Jumaat, 24 Ogos 2018

Kata Sendi "pada" dan "kepada"

Untuk makluman semua, kata sendi nama "pada" digunakan di hadapan kata nama atau frasa nama untuk menunjukkan keterangan waktu dan tempat, digunakan dalam ungkapan ada + pada  (manusia dan haiwan) dalam beberapa situasi tertentu, seperti yang berikut:

(i) menunjukkan keterangan waktu apabila mendahului kata nama yang menyatakan waktu atau masa. Antaranya adalah seperti yang berikut:

(a)

...pada masa lapang...(gramatis)

...di masa lapang... (tidak gramatis)

(b)

...pada zaman moden...(gramatis)

...di zaman moden... (tidak gramatis)

(ii) kata sendi nama "pada" apabila didahului perkataan "ada", mesti diikuti oleh kata nama yang merujuk manusia dan haiwan. Antaranya adalah seperti yang berikut:

(c)

...ada pada ayah...(gramatis)

...ada di ayah... (tidak gramatis)

(d)

......ada pada kucing...... (gramatis)

...... ada di kucing...... (tidak gramatis)

(iii) sebagai perkataan yang terletak di hadapan kata nama yang menunjukkan tempat bagi perbuatan sesuatu kata kerja yang mengandungi maksud sandaran. Antaranya adalah seperti yang berikut:

(e)
...bergantung pada...(gramatis)

...bergantung kepada...(tidak gramatis)

(f)

...dipasang pada kereta...(gramatis)

...dipasang di kereta...(tidak gramatis)

(g)

...digantung pada dinding... (gramatis)

...digantung di dinding...(tidak gramatis)

Kata sendi nama "kepada" terletak di hadapan kata nama atau frasa nama untuk menyatakan sasaran yang merujuk manusia, haiwan, unsur mujarad, menyatakan pecahan dan menyatakan perubahan keadaan. Contohnya:

(h) sasaran merujuk manusia

... menghantar surat kepada ibu... (gramatis)

...menghantar surat ke ibu ...(tidak gramatis)

(i) sasaran merujuk haiwan

... menghadiahkan kucing kepada kakak... (gramatis)

...menghadiahkan kucing ke kakak ... (tidak gramatis)

(j) merujuk unsur mujarad (abstrak)

...penting kepada negara Malaysia... (gramatis)

...penting pada negara Malaysia ...(tidak gramatis)

(k) menyatakan pecahan

... terbahagi kepada dua kumpulan... (gramatis)

... terbahagi ke dua kumpulan ...(tidak gramatis)

(l) menyatakan perubahan keadaan

...daripada 32 darjah Celsius kepada 35 darjah Celsius ... (gramatis)

... daripada 32 darjah Celsius ke 35 darjah Celsius ... (tidak gramatis)

... daripada sedih kepada gembira... (gramatis)

... daripada sedih ke gembira ...(tidak gramatis)

Kesilapan Bahasa

Amatara Memartabatkan Bahasa Melayu
mrasulharon@ yahoo.con
http://pajatsong.blogspot.com

Semua rakyat tanpa mengira kaum, bangsa dan agama harus menerima hakikat kesilapan bahasa berlaku kerana kesilapan pengguna bahasa sendiri yang kurang menghargai dan menghayati konsep satu bangsa satu bahasa. Kesalahan bahasa tidak sepatutnya berlaku kerana bahasa Melayu telah dimartabatkan sebagai bahasa Kebangsaan dalam Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan, Akta Bahasa Kebangsaan 1963/1968, Akta Pelajaran 1961 dan 1996. Semua pengguna bahasa sepatutnya perlu mempelajari, menguasai dan menggunakan bahasa Melayu dengan lancar dan betul jika mereka benar-benar rakyat Malaysia. Langkah kerajaan mendaulatkan bahasa Melayu diharap dapat memastikan bahasa Melayu digunakan secara meluas oleh bangsa Malaysia seterusnya dapat mengurangkan kesalahan bahasa dalam pertuturan dan penulisan.

Imbuhan memper-

Memperdalam atau memperdalamkan?
Memperluas atau memperluaskan?
Memperlebar atau memperlebarkan?
Mempersembah atau mempersembahkan?
Memperlekeh atau memperlekehkan?

Sebenarnya, mudah sahaja untuk mengetahui sama ada anda menggunakan imbuhan 'memper-' secara tepat atau sebaliknya. Imbuhan 'memper-' terdiri daripada dua imbuhan (mem- dan per-) dan digunakan untuk menggambarkan situasi yang lebih tinggidaripada keadaan sedia ada. Contoh:

Memperlebar=> Keadaan sedia ada yang sudah lebar dilebarkan lagi.
Pihak kerajaan sedang memperlebar lebuh raya persekutuan untuk mengurangkan kesesakan lalu lintas.
(Lebuh raya persekutuan yang sedia ada lebar dilebarkan lagi).

Baik, adakah kedua-dua perkataan 'memperlebar' dan 'memperlebarkan' boleh digunakan dalam Bahasa Malaysia? Jawapannya, tidak!

Undang-undang Bahasa Malaysia yang perlu anda patuhi ialah:
=> Kata adjektif tidak boleh menerima lebihdaripada dua imbuhan.

Jadi, 'lebar' merupakan kata adjektif. Oleh itu, perkataan tersebut tidak boleh menerima lebih daripada dua imbuhan. Maka, perkataan 'memperlebarkan' adalah salah dalam Bahasa Malaysia kerana perkataan tersebut mempunyai tiga imbuhan (mem-, per-, -kan).

Memperdalam atau memperdalamkan?
Jawapan: Memperdalam (Dalam=> kata adjektif)

Memperluas atau memperluaskan?
Jawapan: Memperluas (Luas=> kata adjektif)

Memperlebar atau memperlebarkan?
Jawapan: Memperlebar (Lebar=> kata adjektif)

=>Kata kerja pula boleh menerima tiga imbuhan.

Mempersembah atau mempersembahkan?
Jawapan: Mempersembahkan (Sembah=> kata kerja)

Memperlekeh atau memperlekehkan?
Jawapan: Memperlekehkan (Lekeh=> kata kerja)

Awalan meN-

Munsyi Md Rasul bin Haron@Amatara Bahagian Matrikulasi 30 Jun 2022 Panduan Bahasa PROSES PENGIMBUHAN 2) Awalan meN- fungsi pengg...