Ahad, 6 November 2011

Banjir Besar di Thailand-Harga Sayur Naik Mendadak





ALOR SETAR: Harga barang keperluan harian terutamanya barang basah di negeri ini seperti ikan, cili merah dan sayuran naik mendadak ekoran banjir besar yang melanda Thailand.
Kebanyakan peniaga memberi alasan pemborong terpaksa menaikkan harga barang kerana Thailand adalah pengeksport utama barangan berkenaan ke negara ini.
Tinjauan Bernama di Pasar Besar Alor Setar mendapati harga cili merah dijual pada harga RM13 hingga RM15 sekilogram (kg) berbanding RM8 sebelum ini.
Seorang peniaga, Mohd Zakuan Nasir, 25, berkata, dia terpaksa menaikkan harga barangan walaupun menerima rungutan daripada pembeli.
“Kerana banjir di Thailand, harga cabai besar (cili merah) naik mendadak.
Kalau dulu untuk satu kg  kami jual antara RM8 hingga RM10 tapi bila berlaku banjir, harga tu meningkat kepada RM15 sekg,”  katanya ketika ditemui di Pasar Besar Alor Setar di sini semalam.
Seorang lagi peniaga, Abdul Salim Sheikh Mohamand, 52, pula berkata, peniaga juga terpaksa menaikkan harga ikan kerana bekalan ikan semakin berkurangan disebabkan ketiadaan bekalan ikan dari Thailand.
“Keadaan sekarang ini sedikit gawat kerana bekalan ikan kurang, sebab itu harga naik. Kalau ikan banyak, harga akan murah,” kata Abdul Salim.
Harga sayuran di pasar berkenaan bagi setiap sekg ialah sawi RM3.50 (sebelum RM2.50), tomato RM5 (sebelum RM4), limau nipis RM5 (sebelum RM3), kacang bendi RM3 (sebelum RM1.50) dan timun RM3.50 (sebelum RM2).
Bagi harga ikan sekg pula ialah bawal dijual pada harga RM6 (sebelum RM5), bawal hitam RM25 (sebelum RM22), jenahak RM30 (sebelum RM25), siakap RM25 (sebelum RM22) dan selayang RM8 (sebelum RM6).
Sementara itu, seorang pengguna yang ditemui di pasar berkenaan, Siti Salmah Bakar, 44, berkata, kenaikan harga barangan basah itu agak membebankan suri rumah sepertinya.
“Jika harga barang ini berterusan naik, susah jugak nak bajet belanja sebab semua barang mahal,” katanya.
Seorang peniaga gerai makan, Hafiz Hashim, 35, pula berkata, dia mungkin terpaksa menaikkan harga makanan jika harga bahan mentah terlalu tinggi dan sekaligus akan turut membebankan pelanggannya. — Bernama



Protes halang PRU-13 jika reformasi tak dilaksana


Sumber:
malaysiakini.com
6.11.2011
4.27 PM



Beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berikrar mengambil pelbagai langkah sewajarnya untuk menghalang pilihan raya umum ke-13 daripada diadakan sebelum proses pembaharuan sistem pilihan raya di negara ini dilaksanakan.


“Maka tidak menolak kemungkinan kali ini rakyat turun bukan sahaja untuk melakukan protes tapi benar-benar untuk menukar regim yang sekian lama gagal menjamin hak rakyat untuk mendapatkan proses demokrasi pilihan raya yang bersih dan adil.

“Kita tidak boleh menolak kemungkinan rakyat akan bangkit untuk memastikan regim turun agar proses pilihan raya yang adil dan bersih boleh mengambil tempat dan negara ini boleh diselamatkan,” kata pengerusi Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) Badrul Hisham Shaharin (kiri) dalam satu kenyatan media.

Menurutnya, yang lebih dikenali sebagai Chegubard, pilihan raya di negara ini hanya boleh diadakan selepas proses penambah-baikan dijalankan sekiranya kerajaan BN tidak mahu berdepan dengan kuasa rakyat.

“Yakinlah rakyat sudah mula hilang kesabaran. Negara sedang berdepan dengan krisis kepercayaan proses demokrasi pilihanraya paling teruk sekarang ini.



“Jika pilihan raya umum masih berlaku sebelum proses penambahbaikan pilihan raya yang meyakinkan kami berjanji akan menggerakkan mobilisasi rakyat terbesar,” katanya.

Beliau berkata berdasarkan maklumat terkini, daripada sumber-sumber dalaman yang boleh dipercayai telah mendedahkan bahawa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak akan membubarkan parlimen dalam bulan November bagi membolehkan pilihan raya umum diadakan dalam masa terdekat.



Paling kotor
“Jika pilihanraya dipanggil dalam masa terdekat (paling tidak) sebelum menunggu jawatankuasa khas membuat keputusan maka sudah tentu satu pilihanraya paling kotor dalam sejarah sedang dijanjikan.

“Jika ini tetap dilakukan maka tidak dapat dielakkan persepsi pilihan raya kali ini hanya proses ‘palsu’ bagi menghalalkan regim terus berkuasa,” katanya.


Chegubard berkata selain sistem pilihan raya yang belum diperbetulkan, pentadbiran BN dijangka cuba mengambil kesempatan daripada musim tengkujuh dan musim haji bagi kelebihan mereka.

Justeru, beliau yang juga bekas ahli jawatankuasa pusat PKR berkata SAMM bersama dengan organisasi massa yang lain memberi amaran supaya perdana menteri memastikan segala kepincangan sistem pilihan raya negara ini diperbaiki sebelum membubarkan Dewan Rakyat.

“Kami SAMM bersama dengan teman-teman organisasi massa yang lain pada hari ini mewakili rakyat keseluruhanya memberi amaran kepada perdana menteri Malaysia bahawa pilihan raya umum hanya boleh dipanggil setelah proses penambahbaikan proses pilihan raya.


“Proses penambahbaikan ini juga seharusnya satu proses ‘reformasi’ serius yang memberi jawapan kepada kelemahan-kelemahan yang sering dipergunakan oleh pihak tertentu dan bukan hanya perubahan kosmetik semata-mata,” katanya lagi.

Kekal berkuasa

Sementara itu, Harakahdailymemetik presiden Pergerakan Kebebasan Awam Malaysia (MCLM), Haris Ibrahim (kanan) berkata, pihaknya dan NGO lain yang bergabung dalam organisasi massa tetap bersama keseluruhan rakyat untuk melakukan perubahan.

Katanya, rakyat negara ini tidak lagi boleh menerima percubaan Umno BN untuk kekal berkuasa sehingga sanggup melakukan penipuan secara terang-terangan dalam pilihan raya.



"Namun kami telah menerima maklumat yang boleh dipercayai bahawa perdana menteri akan melakukan pembubaran parlimen pada 11 November ini bagi membolehkan pilihan raya umum ke-13 diadakan pada 10 Disember ini.

"Jika benar, kita lihat ini sebagai satu langkah sekali lagi oleh Umno dan BN untuk memegang kuasa sama ada di peringkat persekutuan dan negeri melalui cara penipuan," katanya dipetik akhbar rasmi parti PAS.

Selain Chegubard, hadir pada sidang media itu, adalah Pengerusi League Unemployed Graduates, Devadas Silvaraju; Presiden Parti Rakyat Malaysia (PRM), Dr Rohana Ariffin dan Pengerusi India Justice Party (IJP), PS Jenapala.





Pemimpin ibarat kayu





Pembaca yang dirahmati Allah SWT.

Pemimpin ibarat kayu, bayangannya adalah rakyat. Kalau kita melihat bayangan kayu itu bengkok, menunjukkan kayu itu bengkok. Begitulah kalau sebuah negara itu rakyatnya banyak yang jahat, menunjukkan para pemimpin negara itu juga sudah banyak yang jahat. Oleh itu untuk membaikkan rakyat, kenalah para pemimpin membaiki dirinya lebih dahulu sebelum mengajak rakyatnya baik.

Catatan ringkas: Islam dan homoseksualiti


malaysiakini.com
Afiq M Noor
12:09PM Nov 5, 2011




“Maka menerusi belas kasihan Tuhanlah kamu [Wahai Rasul] berlemah-lembut terhadap mereka. Sekiranya kamu bersikap keras lagi berhati kasar, tentulah mereka menjauhkan diri darimu. Maka maafkanlah mereka dan mohonkanlah ampunan bagi mereka; dan bermusyawarahlah dengan mereka dalam urusan awam…..”  [3:159]


Perbahasan mengenai homoseksualiti dan Islam bukanlah perkara asing dan taboo bagi para pengkaji dan pemikir. Daripada aspek hukum sehingga bagaimana masyarakat sewajarnya menyantuni isu ini telah dibahaskan dengan begitu panjang lebar oleh para sarjana.

Sayangnya, sikap masyarakat Islam yang tidak berupaya mencedok dan menghadam perbahasan tersebut dengan berhati-hati telah menjejaskan imej yang ingin kita potretkan kepada Islam.

Islam bukanlah agama hukuman sebagaimana yang difahami oleh kebanyakkan Muslim. Bahkan ia adalah agama yang penuh dengan kasih sayang dan mempromosikan keamanan sesuai dengan maknanya – sejahtera.


Trend beragama di Malaysia sangat membimbangkan, kita terlalu rigid dan menyempitkan agama di dalam perkarangan masjid dan surau sahaja. Kita mudah untuk mengharamkan dan menghalalkan sesuatu tanpa berfikir panjang dan mengambilkira situasi dan keadaan semasa. Jika ia tidak halal pasti ianya haram dan begitulah sebaliknya. Ketahuilah Islam lebih luas dari masjid dan surau kita.

Apabila timbul isu Elton John dan Seksualiti Merdeka, ramai Muslim termasuk badan-badan NGO yang membawa jenama Islam melenting dan menunjukan reaksi yang tidak wajar.

Alasan mereka mudah, perkara seperti ini mempromosikan cara hidup yang tidak Islamik. Kononnya ramai anak muda Islam yang akan terpengaruh dengan cara hidup yang berkiblatkan barat.
Seperti biasa, PERKASA adalah antara yang terawal membuat laporan polis diikuti dengan badan-badan lain dan individu yang kononya risau dan khuatir dengan perkembangan ini.


Rasuah juga satu dosa
Saya tidak bercadang untuk memanjangkan perbahasan tentang hukum homoseksualiti dari sudut agama, kerana ianya jelas. Mahu atau tidak kita mengakui homoseksualiti merupakan suatu dosa dan bertentangan dengan norma – norma agama. Namun sekiranya inilah yang menjadi kegusaran PERKASA serta badan – badan NGO dan individu Muslim yang lain, kegusaran ini tidak berasas.




Ketirisan dalam pentadbiran kerajaan merupakan satu dosa, rasuah juga merupakan satu dosa, penganiayaan terhadap buruh juga merupakan satu dosa, membolot kekayaan negara untuk kroni dan keluarga juga merupakan satu dosa. Bahkan ianya lebih besar dan wajar untuk kita ambil peduli kerana ia melibatkan harta rakyat dan negara. Ia bukan maksiat peribadi.


Islam tidak pernah bersetuju dengan homoseksualiti tetapi Islam adalah agama yang sangat menghormati hak peribadi individu sehingga Allah menegaskan di dalam Surah Al – Hujarat ayat 12:
“Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa; dan janganlah kamu mengintip mencari-cari kesalahan orang..”


Tidak menjadi tugas dan kewajipan pemerintah Islam untuk mengintip dan mencari-cari kesalahan dan maksiat individu yang dilakukan secara tertutup dan tersembunyi.  Di dalam sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Abu Dawud bahawa Muawwiyah mendengar Rasulullah (S.A.W) bersabda:

“Sesungguhnya engkau, jika mencari-cari keaiban orang ramai, nescaya engkau merosakkan mereka atau hampir merosakkan mereka”



Samada kita suka atau tidak, homoseksualiti merupakan satu realiti yang mesti kita terima. Pergilah ke ceruk mana sekalipun kita tidak dapat lari dari realiti ini.

Hukum berimankan ‘Ma’boon’
Bahkan sekiranya kita membuka teks–teks klasik fiqh, kita pasti akan bertemu dengan perbahasan mengenai ‘Ma’boon’, iaitu lelaki yang mempunyai perasaan terhadap lelaki lain. Para sarjana Mazhab Maliki menyatakan sah hukumnya berimamkan seorang ‘Ma’boon’.


Saya merasakan kita sewajarnya mengambil langkah yang lebih realistik dalam menyantuni isu ini. Banyak persoalan yang lebih utama untuk kita bangkitkan. Penindasan dan sikap double-standard masyarakat terhadap golongan LGBT ini merupakan sesuatu yang amat membimbangkan. Baca sahaja laporan media dan internet, berapa ramai remaja yang kehilangan nyawanya setiap hari hanya kerana dia seorang homoseksual? Apakah jiwa mereka tidak bernilai pada mata kalian? Adakah ini yang Allah perintahkan?


Adakah kerana mereka homoseksual maka darah mereka halal untuk dikorbankan ? Maruah mereka boleh dipermainkan? Mereka boleh didiskriminasikan dan diperlakukan sesuka hati? Jika jawapannya 'Ya', maka kita bukan sahaja tidak layak menjadi seorang Muslim bahkan tidak layak langsung menjadi manusia. Allah berfirman:


“...Barangsiapa yang memelihara kehidupan seorang manusia, seolah-olah dia telah memelihara kehidupan manusia keseluruhannya” [5:32]


Kita bebas untuk tidak bersetuju dengan perbuatan mereka. Tetapi sebagai manusia, mereka wajar dihormati dan diperlakukan selayaknya. Tindakan singkat akal yang dilakukan atas nama Islam dalam isu ini telah mencacatkan wajah Islam sebagai agama yang toleran dan penuh dengan kasih sayang. Kenapa Muslim senang sekali menjauhkan manusia lain dari Tuhannya?


Tuhan tidak pernah berjenaka apabila Dia mengatakan:


“Belas kasihku meliputi segala benda....” [7:156]
Ya Allah sesungguhnya hamba-Mu telah menyampaikan!






Tahun ini, banjir dijangka teruk



Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengarahkan Radio Televisyen Malaysia (RTM) menyediakan slot berkala yang kerap untuk memaklumkan kepada masyarakat tentang keadaan banjir yang melanda kawasan tertentu.


Katanya, beliau telah mengarahkan Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Rais Yatim yang bertanggungjawab terhadap RTM untuk berbuat demikian pada mesyuarat Kabinet semalam.

"Slot berkala yang regular itu akan memberitahu rakyat tentang perkara-perkara seperti sungai-sungai yang terlibat, paras airnya dan ramalan cuaca sama ada ia akan menyebabkan banjir atau tidak.

"Laporan terperinci berkala itu akan disediakan oleh media elektronik termasuk radio seperti breaking news”, mungkin satu jam sekali kerana keadaan banjir dalam tempoh sejam banyak berubah,” katanya kepada pemberita hari ini.

Muhyiddin, yang juga Menteri Pelajaran, berkata demikian selepas menghadiri majlis korban perdana dan pertemuan dengan badan-badan bukan kerajaan (NGO) Parlimen Pagoh di Dewan Sri Pekembar di Pagoh, di Muar hari ini.



Mengenai persiapan menghadapi banjir tahun ini yang dijangkakan lebih buruk, Muhyiddin, yang juga Pengerusi Jawatankuasa Banjir Negara, berkata persediaan telah pun bermula di peringkat kerajaan.

Beliau berkata mesyuarat Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk membincangkan bencana banjir dan dipengerusikannya akan diadakan pada 15 Nov depan.

"Ramalan Jabatan Meteorologi kadar hujan tahun ini meningkat 20 hingga 40 peratus... kita kena mengambil persiapan lebih terutamanya pusat pemindahan kerana jika banjir besar, jumlah mangsa juga bertambah," katanya.

Kata Muhyiddin, bekalan logistik seperti bot-bot penyelamat dan makanan juga perlu ditambah, berikutan jangkaan mangsa yang terlibat dengan banjir tahun ini adalah lebih ramai.



"Kita berharap dapat menangani masalah ini dengan lebih berkesan," katanya.

Terdahulu, Timbalan Perdana Menteri, yang juga ahli parlimen Pagoh, menyerahkan 98 ekor lembu sempena Hari Raya Aidiladha esok kepada enam zon di Parlimen Pagoh dan jabatan-jabatan kerajaan.

Aidiladha disambut sederhana di seluruh negara







Aidiladha hari ini disambut seluruh masyarakat Islam secara sederhana dan dalam keadaan berjaga-jaga bagi menghadapi kemungkinan banjir ekoran keadaan cuaca yang diramalkan tidak menentu di kebanyakan negeri.

Biarpun kedatangan Hari Raya Korban tetap diraikan, beberapa negeri di utara tanah air yang sebelum ini dilanda cuaca buruk tetap berwaspada berikutan hujan yang diramal turun di sebelah petang.

Bagaimanapun, cuaca baik di kebanyakan negeri pada sebelah pagi membolehkan umat Islam menunaikan solat sunat Hari Raya diikuti ibadah korban dengan menyembelih lembu dan kambing dalam keadaan selesa.



Dalam pada itu, seramai 28,000 jemaah haji Malaysia, termasuk Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor antara kira-kira 3 juta jemaah haji seluruh dunia yang sedang berkumpul di Arafah untuk berwukuf yang merupakan salah satu rukun dalam ibadah haji.

Perdana Menteri dan isteri yang berlepas ke Arab Saudi pada 31 Oktober lalu turut diiringi bonda Najib, Tun Rahah Mohamad Noah dan adik Najib, Datuk Mohamed Nazim.

Di Kuala Lumpur, kira-kira 10,000 orang ramai termasuk warga asing segak dengan pakaian berwarna warni bersama-sama memenuhi Masjid Negara bagi menunaikan solat sunat Aidiladha.

Cuaca yang redup memudahkan pergerakan orang ramai yang mula tiba seawal pukul 7 pagi bagi menunaikan solat itu yang diimamkan oleh Imam Masjid Negara Ustaz Ehsan Mohd Hosni sebelum beliau menyampaikan khutbah bertajuk 'Aidiladha: Mengerat Perpaduan Ummah'.

Umat Islam di ibu kota khususnya yang tidak berpeluang untuk meraikan Aidiladha bersama keluarga tetap mengambil kesempatan untuk meraikan hari raya dengan menyertai acara korban di masjid-masjid dan surau selain mengadakan rumah terbuka bagi mengeratkan lagi ukhuwah dan silaturahim antara kaum.

Di Terengganu, Setiausaha kerajaan negeri Datuk Mazlan Ngah bersama kira-kira 2,000 umat Islam menunaikan solat sunat Aidiladha di Masjid Al-Muktafi Billah Shah, Ladang, Kuala Terengganu.

Sambutan Hari Raya agak meriah kerana cuaca agak baik dan hujan yang berhenti sejak malam tadi memudahkan umat Islam melakukan ibadah korban.

Di Perlis, Aidiladha disambut secara sederhana dengan cuaca cerah membolehkan umat Islam menunaikan ibadah korban di segenap kampung dan taman perumahan dengan lebih sempurna selepas menunaikan solat sunat hari raya.

Ribuan ternakan terutama lembu dan kambing dikorbankan tahun ini termasuk 45 ekor lembu yang disumbangkan oleh kerajaan negeri dan 42 ekor yang disumbangkan oleh ahli parlimen Arau, Datuk Ismail Kasim.

Di Ipoh, Pemangku Raja, Raja Dr Nazrin Shah dan Raja Dihilir Perak Raja Jaafar Raja Muda Musa menunaikan solat sunat Aidiladha bersama-sama lebih 3,000 rakyat jelata di Masjid Sultan Azlan Shah.

Menteri Besar Perak Datuk Seri Zambry Abdul Kadir yang kini menunaikan fardu haji di Mekah dijangka pulang pada 10 Nov ini.

Kerajaan negeri turut mengerjakan ibadah korban iaitu 11 ekor lembu dengan dikelolakan oleh Yayasan Perak di kediaman rasmi Menteri Besar, esok.

Di Shah Alam, kira-kira 10,000 umat Islam menunaikan solat sunat Aidiladha bersama Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dan Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim di masjid negeri, Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah.

Selain masyarakat tempatan, Masjid Negeri di Shah Alam turut menjadi tumpuan para pelajar Islam dari luar negara terutamanya yang menuntut di Universiti Antarabangsa Al-Madinah dan juga pekerja-pekerja asing terutamanya warga Bangladesh dan India yang mencari rezeki di sini, untuk menunaikan solat sunat.

Upacara korban dimulakan pada pukul 10.15 pagi tadi dengan 34 ekor lembu dijadualkan disembelih dan dagingnya disedekahkan kepada fakir miskin.

Di Sandakan, Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman menunaikan solat sunat Aidiladha bersama-sama lebih 2,000 rakyat jelata di Masjid Taman Merpati.

Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin kini berada di Mekah bagi menunaikan fardu haji.

Umat Islam turut memenuhi Masjid Negeri di Sembulan dan Masjid Bandaraya Kota Kinabalu di Likas untuk menunaikan solat sunat Aidiladha.

Di Alor Setar, Sultan Kedah, Tuanku Abdul Halim Muadzam Shah menyertai ribuan umat Islam di bandaraya Alor Setar menunaikan solat sunat Aidiladha di Masjid Zahir.

Baginda berkenan bersalaman dengan para jemaah selepas selesai menunaikan solat yang diimamkan imam besar Masjid Zahir, Sheikh Roslan Abdul Halim Al-Hafiz yang turut membacakan khutbah.

Turut sama menunaikan solat di masjid itu ialah Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak, beberapa anggota exco kerajaan negeri dan pegawai-pegawia kanan kerajaan negeri.

Sementara itu, cuaca di bandaraya Alor Setar hari ini agak baik berbanding dua hari lalu di mana beberapa kawasan di Kedah dilanda ribut yang disertai hujan dan merosakkan beratus buah rumah.

Di Pulau Pinang, Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang Tun Abdul Rahman Abbas menunaikan solat sunat Aidiladha bersama kira-kira 2,000 umat Islam di Masjid Negeri Pulau Pinang.

Cuaca cerah pada sebelah pagi juga memberi peluang kepada penduduk setempat untuk mengeratkan silaturahim dengan menziarahi sanak saudara terdekat.

Di Johor Baharu, Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim menunaikan solat Aidiladha bersama-sama lebih kurang 2,000 rakyat jelata di Masjid Sultan Abu Bakar.

Turut menunaikan solat di masjid negeri itu ialah Menteri Besar Datuk Abdul Ghani Othman serta beberapa exco kerajaan negeri yang lain.

Di Kuala Pilah, Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Mukhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir menunaikan solat sunat Aidiladha di Masjid Diraja Tuanku Munawir, Seri Menanti.

Turut mengiringi baginda, Tunku Ampuan Besar Tuanku Aishah Rohani Tengku Besar Mahmud serta dua anakanda baginda Tunku Ali Redhauddin dan Tunku Zain Al'Abidin pada solat yang diimamkan imam masjid berkenaan Abdul Rahman Ibrahim.

Selesai solat, baginda berkenan menyaksikan penyembelihan 15 ekor lembu untuk ibadah korban di perkarangan masjid berkenaan, dan berkenan mengagih-agihkan daging korban kepada ibu tunggal dan warga emas.

Tunku Mukhriz bersama keluarganya juga sempat berangkat ke makam ayahanda baginda di makam diraja untuk bacaan tahlil dan doa yang dipimpin oleh Mufti Negeri Datuk Mohd. Yusof Ahmad.

Di Melaka, Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Ali Rustam menyertai kira-kira 7,000 muslimin dan muslimat menunaikan solat sunat Aidiladha di Masjid Al-Azim, Bukit Palah.

Turut sama ialah Speaker Dewan Undangan Negeri Melaka Datuk Othman Muhamad, anggota-anggota Exco dan pegawai kanan kerajaan.

Sebahagian jemaah kemudian menyertai majlis korban sebanyak 14 ekor lembu yang diadakan di kawasan meletak kenderaan di masjid itu selepas solat sunat.

- Bernama

PPSMI: Pemansuhan dasar setelah kajian terperinci


Sumber:
Utusan Borneo
6.11.2011

MENINJAU: Muhyiddin melihat lembu korban selepas menyerahkan lembu-lembu tersebut kepada wakil-wakil kawasan Parlimen Pagoh sempena ‘Korban Perdana 2011’ di Dataran Kompleks Sri Pekembar di Muar, semalam.  Gambar Bernama


MUAR: Timbalan Perdana Menteri menafikan kerajaan membuat keputusan sambil lewa berhubung pemansuhan dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI).
Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Menteri Pelajaran berkata, pemansuhan dasar itu dilaksanakan oleh kerajaan selepas melakukan kajian terperinci mengenai keberkesanan dasar itu.
“Semua anggota Parlimen termasuk daripada pembangkang menyokong apabila kita laksanakan dasar Memartabat Bahasa Malaysia Memperkukuh Bahasa Inggeris (MBMMBI) untuk mengganti PPSMI,” katanya selepas menghadiri majlis korban perdana di Dewan Sri Pekembar di sini, semalam.
Beliau berkata, hasil daripada kajian kementerian menunjukkan hanya di antara lima hingga tujuh peratus keseluruhan sekolah di bawah kementerian yang menggunakan bahasa Inggeris ketika melaksanakan PPSMI.
Majoriti daripada sekolah-sekolah yang lain, katanya, menggunakan dwibahasa atau bahasa Malaysia sepenuhnya di dalam PPSMI sejak dasar itu dilaksanakan pada 2003.
Mengenai saranan pemimpin pembangkang supaya kerajaan mengurangkan bilangan kakitangan awam, beliau meminta, banyak pihak supaya mencabar parti-parti pembangkang melaksanakannya di negeri-negeri yang diperintahnya terlebih dahulu.
“Jikalau pembangkang memerintah negara, kita tahulah bahawa mereka akan memberhentikan banyak kakitangan kerajaan,” katanya dan menambah, banyak pihak juga mencabar pembangkang supaya melaksanakan saranan itu di Pulau Pinang dan Selangor terlebih dahulu.
Penjawat awam yang sehingga ini berjumlah satu juta orang diperlukan bagi memastikan sistem penyampaian kerajaan berjalan dengan licin bagi kemajuan negara, katanya.
Muhyiddin berkata, kerajaan sememangnya mahu memantapkan perkhidmatan awam negara kerana sumbangan mereka penting dalam memastikan pertumbuhan ekonomi negara berjalan lancar.
“Sumbangan kakitangan awam terhadap negara adalah amat besar dan mereka yang berkhidmat dengan cemerlang perlu diberikan ganjaran yang setimpal,” katanya. — Bernama



SELAMAT MENYAMBUT HARI RAYA AIDILADHA





Awalan meN-

Munsyi Md Rasul bin Haron@Amatara Bahagian Matrikulasi 30 Jun 2022 Panduan Bahasa PROSES PENGIMBUHAN 2) Awalan meN- fungsi pengg...