUM BANJIR - SEMASA TANDA-TANDA DIKESAN
• Dengar melalui pengumuman radio, televisyen atau pihak-pihak tertentu.
• Pindahkan perabut atau peralatan-peralatan lain ke tempat yang selamat.
• Letakkan dokumen penting di tempat yang selamat atau bawa bersama anda dalam bekas kalis air.
• Bersedia untuk menutup suis elektrik, injap utama bekalan air dan gas.
• Beritahu jiran anda dan bersedia untuk berpindah.
SEMASA BANJIR - SEMASA PEMINDAHAN

• Apabila menerima arahan, segeralah berpindah ke pusat-pusat pemindahan yang disediakan. 
• Berpindah awal sebelum banjir meningkat atau pada waktu siang kerana ianya lebih mudah dan selamat.
• Ikut laluan yang ditentukan, laluan singkat mungkin terhalang.
SEMASA BANJIR  - DI DALAM KENDERAAN

• Jangan terus mengharungi kawasan banjir, hendaklah berpatah balik ke tempat yang selamat.
• Jika kenderaan anda terhenti, kunci kenderaan serta tinggalkan kenderaan tersebut dan pergilah. ke tempat yang selamat
SEMASA BANJIR - DI DALAM RUMAH

• Dengar pengumuman melalui radio, televisyen atau pihak tertentu.
• Bersedia dengan peralatan kecemasan.
• Jika diarahkan keluar dan berpindah, segera lakukan.
SEMASA BANJIR - DI LUAR RUMAH
• Pergi ke tempat tinggi dan selamat.
• Elakkan dari melalui kawasan banjir, arus deras yang boleh menghanyutkan anda.
• Jangan sengaja bersiar-siar di kawasan banjir sama ada dengan sampan mahupun berjalan kaki.
• Jangan sentuh mana-mana kabel atau wayar yang jatuh.
• Awasi kanak-kanak, jangan biarkan mereka bermain-main di longkang, sungai atau lombong.
• Jangan minum air banjir.
SELEPAS BANJIR
• Dengar pengumuman melalui radio atau tunggu arahan pihak yabg berkuasa, jangan kembali ke rumah sebelum dibenarkan atau sebelum keadaan benar-benar selamat.
• Beri bantuan kepada jiran anda atau orang kurang upaya (orang tua, kanak-kanak atau golongan istimewa).
• Periksa rumah anda, lihat tanda-tanda rekahan atau mendapan kerana ianya mengkin tidak selamat.
• Jangan terus memasukki rumah yang masih dibanjiri air, berhati-hati banyak bahaya yang tersembunyi.
SELEPAS BANJIR - SEMASA MEMASUKI BANGUNAN
• Pakai kasut.
• Periksa kerosakkan dinding, lantai, pintu dan tingkap.
• Periksa sebarang kehadiran binatang atau serangga berbisa yang merbahaya. Gunakan kayu untuk mengalihkan sebarang halangan yang bertaburan di lantai rumah anda.
• Perhatikan siling dan plaster dinding yang mungkin rekah, lerai dan jatuh.
SELEPAS BANJIR - PERIKSA ANCAMAN BAHAYA
• Periksa paip saluran gas yang mungkin pecah atau bocor.
• Periksa wayar elektrik yang terendam di dalam air.
• Periksa peralatan elektrik yang tenggelam.
• Periksa bahan-bahan yang mudah terbakar yang mungkin mengalir masuk semasa banjir (Minyak tanah, petrol, diesel dan sebagainya).
• Buang bahan-bahan makanan yang terendam yang terkena banjir termasuklah makanan dalam tin.
• Periksa kerosakan tangki septik untuk mengelakkan bahaya biologi. 
• Laporkan sebarang kerosakan kemudahan-kemudahan awam kepada pihak yang berkuasa.
Sumber maklumat: Jabatan Pertahanan Awam Malaysia

DUA PENGEDAR DADAH DITAHAN POLIS


Utusan Borneo
The Borneo Post

by YUSOP TEPPO. Posted on October 20, 2011, Thursday





KINABATANGAN: Dua lelaki yang dipercayai pengedar dadah diberkas bersama enam paket dipercayai dadah jenis syabu yang dianggarkan bernilai RM10 ribu di Kilometer 77 Jalan Kinabatangan-Sandakan, petang Selasa.
Ketua Polis Daerah, Deputi Superitendan Jaini Abdul Kadir berkata berkata salah seorang suspek berumur 40 tahun tidak memiliki dokumen pengenalan diri manakala seorang lagi adalah rakyat tempatan berusia 28 tahun yang bekerja di sebuah agensi kerajaan negeri.
“Dalam kejadian kira-kira jam 2.15 petang itu, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik yang diketuai oleh Inspektor Nicodemus Branking telah menahan sebuah kereta jenis Proton Wira Aeroback warna kelabu disyaki menjalankan kegiatan pengedaran dadah,“ katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Kinabatangan, pagi kelmarin.
Beliau berkata, hasil pemeriksaan ke atas penumpang kereta berkenaan yang berumur 40 tahun, polis telah menjumpai satu sampul surat berisi ketulan hablur jernih dipercayai dadah jenis syabu dalam poket sebelah kanan hadapan seluar yang dipakainya.
“Terdapat enam paket dalam sampul surat berkenaan yang dianggarkan mempunyai berat ketulan hablur sejumlah 32 gram. Turut dijumpai satu alat timbang jenis elektronik, wang tunai RM48 dan tiga buah telefon bimbit dari kedua suspek berkenaan.
“Ketulan hablur dipercayai dadah jenis Syabu ini dianggarkan bernilai RM10 ribu yang bakal dipasarkan ke daerah Beluran dan Telupid,” katanya.
Jaini berkata, kedua-dua suspek yang berasal dari daerah Lahad Datu yang menjadikan Kinabatangan sebagai laluan untuk mengedar dadah itu kemudiannya dibawa ke balai polis di sini untuk siasatan lanjut.
Ketulan hablur yang dijumpai dari suspek itu akan dihantar ke Jabatan Kimia untuk dianalisa, katanya sambil menambah kejayaan itu merupakan kes dadah terbesar yang berjaya diselesaikan dalam tahun ini.
Beliau berkata, pihaknya berjaya mengesan kegiatan suspek berdasarkan kereta yang mereka gunakan di mana tidak kurang enam kali mereka menggunakannya untuk mengedar dadah.
Pihaknya akan menjalankan siasatan kes ini mengikut Seksyen 39 A (1) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum penjara seumur hidup dan sebat tidak kurang 10 kali.
Sementara itu dalam kes berasingan, Jaini berkata seorang lelaki ditahan oleh pihaknya bersama dua paket ketulan hablur juga dipercayai dadah jenis syabu dalam satu pemeriksaan di hadapan simpang Ladang Global Kampung Perpaduan Datu Moh di Kilometer 110 Jalan Sandakan-Kinabatangan pada 8 Oktober lepas.
“Suspek berumur 33 tahun berasal dari Sandakan yang tidak bekerja dan disyaki pengedar dadah itu telah ditahan semasa menaiki kereta jenis Proton Iswara,“ katanya.
Beliau berkata, pihak polis menjumpai ketulan hablur seberat 9.0 gram dalam genggaman tangan kanan suspek. Suspek bersama barang kes kemudiannya dibawa ke balai polis untuk siasatan lanjut.


Pusat kokurikulum akan dibangunkan di Sandakan


Utusan Borneo
Berita Sabah
by NOORASVILLA MUHAMMA.

ANUGERAH... Muhiddin menyerahkan anugerah kepada Rhubasini Melissa Sekaran dari SMK Segaliud yang merupakan Murid Cemerlang Kokurikulum Sekolah Menengah Luar Bandar kategori perempuan.

SANDAKAN: Sebuah pusat kokurikulum akan dibangunkan di daerah ini dalam usaha memberi kemudahan prasarana pendidikan luar kepada pelajar di kawasan bandar mahupun luar bandar.
Ia merupakan pusat kelima dibangunkan di negeri ini selepas Lahad Datu, Keningau dan Kudat selain Pusat Kokurikulum Negeri yang terletak di Tuaran.
Pengarah Jabatan Pelajaran Sabah, Datuk Dr Muhiddin Yusin berkata pusat kokurikulum itu kelak akan dimanfaat dan digunakan bersama oleh pelajar-pelajar dari Sandakan, Kinabatangan, Beluran dan Telupid.
“Pusat kokurikulum yang akan diwujudkan di bangunan lama Sekolah Kebangsaan Sungai Kayu di sini sekaligus memberi kemudahan kepada sekolah-sekolah di kawasan Pantai Timur berikutan pusat sedia ada terletak jauh.
“Sementara menantikan kelulusan daripada pihak Kementerian Pelajaran, Jabatan Pelajaran Sabah akan memberi sokongan dan bantuan menerusi penyediaan peralatan dan kelengkapan untuk membolehkan pusat ini berjalan lancar,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Hari Anugerah Kokurikulum Peringkat Daerah Sandakan di Dewan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Merpati di sini, kelmarin.
Pusat kokurikulum bertindak sebagai makmal bagi mengembangkan potensi peserta secara optimum, seimbang, menyeluruh dan bersepadu ke arah mencorakkan masyarakat yang berkeupayaan untuk memberi sumbangan yang konstruktif.
Dalam pada itu, Muhiddin berkata pihaknya akan terus berusaha untuk menyemarakkan kegiatan kokurikulum di semua peringkat sekolah bagi memastikan negeri ini tidak ketandusan pelapis berkualiti dan mampu mengukir nama di peringkat tinggi.
Katanya, ia termasuk menjalankan pelbagai perancangan dan pengukuhan program-program pembangunan dalam aktiviti kokurikulum.
Hari anugerah itu menyaksikan sembilan pelajar, dua guru dan 15 sekolah menerima anugerah kokurikulum masing-masing daripada lima kategori termasuk guru, murid, pendidikan khas, sekolah selain badan/kelab/persatuan/pasukan.

Selepas 40 tahun, akhirnya 100 warga Long Banga miliki MyKad


Utusan Borneo
Berita Tempatan Sarawak

TERHARU: Gabriel (kiri) ketika menyerahkan kad pengenalan kepada penduduk Long Banga pada satu majlis ringkas baru-baru ini.

MIRI: Setelah lebih 40 tahun menanti, akhirnya 100 penduduk di Long Banga, Ulu Baram memiliki dokumen pengenalan diri.
Ketua Kampung, Gabriel Liran berkata, rata-rata mereka yang menerima MyKad daripada Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) baru-baru ini semuanya berumur 60 tahun dan ke atas.
Menurutnya, kegembiraan jelas terpampang di riak wajah mereka setelah menerima dokumen berkenaan oleh pihak JPN yang datang ke kawasan mereka, baru-baru ini.
“Ini adalah hasil daripada lawatan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada Julai tahun lalu, terima kasih banyak kepada beliau,” ujarnya kepada Utusan Borneo semalam.
Gabriel turut menjelaskan bahawa kebanyakan daripada mereka tidak mempunyai apa-apa dokumen pengenalan diri sejak dilahirkan.
“Sebab itulah mereka menyatakan rasa syukur terhadap kerajaan kerana prihatin terhadap masalah yang membelenggu sejak sekian lama,” jelas Gabriel.
Pada masa sama, Gabriel turut menyampaikan kegembiraan penerima melalui janji mereka dalam pilihan raya akan datang.
“Kami semua pasti akan membalas baik budi kerajaan Barisan Nasional (BN), lihat sahaja dalam pilihan raya akan datang,” tambah beliau.


Read more: http://www.theborneopost.com/2011/10/22/selepas-40-tahun-akhirnya-100-warga-long-banga-miliki-mykad/#ixzz1bUsGNBQx

Lebih 40 murid keracunan makanan


Utusan Borneo
Berita Tempatan Sarawak




SARATOK: Lebih 40 murid Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Min Sin, Saratok kelmarin dirujuk ke Hospital Saratok untuk mendapatkan rawatan berikutan terdapat tanda-tanda menghadapi masalah keracunan makanan.
Kesemua murid terbabit telah dibawa oleh pihak pengurusan sekolah ke Hospital Saratok untuk mendapatkan rawatan lanjut pada awal pagi kelmarin.
Namun begitu punca kejadian tersebut masih lagi dalam siasatan dan hingga berita ini ditulis beberapa murid masih berada di Hospital Saratok untuk mendapatkan rawatan dan berada dalam situasi pemerhatian.
Tiada ulasan lanjut daripada pihak berwajib tentang kejadian ini, terutama mengenai punca sebenar yang mengakibatkan keracunan terhadap murid-murid berkenaan.

Awalan meN-

Munsyi Md Rasul bin Haron@Amatara Bahagian Matrikulasi 30 Jun 2022 Panduan Bahasa PROSES PENGIMBUHAN 2) Awalan meN- fungsi pengg...