Sabtu, 2 Julai 2011

Perutusan 1Murid 1Sukan daripada Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pelajaran Malaysia


Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh, Selamat Sejahtera dan Salam 1Malaysia.
Terlebih dahulu Menteri Pelajaran ingin mengambil kesempatan ini untuk merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua warga Kementerian Pelajaran dan warga Malaysia atas penyertaan dan sokongan dalam larian yang sungguh bersejarah ini. Beliau juga mengucapkan ribuan terima kasih kepada Pentadbiran Kerajaan Negeri Perak dan Jabatan Pelajaran Negeri Perak di atas kesudian dan kerjasama menjadi tuan rumah kepada acara “Larian Serentak 1 Murid 1 Sukan 1Malaysia” peringkat kebangsaan ini.
Sukan merupakan satu platfom dimana kemenjadian holistik serta bakat murid dapat ligilap kearah pembangunan modal insan yang berpotensi memacu pembangunan negara dimasa hadapan. Tidak dapat dinafikan bahawa bersukan mempunyai faedah yang cukup samada dari segi kesihatan mental, pembangunan jati diri dan kepimpinan, semangat daya saing, semangat sepasukan, setia kawan dan pemupukan integrasi sosial.
Atas kepercayaan ini, Dasar 1 Murid 1 Sukan ini bertujuan untuk memastikan agar setiap murid termasuk yang kurang upaya mengambil bahagian dalam sekurang-kurangnya satu jenis sukan yang ditawarkan oleh sekolah masing-masing. Penting ditekankan selepas pelancaran dasar ini ialah pelaksanaan dan kesinambungan program di setiap sekolah agar ia berterusan sepanjang tahun. Pengetua dan Guru Besar merupakan penggerak utama program ini dan harap program ini dapat juga disokong oleh para guru, staf sekolah, ibu bapa dan komuniti bagi merealisasikan aspirasi dasar ini.
Akhir kata, Menteri Pelajaran mengucapkan syabas dan selamat berlari dengan tujuan untuk bersama-sama membudayakan aktiviti sukan di kalangan warga sekolah agar matlamat falsafah pendidikan kebangsaan dapat dicapai.
Sekian, terima kasih.  “MAJULAH SUKAN UNTUK NEGARA“
Utusan daripada,
Tan Sri Dato’ Haji Muhyiddin Bin Haji Mohd Yassin
YAP Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pelajaran

Beza Cerdik Dan Bodoh

Beza Cerdik Dan Bodoh




Sukarkah Memahami Ketuanan Melayu? Guru Harus Jelas Supaya Generasi Tidak Salah Membuat Tafsiran

Konsep ketuanan Melayu dan kontrak sosial merupakan konsep yang telah lama menjadi sasaran sebilangan pemimpin dan parti politik di Malaysia untuk diperdebat. Polemik mengenai konsep ini memberi petunjuk, pertama kurangnya pemahaman sebilangan rakyat Malaysia tentang konsep berkenaan. Kedua, kurangnya usaha untuk memberi kefahaman kepada seluruh rakyat tentang konsep tersebut. Ketiga, salah faham tentang konsep itu dan keempat salahnya usaha untuk menerangkan konsep tersebut.

Tiada kamus yang mendefinisikan terma 'Ketuanan Melayu.' Namun, berdasarkan pemahaman umum, terma tersebut jika diertikan secara harfiah atau literal merujuk kepada 'dominasi bangsa Melayu' (dalam bahasa Inggeris disebut sebagai Malay Supremacy atau Malay Dominance). Ia merupakan elemen paling penting dan paling asas dalam apa yang dipanggil 'kontrak sosial.'

Secara teknikal, konsep ketuanan Melayu merujuk kepada satu bentuk hubungan dan keadaan di mana bangsa Melayu itu seharusnya mendominasi segenap aspek kehidupan seperti sosial, politik dan ekonomi di tanah airnya berbanding bangsa lain yang turut menetap atau tinggal di tempat yang sama.

Hubungan ini tidak berbentuk feudalisme di mana melalui hak kelahiran, bangsa Melayu menjadi tuan manakala bangsa lain menjadi hamba atau orang suruhan.
Ringkasnya, ia merujuk kepada satu bentuk manifestasi hubungan simbiosis, walaupun tidak sama rata, tetapi tetap memberikan faedah dua hala.

Dalam konteks Malaysia sebagai sebuah negara, terma ketuanan Melayu - dalam perspektif hubungan pelbagai kaum bermaksud satu keadaan di mana bangsa Melayu merupakan pemegang kuasa dan penerima hak istimewa utama dalam pemerintahan, pentadbiran dan perjalanan Malaysia sebagai sebuah negara yang berbilang kaum.

Perbincangan konsep ketuanan Melayu dan kenegaraan Malaysia memerlukan pemahaman empat perkara asas berikut:
Timbal Balas (Quid Pro Quo)
Dari segi sejarahnya, Malaysia atau dulunya dikenali sebagai Tanah Melayu merupakan kawasan geografi yang majoriti penduduknya adalah kaum Melayu. Kehadiran pemastautin bangsa lain bermula pada era penjajahan British ke atas Tanah Melayu pada lewat kurun ke-19 dan awal kurun-20. Ketika ini British membawa masuk ramai tenaga buruh asing seperti rakyat China dan India untuk menampung kekurangan pekerja dalam industri perlombongan bijih timah dan perladangan getah.

Sebelum British meninggalkan Tanah Melayu, ramai daripada buruh ini diberi pilihan sama ada untuk terus menetap di Malaya atau kembali ke negara asal mereka. Ramai yang memilih untuk tinggal di sini. Tidak kurang juga yang memilih untuk kembali.

Apabila Tanah Melayu merdeka pada 31 Ogos 1957, buruh imigran ini diterima sebagai warganegara Malaysia melalui konsep jus soli dan dimaktubkan dalam Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu (Bahagian III-Kewarganegaraan; 3.1 Bab 1-Pemberian Kewarganegaraan; Artikel 14-22). Pemberian kewarganegaraan ini ditimbalkan dengan penerimaan balas beberapa syarat utama yang meliputi hal ehwal berkaitan perlindungan dan penjagaan status dan hak bangsa Melayu sebagai penduduk asal.

Aturan timbal balas atau quid pro quo penerimaan syarat-syarat ini dikenali sebagai 'kontrak sosial.' Kontrak inilah yang dijadikan asas kepada pembentukan Perlembagaan Malaysia dan penubuhannya sebagai sebuah negara. Kontrak ini turut dipanjangkan kepada penubuhan Persekutuan Malaysia pada 16 September 1963 yang membabitkan status dan hak kaum bumiputera Sabah dan Sarawak.

Artikel 153
Secara ringkas artikel ini menyebut mengenai kuasa Yang di-Pertuan Agong, sebagai Ketua Negara Malaysia, untuk melindungi kedudukan dan hak istimewa orang Melayu dan penduduk asal Sabah dan Sarawak (secara kolektif dipanggil bumiputera) dalam hal ehwal seperti perkhidmatan awam, pendidikan, biasiswa, latihan, kemudahan dan perniagaan tanpa menjejaskan peluang dan hak kaum lain.

Artikel 153, di samping status Yang di-Pertuan Agong itu sendiri sebagai orang Melayu dan Raja Melayu adalah asas kepada kemutlakan ketuanan Melayu dalam Perlembagaan Malaysia. Pemaktuban Artikel 153 ini sama sekali tidak menjadikan kaum bukan Melayu warganegara kelas kedua. Salah faham mengenai Artikel ini, jika ada, sebenarnya adalah sesuatu yang sengaja diada-adakan demi mencapai cita-cita politik dan peribadi songsang.

Kehilangan Singapura
Singapura diterima masuk ke dalam Persekutuan Malaysia pada 16 September 1963 sebelum ia kemudiannya disingkir pada 9 Ogos 1965. Kemasukan Singapura menyebabkan populasi kaum Cina meningkat sehingga 35.7 peratus berbanding kaum Melayu iaitu 38.4 peratus (In-Won Hwang, Personalized Politics; The Malaysian State Under Mahathir, ISEAS, Singapore, 2003, pg.54).

Dominasi kaum Cina dan pengenalan polisi bukan pro-Melayu di Singapura mendorong kepada meletusnya beberapa rusuhan kaum di pulau tersebut. Ketidakstabilan Singapura akhirnya mendorong kepada penyingkirannya daripada Persekutuan Malaysia.

Episod rusuhan kaum di Singapura dan kesanggupan Kerajaan Malaysia untuk kehilangan sebuah 'tanah Melayu' merupakan sesuatu yang amat sukar tetapi terpaksa dilakukan. Demi keharmonian dan keamanan Malaysia keseluruhannya, kepentingan penduduk asal dan pulau Singapura terpaksa 'diketepikan.'

Bagi kebanyakan orang Melayu, episod Singapura adalah lambang kegagalan ketuanan Melayu. Justeru, ini juga adalah antara faktor utama sehingga kini, mengapa orang Melayu begitu sensitif apabila konsep ketuanan Melayu dipersoalkan.

Agenda
Malaysian Malaysia
Democratic Action Party (DAP) antara lain, meneruskan agenda Malaysian Malaysia (selepas pengharaman PAP di Malaysia) secara terbuka ke seluruh negara. Kempen berkaitan agenda ini menjadi amat popular terutama menjelang pilihan raya tahun 1969. Keputusan pilihan raya 1969 yang tidak memihak kepada Kerajaan Perikatan (kehilangan Pulau Pinang, Perak dan Kelantan dan 2/3 majoriti di Parlimen) memburukkan lagi suasana. Ketidaktentuan keadaan politik semasa akhirnya menyebabkan terjadinya rusuhan kaum pada 13 Mei 1969.

Rusuhan tersebut menyebabkan Kerajaan Malaysia memperkenalkan beberapa polisi affirmative yang merupakan sebahagian daripada usaha melindungi agenda atau konsep ketuanan Melayu. Antaranya ialah pindaan Perlembagaan yang mengharamkan sebarang perdebatan (termasuk dalam Parlimen) ke atas hak dan kedudukan istimewa bumiputera, penambahan skop dan kuasa Yang di-Pertuan Agong, pengukuhan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, pemaktuban kedudukan Islam sebagai agama rasmi Persekutuan dan pengenalan Rukun Negara sebagai ideologi kebangsaan.

Langkah sosio-ekonomi yang paling utama pasca tragedi 13 Mei yang dilancarkan ialah Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang bertujuan untuk membasmi kemiskinan, memansuhkan penyamaan identiti kaum dengan peranan ekonomi, merapatkan jurang ekonomi antara kaum dan meluaskan kek ekonomi.

Antara Kesamarataan dan Keadilan

Salah faham tentang ketuanan Melayu berpunca daripada pemahaman serong bahawa orang Melayu, melalui hak kelahirannya sebagai bangsa Melayu mesti dianggap dan dilayan sebagai tuan dan di mana orang bukan Melayu pula adalah sebagai hamba. Fahaman ini adalah kefahaman sesat.
Memahami konsep ketuanan Melayu sebenarnya adalah mudah.
 Ia mendokong gagasan bahawa hak-hak dan status kaum Melayu sebagai penduduk asal Malaysia mesti sentiasa dilindungi melalui cara yang adil dan saksama; tanpa menghalang hak kaum bukan Melayu. Ia menjamin bahawa tanah-tanah orang Melayu tidak akan dirampas untuk diberikan kepada orang lain yang tidak bertanah semata-mata atas dasar dan hak sama rata sebagai warganegara Malaysia.

Ia juga menjamin bahawa kedudukan Raja-Raja Melayu, adat istiadat Melayu, Islam dan bahasa Melayu sebagai agama dan bahasa rasmi negara Malaysia tidak akan ditidakkan. Ia sekali gus mengesahkan bahawa kedudukan ekonomi dan politik orang Melayu tidak sesekali disisihkan.
Teras politiking sesetengah parti di negara ini mengunjurkan kesamarataan hak rakyat Malaysia. Namun kesamarataan tidak semestinya membawa kepada keadilan. Sesungguhnya, keadilan adalah lebih penting daripada kesamarataan.

Semua agama menganjurkan bahawa keadilan adalah tunjang kehidupan. Dalam Islam, keadilan ditakrifkan sebagai usaha meletakkan sesuatu pada tempatnya atau pada haknya. Sebab itu zakat hanya diberi kepada orang miskin. Justeru, biasiswa pendidikan hanya layak untuk pelajar miskin. Kerana itu cukai pendapatan hanya dibayar oleh rakyat yang berpendapatan tinggi.

Polisi pemberian biasiswa pendidikan kepada pelajar kurang mampu atau miskin mencerminkan polisi yang adil meskipun tidak sama rata. Di Malaysia, kaum Melayu dan bumiputera adalah kaum yang paling miskin. Lantas, adalah adil melihat orang Melayu sebagai penerima terbesar biasiswa tersebut.
Harus diingat bahawa dasar pemberian biasiswa ini sama sekali tidak menafikan hak kaum bukan Melayu yang juga miskin dan berhak. Contohnya biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) pada masa kini dinisbahkan pada 55:45 di mana kaum Melayu (yang majoritinya miskin) diperuntukkan 55 peratus biasiswa manakala bukan Melayu (yang majoritinya mampu) mendapat 45 peratus.

Kelangsungan Ketuanan Melayu

Polemik mengenai ketuanan Melayu sebenarnya mempunyai beberapa agenda tersusun. Antaranya pertama, penguasaan politik oleh gagasan yang menolak ketuanan Melayu. Kedua, penyingkiran parti politik yang memperjuangkan ketuanan Melayu dan ketiga, pindaan Perlembagaan untuk mewujudkan 'ketuanan Rakyat' atau Malaysian Malaysia.

Ada banyak sebab mengapa usaha menghapuskan ketuanan Melayu ini wajar ditentang. Antaranya, sistem politik Malaysia adalah berteraskan kepada sistem Parlimen Beraja (Constitutional Monarchy) di mana Raja atau Sultan merupakan tulang belakang penubuhan Malaysia. Agong sebagai Ketua Negara Malaysia dan Ketua Perlembagaan Malaysia yang terdiri daripada Sultan atau Raja Melayu. Justeru, Malaysia sebagai sebuah negara adalah diasaskan kepada konsep ketuanan Melayu - yang mana Raja atau Sultan Melayu adalah 'Ketua' atau 'Tuan' kepada orang Melayu dan rakyat Malaysia keseluruhannya.

Usaha menidakkan atau menggantikan ketuanan Melayu dengan sesuatu yang lain akan membabitkan pindaan Perlembagaan keseluruhannya, jika bukan pembentukan perlembagaan baru. Ia seperti menubuhkan sebuah negara baru.

Usaha ke arah ini tidak mudah. Banyak masalah dan 'bencana politik' dapat dielakkan dengan cara memahami dan seterusnya mengakui bahawa ketuanan Melayu (terutama sekali sejak tahun 1969) telah menjadi tonggak pemerintahan Malaysia yang berjaya menyusun atur dengan baik fabrik sosial, politik dan ekonomi negara ini.
Sesungguhnya ini adalah sesuatu yang sangat mustahak. Malaysia mesti tidak menghadapi satu lagi tragedi '13 Mei.' Caranya mudah, rakyat Malaysia mesti faham konsep ketuanan Melayu.
Masih sukarkah memahami apa itu ketuanan Melayu?

Menangani Masalah Disiplin Murid




Masalah disiplin murid terdapat dimana sahaja baik di kampung atau di kota hanya senarionya sahaja yang berbeza.
Guru di kota mungkin akan berhadapan dengan masalah disiplin seperti keterlibatan murid dalam kegiatan merempit, berlepak di pasar raya atau menghabiskan masa melayari internet di pusat siber. Manakala guru di kampung pula mungkin akan berhadapan dengan murid yang ponteng sekolah dengan alasan membantu keluarga menoreh getah, menangkap ikan atau melepak di simpang-simpang jalan. Walau apa sahaja jenis atau bentuk kesalahan yang dilakukan, guru terutamanya guru permulaan harus bijak menggunakan pelbagai strategi untuk menanganinya.
Sudah menjadi kebiasaan bagi murid-murid menguji tahap kewibawaan guru-guru baru terutamanya guru-guru wanita. Murid-murid seumpama ini akan berasa megah apabila seseorang guru permulaan itu mengalah atau menunjukkan reaksi lemah seperti menangis atau marah ketika menghadapi situasi yang tidak menyenangkan dek karenah murid-murid.
Dalam hal ini guru-guru permulaan harus bijak menggunakan pelbagai strategi. Guru-guru tidak seharusnya emosional dalam menghadapi masalah ini. Seperti yang dinyatakan luahan rasa marah atau sedih tidak banyak membantu menangani masalah ini malah ia merupakan satu senario drama yang sememangnya dinanti-nantikan oleh murid-murid untuk ditonton. Beberapa strategi berikut mungkin mampu membantu menanganinya dalam situasi tertentu.
• Mengenali murid
Seseorang guru harus mengenali murid –muridnya secara lebih dekat dengan penuh kemesraan. Ini bukan bermakna kita tidak boleh memarahi mereka. Minat dam masalah muri-murid harus dihayati dan ditangani. Tunjukkan kepada murid-murid melalui tindakan dan perawakan bahawa guru ialah rakan pembimbing mereka yang sentiasa mempunyai sifat keterbukaan dalam sebarang masalah.
Memanglah diakui bahawa proses ini bukannya cepat tetapi memakan masa yang panjang dan guru seharusnya banyak bersabar dan harus cekal dalam menghadapi sebarang cabaran.
  
• Komitmen yang ikhlas

Dalam sebarang tindakan guru seharusnya dapat mempamerkan komitmen yang sepenuhnya dengan seikhlas mungkin. Murid-murid dapat menilai diri guru sama ada pengajaran yang dilakukan hanya sekadar memenuhi masa mengajar dan menghabiskan sukatan pelajaran atau mampu memberi bimbingan dengan sepenuh hati.
Dalam hal ini guru seharusnya mahir dalam sesi pengajarannya, mempunyai peribadi yang mulia dengan sedikit unsur-unsur kecindan yang mampu memecah kesunyian dalam sesi pengajaran dan pembelajaran dalam bilik darjah.
Memang penat, letih dan kadangkala membosankan apabila menghadapi karenah seperti ini, tetapi ingat anda telah membuat pilihan guru sebagai profesion anda.
Ia bukannya mudah sepertimana yang disangkakan sehinggakan anda sanggup meninggalkan profesion lama semata-mata untuk menjadi “guru” yang mungkin pada ketika itu membayangkan kerja guru mudah, tidak meletihkan banyak cuti dan bermacam-macam lagi.  Insya-Allah dengan azam baru, guru-guru permulaan akan terus menyemai bakti mendidik anak-anak bangsa.
Sumber maklumat  : Utusan Malaysia

Budaya gatal tangan



Aktiviti dan budaya vandalisme yang semakin berleluasa di negara kita adalah perbuatan tidak boleh diterima oleh masyarakat bertamadun kerana ia berlawanan dengan moral dan akhlak serta ajaran agama. Perbuatan merosakkan harta benda awam atau lebih dikenali sebagai vandalisme kini dilihat semakin meruncing terutama dibandar besar di Negara kita  malah ia telah melarat ke Bandar kecil dan kampung.
Aktiviti vandalisme yang mencemarkan ini begitu menyakitkan mata dan memalukan terutama kepada masyarakat luar seperti pelancong. Antara contoh vandalisme yang terdapat di Negara kitaialah perbuatan merosakkan telefon awam, tandas awam, peralatan permainan di taman rekreasi, menconteng dinding, membuang sampah merata-rata, mencuri kabel, mencuri besi termasuk kepala paip, meter air, penutup longkang dan pagar besi penghadang jalan.
Kamus Dewan Edisi Empat terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) mendefinisikan vandalisme sebagai perbuatan membinasakan atau merosakkan harta benda awam atau persendirian. Secara umum, vandalisme membawa maksud membuat sebarang perubahan seperti melukis, menanda, mengecat, menampal, merosakkan atau mengotorkan harta benda awam tanpa kebenaran pihak berkuasa. Sehubungan itu, perbuatan tidak beretika dan tidak berperikemanusiaan ini perlu dikekang segera dan semua pihak hendaklah mencari jalan penyelesaian terbaik bagi mengatasi masalah sosial ini, apatah lagi aktiviti negatif ini membabitkan generasi muda termasuk pelajar. Pelajar adalah modal insan dan aset penting negara. Mereka tidak boleh dibiarkan terdedah dengan budaya negative vandalisme yang merugikan dan mereka juga perlu dipantau dari semasa ke semasa agar menjauhi serta membencinya.
Perbuatan vandalisme juga perlu diperangi semua pihak agar ia tidak menjadi budaya dalam masyarakat dan menyusahkan orang ramai. Ini kerana ia membabitkan kepentingan dan keperluan awam termasuk sekolah, pusat rekreasi, perhentian bas, kereta api dan komuter. Akibat daripada aktiviti vandalisme menyebabkan pihak berkuasaterpaksa menanggung rugi kerana kos memperbaiki, memperbaharui dan mengganti semua kerosakan serta kecurian yang dilakukan pihak tidak bertanggungjawab ini. Malah Islam menghalang perbuatan yang dikeji dan memudaratkan orang ramai seperti aktiviti vandalisme yang dikategorikan sebagai perbuatan fasad (kerosakan) seperti yang ditegaskan di dalam Al-Quran. Oleh yang demikian bagi mengekang budaya dan aktiviti songsang ini, penguatkuasaan dan pelaksanaan undang-undang yang tegas perlu dilaksanakan terhadap pesalah vandalisme di Negara ini. Mengikut Akta Kerajaan Tempatan 9 undang-undang Kecil Vandalisme 1991 memperuntukkan sesiapa yang didapati merosakkan harta benda awam boleh didenda RM2,000 atau penjara tidak lebih setahun jika sabit kesalahan. Walaupun peruntukan undang-undang ini nampak ringan, namun mungkin sudah tiba masanya kita mengenakan hukuman lebih berat terhadap pesalah vandalisme seperti dilaksanakan di negara maju. . 
Pelaksanaan undang-undang lain seperti menetapkan pesalah vandalisme menjalankan kerja-kerja khidmat sosial juga wajar dipertimbangkan. Mereka boleh diwajibkan menggunakan pakaian seragam pesalah vandalisme sebagai pengajaran agar tidak mengulangi perbuatan tersebut serta menjadi teladan kepada semua. Ini kerana aktiviti vandalisme bukan perkara ringan dan boleh dianggap mudah oleh segelintir masyarakat kita terutama generasi muda.
Tiada kesedaran sivik dan kurangnya nilai murni dalam diri sesetengah anggota masyarakat serta pengaruh rakan sebaya menjadi faktor kes vandalisme membabitkan harta benda awam terus berlaku. Ia memerlukan kerjasama semua pihak dalam usaha mengatasinya.

Peranan ibu-bapa, guru, tokoh masyarakat, ulama dan ahli politik wajar digembleng secara serius bagi mencari formula paling berkesan mengekang budaya tidak sihat ini. Media massa juga perlu memainkan peranan memberi kesedaran kepada masyarakat mengenai masalah kronik ini agar tidak menjadi barah dalam masyarakat.  

sumber maklumat : Berita Harian

Awalan meN-

Munsyi Md Rasul bin Haron@Amatara Bahagian Matrikulasi 30 Jun 2022 Panduan Bahasa PROSES PENGIMBUHAN 2) Awalan meN- fungsi pengg...