Isnin, 3 September 2018

Amat Dua Puluh

Disiarkan dalam Utusan Malaysia
14 Julai 2018

Oleh:
Amatara

ALANGKAH bisanya lidah manusia! Kalimat yang kurang enak didengar masih melekat di telinga meskipun sudah dua minit perbualan berlalu. Begitu berbisa dan pahit untuk diterima.

Terasa gegendang aku berasap dan cuping telinga aku panas. Betapa berapinya ‘habuan’ yang baru diperoleh. Kini, yang bertebeng di mata aku hanyalah wajah adikku, ‘Amat Dua Puluh’.

“Kak Nab, Amat main tipu. Habis semua guli kami dikebasnya. Selagi tak cukup dua puluh, Amat tak mahu berhenti main,” adu Mat Latif, anak Pak Mail yang menjual taufu di hujung kampung.

“Kak Nab, Amat ambil guli aku. Sekarang guli aku sudah kurang empat biji. Amat hendak cukupkan gulinya dua puluh tapi dia ambil guli aku.

“Aku nak minta balik guli yang dia ambil. Kak Nab, Amat ada di rumah tak?” soal Rosli, anak Pak Samad yang tinggal berjiran dengan rumah aku.

Itulah rungutan yang selalu menyerang gegendang telinga aku tatkala dikunjungi rakan-rakan Amat, adikku. Setiap kali diajukan pertanyaan dan aduan, aku hanya membungkam sepi.

Tubuh aku akan jadi cepat kejang apabila diserbu dengan rungutan dan aduan daripada kanak-kanak berumur tujuh tahun yang sebaya dengan Amat. Aku diibaratkan mereka seperti kaunter aduan yang tidak pernah sunyi dengan segala permasalahan yang diciptakan oleh Amat.

Kesemua aduan itu hanya berlegar-legar mengenai dua puluh biji guli semata-mata.

Kadang-kadang aku merengus geram dengan perbuatan Amat terhadap rakan-rakan sepermainannya. Sudahlah kalah dalam permainan guli, malah sanggup pula menipu rakan-rakannya hanya semata-mata untuk mencukupkan baki gulinya yang kurang daripada dua puluh biji.

Kadang-kadang aku berasa pelik dengan perangai Amat. Jika gulinya lebih daripada dua puluh, maka dia akan memberikan lebihan itu kepada rakan-rakannya. Waktu itu, rakan-rakannya akan ketawa terkekek-kekek kerana mendapat habuan daripada Amat.

Tetapi jika guli Amat kurang daripada dua puluh, Amat akan mengambil guli-guli kepunyaan rakan-rakannya dengan cara paksa. Malah Amat tidak akan berganjak daripada bermain guli sehinggalah guli kepunyaannya cukup dua puluh biji. Jika gulinya masih kurang, maka rakan-rakannya terpaksa bersengkang kudrat sehingga ke Maghrib.

Mahu atau tidak, mereka terpaksa akur dengan kemahuan Amat. Jika ingkar, Amat akan mengamuk dan menangis sambil menghentakkan kakinya berkali-kali. Barangkali juga, nama panggilan ‘Amat Dua Puluh’ itu datangnya daripada guli sebanyak dua puluh biji yang tersimpan di dalam unjang kain perca Amat.

“Kak Nab, suruh Amat jangan main dengan kami lagi. Kami dah penat, kami tak suka main dengan orang yang menipu!” bentak seorang kanak-kanak lelaki berseluar pendek dan tidak berbaju.

Aku hanya mendiamkan diri. Lagak aku seperti patung cendana yang tidak mempunyai apa-apa perasaan. Kemudian, kesemua kanak-kanak itu meninggalkan aku yang kejung dan kaku di tepi jendela. Aku sendiri tidak mengerti mengapa aku bersikap seperti orang yang bisu lagi pekak. Barangkali aku mengasihani Amat atau Amat itu adalah adikku yang sedarah dan sedaging menyebabkan aku turut bersekongkol dengannya.

“Nab, ambil ikan ini kemudian kau siang! Mak hendak ke perigi sekejap,” ujar ibu sambil menghulurkan ikan puyu yang baru dikail. Namun, aku masih lagi kaku dan membeku.

“Nab!” sergah ibu apabila melihat aku masih tidak memberi respons.

Serta-merta aku tersentak apabila mendengar suara ibu yang kuat seperti halilintar membelah bumi. Ikan di tangan nyaris terlepas. Ibu mengurut dada berulang kali.

“Kenapa Nab?” tanya ibu sedikit curiga.

“Tak ada apalah ibu.” Aku membalasnya tanpa mahu mengheret ibu dalam permasalahan Amat.

“Ini mungkin pasal Amat? ‘Amat Dua Puluh?” tanya ibu sambil tersengih memandang wajah aku.

Ah, dari mana ibu tahu tentang gelaran nama Amat? Barangkali ibu juga sudah tahu tentang kelakuan Amat terhadap rakan-rakannya? Getus aku di dalam hati.

Aku hanya menganggukkan kepala berulang kali. Segala kegusaran di hatiku sudah terhakis sedikit demi sedikit apabila dapat berkongsi masalah dengan ibu. Sekurang-kurangnya aku tidak dibebani dengan permasalahan yang semakin meracun fikiranku.

Lebih baik ibu mengetahuinya sekarang. Jika berlaku apa-apa kepada Amat suatu hari nanti, pasti ibu tidak terkejut.

“Mana Amat?” soal ibuku sambil mata tangkas meliar mencari kelibat adikku itu.

“Ini sudah tentu sibuk bermain guli sampai tak ingat nak balik rumah. Nab, cuba kau cari adik kau. Hari sudah semakin senja.” Ibu memberikan arahan kepadaku lantas menghilang menuju ke perigi.

Aku segera meletakkan ikan puyu di dalam bekas di atas para. Aku mencapai tudung lalu menutup kepalaku dengan sopan. Hasrat hati ingin segera mencari adikku, Amat. Aku khuatir kalau-kalau Amat diapa-apakan rakan-rakannya. Maklumlah Amat nakal dan suka ambil guli orang lain.

Adikku, Amat wajahnya dipenuhi kurap dan tidak sekacak kanak-kanak lelaki lain. Malah Amat sering diejek dengan panggilan ‘Amat Kurap’ atau ‘Amat Kurap Ayam’ sebelum nama panggilan ‘Amat Dua Puluh’ itu terbit.

Setiap kali Amat dipanggil dengan gelaran itu, hatiku sakit dan mula geram. Bahkan, aku pernah mengejar sekumpulan kanak-kanak yang mengejek Amat dengan panggilan itu. Kumpulan kanak-kanak itu akan lari tidak cukup tanah kerana takut disesah dengan penyapu lidi olehku. Namun tiap kali aku selesai berbuat demikian, air mataku akan tumpah mengalir membasahi pipiku.

Aku paling marah jika adikku dihina dan dicaci kerana kekurangan yang dimilikinya. Kasihan Adikku Amat!

Namun, aku merasa pelik apabila aku langsung tidak marah jika nama ‘Amat Dua Puluh’ menjadi sebutan kanak-kanak kampung. Barangkali nama itu lebih mencerminkan perasaan belas dan simpati daripada nama ‘Amat Kurap’ atau ‘Amat Kurap Ayam’.

Tidak ada seorang insan pun yang suka jika disamakan dengan binatang ataupun penyakit. Kerana Islam itu bersifat adil dan indah maka kejadian seseorang insan itu adalah pada tahap darjat yang paling tinggi berbanding dengan makhluk lain di muka bumi ini.

Langkah kaki terus laju mencari kelibat Amat. Hari semakin senja. Beberapa ekor burung berciak-ciak memanggil pasangan masing-masing supaya segera pulang ke sarang. Mereka juga seperti aku yang sedang mencari Amat.

Pada aku guli tetap guli. Guli tidak ada nilainya berbanding nilai kemanusiaan yang semakin terhakis di hati manusia. Guli itu umpama cerminan mimpi yang warna-warna di dalamnya langsung tidak dapat disentuh.

Kecantikan warna-warna yang terdapat di dalam gelembung kaca itu hanyalah untuk menarik pandangan mata sesiapa sahaja, bahkan kerana kecantikan itulah membuatkan manusia semakin leka mengejar mimpi yang tidak pernah menjadi kenyataan.

Seperti mana cantiknya warna pelangi, begitulah cantiknya warna guli yang akhirnya boleh memudarkan nilai-nilai kemanusiaan sejagat.

Kakiku pantas berjalan meredah lorong-lorong sempit menuju ke rumah Tok Zaki yang dijadikan medan pertempuran pemain guli di kampung itu.

Tanahnya yang keras dan kontang membolehkan guli-guli melekat di permukaannya. Setiap kali hentaman padu guli, maka akan berkecamuklah seluruh guli-guli yang lainnya.

“Ada nampak Amat?” tanyaku pantas tatkala bertembung dengan dua kanak-kanak yang sedang menimbang guli.

“Amat Dua Puluh?” soal salah seorang kanak-kanak tersebut.

“Ya...ya Amat Dua Puluh,” ujarku tanpa malu.

“Amat Dua Puluh ada di tepi sungai tadi,” balas kanak-kanak itu yang masih leka bermain guli.

Wajahku tiba-tiba berubah. Mengapa Amat pergi ke sungai? Bukankah ibu telah melarang Amat mandi-manda di sungai? Soalku bertalu-talu di dalam hati.

Benar, sungai di kampung aku itu sudah banyak menelan nyawa manusia yang tidak berdosa. Justeru, ibu lebih suka Amat bermain guli daripada mandi di sungai itu. Aku mempercepatkan langkah menuju ke sungai.

Setibanya aku di sungai, kelihatan ramai orang sedang mengerumun sesuatu. Tiba-tiba sahaja aku jadi tidak sedap hati. Serta-merta hatiku berdegup kencang.

“Amat! Amat!” jeritku sambil menangis.

Kesemua yang berada di situ terkejut apabila mendengar jeritanku. Mereka melihat aku seperti tidak siuman.

“Nab, bukan Amat yang lemas, Nab! ‘Amat Dua Puluh’ telah menyelamatkan kanak-kanak ini daripada mati lemas. Kalau tak ada Amat, entahlah...” ujar seorang lelaki yang memangku seorang kanak-kanak yang sudah tidak berdaya.

Ya, di celah-celah kelibat orang ramai itu, aku dapat melihat wajah Amat yang tersenyum sambil memandang wajah aku. Sejak itu, nama ‘Amat Dua Puluh’ sering disebut-sebut sebagai hero di kampung kami.

Air Mata di Bumi Sendiri


Disiarkan dalam Utusan Malaysia
20 Januari 2018

Oleh:
Amatara

HISHAM begitu khusyuk menyiapkan kerjanya. Jari-jemarinya ligat menaip di komputer. Kopi panas yang terhidang di atas meja sesekali dihirup. Hisham begitu tekun sewaktu bekerja. Jawatannya sebagai Pengurus Kanan di syarikat Jaya Bakti membuatkan dia sentiasa sibuk.

Hisham mengeluh keras. Dia benar-benar letih ketika itu. Dia menyandarkan tubuhnya di kerusi. Menghamburkan nafas yang panjang. Sesekali dia mengurut tengkuknya yang lenguh. Tugasannya menyediakan kertas kerja projek di syarikatnya telah berjaya diselesaikan sebentar tadi.

Dia menjeling ke arah jam dinding. Lagi tiga puluh minit kerjanya selesai. Beberapa orang rakan sepejabatnya tekun menyiapkan tugasan. Masing-masing berlumba dengan waktu yang semakin mencemburui diri mereka. Hisham mengangkat cawan yang berisi kopi panas lalu dihirupnya perlahan-lahan. Ketika dia asyik menikmati minumannya itu, tiba-tiba telefon bimbitnya berbunyi. Hisham mengerut dahi sejurus melihat skrin telefon bimbitnya.

“Helo assalamualaikum,” ujar Hisham memulakan perbualan.

“Waalaikumussalam, Sham,” jawab si pemanggil.

Hisham mengerutkan dahi.

“Baha?” soal Hisham seperti tidak percaya.

“Ya! Lama kita tak jumpa. Kebetulan aku berada berdekatan dengan tempat kau bekerja. Boleh kita berjumpa lepas kerja?” soal rakan lamanya itu lagi.

“Tentu boleh. Tunggu aku di luar office nanti.” Balas Hisham sambil mematikan panggilan telefon.

Hisham tersenyum sendirian. Baha, rakan karibnya itu tiba-tiba muncul dan meminta mereka bertemu. Seingat Hisham sudah lama benar dia tidak bertemu dengan Baha. Hampir dua tahun Baha menghilangkan diri. Kali terakhir Hisham berjumpa Baha pada majlis reunion yang dianjurkan oleh sekolah mereka dahulu. Hisham membuka pintu kaca lalu keluar dari pejabat. Sambil menunggu Baha, matanya meliar memandang di sekeliling.

Ah, mana Baha ni? Kata suruh tunggu di sini. Hisham bermonolog sendirian.

Bunyi enjin kenderaan yang lalu-lalang di kawasan itu membingitkan suasana pada petang itu. Ditambah pula bau yang tidak menyenangkan daripada asap kenderaan membuatkan Hisham pening kepala. Rata-ratanya di kawasan itu menempatkan bangunan pejabat dan juga penempatan sementara pelarian etnik Rohingya. Mereka diberikan status pelarian politik oleh Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Pelarian (UNHCR).

Hisham menutup hidungnya dengan sapu tangan. Bau hamis yang menyelubungi kawasan itu datangnya daripada penempatan yang memang cukup kotor dengan sampah yang dibuang di merata-rata tempat. Hampir sepuluh minit juga Hisham menunggu Baha. Akhirnya, muncul Baha dari lorong belakang menghampiri Hisham.

“Sorry Sham aku terlambat. Ada hal sikit tadi,” kata Baha termengah-mengah kepenatan.

Baha menghulurkan tangan untuk bersalam dengan Hisham. Hisham menyambutnya dengan sengihan yang menampakkan hampir keseluruhan gigi putih melepaknya itu.

“Ala, tak ada apalah. Mari kita ke restoran di seberang jalan tu,” pelawa Hisyam sambil menunjukkan restoran tersebut.

Ketika hendak melintas jalan raya itu tiba-tiba seorang kanak-kanak lelaki berumur dalam lingkungan sepuluh tahun melanggar Baha secara tidak sengaja. Baha hampir jatuh tersembam di permukaan jalan. Mujur dia sempat berpaut pada tubuh Hisham.

“Kau tak apa-apa ke?” soal Hisham sambil memapah Baha dengan cermat.

“Aku tak apa-apa. Siapa budak tu? Nampak gaya bukan macam orang tempatan,” tanya Baha.

“Oh, itu kanak-kanak Rohingya.”

Mereka melabuhkan punggung dan duduk di atas kerusi. Restoran Dahlia yang dikunjungi itu menarik perhatian mereka. Nampak cantik dan bersih.

“Mi rebus di sini memang sedap. Kau nak rasa tak?” tanya Hisham, lagaknya seperti taukeh di restoran itu.

“Hmm...boleh jugak.” Serta-merta Hisham mengangkat tangan memanggil seorang lelaki yang sedang menghidangkan makanan di sebuah meja yang lain.

Lelaki itu sekadar tersenyum dan mengisyaratkan supaya Hisham menunggunya sebentar.

Baha memerhatikan sekeliling restoran itu. Tiba-tiba mata Baha tertancap pada sekumpulan kanak-kanak yang berumur dalam lingkungan tujuh tahun bermain di kaki lima kedai tanpa pengawasan. “Sham, mana datangnya budak-budak tu?” tanya Baha sambil menunjuk ke arah kumpulan itu.

“Oh, budak-budak tu pelarian Rohingya. Memang kawasan ini penempatan mereka.” Jelas Hisham acuh tak acuh sahaja.

Baha terkedu. Dia pernah mendengar cerita tentang etnik Rohingya ini. Melalui pembacaannya di laman sesawang, dia mendapati bahawa Rohingya merupakan kelompok minoriti Islam di Myanmar.

“Minum apa encik!” tanya lelaki tadi sambil mengelap meja mereka dengan sehelai kain lembab. Kemudian, kain itu disisipkan di poket apronnya.

“Baha...” Teguran Hisham itu mematikan lamunan Baha. Cepat-cepat Baha mengembalikan ingatannya di situ.

“Erk...kopi o ais.”

Hisham dan lelaki itu berkerut dahi. Pelik dengan sikap Baha barangkali.

Kemudian, lelaki itu beredar dari situ. Hisham tidak keruan apabila melihat tingkah-laku Baha. Terdetik di hatinya untuk bertanyakan apa yang sedang difikirkan oleh rakan lamanya itu.

“Baha, apa yang kau fikirkan? Sejak dari tadi fikiran kau melayang-layang sahaja. Kebetulan kau ada di sini, aku nak tanya ke mana kau menghilang selepas reunion tu? Aku telefon kau langsung tak jawab.” Tanya Hisham seperti tidak berpuas hati dengan Baha.

Baha tergumam. Kemudian, dia memandang kumpulan kanak-kanak Rohingya itu berulang kali. Air matanya mula berkumpul di kelopak matanya. Pada bila-bila masa sahaja air mata itu akan merembes keluar.

“Kenapa ni Baha? Kau ada masalah ke?” tanya Hisham yang keresahan apabila melihat rakannya itu bersedih.

Baha cuba menjawab, namun belum sempat dia menjawab pertanyaan Hisham, lelaki yang mengambil pesanan itu datang ke arah meja mereka.

“Sebenarnya, aku sekarang di semester akhir pengajian PhD ku. Sengaja aku menghilangkan diri selama ini kerana aku sibuk dengan pengajianku. Aku datang berjumpa dengan kau kerana mahukan pertolongan kau untuk menyudahkan tesisku itu.” Jelas Baha menjawab persoalan yang terbantut tadi.

“Oh, selama ini kau sambung belajar. Patutlah kau tak contact aku. Jadi sekarang ni pertolongan yang macam mana yang kau mahukan?”

“Aku sekarang sedang menggumpul maklumat berkaitan dengan etnik Rohingya. Melalui dapatanku, status mereka sebagai warganegara Myanmar dinafikan.

“Maaflah Baha, aku kurang ambil peduli tentang pelarian Rohingya ini. Isu yang ditimbulkan juga kurang disebarkan. Kadang-kadang, aku keliru juga di antara Rohingya, pendatang Myanmar dan Bangladesh.”

“Oh, jadi mereka ini pengemis di negara sendirilah ya. Kini, aku faham. Tapi apa pertolongan yang kau mahukan dari aku?”

“Kau kan bekerja di sini. Sudah tentulah kau tahu tentang kehidupan mereka. Aku mahu kau bawa aku ke Madrasah Anak-anak Yatim dan Tahfiz Quran Hashimiah yang memberikan pendidikan percuma kepada anak-anak bangsa Rohingya di sini. Tesis aku ini berkaitan pendidikan percuma untuk kanak-kanak etnik Rohingya. Jadi, aku nak kumpul maklumat berkaitan mereka. Bolehkah kau tolong aku?”

Baha menganggukkan kepala akur dengan kata-kata Hisham. Air kopi o aisnya disedut perlahan-lahan.

“Kalau tak keberatan, boleh kau bawa aku ke madrasah itu,” pantas sahaja Baha mengemukakan permintaannya.

“Boleh, madrasah itu pun tak berapa jauh dari restoran ini. Kalau kau nak pergi aku boleh bawa,” balas Hisham penuh semangat.

“Cepatlah makan. Selesai makan aku bawa kau ke sana,” ujar Hisham lagi.

Sekali lagi Baha mengangguk akur dengan permintaan Hisham itu. Manakala Hisham pula hanya tersengih melihat perlakuan Baha.

Selesai makan, Hisham membayar harga makanan di kaunter bayaran.

“Terima kasih Sham. Nanti giliran aku pula.”

“Ala, bukannya mahal pun,” ujar Hisham.

Sampai sahaja di madrasah itu, mereka disambut oleh seorang ustaz. Ustaz Solihan yang fasih bertutur dalam bahasa Melayu mempelawa mereka masuk ke bilik tamu di madrasah itu. Hisham menjelaskan kedatangan mereka ke situ. Ustaz Solihan memahami tujuan mereka. Mereka dibawa melawat kelas dan tempat penginapan kanak-kanak Rohingya di madrasah tersebut.

“Dalam kelas ini boleh menampung 40 orang kanak-kanak tetapi disebabkan kami kekurangan kelas, maka dalam satu-satu masa lebih 50 orang berada di dalam kelas ini.” Ujar ustaz itu lagi dengan mata yang berkaca.

Memang benar, keadaan di dalam kelas itu cukup daif. Bilik kelas itu sebenarnya adalah bilik tidur utama dan bilik tidur kedua yang diubah suai menjadi kelas pengajian. Atas keprihatinan seorang hamba Allah iaitu Ustaz Hashim, maka tempat itu dijadikan madrasah untuk kanak-kanak Rohingya belajar di situ.

Melihat wajah-wajah polos itu membuatkan hati Hisham dan Baha hiba. Terbayang di mata mereka wajah isteri dan anak-anak di rumah. Sekiranya mereka dan ahli keluarga mereka ditimpa musibah seperti itu, adakah mereka mampu untuk menghadapi kemelut yang melanda? Adakah mereka akan tabah dan sabar dalam menghadapi dugaan seperti yang dilalui oleh etnik Rohingya itu?

Ya Allah, aku tidak sanggup untuk melihat kesengsaraan mereka lagi. Selamatkanlah bangsa Rohingya ini kerana mereka juga adalah seagama denganku. Kasihanilah mereka. Hisham bermonolog tanpa disedari.

Tengkuk Ayam

Disiarkan dalam Utusan Malaysia
21 April 2018

Oleh:
Amatara

ZAHARI duduk di warung Pak Sehak sambil meneguk kopi o ais. Tengah hari itu, bahang kepanasan amat dirasa, apatah lagi kipas angin yang berpusing ligat di siling warung hanya sebuah sahaja. Angin yang dihasilkan oleh kipas itu langsung tidak dapat menyejukkan penghuni di situ. Beberapa orang pelanggan Pak Sehak mula mengibas-ngibas tubuh mereka dengan surat khabar yang sudah kumal. Cuba mengatasi kepanasan dengan cara tersendiri.

Zahari duduk di kerusi sambil melihat pemandangan di kampung kelahirannya Pajat Song. Hamparan hijau sawah dilatari bukit-bukau itu amat mengasyikkan sesiapa jua yang memandangnya. Langit biru yang terbentang luas seolah-olah menggamit kepulangan Zahari ke kampung halamannya. Malah suara burung-burung yang berkicau riang di atas dahan pokok jambu air yang berdekatan tali air di warung Pak Sehak turut mengalu-alukan kepulangan seorang anak rantau seperti Zahari. Barangkali mereka bertanya khabar tentang Zahari yang sudah bertahun-tahun tidak pulang ke negeri sendiri.

Zahari tersenyum sendirian apabila melihat keindahan kampungnya yang langsung tidak berubah. Hanya penghuni di kampungnya saja yang sudah banyak berubah. Wajah-wajah yang tidak dikenali singgah membeli lauk-pauk di warung Pak Sehak tanpa menghulurkan tangan yang mesra untuk menyapa Zahari. Barangkali orang-orang tua yang selalu ditemui di warung itu sudah dijemput Illahi. Fikir Zahari, cuba menjawab pertanyaan diri sendiri.

“Zahari? Zahari anak Pak Haron?” soal Pak Sehak yang sedang mengutip pinggan di atas meja bersebelahan dengan Zahari.

“Benar Pak Sehak, saya Zahari anak Pak Haron.”

“Ya Allah, Pak Sehak langsung tak perasan tadi. Kenapa tak tegur Pak Sehak?” ujar Pak Sehak kembali.

“Maaf Pak Sehak. Saya tak mahu ganggu Pak Sehak. Saya lihat Pak Sehak sibuk melayan pelanggan.” Balas Zahari sambil bersalaman dengan Pak Sehak.

“Tak jadi masalah. Berapa hari balik ke mari?”

“Dalam tiga hari. Melawat kubur arwah ayah dan mak yang sudah lama tak dijenguk. Maju betul warung Pak Sehak. Ramai pelanggan yang datang.” Kata Zahari.

“Bolehlah. Lagi pun yang ramai ni sebab waktu makan tengah hari. Zahari dah makan ke?” soal Pak Sehak sambil tangan ligat membetulkan kerusi yang berselerak di hadapan meja pelanggan.

Zahari mengangguk-anggukkan kepala seperti mengiyakan pertanyaan Pak Sehak. Dia tersenyum sambil memandang Pak Sehak yang sememangnya seorang yang peramah di kampung Pajat Song. Meskipun Pak Sehak sudah berumur 70 tahun, namun ketuaan Pak Sehak langsung tidak kelihatan. Hanya kepalanya sahaja yang sudah beruban dan kulit-kulit tangan yang sudah berkedut. Seingat Zahari, warung yang diusahakan oleh Pak Sehak itu sudah hampir menyamai umur Pak Sehak.

“Atuk...mana tengkuk ayam Ijal? Atuk ada simpan tak?” tanya seorang kanak-kanak lelaki yang berumur enam tahun.

Serta-merta mata Zahari tertancap kepada kanak-kanak lelaki itu. Wajah Zahari tiba-tiba sahaja berubah apabila mendengar perkataan tengkuk ayam seperti yang diminta oleh kanak-kanak itu. Sudah berpuluh-puluh tahun, perkataan tengkuk ayam sentiasa melekat kuat di dalam hati Zahari. Malah, penduduk kampung juga memanggil dirinya sebagai ‘Ari Sitengkuk Ayam’.

“Ijal nak tengkuk ayam. Atuk dah simpan dan ada di dalam mangkuk tu,” jari telunjuk Pak Sehak segera ditunjukkan ke arah mangkuk kaca yang bertutup di atas para dapur.

Serta-merta kanak-kanak lelaki yang bernama Ijal itu menyanyi-nyanyi keriangan. Dia dengan pantas berlari menuju ke para lalu mengambil mangkuk kaca dengan senyuman yang melebar. Ijal meletakkan mangkuk kaca itu di atas meja dan tanpa mahu terus menunggu, Ijal meratah tengkuk ayam dengan penuh selera. Melihat kanak-kanak itu makan membuatkan Zahari tersenyum. Lantas terlintas di fikiran Zahari ketika dia masih kanak-kanak.

Kira-kira 41 tahun yang lalu ketika Zahari berumur 7 tahun, dia dan enam lagi adik-beradiknya dibesarkan dalam serba kemiskinan. Ibunya bekerja sebagai pemotong rumput di pejabat MARDI, manakala ayahnya pula bekerja sendiri iaitu membuat hulu pisau daripada kayu getah. Pendapatan ibunya yang tidak seberapa iaitu RM2 sehari tidak cukup untuk menampung keluarga yang ramai. Manakala ayahnya pula hanya kadang-kadang sahaja dapat menjual hulu pisau di kedai Ah Meng. Justeru kepayahan dan kesusahan yang dialami oleh keluarga Zahari menyebabkan mereka jarang dapat makan.

Zahari menggeleng-gelengkan kepalanya berulang kali. Kemiskinan membuatkan seseorang itu cekal dan sabar. Malah, kemiskinanlah yang mengajar Zahari untuk menghargai kehidupan pada masa kini. Zahari menasihati anak-anaknya agar mengamalkan sikap jimat-cermat, malah Zahari sentiasa menggalakkan amalan menabung di dalam jiwa anak-anaknya.

Kata Zahari, “Membazir itu adalah amalan syaitan. Jadi jangan suka membazir. Dulu, ayah hidup susah. Makan pun hanya kadang-kadang. Kalau ada duit lebih, eloklah disimpan untuk keperluan yang mendesak nanti.”

Sebenarnya Zahari bukanlah seorang yang berkira. Malah jauh daripada sikap kedekut. Kerana hidup dalam kemiskinan itulah yang membuatkan Zahari sentiasa terpanggil untuk mengingatkan anak-anaknya. Sudah puas Zahari hidup dalam kemiskinan. Kadang-kadang untuk memenuhkan perut yang keroncong, Zahari dan adik-beradiknya hanya minum air paip sahaja. Dalam seminggu, hanya sekali sahaja mereka dapat makan nasi. Untuk hari yang lain, mereka hanya makan ubi kayu dan kacang goreng. Itu pun kalau ibunya dapat upah memotong rumput. Untuk mengharapkan jualan hulu pisau, barangkali sebulan atau dua bulan, barulah dapur di rumah mereka berasap.

Namun, Zahari bukan seperti adik-beradik yang lain. Zahari tidak makan makanan laut. Hanya makan ayam dan daging semata-mata. Bukanlah Zahari memilih tetapi Zahari sendiri tidak tahu mengapa dia mempunyai tabiat makan yang pelik? Dia langsung tidak boleh menjamah ikan dan makanan laut yang lain. Jika dia menjamahnya, dia akan muntah dan pengsan.

Disebabkan miskin, Zahari hanya makan nasi berlaukkan kicap semata-mata. Kadang-kadang kasihankan Zahari, ibunya akan mencari telur ayam hutan untuk dibuat lauk. Hari gaji merupakan hari yang ditunggu-tunggu oleh Zahari. Pada masa itu, pagi lagi ibunya akan ke pasar menunggu kalau-kalau ada tengkuk ayam yang tidak diingini oleh pelanggan. Kebiasaannya, pelanggan hanya memilih isi ayam dan membuang bahagian lain. Melalui simpati daripada penjual ayam, maka dapatlah ibu membawa pulang tengkuk ayam untuk Zahari.

Disebabkan tengkuk ayam jugalah Zahari dan abangnya dihukum oleh penduduk kampung. Kisah pahit itu meninggalkan kesan yang mendalam di dalam hati Zahari. Suatu masa dahulu, Zahari dan abangnya telah dituduh mencuri seekor ayam. Ayam jantan kepunyaan Pak Seman, jiran sebelah rumah itu yang menjadi punca kepada pergaduhan keluarga. Segalanya bermula apabila Zahari dan abangnya tanpa sengaja telah terjumpa ayam jantan Pak Seman yang merayau-rayau di kawasan semak di belakang rumah mereka. Ayam jantan Pak Seman yang mempunyai bulu berwarna merah dan bercampur hitam itu amat disayangi Pak Seman.

Zahari dan abangnya telah dituduh mencuri ayam jantan itu untuk dijadikan lauk makan tengah hari. Akhirnya, mereka dikenakan hukuman iaitu semalaman tidur di dalam reban ayam kepunyaan Pak Seman. Meskipun hukuman itu tidak seberapa tetapi maruah Zahari dan ahli keluarganya tercalar.

“Ijal juga macam kamu, suka makan tengkuk ayam. Kamu masih suka makan tengkuk ayam lagi ke?” soal Pak Sehak mematikan lamunan Zahari.

Zahari tersentak. Baru tersedar dia sudah terlalu jauh mengelamun. Teringatkan ayam jantan Pak Seman, hatinya sakit. Kerana ayam jantan itulah, dia dipulaukan kawan-kawannya di sekolah. Dia mendapat jolokan ‘Ari Sitengkuk Ayam’ juga daripada peristiwa pahit itu.

“Kau masih marahkan Pak Semankah? Sudah lama kisah itu berlaku. Sudah berpuluh-puluh tahun. Pergilah jumpa dengan Pak Seman. Dia asyik sebut nama kau saja. Kalau orang datang ke rumahnya, dia akan suruh orang itu pergi cari kau untuk minta maaf. Zahari, Pak Seman sudah semakin uzur.”

Tercengang mulut Zahari mendengar cerita mengenai Pak Seman. Semua rasa sakit hati dan dendam itu secara tiba-tiba merungkai keegoan hati Zahari. Disebabkan peristiwa yang lalu itu, natijahnya sudah terbalas kepada Pak Seman.

Lewat petang itu, dia ke rumah Pak Seman. Pak Seman yang sedang berbaring dan batuk-batuk itu dihampirinya. Pak Seman tercengang melihat kemunculan Zahari. Pak Seman menangis dan meminta maaf kerana sikap melulunya terhadap Zahari dan abangnya dahulu.

“Zahari, kamu masih suka makan tengkuk ayamkah? Jangan kerana peristiwa itu, menyebabkan kamu tidak sukakan makanan itu,” ujar Pak Seman.

Zahari tergumam. Kerana dendamnya itu, dia langsung tidak menyentuh tengkuk ayam sehingga hari ini.

Gendang Perang


Disiarkan dalam selangor.kini
Hadiah Sastera Selangor 2018

Oleh Amatara

AWANG Besar mula memukul gendang menari-nari di tengah gelanggang. Sambil menari, Awang Besar menyanyi dengan suara yang merdu. Suara serak-serak basah dan seni kata lagu yang didendangkan oleh Awang Besar benar-benar menarik perhatian sesiapa jua yang mendengar.

Bunyi gendang Awang Besar itu menyebabkan beberapa orang anak dara segera meninggalkan nasi yang ditanak di dapur. Beberapa orang ibu pula meninggalkan anak-anak yang masih kecil menangis di dalam buaian. Tangisan demi tangisan anak-anak kecil itu langsung tidak dipedulikan oleh ibu-ibu malah mereka hanya memekakkan telinga dan terus tidak berganjak dari tepi gelanggang.

Seluruh kampung Gajus juga dicemari oleh bau nasi yang hangit. Bau itu meskipun menerjah hidung penduduk kampung, mereka masih tidak memberikan sebarang respons. Mereka sudah nekad untuk berada di tepi gelanggang. Semua ini kerana aura yang dipamerkan oleh Awang Besar, tukang pukul gendang dan tukang sebar maklumat melalui nyanyiannya.

Tiba-tiba Awang Besar berhenti daripada memukul gendang. Dia seumpama patung cendana di tengah gelanggang. Semua kehairanan melihat Awang Besar kejung dan pucat.

“Awang Besar, apa yang hendak disampaikan kepada kami? Nyanyilah Awang Besar, biar terhibur duka di hati kami!” Laung seorang perempuan separuh umur.

Awang Besar terkedu. Dia tidak keruan. Sebentar tadi, dia mendapat maklumat tentang wabak yang akan menyerang Kampung Gajus. Wabak yang diberi nama pilihan raya itu akan menyebabkan penduduk kampung demam. Barang sesiapa yang terkena wabak demam itu pasti akal mereka akan keliru dan kedua-dua belah tangan akan menggeletar. Barangkali, akal dan tangan itu adalah bersaudara. Akal akan mendorong tangan untuk berjuang. Jika ada di antara yang tidak mempunyai akal, sudah tentu tangan akan berperanan untuk menentukan sesuatu keputusan.

“Wahai penduduk Kampung Gajus, aku sudah mendapat alamat. Bukan dari mimpi tetapi alamat itu diberikan oleh seseorang yang amat berpengaruh di negeri ini. Akan datang dalam sepurnama lagi, satu kejadian yang aneh akan berlaku di kampung ini. Akan datang banyak jentera yang pelbagai bentuk untuk menarik perhatian seluruh penduduk Kampung Gajus. Waktu itu, gendang perang akan dipalu tanpa henti. Waktu itu, gendang perang akan dipukul meminta kamu segera bersiap sedia.”

Awang Besar menelan liur. Dia seperti cuba mengingati sesuatu. Sambil membetulkan selempang pemberian seseorang yang amat berpengaruh, dia menyambung percakapannya.

“Waktu itu suasana akan hiruk-pikuk dengan pelbagai kata. Wajah-wajah yang tidak dikenali akan meminta simpati untuk mengikut mereka. Andai kamu dapat berfikir, berfikirlah dengan waras. Jangan sesekali kamu melakukan sesuatu di luar dugaan. Semuanya untuk kebaikan anak cucu kita pada masa akan datang.”

Awang Besar memukul gendang bertalu-talu. Menyanyi-nyanyi mengingatkan sesuatu kepada seluruh penduduk Kampung Gajus. Dia menari-nari di tengah gelanggang. Lagaknya seperti seekor ayam jantan yang sedang bersabung. Habis sudah nyanyian Awang Besar, maka seluruh penduduk Kampung Gajus beredar meninggalkan Awang Besar dengan gendangnya. Mengerjakan pekerjaan yang telah ditinggalkan. Anak-anak dara kembali menanak nasi. Ibu-ibu kembali mendapatkan anak-anaknya. Yang lelaki pula bertungkus-lumus mengerjakan sawah demi sesuap nasi. Manakala Awang Besar pula duduk tercatuk seperti seekor burung di bawah pokok menanti maklumat yang bakal mendatang.

“Awang…sudahkah kamu memukul gendang? Sudah kamu memberitahu apa yang telah kusuruh?” soal seorang lelaki tua bertongkat.

Pertanyaan itu membuatkan Awang Besar tersentak. Dia mendongak melihat gerangan yang sedang berbicara dengannya. Mata Awang Besar terkebil-kebil apabila melihat orang yang berada di hadapannya.

“Sudah tok.” Jawab Awang Besar dengan mata yang bercahaya.

Benarlah kata Awang Besar, usai sepurnama penduduk kampung dikejutkan dengan kehadiran jentera-jentera yang menggamatkan keadaan. Seluruh penduduk kampung keluar melihat kedatangan pemerintah sambil membawa panji-panji kemenangan. Di sana sini ditaburkan segala bantuan yang diperlukan. Tangan-tangan penduduk kampung disumbat dengan pelbagai bantuan. Kali ini, tidak ada janji-janji khayalan. Semuanya adalah realiti.

Kemudian, Awang Besar diarahkan memukul gendangnya kembali. Kali ini tidak berhenti-henti. Awang Besar tidak menyanyi. Kerjanya hanya memukul gendang. Dua hari dua malam juga Awang Besar tidak tidur kerana memukul gendang. Kata pemerintah, gendangnya berbisa dapat menarik perhatian penduduk kampung. Justeru, tidak ada orang lain yang lebih layak memukul gendang selain Awang Besar.

Benarlah juga kata Awang Besar, akan datang wabak yang menyerang penduduk Kampung Gajus. Deman pilihan raya semakin menghampiri. Semua penduduk Kampung Gajus mula tidak tidur lena.

Bermula dari rumah tok ketua sehinggalah demam itu menyerang orang dewasa di dalam rumah itu. Kemudian, demam itu merebak di rumah yang berhampiran dengan rumah tok ketua, di situ juga demam itu hanya menyerang orang dewasa sahaja. Sehinggalah rumah yang terletak di hujung kampung, semuanya diserang oleh demam pilihan raya. Anehnya kanak-kanak tidak pula diserang dengan wabak demam itu. Kanak-kanak dapat tidur lena dan sihat tanpa sebarang virus yang menjangkitinya. Begitu juga Awang Besar yang langsung kalis daripada terkena virus tersebut. Sedang penduduk kampung mengerang kesakitan, Awang Besar tetap memukul gendangnya bertalu-talu. Benarlah bahawa Awang Besar ini tidak begitu siuman maka dia terhindar daripada menerima serangan virus demam pilihan raya.

Seluruh penduduk kampung tidak dapat pergi ke sawah. Anak-anak dara yang belum matang diarahkan untuk duduk diam di dalam rumah. Merekalah yang menjaga ibu bapa dan abang-abang yang sudah matang memicit-micit kepala yang sedang berdenyut-denyut. Memikirkan pilihan raya yang semakin dekat yang menghampiri kampung itu.

Benarlah kata Awang Besar lagi. Kali ini kepala semua penduduk kampung semakin sakit. Otak mereka berdenyut-denyut. Berfikir tentang pemilihan yang harus dibuat. Tangan mereka mula menggeletar. Ada di antaranya terlalu nazak. Awang Besar tidak peduli. Dia terus memukul gendang bertalu-talu. Mengingatkan pesanan tok ketua buat penghabisan kalinya. Dia mahu pemerintah negeri mengambil alih. Awang Besar yang tidak siuman itu terus memukul dan memukul gendang tanpa henti.

Awalan meN-

Munsyi Md Rasul bin Haron@Amatara Bahagian Matrikulasi 30 Jun 2022 Panduan Bahasa PROSES PENGIMBUHAN 2) Awalan meN- fungsi pengg...