ALOR SETAR: Harga barang keperluan harian terutamanya barang basah di negeri ini seperti ikan, cili merah dan sayuran naik mendadak ekoran banjir besar yang melanda Thailand.
Kebanyakan peniaga memberi alasan pemborong terpaksa menaikkan harga barang kerana Thailand adalah pengeksport utama barangan berkenaan ke negara ini.
Tinjauan Bernama di Pasar Besar Alor Setar mendapati harga cili merah dijual pada harga RM13 hingga RM15 sekilogram (kg) berbanding RM8 sebelum ini.
Seorang peniaga, Mohd Zakuan Nasir, 25, berkata, dia terpaksa menaikkan harga barangan walaupun menerima rungutan daripada pembeli.
“Kerana banjir di Thailand, harga cabai besar (cili merah) naik mendadak.
Kalau dulu untuk satu kg kami jual antara RM8 hingga RM10 tapi bila berlaku banjir, harga tu meningkat kepada RM15 sekg,” katanya ketika ditemui di Pasar Besar Alor Setar di sini semalam.
Seorang lagi peniaga, Abdul Salim Sheikh Mohamand, 52, pula berkata, peniaga juga terpaksa menaikkan harga ikan kerana bekalan ikan semakin berkurangan disebabkan ketiadaan bekalan ikan dari Thailand.
“Keadaan sekarang ini sedikit gawat kerana bekalan ikan kurang, sebab itu harga naik. Kalau ikan banyak, harga akan murah,” kata Abdul Salim.
Harga sayuran di pasar berkenaan bagi setiap sekg ialah sawi RM3.50 (sebelum RM2.50), tomato RM5 (sebelum RM4), limau nipis RM5 (sebelum RM3), kacang bendi RM3 (sebelum RM1.50) dan timun RM3.50 (sebelum RM2).
Bagi harga ikan sekg pula ialah bawal dijual pada harga RM6 (sebelum RM5), bawal hitam RM25 (sebelum RM22), jenahak RM30 (sebelum RM25), siakap RM25 (sebelum RM22) dan selayang RM8 (sebelum RM6).
Sementara itu, seorang pengguna yang ditemui di pasar berkenaan, Siti Salmah Bakar, 44, berkata, kenaikan harga barangan basah itu agak membebankan suri rumah sepertinya.
“Jika harga barang ini berterusan naik, susah jugak nak bajet belanja sebab semua barang mahal,” katanya.
Seorang peniaga gerai makan, Hafiz Hashim, 35, pula berkata, dia mungkin terpaksa menaikkan harga makanan jika harga bahan mentah terlalu tinggi dan sekaligus akan turut membebankan pelanggannya. — Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan