Memaparkan catatan dengan label Berita. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Berita. Papar semua catatan

Sabtu, 8 September 2018

Keputusan Pemenang Adila Raya 2018

Keputusan Pemenang Adila Raya 2018. Tahniah diucapkan kepada 8 orang pemenang iaitu:

1. Haji Mahamad Arif bin Haji Atan dari Banting, Selangor
2. Zuraidah binti Ahmad Zaiti dari Tapah, Perak
3. Norazlina binti Abu Bakar dari Triang, Pahang
4. Faridah binti Mohamad Saad dari Bandar Enstek, Negeri Sembilan
5. Wan Zarinah binti Wan Sulong dari Jerteh, Terengganu
6. Nahar bin Ahmad dari Lahad Datu, Sabah
7. Abdul Ghani bin Selamat dari Pantai Remis, Perak
8. Md. Rasul bin Haron dari Putrajaya

Nantikan coretan kenangan mereka yang akan di siarkan di Radio Klasik pada Hari Raya ke-4 dan Hari Raya ke-7.

8 Pemenang ini akan menerima hadiah istimewa daripada kami iaitu Duit Raya dan Barangan Eksklusif daripada Radio Klasik.

Terima kasih kepada saudara semua yang telah menyertai ruangan ini. Kami menerima banyak penyertaan. Kepada saudara yang tidak berjaya, coretan-coretan tersebut akan disiarkan secara harian dalam rancangan Adila sepanjang Ramadan dan Syawal ini. Terima kasih daripada kami warga kerja Radio Klasik dan Selamat Hari Raya Aidilfitri, Maaf Zahir dan Batin.

#adilaraya2018
#2dekadmenggamitkenangan
#tahniah8orangpemenangadilaraya

Ahad, 19 Ogos 2018

Munsyi Dewan (Bahasa)

Ahad, 19 Ogos 2018
Munsyi Dewan (Bahasa)
Oleh: Amatara
mrasulharon@yahoo.com
MUNSYI atau ahli bahasa lantikan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) perlu berupaya berdikari dalam menggerakkan khidmat dan kepakaran bahasa mereka dalam usaha membantu memartabatkan bahasa Melayu.

DBP sudah memperkenalkan empat kategori Munsyi sejak 1995 dan yang paling awal, ialah lantikan Munsyi Dewan (Bahasa) membabitkan 216 orang.

Kalangan Munsyi ini dilantik supaya boleh membantu dan mengembangkan perkhidmatan kepakaran mereka dalam bahasa Melayu dan, tetapi ada antaranya yang tidak begitu aktif dalam usaha ini.
Munsyi yang dilantik perlu menggerakkan sendiri program bagi usaha memartabatkan bahasa Melayu. Munsyi berperanan  untuk menghidup dan menggerakkan khidmat kepakaran bahasanya dalam pelbagai bentuk untuk masyarakat.

Kumpulan 39 orang pencinta bahasa Melayu yang terlibat dalam Bengkel Pembinaan Munsyi Dewan (Bahasa) di IPG Kampus Tengku Ampuan Afzan terdiri daripada bangsa Melayu, China dan India. Kumpulan yang terdiri daripada pegawai KPM, pegawai Perpustakaan Negara Malaysia, pensyarah IPG, pensyarah bahasa Melayu universiti di China, adiguru, pegawai pakar bahasa Melayu PPD, peguam, dan guru-guru ini diharapkan dapat melaksanakan tugas Munsyi Dewan iaitu:

-penceramah bahasa Melayu yang dilantik DBP untuk mengendalikan kursus, ceramah dan taklimat bahasa Melayu di sektor awam dan swasta.

-menjadi pakar rujuk bahasa Melayu untuk membantu DBP dalam usaha mengembangkan bahasa Melayu.

Sabtu, 4 Ogos 2018

Hari Keluarga Sektor PKP

Sektor Personel, Kewangan dan Pembangunan (PKP), Bahagian Matrikulasi, Kementerian Pendidikan Malaysis telah mengadakan Hari Keluarga Sektor PKP di Bangi Wonderland Theme Park. Program tersebut diadakan pada 4 Ogos 2018, hari Sabtu. 

Pn. Reni Junita binti Yahya, Ketua Penolong Pengarah Sektor PKP dalam ucapan perasmian beliau, menzahirkan kegembiraan atas pelibatan pegawai dan kakitangan serta keluarga dalam menjayakan program Hari Keluarga Sektor PKP pada kali ini. Q

Beliau menekankan tentang peri pentingnya kejeleketan dalam kalangan warga Sektor PKP. Program yang diterapkan dengan elemen kasih-sayang, hormat-menghormati dan kebahagiaan selaras dengan hasrat Kementerian Pendidikan Malaysia untuk menjadikan ketiga-tiga elemen tersebut sebagai amalan keluarga pendidikan.

Isnin, 21 Julai 2014

Skandal Penderaan; Rosa Verduzco Bebas Tuduhan



Seorang pemuda melihat melalui tingkap di dalam rumah terkunci yang dikenali sebagai '' La Gran Familia '(The Big Family), di bandar barat Zamora 17 Julai, 2014. KREDIT: REUTERS / HENRY Romero


(Reuters) - Seorang wanita yang mencetuskan kontroversi di tengah-tengah skandal penderaan di rumah kanak-kanak di barat Mexico telah dibebaskan selepas siasatan awal mendapati beliau bebas daripada tuduhan salah laku penderaan tersebut.


Menurut jurucakap pejabat peguam negara berkata pada hari Ahad, Polis Mexico menyerbu rumah perlindungan yang dikenali sebagai "La Gran Familia" (The Big Family) di negeri Michoacan pada hari Selasa, mendapati kira-kira 450 kanak-kanak di dalam bilik kotor penuh dengan sampah dan lipas. Rosa Verduzco, 79, yang menguruskan rumah tersebut telah ditahan dan disoal kerana disyaki sengaja mengekang hak kebebasan kanak-kanak. Menurut mangsa, rumah perlindungan tersebut dipenuhi mangsa rogol, mereka yang kelaparan dan sebahagian daripada kehidupan setiap hari mereka dipukul.

Verduzco yang telah dimasukkan ke hospital, dibebaskan. Menurut jurucakap pejabat peguam negara yang berkata, kenyataan daripada mangsa memaklumkan dia tidak terlibat dalam salah laku tersebut. Sebaliknya, enam pekerja di rumah perlindungan tersebut menghadapi tuduhan jenayah, kata jurucakap itu. Kesemua mereka telah dipindahkan ke penjara di negeri Nayarit. Rosa Verduzco dilihat sebagai berhati mulia oleh banyak pihak. Beliau mendedikasikan hidupnya untuk meningkatkan dan membantu beribu-ribu kanak-kanak ditinggalkan oleh ibu bapa mereka sendiri.

Jumaat, 19 Julai 2013

Ceramah Ihya Ramadhan Matrikulasi "Rahmah ke Maghfirah"

Penceramah jemputan:
Al Fadhil Ustaz
Wan Mohd Noh Wan Hamat
Pegawai-pegawai BMKPM selesai
membaca yasin

Assalaamu'alaikum Wr. Wb. Sahabat........ Puasa Ramadhan adalah salah satu rukun dari kelima rukun agama yang membawa kita ke syurga. Bulan Ramadan adalah bulan yang awalnya rahmah, pertengahannya maghfirah, dan akhirnya bebas dari neraka. Bagaimana meraih ketiga keistimewaan itu? tentu dengan mengikuti dan mencintai Rasul dan Ahlul-bait serta para sahabat dan aulia'. Sebab Rahmah yang sesungguhnya adalah Rasulullah Saw. "Wama arsalnaka illa rahmatan lil-alamin". Maghfirah pun adalah Rasul Saw. "Wastaghfara lahumurrasul" Sementara bebas dari neraka tentu pula melalui restu dan syafa'at dari Rasul Saw. "Ana awwalu syafi'in yaumal-qiyamah". Dalam hadis pun diriwayatkan bahawa seseorang tidak masuk syurga kerana amalnya, melainkan kerana rahmat-Nya, dan rahmat-Nya di sini tiada lain adalah Rasulullah Saw. 

En.Abd Wahhab berkata sesuatu
kepada En.Sukor
Dengan demikian maka inti dari puasa Ramadhan sebenarnya adalah mendekatkan diri kepada Rasulullah Saw. sehingga mudah mencapai keredhaan Allah Swt. Awalnya rahmah, pertengahannya maghfirah dan akhirnya bebas dari neraka bukan bererti bulan Ramadhan diklasifikasikan kepada tiga sebagaimana tafsiran kebanyakan orang, akan tetapi semua hari-hari Ramadhan mengandungi ketiga-tiga keistimewaan tersebut, dari tanggal 1 sampai 30 Ramadan ada rahmah, maghfirah sekaligus bebas dari neraka, bukan 10 hari awal saja ada rahmah, 10 hari kedua hanya ada maghfirah dan rahmahnya sudah habis, sedangkan 10 hari terakhir barulah bebas dari api neraka !! ini wujud salah tafsir yang mengelirukan, sebab ketika ada rahmah maka sudah tentu ada maghfirah, dan bila sudah dapat maghfirah maka auomatik bebas dari api neraka, dengan demikian maka pada hari pertama Ramadan sudah ada maghfirah dan kebebasan dari neraka bagi yang benar-benar menghidupkannya, dan sepanjang Ramadan tetap ada ketiga-ketiga keistimewaan itu. 
Menunggu penceramah jemputan dengan
penuh sabar
Badan Kebajikan dan Sukan Matrikulasi telah menganjurkan Ceramah Ihya Ramadhan dengan sentuhan tajuk "Rahmah ke Maghfirah". Al Fadhil Ustaz Wan Mohd Noh bin Wan Hamat telah dijemput untuk menyampaikan ceramah. Gaya penyampaian ceramah Ustaz Wan begitu menarik dan berjaya menambat hati ahli-ahli BKSM. Taranum yang mengasyikkan disulam unsur kecindan yang penuh keilmuan, membuatkan ahli-ahli BKSM kadang-kadang terasa sayu diumbut alunan bacaan ayat suci al-quran. Terkadang hati dijentik kelucuan. Majlis ilmu penuh kegembiraan dan keinsafan.





Sekian, wassalam.

Khamis, 18 Julai 2013

Majlis Ta'lim Matrikulasi di Bulan Ramadhan

Antara ahli yang setia menghadiri
Majlis Ta'lim
Ahli-ahli Badan Kebajikan dan
Sukan Matrikulasi Sedang Khusyuk
Mendengar Tazkirah daripada
Ustaz Muzaffar bin Malek (BMKPM)


 
Majlis Ta'lim Matrikulasi dianjurkan oleh Badan Kebajikan dan Sukan Matrikulasi(BKSM) dan dikendalikan oleh Ustaz Muzaffar bin Malek, Penolong Pengarah Hal Ehwal Akademik, Bahagian Matrikulasi. Sejak dilaksanakan pada 16 Julai 2013, majlis ilmu ini mendapat sambutan yang amat menggalakkan dalam kalangan ahli BKSM. Program yang dianjurkan sepanjang bulan Ramadhan ini bermula pada pukul 8.15 pagi hingga 8.30 pagi di Bilik Mesyuarat Palma, Bahagian Matrikulasi. Salah satu tip menyempurnakan puasa itu adalah menggunakan masa untuk mendalami ilmu-ilmu agama. 
 



Jumaat, 21 Disember 2012

Kiamat Hari Ini: Hampir 1,000 orang ditangkap

BEBERAPA lelaki kaum Maya mengadakan upacara keagamaan bagi meraikan kedatangan era baharu di bandar raya Guatemala, Guatemala kelmarin. – Agensi

21/12/12 - BEIJING – China menangkap hampir 1,000 orang dalam operasi memburu sebuah kumpulan Kristian yang menyebarkan khabar angin tentang hari kiamat akan berlaku pada hari ini, lapor media negara ini semalam.
Kumpulan yang dikenali sebagai Tuhan Maha Besar itu dituduh menyebarkan khabar angin tentang hari kiamat tersebut.
Hari kiamat tersebut dipercayai beberapa pihak akan berlaku kerana kalendar kaum Maya yang bermula pada 3114 Sebelum Masihi akan berakhir pada hari ini.
Menurut laporan stesen televisyen CCTV, operasi memerangi kumpulan itu bermula pada minggu lalu.
Akhbar Beijing Times melaporkan, polis menahan lebih 350 anggota kumpulan tersebut di wilayah Guizhou, barat daya China manakala lebih 400 lagi ditangkap di wilayah Qinghai, timur laut negara ini.

Agensi berita Xinhua menyatakan, kumpulan tersebut menjanjikan keselamatan penduduk yang menyertai kumpulan tersebut.
Di Kootwijkerbroek, Belanda, seorang penduduk, Pieter Van Der Meer menyediakan sebuah bot penyelamat di pekarangan rumahnya.
Menurutnya, bot tersebut mampu menyelamatkan 35 orang jika kiamat berlaku pada hari ini.
Di pekan Bugarach, selatan Perancis, pihak polis mengawal laluan masuk ke Gunung Pic de Bugarach setinggi 1,231 meter yang dikatakan akan terbuka pada 21 Disember ini.
Kawalan itu dilakukan bagi mengelak kebanjiran pengunjung ke gunung tersebut.
Beberapa pihak percaya makhluk asing akan muncul bersama kapal angkasa untuk menyelamatkan golongan yang mempercayai hari tersebut.
Seramai 254 wartawan dari seluruh dunia telah berada di pekan tersebut untuk membuat liputan tentang kepercayaan hari kiamat itu.
Di Moscow, Rusia, sebuah kubu bawah tanah yang digunakan semasa Perang Dingin akan menjadi lokasi sebuah parti selama 24 jam bagi meraikan kedatangan hari kiamat.
Tiket sebanyak AS$1,000 (RM3,056) perlu dibayar kepada pengunjung yang mahu memasuki kubu tersebut untuk menyelamatkan diri. Kubu itu sedalam 56 meter.
Bagaimanapun, Presiden Rusia, Vladimir Putin berkata, beliau tidak percaya kiamat akan berlaku pada hari ini.
Menurutnya, Bumi akan wujud bagi tempoh 4.5 bilion tahun lagi.
“Saya tahu bila dunia akan berakhir. Ia akan berlaku dalam tempoh 4.5 bilion tahun lagi,” katanya.
Ketika ditanya jika beliau takut menghadapi hari kiamat, Putin berkata: “Kenapa perlu takut jika ia tidak dapat dielakkan?”
Sejumlah anggota polis turut mengawal di jalan-jalan yang terdapat di Kampung Sirince, barat Turki semalam bagi menangani kebanjiran pengunjung pada hari ini.
Sebahagian orang percaya kampung itu merupakan satu-satunya tempat yang tidak akan terjejas dengan hari kiamat kerana ibu Nabi Isa, Mariam dipercayai pernah tinggal di situ.
Beberapa upacara keagamaan turut dilakukan oleh kaum Maya di Guatemala kelmarin.
Upacara itu diadakan bagi meraikan kedatangan era baharu selepas kalendar Maya berakhir pada hari ini. – Agensi

Sabtu, 15 Disember 2012

Manusia Kejam

Oleh NORHAYATI YAHAYA
norhayati.yahaya@kosmo.com.my




KLANG – Perbuatan kebinatangan seorang mekanik yang mendera anak tiri lelakinya berusia tiga tahun tanpa belas kasihan memakan diri apabila dia diberkas selepas aksi kejamnya itu dirakam menggunakan kamera telefon bimbit sebelum dimuat naik di laman sosial Facebook. Suspek berusia 32 tahun tersebut diberkas pada pukul 8 malam kelmarin di rumahnya di Taman Mas, Kapar di sini iaitu tempat di mana kejadian dera itu berlaku. Dia diberkas apabila polis menerima laporan jirannya sejam selepas dia melihat rakaman tersebut. Difahamkan, ketika serbuan, suspek berada di dalam rumah itu bersama mangsa tetapi isterinya telah melarikan diri. Timbalan Ketua Polis Daerah Klang Utara, Supritendan Jani Ahmad berkata, kanak-kanak tersebut dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah di sini dan pemeriksaan menemui kesan kecederaan dan calar di badan serta kepalanya. Katanya, polis percaya mangsa telah didera oleh bapa tirinya sejak dua bulan lalu. Polis tahan ibu tiri kanak-kanak mangsa dera 13/12/2012 2:51pm 

SHAH ALAM — Polis menahan ibu tiri kanak-kanak lelaki yang didera bapa tirinya seperti tersebar dalam klip video di laman media sosial facebook kira-kira pukul 10 malam semalam, di Taman Meru Indah, Klang. Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, ACP Rusdi Md. Isa berkata wanita berkenaan ditahan di rumahnya bagi membantu siasatan dan telah dibebaskan setelah kenyataannya direkod. "Wanita berusia 20 tahun itu merupakan individu yang merekod klip video ketika mangsa dikasari oleh suspek, yang turut berada bersama suspek dan mangsa ketika kejadian,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor di sini hari ini. Rusdi berkata, polis telah memanggil dan mengambil kenyataan ibu kandung mangsa, berumur 29 tahun yang merupakan isteri tidak berdaftar suspek, berhubung kes itu. Beliau berkata, sehingga kini, polis merekod kenyataan empat individu, iaitu ibu tiri dan ibu kandung mangsa, jiran serta doktor bagi membantu siasatan. Katanya, kes penderaan kanak-kanak lelaki berumur tiga tahun itu dipercayai berlaku dua bulan lepas dan klip video kejadian mula tersebar selepas seorang individu memuat naik ke laman facebook sejak semalam. Semalam, polis menahan seorang lelaki berumur 32 tahun, bapa tiri kepada mangsa di rumahnya di Taman Mas, Kapar di Klang selepas menerima laporan seorang kenalan suspek yang menonton klip video itu. Ketika serbuan, suspek yang bekerja sebagai mekanik berada bersama kanak-kanak yang dikatakan didera itu. Kanak-kanak itu kemudian dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) di sini dan didapati mempunyai kesan kecederaan dipercayai akibat penderaan serta kini diletak di bawah pengawasan Jabatan Kebajikan Masyarakat. Rusdi berkata kes disiasat mengikut Seksyen 31 (1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 dan suspek ditahan reman sehingga 15 Disember. — BERNAMA

Sabtu, 1 Disember 2012

Masjid Gay di Perancis

Mohammed Ludovic

30/11/12 - Paris – Biadap dan kurang ajar. Itu perkataan yang layak diberikan kepada lelaki gay ini, iaitu Mohammed Ludovic Mohammed Zahed yang menghina Islam. Dia yang berasal dari Algeria mencipta kontroversi dengan merancang untuk membuka sebuah masjid untuk golongan gay pada penghujung bulan ini.
Lebih buruk, masjid itu akan menjadi tempat pernikahan sesama jenis dan dalam masa sama wanita yang bersolat di masjid itu tidak perlu menutup aurat.Mereka juga boleh bersembahyang di belakang lelaki tanpa perlu sebarang pengadang .Bagi lelaki keji ini, tujuan dia berbuat demikian adalah untuk membuang diskriminasi dan perbuatan kurang ajar itu dikatakan satu transformasi dalam Islam.Lelaki gay ini telah berkahwin dengan kekasihnya yang berasal dari Afrika Selatan dan dia mendakwa perkahwinan itu diiktiraf oleh imam di Perancis.
Namun kerajaan Perancis tidak mengiktiraf perkahwinan berkenaan yang dilakukan di negara asal `kekasihnya’ itu.Lelaki yang terpesong ini memberitahu, masjid itu akan turut mengadakan sembahyang Jumaat, upacara angkat nikah golongan sesama jenis dan melaksanakan pengkebumian bagi golongan gay.Ketika masjid ini menjadi masjid untuk gay pertama di Paris, dipercayai terdapat 21 masjid untuk golongan berkenaan di Amerika Syarikat, Kanada dan Afrika Selatan.
Perkahwinan sesama jenis ini sendiri mendapat tentangan daripada penduduk Perancis.10 hari lalu, satu protes telah diadakan melibatkan kira-kira 70,000 orang yang menentang negara itu mengiktiraf perkahwinan sesama jenis.

Ahad, 18 November 2012

Suara bisik mahu bunuh anak


Sumber:
NIK AMIRUL MU'MIN NIK MIN
Sinar Harian
18 November 2012



"SEBELUM itu, saya dengar suara anak dan suami ketawa dari dalam bilik. Saya berada di dapur bersama anak sulung, Mohd Al-Amin, 2," kata Suze Jalit, 26, ibu bayi malang, Nor Amirah yang maut disembelih bapanya sendiri di Felda Panching Selatan, dekat sini, malam semalam.
Suze berkata, tiba-tiba terdengar suara anaknya yang berusia 11 bulan 20 hari itu menangis, namun masih tidak mengesyaki apa-apa.

"Hinggalah apabila saya dapati Amirah tiba-tiba senyap selepas dua kali menangis, barulah saya rasa seperti ada yang tidak kena segera berlari ke bilik. Ketika itulah ternampak leher Amirah berlumuran darah.

"Anak saya masih atas katil sementara suami pula memegang parang pendek," katanya.

Ketika ditemui semalam, wanita itu ternyata masih sukar menerima kenyataan bayinya sudah tiada, apa lagi nyawanya diragut ayah sendiri.
"Baru petang semalam (kelmarin) kami sekeluarga keluar berjalan-jalan. Ayahnya pun sangat mesra dengannya dan bermain-main dengannya hingga ke malam. Tak sangka pula kesudahannya ini yang terjadi," katanya sambil mengesat air mata.

Mengenai suaminya, Suze berkata, lelaki berusia 29 tahun itu mendakwa sering dengar bisikan suara kononnya ada orang mahu membunuh dan membakar Nor Amira.

Adik lelaki itu, Norazliza Ismail, 23, pula berkata, dia menonton TV ketika mendengar kakak iparnya (Suze) menjerit dan menangis.

"Saya bergegas ke bilik dan melihat Amirah sudah tidak bernyawa dan lehernya berlumur darah. Saya kuatkan hati, ambil kain dan balut luka pada lehernya," kata gadis itu.

Norazliza berkata, abangnya pula yang disyaki terlibat perbuatan itu, seolah-olah baru tersedar khayalan. Dia menangis, meratap setelah melihat keadaan anaknya malah dikatakan turut menghubungi polis dan ambulans.
"Sebelum ini, dia sering alami gangguan fikiran. Dia pernah mengaku selalu dengar bisikan ada orang mahu bunuh dan bakar anaknya. Dia mahu bunuh sendiri anaknya daripada biar dibunuh orang lain," katanya.
Jenazah bayi malang itu dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) untuk dibedah siasat, sebelum dikebumi di Tanah Perkuburan Islam Felda Panching Selatan, dekat sini.

Khamis, 15 November 2012

Latihan Khas


Oleh Mohd Sabran Md Sani

sab@hmetro.com.my



KEMENTERIAN Pelajaran menyediakan latihan melalui modul latihan bersesuaian mengikut tahap kompentensi Pegawai Perkhidmatan Pendidikan yang dikenal pasti tidak mencapai tahap kompentensi ditetapkan.Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, langkah berkenaan dilakukan hasil daripada penilaian mengenai pembangunan instrumen bersepadu (1Unified Instrument) yang dilaksanakan bagi menilai tahap kompentensi semua pegawai perkhidmatan pendidikan.


“Dalam konteks ini, tenaga kepakaran Institut Pendidikan Guru (IPG), Institut Aminuddin Baki (IAB), English Langguage Teaching Centre (ELTC) dan bahagian tertentu dalam KPM digembleng dan digerakkan sebagai jurulatih utama melaksanakan latihan peningkatan profesionalisme.

“Seiring dengan langkah berkenaan yang dinyatakan dalam anjakan ke-8 bagi semua organisasi di kementerian termasuklah Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) dan Pejabat Pelajaran Daerah (PPD),” katanya.


Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata demikian ketika menjawab soalan dibangkitkan Mohd Nor Othman (BN-Hulu Terengganu) yang meminta kementerian berkenaan menyatakan sejauh manakah Falsafah Pendidikan Kebangsaan dalam menyediakan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM).



Ini sekali gus menjadikan Penyata Razak dan Laporan Rahman Talib sebagai asas dan menjurus kepada pembentukan perpaduan negara dalam kalangan murid serta usaha menyatupadukan murid daripada pelbagai kaum.

Muhyiddin berkata, transformasi dirancang meliputi kemahiran dalam bidang sains dan teknologi (S&T) dan KPM memperkenalkan dasar penyertaan murid dalam bidang sains iaitu Dasar Sains dan Teknikal dengan 60 nisbah 40 (60:40).


“Oleh itu, beberapa strategi dirangka untuk menarik minat murid mengikut bidang berkenaan seperti meningkatkan kemahiran dan kualiti guru, menyediakan bidang sains dan teknologi dalam kalangan murid dan menyediakan infrastuktur lengkap,” katanya.

Beliau berkata, seperti yang dibentangkan ketika pelancaran laporan awal PPPM 2013-2025 berpaksikan tiga objektif khusus melalui tiga gelombang berlandaskan lima aspirasi sistem pendidikan untuk menghasilkan enam ciri keberhasilan murid.


“Ia dirangka berasaskan sembilan bidang utama yang diterjemahkan melalui 11 anjakan untuk dilaksanakan dalam tempoh 13 tahun. Segala idea, pandangan, penelitian dan penilaian yang mendalam mengenai penambahbaikan sistem pendidikan.



“Bagi memastikan PPPM ini benar-benar memenuhi aspirasi dan kehendak rakyat, pelan pembangunan ini dibentangkan semula kepada masyarakat umum melalui Program Hari Terbuka di enam zon di seluruh negara bermula 6 hingga 20 Oktober 2012,” katanya.



Menurutnya, kementerian juga menubuhkan Unit Penyampaian Pendidikan (EDU) untuk memacu penyampaian PPPM, memantau kemajuan pelaksanaannya, menyelesaikan isu berbangkit, menyediakan maklum balas secara berterusan dan menguruskan komuniksi untuk pihak berkepentingan.



“Untuk memastikan keberkesanan unit ini, pegawai yang ditempatkan di EDU dipastikan daripada mereka yang mempunyai bakat terbaik,” katanya.

Ahad, 14 Oktober 2012

HALLOWEEN ITU SESAT, MANA BOLEH DI SAMAKAN DENGAN AIDIL ADHA?


Sumber:
Sinar Harian
14.10.12




Poster besar yang diletakkan di ruang legar utama sebuah pusat membeli-belah mencetuskan rasa kurang senang pengunjung umat Islam.
KUANTAN - Poster besar di sebuah pasar raya, di sini, menimbulkan rasa kurang senang umat Islam kerana menggabungkan Aidiladha bersama perayaan agama lain.


Poster bertajuk Raya Haji and Halloween didakwa mempunyai unsur yang menyentuh sensitiviti umat Islam, bahkan gambar berlatar belakangkan Kaabah turut dicemari karikatur sambutan perayaan agama lain.
Pengunjung yang mahu dikenali sebagai Azmi berkata, dia terkejut melihat poster gergasi yang digantung dalam pusat membeli-belah itu dan mempersoal tindakan penganjur yang tidak peka sensitiviti agama.


"Saya terkejut promosi digabungkan itu kerana mempersendakan Islam," katanya.
Justeru, dia meminta pihak berkuasa agama memantau perkara itu dan meminta penganjur menurunkan poster  itu.
Sementara itu, Jabatan Agama Islam Pahang (Jaip) menasihatkan penganjur supaya tidak menggabungkan perayaan agama Islam bersama agama lain sehingga melanggar sensitiviti masyarakat di negeri ini.
Timbalan Pengarahnya, Datuk Mohd Ghazali Abd Aziz berkata, poster seperti itu tidak boleh dipandang ringan.


“Sebelum anjur program,  pihak berkaitan perlu faham sensitiviti agama dan tidak menimbulkan perkara yang boleh menyentuh perasaan orang lain,” katanya.


Beliau berkata, tindakan itu boleh menimbulkan rasa tidak senang umat Islam.
Dalam pada itu,  Pegawai Perhubungan Awam dan Pengarah Program, Chea Sin Cheak memohon maaf dan sedar kesilapan itu selepas dimaklum Majlis Perbandaran Kuantan (MPK), kelmarin.


Beliau harap masyarakat dapat maafkan dan akan berhati-hati pada masa hadapan.

Sabtu, 6 Oktober 2012

Venovox: Banyak syarikat hadapi masalah calon guna ijazah palsu



KUALA LUMPUR - Syarikat Malaysia mesti melaksanakan program pemeriksaan pekerja sebagai prosedur operasi standard sebelum memilih calon sesuai untuk mengurus operasi mereka bagi mengelak mengambil pekerja yang tidak berkelayakan dan terlebih bayar gaji, kata Ketua Pegawai Operasi Venovox Sdn Bhd Rebecca.
Beliau berkata di Amerika Syarikat, Britain dan Jepun, program pemeriksaan pekerja diwajibkan.
"Apabila datang ke Malaysia dan beroperasi, syarikat menjadikan pemeriksaan ke atas semua pekerja sebagai dasar syarikat," katanya kepada Bernama pada temu bual.
Menurutnya banyak syarikat kini berhadapan masalah berikutan ada calon yang menggunakan ijazah palsu dan memberikan maklumat palsu mengenai pengalaman masing-masing.
"Jika pemeriksaan tidak dijalankan, dan calon itu diterima bekerja, ia bukan sahaja menjejaskan syarikat, malah menamatkan perkhidmatan mereka juga sukar," katanya.
Berdasarkan kemajuan teknologi, sukar untuk pegawai sumber manusia mengesan ijazah palsu.
"Kita memiliki mesin penyalin dengan pencetak berkualiti tinggi, yang memudahkan calon memalsukan ijazah mereka," katanya.
Rebecca berkata menerusi program pemeriksaan pekerja Venovox, ia bukan sahaja memeriksa maklumat yang disediakan oleh calon dalam resume masing-masing, malah membuat risikan ke atas latar belakang mereka.
Menurutnya syarikat itu juga dapat mengesan sama ada ijazah yang diberikan itu palsu atau tulen, dan menambah mereka yang memalsukan sijil memiliki kemahiran dan menggunakan kelayakan itu untuk menuntut gaji yang tinggi.
Bagi sijil palsu, ia juga melibatkan pelbagai jenis, katanya.
"Sama ada ijazah itu tidak diperakui atau dipalsukan dengan menukar nama pada sijil," katanya.
Beliau berkata menerusi program itu, majikan dan pekerja turut memperoleh manfaat.
"Jika kelayakan anda (pekerja) dicabar, anda boleh menggunakan program pemeriksaan ini untuk mempertahan diri," katanya.
Venovox, penyedia global, membantu perniagaan di seluruh dunia untuk membuat pilihan berdasarkan maklumat yang ada dan mengurangkan risiko tempat kerja.
Syarikat tempatan yang ditubuhkan pada 11 November tahun lepas itu antara lain pakar dalam carian rekod jenayah, pengesahan pekerjaan pemeriksaan rujukan, pengesahan pendidikan dan kesalahan lalu-lintas. - Bernama

Sabtu, 1 September 2012

Transformasi SMVM mampu tingkat tenaga kerja mahir


Sumber:

Utusan Borneo
Berita Tempatan
1 September 2012




MIRI: Transformasi Sekolah Menengah Vokasional Miri (SMVM) kepada Kolej Vokasional bermula tahun depan akan meningkatkan pengeluaran pelajar berkemahiran tinggi dari Miri untuk menampung keperluan tenaga kerja mahir di Sarawak.
Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Peter Chin Fah Kui berharap Kolej Vokasional itu kelak menjadi pusat kecemerlangan pendidikan vokasional dan kemahiran yang menjadi tumpuan kepada ibu bapa untuk melanjutkan pengajian anak-anak mereka.
“Cabaran yang perlu diatasi dan dicapai bukan sahaja melibatkan warga sekolah, malahan melibatkan hubungan luar sekolah dengan industri dan agensi-agensi luar,” jelasnya.
Teks ucapan Chin dibacakan oleh Setiausaha Politik beliau, Datuk Sebastian Ting semasa merasmikan Merdekaton dan Merentas Desa anjuran Sekolah Menengah Vokasional Miri (SMVM) di Bukit Kanada di sini, semalam.
Mengulas tentang kepentingan pendidikan, Chin berkata, ibu bapa mempunyai harapan tinggi terhadap pencapaian akademik anak-anak mereka.
Menurutnya, amalan gaya hidup sihat antara perkara penting yang harus dititikberatkan oleh pelajar agar mereka mampu belajar dengan sihat dan tekun.
Konsep 1Murid 1Sukan melatih pelajar menghargai masa yang terluang dengan mengaktifkan diri dengan aktiviti kokurikulum.
“Penglibatan mereka dengan aktiviti kokurikulum mampu menghalang mereka daripada terjebak dengan perkara-perkara yang tidak sihat dan tidak berfaedah.
“Sebagai ibu bapa, kita sepatutnya mampu dijadikan teladan oleh anak-anak ke arah pembentukan modal insan yang mulia dan cemerlang dalam hidup,” jelas Chin.
Hubungan baik antara ibu bapa dan guru juga penting untuk menangani masalah dan disiplin pelajar yang mudah terpengaruh dengan anasir-anasir sosial kesan cara hidup moden sekarang, katanya.
Beliau menambah, negara mengharapkan agar generasi baharu memiliki minda kelas pertama dalam usaha merealisasikan hasrat negara melahirkan modal insan yang berwibawa.
Malahan, katanya, impian ibu bapa supaya anak mereka hidup senang akan tercapai dan mampu menyahut cabaran Wawasan 2020 yang diilhamkan oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.
Mengulas tentang aktiviti itu, Chin berharap ia akan memupuk semangat cintakan negara dalam kalangan warga sekolah SMVM.
“Diharapkan dengan adanya kutipan dana sebegini akan membantu sekolah mengadakan aktiviti yang memberi manfaat kepada pelajar khususnya ke arah kecemerlangan akademik dan kebajikan pelajar,” ujarnya lanjut.
Dalam pada itu, Ting turut mengumumkan peruntukan Projek Kecil Luar Bandar (MRP) daripada Chin yang juga merupakan Ahli Parlimen Miri sebanyak RM5,000 untuk sekolah berkenaan.MIRI: Transformasi Sekolah Menengah Vokasional Miri (SMVM) kepada Kolej Vokasional bermula tahun depan akan meningkatkan pengeluaran pelajar berkemahiran tinggi dari Miri untuk menampung keperluan tenaga kerja mahir di Sarawak.
Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Peter Chin Fah Kui berharap Kolej Vokasional itu kelak menjadi pusat kecemerlangan pendidikan vokasional dan kemahiran yang menjadi tumpuan kepada ibu bapa untuk melanjutkan pengajian anak-anak mereka.



Khamis, 23 Ogos 2012

Keluarga Guru Diserang



FARAH SHAZWANI ALI
23 Ogos 2012
SINAR HARIAN



Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner K Manoharan


KUALA TERENGGANU - Sebuah keluarga berdepan detik mencemaskan apabila ditahan sebelum diserang sekumpulan lelaki yang tidak dikenali, dalam satu kejadian di Jalan Sultan Mahmud di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 12.30 tengah malam itu, mangsa yang juga seorang guru berumur 46 tahun bersama isteri dan tiga anaknya berusia antara 16 hingga 20 tahun, dikatakan dalam perjalanan dari arah Chendering menghala ke pusat bandar untuk menikmati makan malam di bandaraya ini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner K Manoharan berkata, kejadian itu bermula apabila kereta Honda yang dinaiki keluarga itu dihimpit sebuah Perodua MyVi berwarna putih, dinaiki lima lelaki.

Berdasarkan laporan awal, salah seorang daripada mereka dipercayai menunjukkan isyarat lucah kepada keluarga berkenaan ketika berada di lampu isyarat Pantai Batu Buruk.

“Keluarga berkenaan bagaimanapun tidak menghiraukan perbuatan itu, sebaliknya meneruskan perjalanan. Tetapi sebaik mangsa tiba di sebuah bank di Jalan Sultan Mahmud, mereka dihampiri sebuah kereta Nissan Navara berwarna hitam yang cuba menghalang perjalanan.

“Pada masa sama, Perodua MyVi yang menghimpit mereka sebelum ini tiba di lokasi kejadian dan sekali lagi bertindak menghimpit kenderaan mangsa, menyebabkan mangsa terpaksa memberhentikan keretanya,” katanya ketika ditemui di pejabatnya di sini, semalam.

Jelas Manoharan, pihaknya percaya ia melibatkan lapan lelaki iaitu lima lelaki yang menaiki Perodua MyVi manakala tiga lagi menaiki Nissan Navara.
Mereka kemudiannya menarik anak lelaki mangsa yang berusia 20 tahun, lalu memukulnya menggunakan kaki dan tangan sehingga menyebabkannya cedera pada muka, kepala dan badan.
Bimbang anaknya teruk diapa-apakan, mangsa kemudiannya cuba meleraikan namun turut ditumbuk sehingga cedera di muka dan badan, manakala isterinya jatuh kerana ditolak ketika cuba membantu meleraikannya.

“Kesemua suspek berusia 28 tahun ke atas itu, turut bertindak merosakkan kereta mangsa, sehingga menyebabkan cermin depan dan sisi pecah selain kemek, sebelum melarikan diri,” katanya.

Menurut Manoharan, pihaknya masih menyiasat motif serangan kerana mangsa dan anaknya yang merupakan pelajar institusi pengajian tinggi itu mendakwa, tidak tahu punca sebenar mereka diserang.

Bagaimanapun katanya, pihak polis sudah mengenal pasti salah seorang suspek yang juga pemilik kereta MyVi itu dan tangkapan akan dibuat tidak lama lagi.

“Kita masih menyiasat sama ada kejadian ini disebabkan perselisihan faham atau masalah jalan raya. Jadi saya harapkan semua suspek untuk menyerah diri, sebelum polis sendiri menahan mereka di rumah.

“Jika keluarga mereka tahu mengenai kejadian ini, saya harap dapat menasihatkan anak mereka untuk menyerah diri di Balai Polis Kuala Terengganu bagi membantu siasatan,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh dan Seksyen 323 KK kerana dengan sengaja menyebabkan cedera.

Rabu, 22 Ogos 2012

Daging babi bertabur di taman tumpuan Muslim



Sumber:
GLOBAL
SINAR HARIAN
22 OGOS 2012




Cebisan yang dipercayai daging babi.

NEW YORK - Polis  New York giat melakukan siasatan terhadap penemuan cebisan dipercayai daging babi di sebuah taman di New York yang menjadi lokasi pertemuan saudara Islam di bandar terbabit.

Jurucakap Majlis Hubungan Amerika-Islam New York, Cyrus McGoldrick berkata, kawasan New Diro Beach Park, Pulau Staten itu sering dikunjungi kira-kira 1, 500 umat Islam termasuk mengadakan majlis muzakarah.

“Polis masih melakukan siasatan dan berharap tiada spekulasi berhubung kejadian yang dianggap sebagai Islamofobia,” katanya.

Dipercayai kejadian terbabit mempunyai kaitan dengan pengharaman penjualan daging babi di beberapa pasaran secara terbuka terutama di kawasan penduduk umat Islam.
Insiden ini adalah yang terbaru dalam peristiwa sentimen anti-Islam sejak beberapa minggu lalu, selepas sebuah masjid di Missouri dibakar diikuti sebuah sekolah swasta Islam di luar Chicago dibaling dengan molotov cocktail.

Manakala bulan lalu, beberapa kaki babi digantung di sebuah masjid di bandar selatan California sehingga mencetuskan ketegangan antara umat Islam dan polis tempatan.

Selasa, 21 Ogos 2012

Mendapat hidayah semasa 'mati'

SUMBER

NIK AMIRULMU’MIN NIK MIN
21 Ogos 2012
Sinar Harian



Mohd Fadhil menceritakan kisah ‘luar biasa’ yang membawa kepada pengislamannya sejak 12 tahun lalu.

KUANTAN - “Saya benar-benar terkejut apabila ahli keluarga memberitahu bahawa saya ‘sudah mati’ malah rekod perubatan tertera pengesahan itu,” kata Chow King Kong atau Mohd Fadil Chow Abdullah, 38, salah seorang mangsa kemalangan maut yang meragut tiga nyawa di kawasan Perindustrian Gebeng dekat sini, 14 tahun lalu.
Katanya, ALLAH Maha Berkuasa, ketika persiapanmenuntut dan membawa pulang mayatnya sudah dilakukan keluarga, tiba-tiba mereka dikejutkan kejadian luar biasa apabila mayat terbaring kaku itu kembali bernyawa.
“Saya disahkan ‘kembali sedar’ dan ambil masa kira-kira lima tahun untuk pulih sepenuhnya daripada kecederaan akibat kemalangan itu,” katanya ketika ditemui dalam satu majlis anjuran Yayasan Pahang bersama Persatuan Cina Muslim Pahang (MACMA) dan Pusat Perkembangan Tamadun Masyarakat Asli (Petama) di sini, kelmarin.
Mohd Fadhil berkata, dia bersyukur kerana mendapat peluang kedua bagi membolehkan dia memperbetulkan perjalanan hidupnya.
“Ternyata ada rahmat di sebalik kemalangan yang ‘meragut’ nyawa saya itu kerana di sebalik dugaan itulah ALLAH memilih King Kong menerima hidayah-Nya,” kata bapa kepada empat anak ini.
Mohd Fadhil mengakui, di saat nyawanya berada di penghujung, seorang lelaki berjubah dan bersongkok putih dengan bau harum mendampinginya sambil perdengarkan bacaan ayat suci al-Quran di telinga.
“Kehadiran ‘lelaki’ itu beri satu perasaan yang sukar digambarkan dengan kata-kata kerana saya bukan Islam dan peristiwa itu berlaku ketika saya 'koma',” katanya.
Menurutnya, kejadian itu buka pintu hatinya memahami Islam dan seterusnya ambil keputusan ‘berhijrah’ sebagai Islam dua tahun selepas peristiwa itu pada usia 26 tahun.
“Selepas memeluk Islam, jiwa dan hati saya semakin tenteram. Saya banyak belajar daripada isteri, Salamah Mahmud, 32, yang sentiasa beri perangsang dan nasihat bagi bina semula  kekuatan.

Isnin, 20 Ogos 2012

TPM: Subjek Kesusasteraan BI diperkenal


Sumber:
Sinar Harian(20 Ogos 2012)
Muhyiddin dan isterinya, Norainee bersalaman dengan kanak-kanak yang turut hadir memeriahkan rumah terbukanya di Kompleks Pekembar, Pagoh, semalam.

MUAR – Kementerian Pelajaran bercadang memperkenalkan mata pelajaran tambahan iaitu Kesusasteraan Bahasa Inggeris di peringkat sekolah menengah menerusi kajian semula sistem pendidikan nasional (KSSPN) dalam usaha meningkatkan penguasaan bahasa itu di kalangan pelajar.
Menterinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, tarikh pelaksanaannya akan diteliti kerana kita perlu memilih masa yang benar-benar sesuai.
Beliau yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, kajian tersebut melibatkan tiga fasa dan setiap fasa akan berlaku perubahan.
“Kita memerlukan masa yang panjang antara 10 hingga 15 tahun. Dalam tempoh ini, sistem pendidikan negara dijangka boleh menandingi dengan negara termaju di dunia.
“Tetapi kita tidak perlu tunggu sehingga 15 tahun. Kita lihat dalam fasa pertama, apa yang kita boleh lakukan terlebih dahulu,” katanya pada sidang media sempena Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Timbalan Perdana Menteri di Kompleks Pekembar Pagoh, hari ini.
 
Beliau berkata, dalam fasa pertama terdapat perkara mudah yang boleh dilakukan dahulu yang tidak melibatkan perubahan besar dari segi infrastruktur dan kewangan, akan dilaksanakan terlebih dahulu.

Muhyiddin menjelaskan, tiga suku proses KSSPN sudah dilakukan dan Dialog Nasional Pendidikan Negara yang dijalankan lebih tiga bulan lalu juga telah selesai.
“Hasil dialog ini, kita berjaya memperolehi ratusan cadangan yang diserahkan kepada kementerian oleh Pengerusi Dialog Nasional, Tan Sri Dr Wan Mohd Zahid Wan Mohd Noordin.
“Cadangan yang memberi impak besar akan dijelaskan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, semasa melancarkan 'blue print' (rangka tindakan) pendidikan, 11 September depan,” katanya.
Beliau berkata, selepas pelancaran itu, dalam tempoh beberapa bulan, kementerian akan mempamerkan beberapa cadangan supaya  pihak yang berminta boleh memberi pandangan bernas.
“Akhirnya, kementerian akan membuat kesimpulan pada kajian terakhir sebelum perkara ini  dibawa ke Kabinet pada akhir tahun,” katanya.

Sabtu, 18 Ogos 2012

Remaja perempuan dibakar kekasih masih kritikal



Pengerusi Yayasan Kebajikan Negara, Datuk Seri Shahrizat Jalil (dua,kiri) menenangkan ibu kepada Nurul Firzannah Mat Zin, remaja yang di simbah petrol, Nor Liyati Hamid (kiri) 

SUMBER:
Sinar Harian-17 Ogos 2012
KUALA LUMPUR - Nurul Firzanah Mat Zaki, gadis berusia 16 tahun yang dipercayai dibakar kekasihnya masih dalam keadaan kritikal selepas menjalani pembedahan di Hospital Kuala Lumpur, semalam.
Bapanya, Mat Zaki Mat Hussin, 45, berkata Nurul Firzanah dibedah di bahagian leher bagi membolehkan saluran pernafasannya kembali berfungsi seperti biasa.
Beliau berkata, dengan keadaan Nurul Firzanah, yang 25 peratus terbakar dan masih kritikal, sambutan Aidilfitri yang bakal menjelang tidak lagi membawa sebarang erti kepada keluarganya.
"Isteri saya, Norliyati Abdul Hamid masih tidak dapat menerima tragedi yang menimpa anak kedua daripada tiga adik beradik dan setiap kali masuk ke bilik Nurul, dia akan menangis kerana terbayangkan keletah manja satu-satunya anak perempuan kami itu," katanya kepada pemberita ketika ditemui di hospital itu, di sini hari ini.
Nurul Firzanah sebelum itu dilaporkan koma selepas disimbah petrol dan dibakar, dipercayai dilakukan oleh teman lelakinya di kawasan semak berhampiran Projek Perumahan Rakyat (PPR) Wangsa Sari, Seksyen 1, Wangsa Maju, selepas keluar bersahur bersama Selasa lepas.
Ekoran kejadian itu mangsa dikatakan mengalami kecederaan di muka, dada dan tangan.
Mat Zaki berkata selepas kejadian, keluarga kenalan anaknya datang bertemu keluarganya bagi memohon maaf atas tindakan anak lelaki mereka yang berumur 19 tahun itu, namun sebagai bapa, katanya beliau tidak dapat menerima perbuatan yang dilakukan ke atas anaknya itu.  
"Sebagai bapa, saya tidak dapat memaafkan perbuatan yang zalim dan tidak berperikemanusiaan itu," katanya.
Beliau berkata, mereka sekeluarga tahu mengenai persahabatan di antara Nurul Firzanah dengan pemuda itu dan tidak menghalang perhubungan itu, namun tidak menyangka perkenalan tersebut membawa derita kepada anaknya.
Susulan kejadian itu, polis Kuala Lumpur memulakan gerakan memburu pemuda itu.
Terdahulu, Nurul Firzanah menerima sumbangan RM2,000 daripada Yayasan Kebajikan Negara yang disampaikan oleh Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah yayasan itu Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil. - Bernama

Awalan meN-

Munsyi Md Rasul bin Haron@Amatara Bahagian Matrikulasi 30 Jun 2022 Panduan Bahasa PROSES PENGIMBUHAN 2) Awalan meN- fungsi pengg...