Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengarahkan Radio Televisyen Malaysia (RTM) menyediakan slot berkala yang kerap untuk memaklumkan kepada masyarakat tentang keadaan banjir yang melanda kawasan tertentu.
Katanya, beliau telah mengarahkan Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Rais Yatim yang bertanggungjawab terhadap RTM untuk berbuat demikian pada mesyuarat Kabinet semalam.
"Slot berkala yang regular itu akan memberitahu rakyat tentang perkara-perkara seperti sungai-sungai yang terlibat, paras airnya dan ramalan cuaca sama ada ia akan menyebabkan banjir atau tidak.
"Laporan terperinci berkala itu akan disediakan oleh media elektronik termasuk radio seperti breaking news”, mungkin satu jam sekali kerana keadaan banjir dalam tempoh sejam banyak berubah,” katanya kepada pemberita hari ini.
Muhyiddin, yang juga Menteri Pelajaran, berkata demikian selepas menghadiri majlis korban perdana dan pertemuan dengan badan-badan bukan kerajaan (NGO) Parlimen Pagoh di Dewan Sri Pekembar di Pagoh, di Muar hari ini.
Mengenai persiapan menghadapi banjir tahun ini yang dijangkakan lebih buruk, Muhyiddin, yang juga Pengerusi Jawatankuasa Banjir Negara, berkata persediaan telah pun bermula di peringkat kerajaan.
Beliau berkata mesyuarat Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk membincangkan bencana banjir dan dipengerusikannya akan diadakan pada 15 Nov depan.
"Ramalan Jabatan Meteorologi kadar hujan tahun ini meningkat 20 hingga 40 peratus... kita kena mengambil persiapan lebih terutamanya pusat pemindahan kerana jika banjir besar, jumlah mangsa juga bertambah," katanya.
Kata Muhyiddin, bekalan logistik seperti bot-bot penyelamat dan makanan juga perlu ditambah, berikutan jangkaan mangsa yang terlibat dengan banjir tahun ini adalah lebih ramai.
"Kita berharap dapat menangani masalah ini dengan lebih berkesan," katanya.
Terdahulu, Timbalan Perdana Menteri, yang juga ahli parlimen Pagoh, menyerahkan 98 ekor lembu sempena Hari Raya Aidiladha esok kepada enam zon di Parlimen Pagoh dan jabatan-jabatan kerajaan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan