Ahad, 28 Oktober 2018

Ayat Aktif dan Ayat Pasif serta Ayat Songsang

Ayat aktif terdiri daripada:

Frasa Nama + Frasa Nama

Frasa Nama  + Frasa Adjektif

Frasa Nama + Frasa Kerja

Frasa Nama + Frasa Sendi Nama

Ayat pasif pula  ialah ayat yang kata kerjanya mengandungi imbuhan kata kerja pasif di- dan ter-.

Ayat songsang pula apabila keempat-empat bentuk ayat aktif di atas diterbalikkan, iaitu Frasa Nama, Frasa Adjektif, Frasa Kerja dan Frasa Sendi Nama yang berperanan sebagai predikat atau keterangan ayat menjadi pemula ayat atau dikehadapankan sebelum objek.

Contoh:  
Ayat aktif:
Kucing itu mengejar tikus.

Ayat pasif: 
Tikus itu dikejar kucing.

Ayat pasif songsang:
Dikejar kucing tikus itu                       

Contoh:
Ayat aktif:
Adik saya comel. 

Ayat pasif :
(Ayat ini tidak boleh menjadi ayat pasif kerana ayat pasif hanya bagi ayat yang mengandungi kata kerja.)

Ayat songsang: Comel adik saya.

Sabtu, 27 Oktober 2018

Berteleku Di Tiang Mimbar


Oleh

AMATARA
Sinar Harian- Sastera (27.10.2018)

Idrus berteleku di tiang mimbar sambil mengesat peluh di dahi. Sesekali, matanya merayap di segenap pelosok Masjid Pajak Song. Masjid yang telah lama dibina dengan menggunakan kayu meranti itu berdiri dengan megahnya di dada kampung itu.  Idrus merenung jauh sambil melunjurkan kakinya. Fikirannya berterbangan di segenap pelusuk masjid itu. Dia tidak menghiraukan kerenah orang yang lalu-lalang di sekitarnya. Kepenatan mengumpulkan sejadah dan menutup tingkap membuatkan Idrus berasa amat penat. Jika dia masih muda, tentu tidak sepenat sekarang. Umurnya yang mencecah lebih separuh abad seakan mendesak dirinya untuk berehat selama mungkin. Idrus tidak pernah menggangap kerja-kerja di masjid sebagai bebanan, malah Idrus melakukannya dengan kehendak diri sendiri. Siapa tidak kenal Idrus siak Masjid Pajak Song ? Menyebut namanya sahaja, semua orang kenal.  Hati Idrus seumpama besi waja. Terlalu keras seperti kerasnya tiang mimbar Masjid Pajak Song. Hanya Idrus sahaja yang masih setia mengutip tahi-tahi cicak di atas tikar mengkuang yang dianyam dengan pelbagai warna di masjid itu.

              Bukan tidak ada orang lain di masjid itu, tetapi hanya Idrus sahaja yang masih sanggup mengayuh basikal tua ke masjid. Jika tiada apa yang hendak dibuat di kebunnya, dia lebih senang bersendirian di masjid itu. Itulah rutin hidupnya. Kadang-kadang, dia terlupa bantal di rumahnya. Segala kudratnya dicurahkan sepenuhnya kepada masjid itu. Umpama seorang suami yang setia menanti isterinya begitulah hati Idrus tidak mahu berenggang jauh dari masjid yang kini menjadi keutamaan hidupnya.

Dari hujung matanya dia menghitung satu-persatu penghuni masjid itu yang kebanyakannya telah direnggut dengan usia yang lanjut. Idrus berasa sebak memikirkan generasi muda yang semakin meminggirkan rumah ibadat itu. Semakin hari semakin berkurangan jemaah yang bersolat di masjid itu. Kepala Idrus ligat memikirkan cara untuk menarik perhatian generasi muda datang ke Masjid Pajak Song.

“Sudahlah siak, buat apa lagi ditunggu masjid yang semakin tua ini?” suatu hari Idrus disergah oleh Hamid yang tiba-tiba sahaja datang tanpa dijemput ke masjid itu. Idrus hanya mendiamkan diri sahaja tanpa menunjukkan apa-apa protes. Hamid yang melihat keadaan Idrus semakin berani melemparkan kata-kata terhadap Idrus. Masjid baharu yang menelan perbelanjaan 400 ribu ringgit itu seolah-olah sedang melambaikan tangannya kepada Idrus. Idrus masih lagi berdiam diri. Baginya lebih baik berdiam diri walaupun dia tahu diam tidak bermakna bersetuju dengan pendapat Hamid. “Siak, kalau masjid yang ada ini pun kurang jemaahnya, apa tah lagi pada masa akan datang tidak akan ada sesiapa yang akan datang ke masjid ini lagi. Lebih baik dirobohkan sahaja masjid ini. Masa tu Siak akan faham kata-kata saya ini.” Kata Hamid sambil melangkah pergi. Idrus tercengang dengan kata-kata Hamid. Baginya ada kebenaran daripada luahan perasaan Hamid. Idrus melihat di sekeliling masjid. Merobohkan masjid itu seumpama membunuh dirinya. Sebab itulah Idrus membantah keras untuk merobohkan masjid tersebut.

    Bunyi deruman enjin kereta Iswara hitam Cikgu Deraman membuatkan Idrus tersentak daripada keletihannya. Idrus tercengang-cengang. Cikgu Deraman keluar daripada perut Iswara merahnya dengan seribu pertanyaan. Dia melangkahkan kaki menuju ke arah Idrus yang berteleku di tiang mimbar masjid tersebut. “Siak, mengapa tidak balik lagi? Tadi saya ke rumah mencari Siak, tetapi tidak ada.  Mengapa siak nampak suram?” Cikgu Deraman menghujani Idrus dengan pertanyaan yang bertubi-tubi. Idrus memandang muka Cikgu Deraman sambil tersenyum. “Aku tengah memikirkan tentang masjid ini. Masjid ini mahu dirobohkan dan …”. Tiba-tiba matanya terjojol melihat lori berkepala merah memuntahkan batu-bata di halaman masjid itu. Percakapan Idrus terbantut. Dia dan Cikgu Deraman berlari ke anjung masjid untuk meninjau bunyi yang kuat itu.  “Nanti dulu.”jerit Idrus dengan sekuat hati. Bunyi ketulan batu-bata itu lebih kuat daripada jeritan Idrus. Bunyinya seperti sebuah bukit yang sedang runtuh. Idrus hanya melihat dan tidak berdaya untuk menahan.

    Masjid yang berusia 80 tahun itu mesti dikekalkan. Strukturnya masih teguh. Kayu-kayu alangnya tidak pernah dijamah anai-anai. Tiang-tiang sebesar pemeluk di masjid tua itu masih mampu menampung alang dan bumbung. Ruang masjid mampu menampung jemaah sehingga 300 jemaah. Inilah yang menghairankan Idrus, mengapa harus dilenyapkan dari muka bumi ini . Bukan Idrus tidak suka dengan pembangunan. Kalau mereka hendak bina masjid lima tingkat pun, dia tidak marah. Dia tidak akan halang. Baginya perigi lama di tepi masjid  mesti dikekalkan. Air dalam perigi tersebut tidak pernah kering walaupun musim kemarau. Airnya sejuk. Di situ juga, para jemaah mengambil wuduk. Bukan tidak ada air paip, malah pihak jawatankuasa masjid sudah membina kolah untuk kemudahan semua. Bukan itu sahaja, kalau boleh mimbar kayu jati dikekalkan seperti adanya.

Cikgu Deraman dengan pantas memegang bahu Idrus menghalangnya daripada turun dan mensesah pemandu lori yang tidak berdosa itu. Langkah  Idrus terhenti dan dia kembali memegang tiang mimbar masjid itu. Dari arah kanannya, dia terdengar suara sumbang sedang menyatakan sesuatu tentang dirinya.

    “Dahlah siak, kalau siak tidak suka dengan masjid baharu tu, Siak duduk diam saja di rumah. Satu sen pun pihak jawatankuasa masjid tak minta.” Kata Seman, Ketua Biro Tabung Pembangunan Masjid Pajak Song. Idrus hanya mendiamkan diri sahaja mendengar kata-kata Seman. Itu bukan kali pertama Seman mengeluarkan kata-kata sedemikian rupa.

    Idrus sedar, esok merupakan hari yang paling bersejarah dalam hidupnya. Masjid lama akan hanya tinggal tapak.  Idrus akan terus merindui suara-suara azan dari menara masjid. Idrus tidak akan melupakan lontaran suara khatib yang berkhutbah di mimbar. Idrus tidak akan lagi dapat merasa dinginnya air perigi di tepi masjid. Mengenangkan semua itu, air mata  Idrus mengalir umpama mutiara terlerai daripada talinya.

    Cikgu Deraman yakin mesti ada sebab-sebab lain yang menyebabkan Idrus begitu mempertahankan masjid lama tersebut. Begitu juga dengan Penghulu Din, selaku ketua kampung dia bukan sahaja  mengenali Idrus, malah mengetahui siapa itu Idrus. Bukan dia tidak pernah bertanya itu dan ini kepada Idrus. Soalan-soalan mengenai Idrus hanya dijawab dengan senyuman. Idrus tidak sombong. Idrus tidak suka ditanya soal-soal peribadi. Baginya soal peribadi hanya dimiliki oleh diri sendiri tanpa dapat dikongsi oleh orang lain. Dia bukannya pemimpin besar negara yang dicatat kisah hidupnya.

   

    Menjelang dinihari, Cikgu Deraman  masih lagi duduk berbual-bual dengan  Idrus.Tanpa disedari,kisah mengenai masjid tua itu muncul semula. “Mengapa  siak tidak mahukan masjid baharu?” Cikgu Deraman ditebak kehairanan. Tiada jawapan yang keluar daripada mulut Idrus hanya yang kedengaran tatkala  itu turun naik nafas Idrus seperti menahan sebak di dada. “Sebenarnya, ketika Malayan Union hendak ditubuhkan di masjid inilah tempat orang-orang kampung berkumpul dan menyatakan bantahan. Masjid ini merakamkan detik-detik sejarah kerana pada masa itu, penduduk kampung mulai disimbah dengan semangat perjuangan menuntut kemerdekaan. Jika masjid ini tiada, maka semangat perjuangan untuk menuntut kemerdekaan akan luntur. Semangat aku seolah-olah berada di dalam perut masjid ini”. Idrus meluahkan segala yang terbuku di hatinya. Biar Cikgu Deraman tahu. Biarkan. Idrus terasa seperti batu yang menghempap kepalanya telah dibuang jauh-jauh. Terasa dirinya ringan seperti gumpalan kekabu yang berterbangan di udara.

Tercengang Cikgu Deraman mendengar kata-kata daripada mulut Idrus. “Beginilah, yang penting sekarang siak, semangat nasionalisme kita tetap utuh, janji semangat kita tak pernah luntur. Semangat itu ada di sini”.

Idrus membiarkan batu-bata diluahkan daripada perut lori bermata merah seiring warna matanya. Idrus turut menganggukkan kepala tanda setuju masjid baharu ditegakkan di Pajak Song.

                               

Sabtu, 20 Oktober 2018

Pada dan Kepada

Menurut Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga, perkataan “kepada” dan “pada” tergolong dalam kata sendi nama.

Perkataan “kepada” terletak di hadapan kata nama atau frasa nama untuk menyatakan sasaran yang merujuk (i)  manusia, (ii) haiwan, (iii) unsur mujarad, (iv) menyatakan pecahan dan (v) menyatakan perubahan keadaan.

Contoh ayat:

i. Sila kembalikan borang itu kepada pejabat ini.

ii.Sisa makanan itu diberikan kepada kucing.

iii.Pastikan  anak-anak anda tidak terdedah kepada bahaya dadah.

iv. Peserta bengkel dibahagikan kepada dua kumpulan.

v. Suhu badannya meningkat kepada 39oC.

Perkataan “pada” pula digunakan di hadapan kata nama atau frasa nama untuk menunjukkan keterangan waktu dan tempat. Contohnya:

i.  Bas kami bertolak pada pukul tujuh pagi.

ii. Layang-layang itu tersangkut pada tiang telefon.

Perkataan “berdasarkan” dan “berasaskan” tidak perlu diikuti dengan “kepada” atau “pada”. Perkataan “berasaskan” dan “berdasarkan” merupakan kata kerja tak transitif yang memerlukan pelengkap (kata nama). Sebagai contoh; berdasarkan soalan, berasaskan pemikiran.

Merujuk ialah kata kerja transitif yang perlu diikuti objek daripada frasa nama, iaitu perkara.  Contohnya merujuk perkara. Walau bagaimanapun frasa "merujuk kepada perkara"  telah mantap penggunaannya dalam kalangan masyarakat dan diterima.

Ahad, 14 Oktober 2018

Bawang dan Membawang

Sumber: Klik Web DBP
Oleh WAN NORASIKIN WAN ISMAIL dan NURUL NAJIHAH JAMAL

SEJAK akhir-akhir ini perkataan membawang menjadi begitu popular dalam kalangan masyarakat di Malaysia. Perkataan ini bukan sahaja diperkatakan oleh golongan remaja, malah turut menjadi bahasa basahan dalam kalangan orang dewasa dan kanak-kanak. Perkataan membawang bagaikan cendawan tumbuh selepas hujan dalam media sosial, seperti Twitter, Whatsapp, Facebook dan Instragram. Media cetak, seperti akhbar juga memaparkan tajuk berita yang menggemparkan yang turut menggunakan perkataan membawang sebagai tajuk utama bagi menarik perhatian pembaca untuk membaca berita dan artikel yang disiarkan. Media massa seperti TV dan Youtube juga tidak ketinggalan memaparkan iklan yang menggambarkan situasi membawang.

Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, bawang ialah sejenis tumbuhan (bebawang) yang umbinya dimakan. Bawang terdiri daripada beberapa jenis, seperti bawang benggala, bawang bombai, bawang cina, bawang merah sejenis bawang yang berwarna merah keungu-unguan, bawang kecil, bawang putih bawang kecil yang berwarna putih dan kuat

Memetik artikel yang ditulis oleh Masril Mat Rosdi yang bertajuk Lima Jenis Makanan Yang Dikaitkan Dengan Sifat Manusia beliau mendefinisikan perkataan membawang sebagai bercakap dengan mengisahkan khabar-khabar atau hal-hal yang buruk mendefinisikan perkataan membawang sebagai bercakap dengan mengisahkan khabar atau hal yang buruk atau umpatan tentang orang lain di belakang; bergosip; berbicara atau berdesas-desus tentang seseorang; mengumpat. Menurutnya, walaupun kelihatan seperti ‘berita terkini’, semua perbuatan itu sebenarnya umpatan. Namun begitu, bagi sesetengah orang, sebarang aktiviti tidak akan bermakna tanpa membawang, istilah yang dipopularkan oleh netizen bagi perbuatan mengumpat. Membawang bukan bererti memfitnah perkara yang tidak benar, sebaliknya sama dengan definisi ghibah atau mengumpat yang dilarang dalam Islam, iaitu terhadap perkara yang tidak disenangi walaupun benar, seperti ketinggian atau berat badan seseorang.

Menurut Iqa Norhizan dalam artikelnya yang bertajuk “Fenomena ‘Mak Cik Bawang’”, kegiatan membawang ini semakin menjadi-jadi pada akhir tahun 2017. Katanya, sejarah mak cik bawang merujuk golongan wanita yang datang untuk bergotong-royong membantu sesuatu majlis kenduri. Sambil duduk memotong bawang, mereka gemar bercerita serta mengumpat antara satu sama lain. Pelbagai cerita akan keluar ketika mengopek bawang, bermula daripada cerita peribadi, jiran tetangga sehinggalah cerita artis dalam dan luar negara. Mereka mengupas dan mengulas isu ke isu. Jika suatu masa dahulu kegiatan membawang terhad kepada aktiviti tertentu, kini aktiviti membawang ini mula tular dalam media sosial dan masyarakat lebih suka membawang di internet kerana mempunyai pengikut yang banyak.

Fenomena peluasan makna kata ‘membawang’ terhasil daripada kekreatifan pengguna dalam penggunaan sesuatu kata. Melalui ayat contoh di bawah, kita boleh melihat makna membawang berdasarkan penggunaan semasa berdasarkan contoh ayat yang diambil daripada akhbar tempatan dan internet. Melalui beberapa contoh ayat yang diteliti, makna membawang dapat difahami dengan lebih jelas konteks penggunaannya dalam masyarakat.

Antara contoh ayat yang berkaitan perkataan membawang termasuklah yang berikut:

1. Netizen membawang isu rantai emas RM6.4 juta serta jam Rolex 3.5 juta.

2. Cepat sangat membawang “Tarif Elektrik Naik”.

3. Saya dan seluruh keluarga amat rapat dan kalau bertemu, pasti ada saja membawang sesama sendiri.

4. Hari ni kita masak sambil membawang.

5. Netizen zaman sekarang memilih untuk membawang di internet.

6. Ibu rakan terbaik untuk membawang.

7. Kalau lelaki start membawang, kalah perempuan.

Berdasarkan contoh ayat 1 hingga ayat 7, perkataan membawang merujuk aktiviti perbualan, berborak, bersembang dan lain-lain tentang sesuatu isu. Isu yang dibualkan merupakan isu hangat yang didebatkan dalam kalangan masyarakat.

Ayat contoh berikut pula menunjukkan aktiviti membawang sebagai sesuatu yang negatif, seperti menjurus kepada perbuatan menceritakan perihal orang lain.

1. Jenab dengan Joyah tak ada kerja lain ke? Asyik membawang fasal orang sesaje demetuhh.

2. Guru-guru suka membawang fasal anak murid di bilik guru.

3. Mencari bahan untuk membawang bersama rakan sekerja tentang artis popular?

4. Jomlah kita membawang sekejap. Ada cerita panas ni.

5. Apabila berjumpa, tak sah kalau tak membawang fasal orang lain.

Ayat contoh berikut pula merupakan larangan kepada aktiviti membawang.

1. Janganlah jadikan majlis Aidilfitri tersebut sebagai acara membawang sehingga matlamat penganjurannya terpesong.

2. Allah tak suka kita banyak gosip membawang fasal orang lain.

3. Budaya kecam-mengecam dan membawang ini haruslah dihentikan.

Sebagai hasil penelitian, perkataan membawang membawa maksud yang hampir sama dengan perkataan bersembang, berborak, berbual, bergebang, mengata, mengumpat, gosip, mencela, berbual, mencela, mengkritik, mengecam dan membidas. Makna bagi kesemua kata yang hampir sama dengan membawang ini, menurut Kamus Dewan Edisi Keempat diturunkan seperti di bawah:

Perkataan dan Makna perkataan
mengata bercakap buruk tentang seseorang mengumpat menceritakan hal yang buruk-buruk atau mencela orang lain (di belakang); mengata-ngata; gosip cakap-cakap yang mengisahkan khabar-khabar atau hal-hal yang buruk atau umpatan tentang orang lain; bergosip berbicara atau berdesas-desus tentang keburukan (kejelikan) seseorang, mengumpat: menggosipkan memperkatakan atau memperbualkan (sesuatu) sebagai gosip.berbual bercakap-cakap dengan tidak tentu perkaranya; berborak bersembang berbual, berborak, bercakap-cakap:berborak berbual-bual kosong, bergebang: bergebang bercakap-cakap mengenai sesuatu perkara; berbual, bersembang mencela menyatakan kekurangan atau cela sesuatu; mengecam; mengkritik: mengkritik memperkatakan (mengulas dan sebagainya) keburukan atau kelemahan sesuatu atau seseorang; mengkritik hebat (keras, pedas) mengecam, membidas, mencela:mengecam menegur keburukan orang dan lain-lain; mencela; membidas; membidas mengecam.

Hasil penelitian terhadap perkataan yang berkolokasi dengan perkataan membawang, jelas menunjukkan bahawa perkataan yang hadir di sekeliling perkataan membawang membawa makna yang hampir sama. Perkataan membawang bukan hanya membawa makna seperti di atas, malah bersinonim dengan bahasa kiasan seperti membawa mulut, suka menjaga tepi kain orang, dan mesyuarat tingkap. Ternyata bahawa perkataan membawang dikaitkan dengan sesuatu budaya yang negatif.

Dalam hal ini, Mohd. Haikal Isa, seorang wartawan hiburan akhbar Kosmo dalam artikelnya Nora Danish Hadam Kritikan menyatakan aktiviti membawang yang membawa unsur negatif ini seharusnya dibendung. Menurutnya lagi, sesungguhnya trend ‘penyakit’ sebegini harus ditinggalkan jauh di belakang kerana bukan sahaja memberikan cerminan yang tidak baik kepada masyarakat setempat, malah mampu memporak-perandakan keharmonian sejagat. Sesungguhnya masyarakat Melayu bijak memilih kata melalui kepintaran dan kefahaman dalam masyarakat berdasarkan pengamatan yang tajam terhadap alam sekitarnya.

Sabtu, 13 Oktober 2018

Berikan Aku Sekeping Lempeng

AMATARA
S2/ Sastera
Utusan Malaysia
13 Oktober 2018

Kalau ikutkan hati mahu sahaja aku memaki hamun anak Haji Aqil. Masakan tidak, setiap hari disuruhnya aku membuat kerja yang aku tidak suka. Meluat, sakit hati dan kadang-kadang timbul pula perasaan menyampah yang amat mendalam apabila melihat wajah anak Haji Aqil, orang kaya. Mentang-mentanglah dia anak orang kaya, aku yang miskin ini disuruhnya yang bukan-bukan. Setiap kali waktu rehat, akulah yang ditudingnya dengan jari menyuruh aku memungut sampah di hujung padang sekolah. Seolah-olah dia berlagak seperti Hitler yang bermisai kontot. Bagiku, lidah yang panjangnya tiga inci boleh membunuh manusia yang tingginya enam kaki.

Kadang-kadang terdetik di hati aku mengapa ada perbezaan antara dia dengan kawan-kawan lain yang disanjung oleh Adidah, anak Haji Aqil. Pernah beberapa kali aku mengajukan pertanyaan namun jawapan yang pasti aku temui, Adidah hanya mencebikkan muka. Pernah juga aku bertanya kepada kawan-kawannya yang lain, tetapi tidak ada jawapan yang terkeluar daripada mulut mereka, malah hanya ketawa yang aku dengar. Pelik sungguh, aku juga belajar dalam kelas yang sama dengan Aida. Kelas 6 A yang menjadi idaman setiap murid di Sekolah Rendah Kebangsaan Sungai Acheh.

Dalam kerendahan hati ada ketinggian budi. Dalam kemiskinan harta ada kekayaan jiwa. Dalam kesempitan hidup ada kekuasaan ilmu. Prinsip ini yang aku pegang dan terkurung lama dalam sanubari.

Aku sedar siapa diri aku. Murid perempuan tidak pernah memandang diri aku. Mereka geli melihat mukanya yang bertompok kurap. Hanya kerana kurap, mereka anggap aku seperti kucing kurap. Sampai hati. Aku juga punya perasaan. Walau apa pun aku bersyukur kerana dikurniakan kepandaian seperti Adidah. Itu tidak aku nafikan. “Nantilah bila tiba masanya, semua orang akan terpegun melihat ketampanan aku. Mungkin pada masa itu, semua gadis menelan air liur melihat aku.”Hati aku seakan menyabarkan diriku. Aku tidak pernah menyesal dilahirkan dalam keluarga miskin. Ibuku sentiasa berpesan agar bersyukur dengan segala nikmat yang diberi oleh Tuhan. Aku tidak pernah membebel apabila terpaksa berjalan kaki ke sekolah. Kalau terserempak dengan Ah Ping, pastinya dia akan tumpangkan aku ke sekolah dan aku juga tidak pernah jemu makan lempeng sebagai pengganti ongkos.

Inilah yang membezakan aku dengan kawan-kawan lain. Mereka beranggapan kalau aku mendekati mereka seperti aku mahu merasa makanan yang mereka makan. Aku lempeng, mereka pizza. Itu aku tahu betul. “Hoi, apa terhegeh-hegeh tu. Kutip cepat,”sergah Adidah seperti harimau betina yang kehilangan anak. Aku yang sedang termanggu-manggu, terus tersedar dari lamunan. Rupa-rupanya aku sudah jauh mengelamun gara-gara bertanyakan mengapa dan kenapa.

Minggu depan, peperiksaan akhir tahun akan diadakan. Oleh itu, semua murid mesti mengulang kaji pelajaran agar mendapat keputusan cemerlang. Saya mahu lihat ada di antara kamu yang berjaya mendapat keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan itu nanti.”Kata Cikgu Ramli seperti memberi semangat. Aku hanya mengangguk-anggukkan kepala dan dalam diriku tersimpan satu tekad untuk mencapai kejayaan cemerlang dalam peperiksaan nanti. Hanya dengan cara itu sajalah, aku dapat melebarkan senyum kedua-dua ibu-bapaku. Aku menggenggam buku latihan Matematik seperti menggenggam satu azam yang membara.

Malam itu, aku tidak dapat melelapkan mata. Kata-kata Cikgu Ramli seakan-akan terngiang-ngiang di telingaku. Di bawah cahaya lampu ayan, Aku meniarap menelaah buku-buku pelajaran. Kali ini, biar mereka tahu ‘lempeng lebih baik daripada ‘pizza’. Biar mata mereka terjojol melihat nama aku terpampang di papan kenyataan sekolah. Biar mereka tahu, ini lempeng bukan sebarang lempeng. “Aku mesti berusaha. Aku mesti boleh.”Suara hatiku seakan memberi semangat. Minggu berikutnya, Aku tempuhi hari-hari peperiksaan setenang wajah bapaku. Aku menjawab soalan peperiksaan dengan berhati-hati dan bersungguh-sungguh. Aku kira inilah saat perjuangannya yang menentukan sama ada aku mampu menempatkan diri di sekolah berasrama penuh Menang atau kalah terserah pada Tuhan. Suara-suara ‘pizza’ seakan tidak lagi aku dengar. Aku nekad untuk berjaya.

Hari-hari yang aku lalui seakan-akan mencengkam jiwanya. Dua bulan kemudian, aku dikejutkan dengan keputusan peperiksaan akhir tahun yang cemerlang. “Tahniah atas kejayaan kamu mendapat keputusan cemerlang. Kata Cikgu Mazlan yang menjadi Guru Besar di sekolah itu. Aku hanya mampu tersenyum, jauh di sudut hatiku menjerit kegembiraan. Seisi keluarganya turut tersenyum, lebih-lebih lagi bapaku.

Aku kira segala penat-lelah aku seperti berbalas. “Hanya awak sahaja yang berjaya mendapat keputusan cemerlang, tahniah dan awak juga mendapat tempat di Sekolah Berasrama Penuh. Tentang bayaran yuran, usahlah dirisaukan, pihak sekolah akan membantu awak.” Kata Cikgu Mazlan yang akan pencen dua bulan lagi. Cikgu Mazlan menepuk-nepuk bahu aku. Kawan-kawan aku hanya menundukkan kepala tanda malu, malah buat pertama kalinya, Adidah melihat aku dengan senyuman yang amat manis. Aku merasakan seperti gugurnya segala kurap di mukanya. Kali ini, lempeng dihargai.

Itu cerita dulu. Cerita dua dasawarsa yang lalu. Semua itu mengingatkan aku kepada Adidah dan kawan-kawannya. Semasa aku menuruni anak tangga Sekolah Rendah Kebangsaan Sungai Acheh untuk membuat pengesahan sijil, aku terlihat namaku terpahat di sudut papan kenyataan sekolah. Nama aku disenaraikan bersama nama-nama lain sebagai pelajar cemerlang dan contoh murid-murid yang berjaya.

Itulah kali pertama aku datang ke sekolah yang pernah menjadi saksi dalam hidup aku selepas melanjutkan pelajaran ke Sekolah Berasrama Penuh. Aku bukan lupa dengan tempat ini. Aku tidak akan lupa dengan kepetahan Adidah dan rakan-rakan yang lain. Malah, ketawa dan senyuman mereka masih terpahat dalam ingatanku. Bukan aku dendam. Ia merupakan pendorong aku. Menyuntik semangatku. Menyedarkan siapa diriku. Kepulangan aku hari ini bukan sahaja untuk membuka lipatan kenangan di alam persekolahan tetapi dijemput oleh pihak sekolah sebagai bekas murid sekolah ini yang berjaya dalam kerjaya. Aku galak berkongsi cerita dengan murid-murid yang tidak pernah memakan lempeng. Semasa aku menikmati minum pagi di kantin sekolah, lempeng kegemaranku turut dihidangkan oleh pihak sekolah. “Berikan aku lempeng,” getus hati kecilku. Terima kasih Adidah dan rakan-rakan lain yang telah meletakkan aku di tempat sekarang sebagai pengemudi sebuah syarikat hartanah.

Isnin, 8 Oktober 2018

CORETAN ADILA RAYA (RADIO KLASIK) IDARASUL


CORETAN ADILA RAYA 2018 OLEH: FARIDAH BINTI MOHAMAD SAAD
NAMA PENA: IDARASUL
JABATAN PENGAJIAN MELAYU IPG KAMPUS PENDIDIKAN TEKNIK KOMPLEKS PENDIDIKAN NILAI 71760 BANDAR ENSTEK NEGERI SEMBILAN

SEWAJARNYA saat-saat begini diisi dengan senda gurau dan gelak ketawa. Paling tidak saling bertukar cerita bagi mengusir rindu yang lama bertamu. Tetapi segala kata-kata bagaikan tersangkut di rengkung. Dan air mata pula terasa makin sukar untuk dikepung. Aku memandang lama mak yang sedang tekun menjahit baju melayu abah. Di sisi kirinya sehelai baju melayu berwarna biru sedondon dengan baju melayu abah. Barangkali baju melayu itu kepunyaan adikku, Budin. Lama aku memerhatikan ketekunan mak. Menjahit itu kesukaan mak. Mak akan gembira apabila baju yang dijahitnya itu dipakai oleh anak-anaknya. Barangkali baju yang dijahit mak sudah dicampur dengan adunan kasih sayang dari air tangan mak. Justeru, baju melayu itu nampak cantik dan selesa pula dipakai. “Kakak, suruh Teh buat tempeyek lebih sikit untuk adik kau Budin. Budin suka makan tempeyek. Kalau boleh isikan dalam balang yang mak dah keringkan di atas meja tu,” suara mak tiba-tiba sahaja merayap masuk ke gegendang telingaku. Aku tersentak apabila mendengar arahan daripada mak. Namun, air mataku tiba-tiba sahaja terkepung di dalam kelopak mataku. “Kakak, cantik tak baju melayu yang mak jahit ni? Baju melayu warna biru kesukaan adik kau Budin.” Ujar mak dengan mata yang bersinar. Aku hanya kaku dan membungkam sepi. Jantungku berdegup kencang. Kalau boleh aku mahu menjerit memberitahu situasi sebenar kepada mak. Namun, aku tidak mampu. Aku masih lagi diam dan bibirku terkunci rapat apabila mendengar nama adikku Budin. “Kakak, sudah lama Budin tak balik jenguk kita. Sekarang sudah 25 Ramadan, esok lusa sudah malam tujuh likur. Mana Ngah dan anak-anak Budin? Kata hendak raya dengan mak tahun ini?” soal mak membuatkan hatiku terasa sebak. “Mak...” panggilku sayu. Coretan Satu Mak menoleh ke arahku lalu memandang tepat ke dalam anak mataku. Dari cermin mata mak itu, mak hanya merenung wajahku tanpa senyuman. Barangkali ada kesedihan yang sedang bertandang di hati mak. “Mak, sudahlah...Kakak tahu...” aku menggantung kata-kata itu tanpa penghujungnya. “Tahu apa?” balas mak cepat. Aku terdiam seperti patung cendana. Seluruh air mataku kembali bergenang di kelopak mata. Waktu itu hanya yang terpampang di depan mata wajah adikku Budin. Budin adalah satu-satunya anak lelaki mak. Malah Budin diibaratkan sebagai jantung dan hati mak. Aku dan enam orang lagi adik-beradikku kesemuanya perempuan. Justeru, aku tahu sebagai anak lelaki tunggal dalam keluargaku, Budin adalah anak kesayangan mak. Aku masih ingat, sewaktu sambutan hari raya dua tahun lepas Budin, Ngah dan anak-anaknya tidak pulang menyambut hari raya bersama-sama mak dan abah. Mak menunggu Budin sejak malam raya sehinggalah ke pagi. Mak tidak tidur. Mak hanya duduk termenung di muka jendela menanti dan terus menanti. Waktu itu, aku yang sedang menganyam kelongsong ketupat memerhatikan keadaan mak dengan penuh simpati. “Mak, sekejap lagi sampailah Budin. Mak jangan susah hati ya,” ujarku sambil duduk di sisi mak. Senyuman semakin terukir apabila mendengar kata-kataku itu. Barangkali kerisauan mak sedikit terubat dengan kata-kataku itu. Beberapa jam berlalu, namun bayang Budin langsung tidak kelihatan. Mak kembali termenung. Mak merenung aku dan pintu pagar hadapan silih berganti. “Mana Budin? Sudah larut malam ni. Agaknya adik kau marahkan mak sebab mak marahkan dia hari tu. Mak marah bukan mak benci. Mak marah sebab mak sayangkan dia. Ibu mana yang tak sayangkan anak?” suara mak terketar-ketar bercampur sendu. Kata-kata mak itu terlalu meruntun hatiku. Benar mak marahkan Budin. Budin selalu berahsia dengan mak. Budin tidak mahu mendengar kata mak. Kali terakhir Budin balik berjumpa dengan mak sebelum menjelangnya hari raya. Budin bawa hamper raya dan beri mak duit raya. Budin beli bermacam-macam barangan untuk menyambut hari raya. Aku melihat keadaan Budin waktu itu. Tubuhnya semakin berisi dan perut semakin membusung. Aku mulai curiga dan keliru lantas bertanyakan hal yang sebenar kepada Budin. “Budin, kakak nampak Budin macam tak sihat? Kalau tak sihat cakaplah tak payah sorok-sorok. Kalau ada masalah, Budin beritahu dengan kakak.” Budin hanya tersenyum. Senyuman yang terukir itu seperti memberitahu bahawa dia tidak punya jawapan daripada persoalanku itu. Akhirnya, kami berpisah apabila usai berbuka puasa. Itu sahaja. “Kakak, hari ini kita nak masak apa? Kalau masak lontong tentu sedap bila berbuka nanti. Budin suka makan lontong.” Kata mak sambil terus tekun menjahit baju. “Ada Budin telefon kakak?” tiba-tiba mak bertanya soalan yang menyebabkan aku tersentak dari lamunan yang panjang. “Mak...” aku memanggil mak dengan sayu. Mak menoleh ke arahku. Kemudian, mata mak singgah di mataku. Mak tidak lagi seperti dahulu. Kedut di wajah mak menggambarkan betapa mak sudah semakin dimamah usia. Di bawah mata mak ada kolam-kolam kepayahan yang pernah diharungi oleh mak suatu masa dahulu. Aku melihat mak semakin berkecamuk jiwanya. Dan serta-merta bertapak di hatiku simpati dan kesedihan terhadap diri mak. “Mak...sebenarnya...” aku masih lagi menggantung kata-kata yang tidak berpenghujung. “Sebenarnya apa? Mak bela kamu, Budin dan adik-adik yang lainnya sejak kecil. Mak tak pernah membeza-bezakan anak-anak mak. Kalau Budin dapat baju baharu, kamu semua juga dapat. Kalau Budin dapat kasut baharu, kamu semua juga dapat kasut baharu. Jadi apa yang tidak kena sekarang ini? Kalau kakak marah sebab mak jahitkan baju Budin dan abah, mak tak kisah. Kamu semua sudah ada baju baharu untuk raya tahun ini. Hanya Budin sahaja yang belum ada!” jawab mak menyebabkan situasi semakin tegang. Aku semakin gelisah. Jiwaku seolah-olah disuntik dengan perasaan sedih. Aku mencongak-congak sendiri. Haruskan aku membiarkan mak larut dengan perasaan sendiri? Haruskah aku membiarkan mak alpa dalam kenangannya? Ah, terlalu sukar untuk aku menerangkan segala-galanya. Namun, aku harus memberitahu kebenarannya. Bukankah kebenaran itu adalah musuh kebatilan? “Mak...Budin sudah setahun meninggalkan kita. Budin sudah tak ada mak. Budin meninggal disebabkan kanser hati, mak.” Tanpa mahu berselindung aku memberitahu kebenarannya. Mak tersentak. Air mata mak mula mengalir laju di pipi. Mak terduduk di hadapan baju melayu berwarna biru kepunyaan Budin. Mak menangis semahu-mahunya. Aku hanya membiarkan mak menangis di bahuku. Namun, air mataku juga mengalir deras tanpa dapat disekat lagi. Aku tahu hati mak. Hati seorang ibu yang kehilangan anak. Aku tahu perasaan mak. Perasaan kehilangan seorang anak lelaki. “Mak...janganlah menangis, mak. Arwah tunggu kita di sana. Suatu hari nanti kita juga akan mengikut jejak arwah,” aku mengakhiri kata-kata kesedihanku di situ. Al-Fatihah buat adikku, Norhisham bin Mohamad Saad.
Lagu yang dipilih :
1. Sepasang kurung biru- Khairil Johari Johar
2. Setitis cahaya di aidilfitri – Aisyah
3. Ku pohon restu ayah bonda – Mamat Exist


CORETA ADILA RAYA RADIO KLASIK (MD RASUL BIN HARON)


CORETAN ADILA RAYA 2018 OLEH: MD RASUL BIN HARON
NAMA PENA: AMATARA
BAHAGIAN MATRIKULASI KEMENTERIAN PELAJARAN MALAYSIA ARAS 6-7, BLOCK E15, KOMPLEKS KERAJAAN PARCEL E PUSAT PENTADBIRAN KERAJAAN PERSEKUTUAN 62604 PUTRAJAYA

PENGISYTIHARAN pengumuman oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja mengenai tarikh mula berpuasa di kaca televisyen itu benar-benar dinantikan oleh aku. Seperti ada satu penantian yang berlegar-legar di sanubariku tatkala mendengar pengumuman tersebut. Begitu juga dengan pengumuman hari raya yang pada diriku terlalu istimewa sehinggalah sekarang. Sejak kecil lagi aku akan menantikan saat-saat pengumuman kedua-dua hari tersebut dengan senyuman yang melebar. Syukur alhamdullilah kerana Allah memberikan aku peluang untuk terus menikmati Ramadan bulan yang penuh berkah ini. “Abah, esok kita dah mula puasa. Tahun ini kita tak payahlah balik ke kampung.” Ujar anak bongsuku sambil melihat skrin pada telefon bimbitnya. Secara tiba-tiba hatiku tersentap dan kesemua kegembiraanku tiba-tiba bertukar menjadi debu yang berterbangan di udara. Anak bongsuku yang berusia 19 tahun itu langsung tidak mengerti perasaanku ketika itu malah dia menghumbankan seluruh perasaanku ke lurah yang paling dalam. Coretan Dua “Kenapa adik tak mahu balik kampung? Raya hanya setahun sekali sahaja. Masa inilah kita berpeluang untuk bertemu dengan saudara-mara kita di kampung.” Jawabku. “Raya sekarang dah tak seperti dulu, abah. Raya sekarang makin bosan dan hambar. Adik dah tak rasa apa-apa pun sekarang ini,” ujar anakku dengan mimik muka bersahaja. Aku terdiam apabila mendengar kata-katanya itu. Barangkali ada kebenaran daripada keluhan anakku itu. Sambutan hari raya pada zaman sekarang tidak begitu meriah jika dibandingkan dengan raya zaman dahulu. Zaman sekarang anak-anak sudah diperangkap dengan telefon pintar dan gajet berteknologi tinggi sehinggakan mereka langsung tidak bertegur sapa dengan tetamu yang datang bertandang ke rumah. Malah, mereka semakin biadap langsung tidak mempelawa atau bersalam-salaman dengan tetamu. Mereka sibuk melayan kerenah masih-masing dan berada dalam dunia mereka sendiri. Aku menggeleng-gelengkan kepala berulang kali. Cuba mencari sebab dan alasan kepada apa yang telah terjadi. Lantas terlintas di fikiranku ketika zaman kanak-kanakku. Hari raya amat ditunggu-tunggu oleh aku dan adik-beradikku. Meskipun aku hidup dalam serba kemiskinan, namun keadaan itu langsung tidak mempengaruhi kegembiraanku pada waktu itu. Baju melayu abang akan aku pakai. Manakala abang pula akan mendapat baju melayu daripada abang yang lainnya. Baju yang kami pakai itu adalah turun-temurun sehinggalah kami dewasa. Baju itu jugalah yang kami pakai sehingga ke malam. Dengan baju itu jugalah, kami cuba mencari duit raya sehinggakan kembung semua poket pada baju itu. Waktu itu, makan tidak penting, yang aku tahu aku mahu cari seberapa banyak duit dan dengan duit itu dapatlah aku membeli barangan yang aku suka. Aku tersengih apabila mengenangkan kemeriahan hari raya pada masa lalu. Selepas aku berumah tangga, aku melihat hari raya semakin tegang. Masakan tidak, apabila menjelang hari raya isteriku akan marah-marah dan berwajah masam. Emosi isteriku sentiasa tidak baik. Pantang ditegur, maka muncung mulutnya boleh diikat dengan reben. Waktu itu aku tahu isteriku bersikap begitu kerana protes untuk balik berhari raya di kampungku. Bukan aku tidak kasihan dirinya tetapi aku buat-buat tidak faham dan tersengih seperti kerang busuk. Yang paling penting, aku dapat balik berhari raya bersama-sama adik-beradikku yang lain. Ini belum lagi bab menyusun beg-beg pakaian di dalam bonet kereta. Beg baju anak, bakul susu anak, beg pakaian kami suami isteri, toto dan selimut, tikar mengkuang, bantal, bakul permainan anak, bakul lampin dan segala jenis bakul akan diangkut oleh isteriku. Semua benda hendak disumbat di dalam kereta. Macamlah hendak duduk di kampung bertahun-tahun padahal balik ke kampung hanya tiga hari sahaja. Apabila menjelang malam raya, situasi semakin tegang. Sampai sahaja di muka pintu, keadaan di dalam rumah makin tidak terkawal. Ada sahaja anak-anak saudaraku yang berlari dan bermain kejar-kejar di dalam rumah. Habis tunggang-langgang sofa di ruang tamu. Adik dan ipar-duaiku pula sibuk menggantung langsir dan mengemas rumah. Masing-masing sibuk ke hulu ke hilir walaupun aku tahu mereka hanya buat-buat sibuk sahaja. Waktu itulah gas memasak habis, santan habis, gula habis dan sebagainya. Waktu itulah aku dikerah ke kedai sedangkan mereka tahu aku baru sampai di rumah. Aku hanya tersengih apabila melihat isteriku menarik muka masam sambil mendukung anak. Itulah kebahagiaan dan kegembiraanku pada raya zaman dahulu. Anak-anak saudara serta ipar-duai tidur di ruang tamu bergelimpangan. Aku sendiri tidak tahu mana sudut yang diambil oleh isteriku untuk tidur. Namun isteriku lebih tahu situasi ketika itu, dia sudah menempah sudut di belakang sofa untuk kami beradu. Barangkali isteriku sudah masak dengan strategi anak-anak saudaranya yang tidur di depan televisyen. Aku masih tersengih apabila mengingati semua itu. Tidak seperti sekarang, anak-anakku langsung tidak mahu tidur di rumah kampung. Mereka lebih suka menginap di hotel daripada berperang dengan sepupusepupu mereka. Keakraban dan kejelekitan sudah semakin terhakis dalam diri anak-anak zaman sekarang. Waktu subuh adalah waktu yang sangat kritikal. Mana tidaknya, ahli keluargaku yang ramai akan berebut-rebut untuk memasuki bilik mandi. Waktu itu suasana semakin gamat. Kalau tidak mahu terlambat terpaksalah aku membawa isteri serta anak-anak mandi di hentian RNR yang kebetulan tidak jauh dari rumahku. Mujurlah ada kawasan RNR di lebuh raya. Walaupun mandi seperti musafir namun aku tetap gembira. Wajah isteriku kembali ceria apabila menjelang hari raya ketiga. Senyumannya manis bergula. Isteriku akan tersenyum sehingga ke telinga apabila aku mengangkat semua beg ke dalam bonet kereta. Waktu itu, isteriku akan bangun awal dan bersiap sedia untuk pulang ke rumah ibu bapanya. Hmm...kalaulah aku dapat memperlahankan masa sudah tentu aku akan diikat di pokok yang banyak kerengga oleh isteriku. Aku tiba-tiba ketawa apabila mengingati semua kenangan tersebut. “Abah, kenapa abah ketawa?” soal anakku dengan wajah yang sedikit curiga. “Tak ada apa-apalah. Abah hanya teringat kisah dulu-dulu.” Aku membalasnya dengan wajah selamba. “Jadi tahun ini kita raya di mana?” soalku cuba memancing kedua-dua anakku. “Abang, mak dan ayah abang sudah tak ada. Adik-beradik abang pun sudah ada keluarga sendiri. Daripada tujuh beradik kini yang tinggal hanya lima orang sahaja. Alang dan Acu sudah lama pergi meninggalkan kita. Uda pula balik ke kampung mertuanya setiap kali hari raya. Hanya tinggal abang Tam sahaja itu pun dia balik ke kampung mertuanya. Setiap kali hari raya kita hanya boleh pergi ziarah Bang Long dan Bang Ngah yang tinggal di rumah pusaka. Bang Long langsung tak pernah pelawa kita bermalam di rumahnya. Seperti biasa, kita faham keadaan sekarang yang jauh bezanya setelah mak dan ayah abang meninggal. Kita tetap akan balik ke kampung walaupun abang sudah semakin tersisih daripada adik-beradik abang yang lain.” Kata-kata isteriku itu benar-benar menyedarkan aku tentang kehidupan yang aku alami sekarang ini. Setelah mak dan ayah tiada, adik-beradikku juga membawa haluan masingmasing. Sudah kurang kasih sayang antara kami. Sudah semakin terpinggir tali kekeluargaan yang telah terbina sejak bertahun-tahun lamanya. Cuma aku sahaja yang bersusah-payah mencari adik-beradikku yang lainnya. Cuma aku sahaja yang bertungkus-lumus untuk mengeratkan tali kekeluarga yang semakin terputus. “Ya Allah, aku mohon agar kau satukan kembali kasih sayang kami adik-beradik.” Ujarku dengan linangan air mata.
Lagu yang dipilih:
1. Selamat Hari Raya – Puan Sri Saloma
2. Dendang Perantau – Tan Sri P.Ramlee
3. Air mata syawal – Datuk Siti Nurhaliza


Ahad, 7 Oktober 2018

Elipsis

Tiga titik dikenali sebagai elipsis, iaitu yang menunjukkan pengguguran bahagian teks, khususnya petikan, sama ada di bahagian awal, bahagian tengah, atau bahagian akhir sesuatu ayat atau teks, contohnya:

a) . . . bahawa kita menemui perbezaan asas antara semangat kapitalis dengan prakapitalis.

b) Bahasa Melayu menghadapi masa depan yang amat cerah . . . menghasilkan murid-murid yang mendapat pendidikan seluruhnya dalam bahasa Melayu.

c) . . . dan memberinya rezeki dengan tidak disangka-sangkanya  . . .

Selain itu, elipsis menunjukkan sesuatu yang bersambung, contohnya: 1,2,3, . . .

Hal ini bermakna tiada empat titik, yang ada ialah elipsis iaitu tiga titik.

Khamis, 4 Oktober 2018

Abjad yang Diculik


Oleh Idarasul

Siapa pencuri itu masih belum dapat dikesan lagi. Setakat ini pihak polis masih lagi mencari pencuri itu. Agaknya kau rasa siapa yang mencuri kesemua abjad sehinggakan tidak ada sesiapa pun yang boleh mengarang lagi?” tanya Datuk A.

            Datuk B yang sedang menghirup kopi panas hampir tersedak. Namun, dia lekas-lekas membetulkan keadaan agar Datuk A tidak mengesyaki sesuatu. Dia sekadar berlagak biasa.

            “Hmm…aku tak ada idea. Jadi, kau suspek siapa yang mencurinya?” tanya Datuk B.

            “Aku pun tak tahu. Ada baiknya kalau kita berjumpa dengan ‘orang kita’ agar dia dapat menulis tentang masalah ini dalam surat khabar kita. Barangkali, masalah ini belum lagi diketahui oleh orang di luar sana.” Datuk A memberikan pendapat. Datuk B pula hanya mencebikkan wajahnya seperti endah tak endah.

            Datuk A mengheret Datuk B menuju ke bilik yang dipenuhi dengan ‘orang kita’. Sesampai di pejabat ‘orang kita’, Datuk A duduk bersandar di sebuah sofa sambil menunggu kedatangan ‘orang kita’. Datuk B pula hanya seperti patung cendana membiarkan Datuk A melempiaskan keinginannya untuk berjumpa dengan ‘orang kita’. Beberapa minit kemudian, ‘orang kita’ muncul dengan membawa mug berisi kopi panas. Wajah ‘orang kita’ pucat lesi dan mug yang dipegang hampir terlepas daripada pegangannya.

            “Orang kita, saya nak jumpa dengan kamu sekejap. Ada hal penting untuk kita selesaikan hari ini juga,” Datuk A dengan pantas memberitahu kedatangannya.

            “Hmm…kalau begitu, Datuk A dan Datuk B boleh berbincang di dalam bilik saya. Silakan Datuk,” kata ‘orang kita’ dengan tangan yang sedikit menggeletar.

            “Tak payahlah, kita berbincang di luar sahaja. Semua orang boleh mendengar butir perbincangan. Ini bukan masalah peribadi. Ini masalah sejagat!” Datuk A mula tidak keruan.

            Dengan terketar-ketar ‘orang kita’ duduk di sofa mengadap Datuk A dan Datuk B. Mug berisi kopi panas diletakkan di atas meja kaca. Asap yang berkepul-kepul tadi tiba-tiba sahaja hilang dibawa oleh angin yang tiba-tiba menerjah bilik tersebut. Datuk B menjeling ‘orang kita’ dengan pandangan penuh bermakna. Barangkali cuba untuk memberikan amaran agar tidak menimbulkan sebarang kemusykilan kepada Datuk A. ‘Orang kita’ hanya membalas dengan ekor mata tanpa memberikan sebarang respons. Menunggu arahan seterusnya daripada Datuk A meskipun dadanya berombak-ombak.

            “Sekarang saya nak kamu taipkan satu hebahan penting. Hebahannya begini: Sesiapa yang menjumpai abjad-abjad yang hilang akan diberikan ganjaran sebanyak RM50,000. Saya mahu hebahan itu mesti disiapkan pada hari ini juga!” arah Datuk A dengan nada yang tegas.

            ‘Orang kita’ tersentak. Bagaimana dia hendak menyiapkan hebahan itu sedangkan kesemua abjad di dalam komputer ribanya sudah hilang dicuri orang? Mahu berterus-terang dia berasa takut kalau-kalau alasannya kali ini tidak diterima oleh Datuk A. Jika dia mengambil langkah untuk menyiapkannya pula, itu lagi parah dan berkemungkinan dia akan dipecat dari syarikat itu.

            “Maaf Datuk, saya tidak boleh melakukannya sebab kesemua abjad di dalam komputer riba saya juga turut hilang.”

            Datuk A ternganga. Dia tidak keruan. Dia fikir hanya komputer ribanya sahaja dilanda masalah tetapi dia tidak menyangka bahawa komputer riba ‘orang kita’ juga turut diserang dengan masalah yang sama.

            “Ada cara lain? Datuk B, kenapa diam sahaja? Berilah pendapat. Saya sudah buntu.”

            Datuk B tersentak. Sebenarnya sejak dari semalam dia mengalami perkara yang sama. Sejak akhir-akhir ini dia mendapat panggilan daripada seseorang yang tidak dikenalinya. Suara itu ada memberitahu tentang kejadian yang bakal berlaku iaitu dunia akan kehilangan semua abjad jika tidak menghargainya. Abjad itu tidak dicuri sebaliknya diculik. Dia juga pernah bermimpi tentang kehilangan abjad ini. Tetapi dia tidak ambil kisah kerana menganggap mimpi itu hanyalah permainan tidur semata-mata. Dan apabila sentiasa diganggu oleh suara-suara yang tidak dikenali, maka dia tidak dapat melelapkan mata. Dia terus sahaja memberitahu tentang masalah itu kepada ‘orang kita’.

            “Beginilah Datuk, apa kata kita panggil pekerja kita yang masih menyimpan mesin taip lama. Barangkali boleh membantu kita menulis hebahan ini. Saya fikir mungkin ada di antara orang kita yang menyimpan mesin taip lama. Inilah gunanya,” ‘orang kita’ memberikan cadangan.

            Setelah mendapat persetujuan daripada Datuk A dan Datuk B, ‘orang kita’ berlari ke aras bawah bangunan. Dia berlari laju menuju ke pintu utama. Tetapi lariannya tiba-tiba terhenti. Dia mendapati pintu utama telah ditutup oleh pengawal di situ. Dari cermin kaca dia melihat ramai manusia yang membanjiri perkarangan bangunan itu dengan membawa sepanduk. ‘Orang kita’ melihat perkataan di sepanduk. Antaranya, ‘Pulangkan Abjad Kami!’, ‘Di mana kamu sembunyikan Abjad kami?’, ‘Mana Abjad Kami?’ dan sebagainya. Suasana hiruk-pikuk di luar bangunan itu menyebabkan ‘orang kita’ berundur setapak ke belakang. Dia berasa takut dan gerun. Nyawanya seolah-olah di hujung pedang ketika itu. Pada bila-bila masa ianya akan melayang.

            “Encik, keadaan sangat genting sekarang. Jadi Encik tak dibenarkan keluar dari bangunan ini.” Kata pengawal itu menghalang pergerakan ‘orang kita’.

            ‘Orang kita’ terkedu. Hatinya gundah-gulana. Sebentar tadi dia sudah menerima arahan daripada Datuk A. Dia harus menyegerakan perintah Datuk A tanpa mempedulikan nyawanya sendiri.

            Sepantas kilat, ‘orang kita’ menyerbu ke muka pintu lalu meloloskan dirinya daripada kawalan pengawal. Hatta keluar sahaja dari bangunan itu, manusia yang memekik-mekik menerpa ke arah ‘orang kita’ dengan ganas. Pengawal melihat ‘orang kita’ ditampar dan ditendang sehingga tersembam di depan pintu utama. ‘Orang kita cuba bangun namun dia terhuyung-hayang dan tidak dapat mempertahankan diri daripada serangan manusia di luar sana. Untuk sekian kalinya dia cuba bangun tetapi tubuh kurusnya ditumbuk sehingga tersandar di depan pintu utama. Bibirnya berdarah dan dia menyeringai kesakitan. Bajunya koyak-rabak ditarik dan disentap dengan rakus oleh tangan-tangan manusia. Sepantas kilas, pengawal menarik masuk ‘orang kita’ melalui pintu yang dibuka sedikit. Dengan bersusah-payah, ‘orang kita’ diselamatkan dan dibaringkan di atas sofa. Dia kehilangan semangat. Badannya calar-balar dan lebam-lebam. Dia sudah cukup dikerjakan oleh manusia di luar sana.

            Tak ada cara lainkah? soalnya di dalam hati.

            Ketika otaknya berputar ligat, dia teringat seorang rakan lama yang mempunyai kedai antik. Kedai yang terletak selang dua buah bangunan itu menjadi penyelamat kepada apa yang cuba dicarinya. Dia menekan nombor telefon pada skrin telefon pintarnya. Mujurlah nombor di skrin tidak diculik hanya abjad sahaja yang telah hilang daripada dada telefon pintar itu. dia melihat berulang kali seperti tidak percaya. Tidak ada huruf a, b atau z. Semuanya sudah hilang ghaib. Hanya di dada skrin telefonnya kini nombor-nombor iaitu 1 sehinggalah berjuta banyaknya.

            Ah! di sini juga abjad sudah diculik? Mustahil! Getus ‘orang kita’ tidak keruan.

            Mujur juga dia ingat nombor telefon rakannya. Nombor itu tidak pernah padam dari ingatannya. Mujurlah…

            Usai bercakap dengan rakannya, dia mematikan talian telefon. Dalam perbualannya itu dia meminta rakannya membawa mesin taip lama ke bangunan tersebut. Namun, dia tidak memberitahu tentang tujuannya berbuat demikian. Dia juga memberitahu situasi yang berlaku di luar bangunan. Lima minit kemudian, rakannya tiba di perkarangan bangunan. Dia memakai pakaian serba hitam dengan beg sandang juga berwarna hitam.

            “Saudara-saudara sekalian, saya mewakili saudara untuk berunding dengan syarikat ini tentang kehilangan abjad. Justeru, berikanlah saya kepercayaan untuk masuk ke dalam bangunan ini!” laung rakan ‘orang kita’ nyaring.

            Manusia di luar sana terdiam. Mata mereka saling berpandangan, mereka mahu masalah ini segera diselesaikan. ‘Orang kita’ menggosok-gosokkan matanya berulang kali. Seperti tidak percaya dengan kuasa yang ada pada rakannya itu. Dia mengarahkan pengawal membuka pintu utama, usai berbuat demikian rakannya masuk ke dalam sambil tersenyum.

            “Terima kasih.” ‘orang kita’ kembali bersemangat.

            Mereka berlari mendaki anak-anak tangga menuju ke bilik mesyuarat di mana Datuk A dan Datuk B juga sudah sedia menunggu di sana. Dengan tercungap-cungap, ‘orang kita’ menghulurkan mesin taip kepada Datuk A. Datuk A dengan rakus segera mengeluarkan mesin taip dari dalam beg lalu meletakkan kertas kosong A4 pada bahagian kepala mesin taip. Dia mula mematuk-matuk abjad-abjad di permukaan keyboard namun dia terkejut apabila mendapati secara beransur-ansur abjad pada mesin taip itu hilang. Wajahnya bertukar pucat.

            ‘Orang kita’, Datuk B dan rakan ‘orang kita’ tersentak apabila melihat keanehan itu. Mereka saling berpandangan. Nafas mereka tercungap-cungap. Untuk kali ini, usaha mereka gagal. Datuk A dan Datuk B duduk di atas sofa semula sambil menongkat dagu. Tidak tahu apa yang harus dilakukan lagi.

            Sepuluh minit kemudian, telefon bimbit Datuk B berdering. Datuk B melihat ke skrin tetapi tidak terpapar langsung nama pemanggilnya. Jantung Datuk B berombak memikirkan gerangan yang menelefon itu. Datuk A pula kehairanan. Tanpa menunggu penjelasan Datuk B, telefon di tangan Datuk B dirampas dengan kuat oleh Datuk A.

            “Helo, mahu bercakap dengan siapa? Ini siapa?” soal Datuk A sedikit tegang.

            “Datuk A, sayalah yang menculik semua abjad. Saya sudah memberi amaran sejak awal lagi.”

            Datuk A melihat ke arah Datuk B dengan pandangan yang tajam. Datuk B hanya memandang permukaan karpet. Dia kehilangan kata-kata.

            “Kamu ni siapa? Kenapa kamu culik semua abjad? Kenapa??” jerit Datuk A marah. Wajahnya merah padam. Nafasnya kencang seperti seekor kuda.

            “Datuk A, saya sudah beri amaran kepada Datuk B. Jika syarikat Datuk tidak pandai menghargai abjad, maka saya akan menculik mereka kesemuanya. Masyarakat masa kini langsung tidak menghargai buku. Habis semua buku ditulis tidak dapat dijual kerana sudah hilang semangat membaca. Buku-buku dinodai dan dihumban tanpa maruah. Bahkan banyak bahan bacaan yang lainnya sudah dijeruk dan diperam di dalam balang berisi api yang mencengkam. Jadi, apa guna abjad jika kehadirannya tidak dihargai?”

            Datuk A tergumam. Ada kebenaran daripada kata-kata suara itu. Baru semalam dia berbincang dengan beberapa orang pemegang saham untuk memperbaiki kegawatan buku-buku yang tidak laku. Baru semalam dia berbicara tentang masalah bahan bacaan yang tidak lagi menjadi agenda utama negara. Malah, bahan-bahan itu dibuang sesuka hati dan langsung tidak dipedulikan oleh pihak atasan.

            “Datuk A, selagi ada manusia yang malas membaca maka abjad-abjad ini tidak mungkin dapat diselamatkan lagi. Kalau Datuk A tidak percaya, sekejap lagi saya akan bakar kesemua abjad yang saya culik, biar seluruh dunia ditimpa kebodohan dan buta huruf!”

            “Jangan! Jangan lakukan! Beri kami tempoh. Kalau kamu mahukan pampasan sebanyak RM50,000 saya sanggup membayarnya.”

            Suara di corong telefon itu ketawa. Ketawanya amat menikam jantung Datuk A yang mendengarnya.

            “Datuk A, jangan ingat nilai abjad yang diculik sebanyak itu! Kalau masyarakat dapat menilai sudah tentu mereka tidak akan malas membaca. Ilmu pengetahuna nilainya berpuluh-puluh kali ganda. Jika hilang satu sahaja abjad, maka ianya tidak akan menjelmakan sebarang perkataan. Jika Datuk A beranggapan abjad boleh dibeli, itu adalah tanggapan yang salah!”

            “Jadi, berapa yang kamu mahu?” suara Datuk A semakin meninggi.

            “Tidak banyak. Hanya nilai untuk membayar kesemua abjad itu mesti ditukarkan dengan kanak-kanak yang akan buta huruf dan tidak boleh membaca buat selama-lamanya.”

            Sekali lagi Datuk A tersentak. Permintaan untuk menebus kesemua abjad itu terlalu perit. Kanak-kanak tidak boleh dibiarkan buta huruf dan tidak pandai membaca. Kanak-kanak adalah masa depan sesebuah negara. Justeru jika kanak-kanak itu tidak mengenal angka dan huruf bagaimana mereka akan memajukan dan mentadbir sesebuah negara? Lantas, apakah yang akan berlaku kepada negara yang bakal dibina nanti? Datuk A menggaru-garu kepala walaupun tidak gatal.

            “Beginilah… bagi menebus kesemua abjad yang diculik, saya sanggup kehilangan memori di dalam otak saya. Biarlah saya buta huruf daripada kanak-kanak lain. Saya sudah tua, biarlah generasi masa akan datang dapat menghargai sikap suka membaca. Setuju?” Datuk A memberi cadangan.

            “Baiklah, saya bersetuju. Sekejap lagi saya akan memberikan petunjuk kepada pembebasan kesemua abjad yang telah diculik.”

            Akhirnya, Datuk A menarik nafas kelegaan. Dia mematikan talian telefon sambil mengelap air matanya. Dia terpaksa berkorban demi membebaskan kesemua abjad tanpa mengira kepentingannya. Bagi dirinya, meskipun dia akan buta huruf tetapi ilmu yang diperoleh belum tentu akan hilang daripada ingatannya.

            Beberapa minit kemudian menerusi paparan di televisyen, dia melihat berguni-guni abjad telah dijumpai di sebuah gudang. Orang ramai mula membanjiri gudang tersebut dan mengutip kesemua abjad yang telah diculik untuk dibawa pulang ke rumah.

            Datuk A mencapai telefon pintar dan mula mendail. Tetapi secara tiba-tiba dia tidak dapat mengecam abjad-abjad yang membentuk nama Presiden Syarikat. Benarlah dia kini sudah hilang segala-galanya. Dengan wajah yang pucat dia meminta Datuk B menaip nama  Presiden Syarikat itu dan melalui suara di corong telefon Datuk B dapat mengenal pasti suara itu mirip suara yang didengarinya sebelum ini. Dan kemudian, matanya mula terbeliak.

Idarasul, seorang pensyarah di Jabatan Pengajian Melayu IPG Kampus Pendidikan Teknik, Bandar Enstek Negeri Sembilan. Pemenang hadiah penghargaan Kategori Cerpen Media Baharu Hadiah Sastera Kumpulan Utusan 2016 dengan cerpen ‘Demi Pengakhiran Itu…’. Cerpen ‘Redha Abah’, “Wadah PajatSong’disiarkan dalam Utusan Malaysia April dan Julai 2018. Cerpen ‘Pintu Mana Lagi?’ disiarkan dalam Selangor Kini Julai 2018. Bergiat cergas dalam pertandingan penulisan seperti sayembara Novel Remaja dan kanak-kanak DBP/BH Pendidikan.

Awalan meN-

Munsyi Md Rasul bin Haron@Amatara Bahagian Matrikulasi 30 Jun 2022 Panduan Bahasa PROSES PENGIMBUHAN 2) Awalan meN- fungsi pengg...