Sewaktu aku memandu kereta, aku biasanya
akan merasa cukup selesa dan selamat duduk di atas tempat duduk dengan kemasan
kulit dan dilindungi dengan lapisan besi dan kaca pelindung.
Sewaktu aku menjadi penunggang
motosikal pula, jiwaku sentiasa dijentik yang diri aku ini sentiasa dalam
bahaya. Aku tahu, sedikit kelalaian di atas motosikal yang aku kendalikan, akan
mengakibatkan kecederaan, malah boleh membawa maut.
Sewaktu aku
menunggang motosikal berkuasa tinggi sepuluh tahun yang lalu, aku tahu walaupun
ia dilengkapkan dengan pelbagai pakej teknologi keselamatan terkini untuk
menyelamatkan penunggang, tetapi satu perkara yang selau ingat dan disemadikan
dalam hati, secanggih manapun teknologi itu ia tidak akan mampu menandingi
keupayaan semulajadi manusia itu sendiri.
Aku mesti
tahu dan mengelak semua elemen yang mungkin akan membunuh aku. Jadi, selain
daripada memperbaiki teknik tunggangan, aku mesti mampu mengenal pasti bahaya
yang ada di sekeliling aku.
Selepas
sekian lama memandu dan menunggang, minda aku secara automatik akan mampu
menganalisis bahaya sewaktu memandu tidak kira apa kenderaan yang kita pandu
sekalipun. Seringkali aku melihat situasi kenderaan besar mengambil kesempatan
dengan memandu seperti raja di jalanan tanpa menghiraukan keselamatan pengguna
jalan yang lain. Sebenarnya pemandu kereta juga tidak kurang yang memandu
secara berbahaya, memotong sesuka hati dan tidak menitikberatkan risiko
kemalangan.
Aku tahu yang orang Malaysia terkenal
sebagai pemandu jalan raya yang ganas, tidak sabar, mementingkan diri dan tidak
mematuhi undang-undang jalan raya. Maka tidak hairanlah jika negara kita
mempunyai kadar jumlah kemalangan yang tinggi terutama apabila tiba di
musim-musim perayaan atau cuti panjang. Walaupun ramai pemandu lain yang
bersikap sabar, berhemah dan mematuhi undang-undang. Tetapi oleh kerana sikap
segelintir ini, ramai yang marah dan rasa tidak puas hati.
Sebagai pemandu, kita perlu
sedar yang kita kongsi gunakan jalan raya. Kita sepatutnya berusaha untuk
menjadi pemandu yang berhemah dan bersopan santun. Kita boleh mengurangkan
risiko kemalangan dengan mengikuti peraturan dan keselamatan jalan raya.
Jangan selalu ingatkan diri
sahaja. Pemandu-pemandu lain mungkin seorang bapa, isteri, ataupun anak orang.
Kadang-kadang, nyawa sekeluarga dalam satu kereta.