Sabtu, 27 Oktober 2018

Berteleku Di Tiang Mimbar


Oleh

AMATARA
Sinar Harian- Sastera (27.10.2018)

Idrus berteleku di tiang mimbar sambil mengesat peluh di dahi. Sesekali, matanya merayap di segenap pelosok Masjid Pajak Song. Masjid yang telah lama dibina dengan menggunakan kayu meranti itu berdiri dengan megahnya di dada kampung itu.  Idrus merenung jauh sambil melunjurkan kakinya. Fikirannya berterbangan di segenap pelusuk masjid itu. Dia tidak menghiraukan kerenah orang yang lalu-lalang di sekitarnya. Kepenatan mengumpulkan sejadah dan menutup tingkap membuatkan Idrus berasa amat penat. Jika dia masih muda, tentu tidak sepenat sekarang. Umurnya yang mencecah lebih separuh abad seakan mendesak dirinya untuk berehat selama mungkin. Idrus tidak pernah menggangap kerja-kerja di masjid sebagai bebanan, malah Idrus melakukannya dengan kehendak diri sendiri. Siapa tidak kenal Idrus siak Masjid Pajak Song ? Menyebut namanya sahaja, semua orang kenal.  Hati Idrus seumpama besi waja. Terlalu keras seperti kerasnya tiang mimbar Masjid Pajak Song. Hanya Idrus sahaja yang masih setia mengutip tahi-tahi cicak di atas tikar mengkuang yang dianyam dengan pelbagai warna di masjid itu.

              Bukan tidak ada orang lain di masjid itu, tetapi hanya Idrus sahaja yang masih sanggup mengayuh basikal tua ke masjid. Jika tiada apa yang hendak dibuat di kebunnya, dia lebih senang bersendirian di masjid itu. Itulah rutin hidupnya. Kadang-kadang, dia terlupa bantal di rumahnya. Segala kudratnya dicurahkan sepenuhnya kepada masjid itu. Umpama seorang suami yang setia menanti isterinya begitulah hati Idrus tidak mahu berenggang jauh dari masjid yang kini menjadi keutamaan hidupnya.

Dari hujung matanya dia menghitung satu-persatu penghuni masjid itu yang kebanyakannya telah direnggut dengan usia yang lanjut. Idrus berasa sebak memikirkan generasi muda yang semakin meminggirkan rumah ibadat itu. Semakin hari semakin berkurangan jemaah yang bersolat di masjid itu. Kepala Idrus ligat memikirkan cara untuk menarik perhatian generasi muda datang ke Masjid Pajak Song.

“Sudahlah siak, buat apa lagi ditunggu masjid yang semakin tua ini?” suatu hari Idrus disergah oleh Hamid yang tiba-tiba sahaja datang tanpa dijemput ke masjid itu. Idrus hanya mendiamkan diri sahaja tanpa menunjukkan apa-apa protes. Hamid yang melihat keadaan Idrus semakin berani melemparkan kata-kata terhadap Idrus. Masjid baharu yang menelan perbelanjaan 400 ribu ringgit itu seolah-olah sedang melambaikan tangannya kepada Idrus. Idrus masih lagi berdiam diri. Baginya lebih baik berdiam diri walaupun dia tahu diam tidak bermakna bersetuju dengan pendapat Hamid. “Siak, kalau masjid yang ada ini pun kurang jemaahnya, apa tah lagi pada masa akan datang tidak akan ada sesiapa yang akan datang ke masjid ini lagi. Lebih baik dirobohkan sahaja masjid ini. Masa tu Siak akan faham kata-kata saya ini.” Kata Hamid sambil melangkah pergi. Idrus tercengang dengan kata-kata Hamid. Baginya ada kebenaran daripada luahan perasaan Hamid. Idrus melihat di sekeliling masjid. Merobohkan masjid itu seumpama membunuh dirinya. Sebab itulah Idrus membantah keras untuk merobohkan masjid tersebut.

    Bunyi deruman enjin kereta Iswara hitam Cikgu Deraman membuatkan Idrus tersentak daripada keletihannya. Idrus tercengang-cengang. Cikgu Deraman keluar daripada perut Iswara merahnya dengan seribu pertanyaan. Dia melangkahkan kaki menuju ke arah Idrus yang berteleku di tiang mimbar masjid tersebut. “Siak, mengapa tidak balik lagi? Tadi saya ke rumah mencari Siak, tetapi tidak ada.  Mengapa siak nampak suram?” Cikgu Deraman menghujani Idrus dengan pertanyaan yang bertubi-tubi. Idrus memandang muka Cikgu Deraman sambil tersenyum. “Aku tengah memikirkan tentang masjid ini. Masjid ini mahu dirobohkan dan …”. Tiba-tiba matanya terjojol melihat lori berkepala merah memuntahkan batu-bata di halaman masjid itu. Percakapan Idrus terbantut. Dia dan Cikgu Deraman berlari ke anjung masjid untuk meninjau bunyi yang kuat itu.  “Nanti dulu.”jerit Idrus dengan sekuat hati. Bunyi ketulan batu-bata itu lebih kuat daripada jeritan Idrus. Bunyinya seperti sebuah bukit yang sedang runtuh. Idrus hanya melihat dan tidak berdaya untuk menahan.

    Masjid yang berusia 80 tahun itu mesti dikekalkan. Strukturnya masih teguh. Kayu-kayu alangnya tidak pernah dijamah anai-anai. Tiang-tiang sebesar pemeluk di masjid tua itu masih mampu menampung alang dan bumbung. Ruang masjid mampu menampung jemaah sehingga 300 jemaah. Inilah yang menghairankan Idrus, mengapa harus dilenyapkan dari muka bumi ini . Bukan Idrus tidak suka dengan pembangunan. Kalau mereka hendak bina masjid lima tingkat pun, dia tidak marah. Dia tidak akan halang. Baginya perigi lama di tepi masjid  mesti dikekalkan. Air dalam perigi tersebut tidak pernah kering walaupun musim kemarau. Airnya sejuk. Di situ juga, para jemaah mengambil wuduk. Bukan tidak ada air paip, malah pihak jawatankuasa masjid sudah membina kolah untuk kemudahan semua. Bukan itu sahaja, kalau boleh mimbar kayu jati dikekalkan seperti adanya.

Cikgu Deraman dengan pantas memegang bahu Idrus menghalangnya daripada turun dan mensesah pemandu lori yang tidak berdosa itu. Langkah  Idrus terhenti dan dia kembali memegang tiang mimbar masjid itu. Dari arah kanannya, dia terdengar suara sumbang sedang menyatakan sesuatu tentang dirinya.

    “Dahlah siak, kalau siak tidak suka dengan masjid baharu tu, Siak duduk diam saja di rumah. Satu sen pun pihak jawatankuasa masjid tak minta.” Kata Seman, Ketua Biro Tabung Pembangunan Masjid Pajak Song. Idrus hanya mendiamkan diri sahaja mendengar kata-kata Seman. Itu bukan kali pertama Seman mengeluarkan kata-kata sedemikian rupa.

    Idrus sedar, esok merupakan hari yang paling bersejarah dalam hidupnya. Masjid lama akan hanya tinggal tapak.  Idrus akan terus merindui suara-suara azan dari menara masjid. Idrus tidak akan melupakan lontaran suara khatib yang berkhutbah di mimbar. Idrus tidak akan lagi dapat merasa dinginnya air perigi di tepi masjid. Mengenangkan semua itu, air mata  Idrus mengalir umpama mutiara terlerai daripada talinya.

    Cikgu Deraman yakin mesti ada sebab-sebab lain yang menyebabkan Idrus begitu mempertahankan masjid lama tersebut. Begitu juga dengan Penghulu Din, selaku ketua kampung dia bukan sahaja  mengenali Idrus, malah mengetahui siapa itu Idrus. Bukan dia tidak pernah bertanya itu dan ini kepada Idrus. Soalan-soalan mengenai Idrus hanya dijawab dengan senyuman. Idrus tidak sombong. Idrus tidak suka ditanya soal-soal peribadi. Baginya soal peribadi hanya dimiliki oleh diri sendiri tanpa dapat dikongsi oleh orang lain. Dia bukannya pemimpin besar negara yang dicatat kisah hidupnya.

   

    Menjelang dinihari, Cikgu Deraman  masih lagi duduk berbual-bual dengan  Idrus.Tanpa disedari,kisah mengenai masjid tua itu muncul semula. “Mengapa  siak tidak mahukan masjid baharu?” Cikgu Deraman ditebak kehairanan. Tiada jawapan yang keluar daripada mulut Idrus hanya yang kedengaran tatkala  itu turun naik nafas Idrus seperti menahan sebak di dada. “Sebenarnya, ketika Malayan Union hendak ditubuhkan di masjid inilah tempat orang-orang kampung berkumpul dan menyatakan bantahan. Masjid ini merakamkan detik-detik sejarah kerana pada masa itu, penduduk kampung mulai disimbah dengan semangat perjuangan menuntut kemerdekaan. Jika masjid ini tiada, maka semangat perjuangan untuk menuntut kemerdekaan akan luntur. Semangat aku seolah-olah berada di dalam perut masjid ini”. Idrus meluahkan segala yang terbuku di hatinya. Biar Cikgu Deraman tahu. Biarkan. Idrus terasa seperti batu yang menghempap kepalanya telah dibuang jauh-jauh. Terasa dirinya ringan seperti gumpalan kekabu yang berterbangan di udara.

Tercengang Cikgu Deraman mendengar kata-kata daripada mulut Idrus. “Beginilah, yang penting sekarang siak, semangat nasionalisme kita tetap utuh, janji semangat kita tak pernah luntur. Semangat itu ada di sini”.

Idrus membiarkan batu-bata diluahkan daripada perut lori bermata merah seiring warna matanya. Idrus turut menganggukkan kepala tanda setuju masjid baharu ditegakkan di Pajak Song.

                               

Awalan meN-

Munsyi Md Rasul bin Haron@Amatara Bahagian Matrikulasi 30 Jun 2022 Panduan Bahasa PROSES PENGIMBUHAN 2) Awalan meN- fungsi pengg...