Rabu, 17 Ogos 2011

Sorotan Sejarah Adat Perpatih





Adat Perpatih
Adat ini berasal dari tanah Minangkabau, Sumatera, diasaskan oleh seorang pemimpin Minang bernama Sutan Balun yang bergelar Dato' Perpatih Nan Sebatang. Adat ini adalah amalan dan peraturan hidup yang ditentukan bagi masyarakat Minangkabau yang rata-ratanya adalah petani ketika itu. Tidak ada tarikh yang tepat dicatatkan bila adat ini diwujudkan. Pada umumnya Adat Perpatih telah dibawa ke Semenanjung Tanah Melayu (Semenanjung Malaysia) oleh perantau-perantau Minangkabau pada abad ke 14 Masehi.

Biar Mati Emak Jangan Mati  AdatPepatah `biar mati anak, jangan mati adat' cukup sinonim dengan budaya masyarakat pengamal adat Perpatih di Negeri Sembilan.
Adat Perpatih ini diwariskan dari generasi ke generasi melalui kata-kata perbilangan. Ia merangkumi pelbagai aspek kehidupan masyarakat termasuk soal harta pusaka, perlantikan pemimpin, hukum nikah kahwin, amalan bermasyarakat, sistem menghukum mereka yang melanggar adat atau melakukan kesalahan dan pelbagai aspek lagi. Setiap peraturan atau adat itu ada perbilangannya dan setiap peraturan itu ada rasional atau sebab-sebab terjadinya hukum atau adat itu.

Adat  Merupakan Peraturan Hidup
Adat Perpatih merupakan suatu peraturan hidup yang sistematik dengan berteraskan keharmonian hidup masyarakat yang diamalkan oleh orang Negeri Sembilan dan Naning di Melaka. Sebagai satu cara hidup, adat Perpatih mempunyai peraturan asas yang tidak boleh diubah langsung. Perkara asas itu termasuklah hidup bersuku, mengira keturunan daripada nasab ibu, perwarisan tanah pusaka dan lain-lain lagi. Sistem sosial tersebut mengandungi sistem nilai, sistem kekeluargaan, sistem politik dan sistem hukum adat yang lengkap.

Perlantikan Yang di Pertuan Besar Negeri SembilanDi Malaysia, Adat Perpatih ini masih lagi wujud dan diamalkan oleh masyarakat Melayu di Negeri Sembilan yang majoritinya adalah keturunan Melayu Minangkabau. Mereka itu terbahagi kepada beberapa puak yang dipanggil suku. Perlantikan Yang Di Pertuan Besar Negeri Sembilan adalah satu-satunya warisan Adat Perpatih. Begitu juga dengan perlantikan Undang Luak yang empat iaitu Rembau, Sungai Ujung, Johol dan Jelebu semuanya adalah berteraskan kepada Adat Perpatih.
Pemasyhuran Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan dibuat bukan mengikut keturunan dari bapa ke anak tetapi melalui kebulatan (mesyuarat) oleh Undang Luak yang empat iaitu Undang Rembau, Undang Sungai Ujung, Undang Johol dan Undang Jelebu.

Struktur Masyarakat Adat PerpatihMasyarakat Adat Perpatih terbahagi kepada tiga kumpulan utama iaitu Perut, Suku dan Luak. Perut adalah unit sosio- politik yang terkecil di mana anggota sesuatu perut itu adalah berasal daripada moyang (keturunan perempuan) yang sama. Mereka ini sangat rapat dan lazimnya tinggal di sesuatu perkampungan atau kawasan yang sama.
Setiap perut mempunyai seorang ketua yang digelar Buapak. Buapak ini dipilih oleh anak-anak buah di dalam sesuatu perut berkenaan.
Kumpulan yang kedua ialah suku. Suku dibentuk oleh beberapa perut yang menjadikan keluarga berkenaan semakin besar. Suku diketuai oleh seorang ketua yang digelar Dato' Lembaga.
Kumpulan ketiga ialah Luak. Luak adalah unit kawasan pentadbiran dari segi adat di mana ada empat luak utama iaitu Rembau, Sungai Ujung, Johol dan Jelebu. Setiap luak diketuai oleh seorang Undang.
Selain daripada empat luak utama ini ada satu lagi luak yang kelima dipanggil Luak Tanah Mengandung. Luak Tanah Mengandung ini adalah terdiri daripada lima luak kecil di Seri Menanti iaitu Luak Inas, Luak Ulu Muar, Luak Gunung Pasir, Luak Terachi dan Luak Jempol. Setiap luak kecil ini ditadbirkan oleh seorang ketua. Luak adalah unit kawasan pentadbiran dari segi adat di mana ada empat luak utama iaitu Rembau, Sungai Ujung, Johol dan Jelebu. Setiap luak diketuai oleh seorang Undang.



Keutamaan WanitaAdat pepatih lebih mementingkan kaum wanita daripada lelaki. Pada dasarnya, adat ini adalah adat yang terbaik di Negeri Melayu kerana ia sangat mencakupi segala aspek. Keutamaan wanita di dalam adat pepatih sebenarnya lebih kepada mewarisi harta pusaka dan membawa darah keturunan. Berbeza dari kesultanan Melayu yang lain, harta dan darah keturunan di warisi oleh kaum lelaki.
Menurut adat pepatih, wanita yang mengandungkan dan melahirkan anak maka wanitalah yang membawa darah keturunan kepada pewaris iaitu anaknya. Dari segi harta pula, hanya harta pusaka iaitu termasuk tanah dan rumah induk diwarisi oleh wanita bertujuan agar kaum wanita tidak terabai sekiranya dicerai suami.
Harta Sepencarian
Namun demikian harta sepencarian adalah milik bersama lelaki dan wanita yang di bahagi mengikut hukum Islam. Harta atau tanah yang diperolehi sebagai harta sepencarian maka pembahagiannya adalah menurut hukum faraid (tidak ada kena mengena dengan tanah adat yang hanya untuk perempuan sahaja).

Harta Pusaka Tidak Boleh DijualHasil positif daripada pengamalan adat pepatih ini, harta pusaka tidak tergadai kerana tidak boleh dijual. Dalam sesebuah kampung, biasanya terdiri daripada saudara mara kerana tanah pusaka telah dibahagi dari awal keturunan kepada generasi sekarang. Dalam erti kata lain, di dalam sebuah kawasan, biasanya terdiri dari keluarga dari satu keturunan. Bulat air kerana pembentung, bulat manusia kerana muafakat.
Maka sehingga hari ini, suasana itu terbukti apabila daerah Port Dickson bukan merupakan pengamal adat Perpatih, sementara daerah seperti Rembau, Jelebu dan Kuala Pilah dinobat sebagai antara pengikut kuat kepada adat ini.       
                                                                              
Prinsip-prinsip Adat PerpatihAdat Perpatih mempunyai lima prinsip utama.
1. Keturunan dikira melalui nasab ibu: Adat Perpatih memberi keistimewaan kepada perempuan yang dianggap bonda kandung iaitu ibu yang melahirkan anggota-anggota masyarakat. Seseorang individu itu adalah anggota suku ibunya dan bukan anggota suku bapanya.
2. Tempat Kediaman adalah di kawasan ibu isteri: Apabila berlangsungnya sesuatu perkahwinan, si lelaki akan meninggalkan kampung halamannya dan menetap di kawasan ibu isterinya sebagai orang semenda. Pada zaman dahulu si lelaki akan mengusahakan tanah keluarga isterinya.
3. Perempuan mewarisi pusaka, lelaki menyandang saka: Hanya lelaki sahaja yang berhak menyandang saka (jawatan-jawatan dalam adat) manakala perempuan adalah mewarisi harta pusaka keluarga ibunya.
4. Perkahwinan seperut atau sesuku adalah dilarang: Dalam sesuatu perut dan suku, hubungan adalah rapat dan si lelaki menganggap perempuan dalam perut atau sukunya adalah saudara perempuannya. Begitu juga sebaliknya. Oleh itulah perkawinan sesama suku ini adalah terlarang. Perempuan yang berkahwin sesama suku akan hilang haknya untuk mewarisi harta pusaka ibunya manakala lelaki pula akan hilang hak untuk menyandang sebarang jawatan dalam adat.
5. Orang luar boleh menjadi ahli sesuatu suku: Untuk tujuan perkahwinan atau waris mewarisi, dibenarkan orang luar untuk menjadi ahli sesuatu suku dengan cara melalui upacara berkedim. Dalam upacara ini seseorang itu akan bersumpah taat setia dan bersaudara dengan ahli-ahli suku yang akan disertainya.

Amalan Adat Perpatih MasakiniPada masa ini Adat Perpatih di Negeri Sembilan hanya diamalkan pada urusan-urusan tertentu sahaja seperti nikah kahwin, pemberian pusaka dan perlantikan pemimpin. Selain daripada itu amat kurang adat ini dipraktikkan.
Pembahagian HartaPersoalan yang sering wujud mengenai Adat Perpatih adalah mengenai pemberian harta pusaka yang memberikan kelebihan kepada perempuan. Inilah satu-satunya isu dalam Adat Perpatih yang selalu disalah fahamkan. Sebenarnya, pemberian pesaka yang dimaksudkan dalam adat ini ialah pemberian tanah adat. Tanah adat ini adalah tanah yang turun temurun daripada nenek moyang sesuatu keluarga. Tanah adat ini diberikan kepada perempuan ialah semata-mata untuk menjaga kehormatan dan maruah kaum wanita Adat Perpatih.
Ini bermakna seorang wanita Adat Perpatih walau miskin macam mana pun tidak akan merempat atau menjual maruahnya untuk hidup. Jika pulang ke kampungnya dia sudah mempunyai tanah kampung dan sawah untuk dikerjakan sebagai penyambung rezeki. Manakala anak lelaki pula dianggap lebih teguh dan tahu untuk terus berusaha untuk hidup (survival).
KesimpulanWalau pun adat Perpatih pada masa ini masih terus diamalkan oleh masyarakat Melayu Negeri Sembilan tetapi ia kini telah mengalami perubahan mengikut arus zaman.
iaitu berubah dari segi bentuknya, tetapi isi atau prinsipnya masih kekal sehingga hari ini. Ini jelas dilaksanakan dalam adat perkahwinan dan adat resam semasa.  Pelaksanaan adat ini mempunyai kelebihan dan hujahnya sendiri demi kebaikan anggota masyarakat yang mengamalkan adat tersebut. Setiap peraturan   dalam Adat Perpatih ada perbilangannya dan setiap peraturan itu ada rasional atau sebab-sebab terjadinya hukum atau adat tersebut.



REALITI, SEJARAH TERAS 1 MALAYSIA




Banyak pendapat telah dimajukan oleh pelbagai pihak tentang konsep 1 Malaysia yang telah perkenalkan oleh Perdana Menteri Datuk Sri Najib Tun Abdul Razak apabila beliau mengambil alih teraju kepimpinan kerajaan pada 3 April yang lalu.

Matlamat konsep 1 Malaysia ini adalah murni iaitu bagi memupuk dan mengukuhkan perpaduan nasional satu matlamat yang telah menjadi keutamaan setiap Perdana Menteri Malaysia semenjak Almarhum Tunku Abdul Rahman lagi. Pemupukan dan pengukuhan perpaduan ini menjadi keutamaan kepada mereka kerana mereka sedar tanpa usaha tersebut mana mungkin Malaysia yang bersifat pelbagai kaum akan mampu mengekalkan kelangsungannya sebagai sebuah negara yang aman dan makmur. Hari ini misi dan visi mulia ini diteruskan pula oleh Najib.

Walaupun matlamatnya adalah murni namun ada pihak berkepentingan yang cuba memutarbelitkan hasrat beliau dengan menyamakan konsep ini dengan konsep Malaysian Malaysia atau Malaysia untuk orang Malaysia konsep yang menjadi teras perjuangan DAP. Penyamaan ini telah menimbulkan kegusaran kepada orang Melayu/bumiputera kerana ia satu konsep yang amat sensitif kepada mereka. Sensitiviti terhadap konsep ini terbentuk kerana walaupun konsep Malaysia untuk orang Malaysia ini berbunyi muluk dan bersifat halwa telinga kepada pendengarnya namun ia tidak berpijak di bumi nyata kerana gagal mengambil kira faktor sejarah dan realiti tempatan.
Teras asas konsep ini ialah penolakan kepada sebarang bentuk tindakan afirmatif dan pelaksanaan prinsip meritokrasi sepenuhnya di dalam dasar-dasar negara terutamanya dasar sosioekonomi. Di dalam konteks Malaysia ketiadaan tindakan afirmatif dan pelaksanaan meritokrasi yang tidak mengambil kira realiti ketidakseimbangan sosioekonomi antara kaum akan hanya menghasilkan ketidakadilan serta ketidaksaksamaan yang akhirnya akan mengakibatkan diskriminasi minoriti ke atas majoriti.

Konsep 1 Malaysia berbeza dari Malaysian Malaysia kerana konsep ini bertunjangkan kepada realiti tempatan dan sejarah negara. Memahami dan menghayati sejarah amat penting kerana seperti mana kata seorang Ahli Falsafah Amerika berketurunan Sepanyol George Santayana, "Mereka yang tidak belajar dari sejarah akan disumpah mengulanginya". Jika kita mengikuti ucapan Najib semasa merasmikan Sambutan Minggu Perpaduan 2009 Peringkat Kebangsaan baru-baru ini kita akan mendapati beliau sebenarnya telah pun membezakan antara kedua-dua konsep ini apabila memperincikan tiga teras utama konsep 1 Malaysia iaitu penerimaan, kenegaraan dan keadilan sosial.

Teras pertama 1 Malaysia yang beliau nyatakan ialah mengubah asas perhubungan kaum di Malaysia dari konsep toleransi kepada konsep penerimaan. Transformasi dari toleransi kepada penerimaan ini amat penting kerana untuk Malaysia mencapai kemakmuran dan keharmonian ia memerlukan iltizam rakyat Malaysia dari pelbagai kaum. Ini termasuklah bagi merealisasikan matlamat untuk menjadi sebuah negara maju yang berpendapatan tinggi serta bebas kemiskinan.

Untuk negara terus berada di hadapan keluk kejayaan semua rakyat Malaysia perlu terus membina di atas persamaan yang ada dan pada masa yang sama berlapang dada menerima perbezaan yang wujud di antara satu sama lain tanpa bersikap menghakimi atau menilai. Kita perlu meraikan perbezaan yang wujud sebagai sumber kekuatan bukannya terperangkap dengan polemik yang berpunca dari perkara titik bengik sehingga melupakan matlamat besar bersama.
Gundah-Gulana

Teras kedua 1 Malaysia ialah kenegaraan yang bertunjangkan prinsip-prinsip yang terkandung di dalam Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara. Perlembagaan Persekutuan adalah merupakan undang-undang tertinggi negara manakala lima prinsip Rukun Negara bertindak sebagai ideologi kebangsaan adalah asas yang terbaik untuk memupuk dan mengukuhkan Perpaduan Nasional. Oleh yang sedemikian janganlah mana-mana kaum menjadi gundah-gulana kerana 1 Malaysia tidak sekali-kali bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan. Orang-orang Melayu/bumiputera juga tidak perlu bimbang bahawa 1 Malaysia akan menyimpang dari peruntukan yang sudah sedia ada di dalam undang-undang tertinggi negara terutamanya Perkara 153 (Hak-hak Istimewa Melayu/bumiputera).

Teras ketiga 1 Malaysia seperti mana yang diterangkan oleh Perdana Menteri pula ialah keadilan sosial. Tragedi hitam 13 Mei 1969 mengejutkan rakyat Malaysia kepada realiti bahawa perpaduan nasional tidak boleh menyubur jika ketidakseimbangan sosioekonomi berlaku. Bagi memastikan tragedi tersebut tidak berulang maka Dasar Ekonomi Baru (DEB) telah digubal dengan bermatlamatkan perpaduan dengan menggunakan dua strategi, pertama membasmi kemiskinan tanpa mengira kaum dan kedua menyusun semula masyarakat.
Walaupun DEB telah berakhir pada tahun 1990 semangatnya masih diteruskan melalui dasar-dasar pengganti sehingga hari ini. Hakikatnya tidak ada negara yang mampu maju dan makmur jika kaum majoriti terpinggir dan ketinggalan dari segi sosioekonomi jika adapun sejarah telah menunjukkan kemajuan dan kemakmuran tersebut bersifat sementara kerana negara berkenaan bukanlah sebuah negara yang stabil. Ia ibarat sebuah peti yang penuh dengan serbuk letupan yang tidak stabil dan hanya menunggu satu percikan untuk menyebabkannya meletup.

Namun semua pihak harus memahami hakikat bahawa dasar pengagihan yang adil melalui tindakan afirmatif tidak akan berjaya di dalam kek ekonomi yang gagal berkembang secara sihat dan mapan. Kita tidak boleh bersikap dogmatik di dalam mengurus ekonomi sebaliknya kita perlu bersikap pragmatik dan sanggup memikir di luar dari kotak kelaziman.
Malaysia hari ini berada di persimpangan jalan sementara kita bukan lagi sebuah pusat pelaburan menarik untuk sektor pembuatan yang berkos rendah namun kita juga belum mencapai tahap sebuah ekonomi yang mampu menarik pelaburan bernilai tinggi yang berasaskan inovasi dan kreativiti. Sehubungan dengan itu semua pihak mempunyai kepentingan di dalam memastikan ekonomi Malaysia meningkat ke rantaian seterusnya dan kekayaan negara bertambah.

1 Malaysia ini sebagai satu imperatif politik yang penting kepada perpaduan nasional. Janganlah kita membiarkan sentimen politik jangka pendek mewarnai cara kita berpolitik di bumi bertuah ini. Adalah satu kepelikan di negara ini apabila kita mendapati bahawa terdapat parti-parti politik yang kononnya mendakwa mereka bersifat pelbagai kaum dan memperjuangkan konsep Malaysia untuk orang Malaysia tetapi pada hakikatnya adalah jauh dari sifat kemajmukan. Jika parti-parti ini bersifat pelbagai kaum maka sudah tentu senarai keahlian dan kepimpinan mereka akan mencerminkan fakta tersebut. Kesimpulannya jika hampir keseluruhan ahli-ahli dan kepimpinan mereka datang dari satu kaum sahaja maka lebih eloklah parti politik ini menukar status mereka kepada parti satu kaum bukannya parti pelbagai kaum.

Adalah diharapkan bahawa usaha pemupukan dan pengukuhan perpaduan nasional akan mampu bergerak secara lebih terarah kemas dan jitu melalui inisiatif konsep 1 Malaysia. Kita semua adalah rakyat Malaysia yang lahir, mencari rezeki dan membina kehidupan di bumi bertuah ini. di sinilah bumi dipijak dan di sinilah juga langit dijunjung. Yakinlah bahawa pelaburan yang kita buat dalam usaha memupuk dan mengukuhkan perpaduan nasional adalah pelaburan yang berbaloi kerana masa depan anak-anak kita dan kelangsungan negara kita bergantung kepadanya.

WASPADA DENGAN KES SIMBAH ASID DI JALANAN





Abstrak
Kes simbah asid terutamanya pada wanita semakin menjadi-jadi di sekitar Lembah Klang. Simbah asid dianggap sebagai suatu cara untuk membalas dendam dan melepaskan geram oleh segolongan manusia yang tidak berperikemanusiaan. Masyarakat memandang hal ini dengan serius kerana isu ini akan menggugat keselamatan dan ketenteraman orang ramai sekiranya pihak berkuasa tidak bertindak untuk menyelesaikan masalah ini secepat mungkin.
Pengenalan
Kes simbah asid ini dipercayai dilakukan oleh dua orang lelaki misteri yang menunggang motosikal dengan sengaja menyimbah asid terhadap wanita yang berjalan dengan sendirian di kawasan sekolah, kawasan yang tidak sesak seperti tempat letak kereta dan laluan ke stesen transit aliran ringan (LRT). Dipercayai suspek menggunakan jenis cecair kimia ‘Oxidizing Agent’ atau ‘Alkaline-based’ sebagai senjata untuk menyerang golongan wanita. Terdapat sumber yang mengatakan bahawa jenis cecair tersebut boleh didapati secara mudah dengan harga yang murah.
Menurut Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil, peraturan terhadap pembelian dan penjualan cecair tersebut perlu diperketat bagi mengelakkan cecair tersebut digunakan secara sewenang-wenangnya. Dua orang lelaki yang mungkin menghadapi masalah mental dipercayai setakat ini terlibat dalam 22 kes simbah asid di Lembah Klang dalam masa beberapa bulan ini iaitu dari bulan Februari 2011 hingga 8 Mei 2011.
Kes-Kes Yang Pernah Terjadi
· 20 Mei 2011 – Mangsa adalah seorang wanita yang merupakan kakitangan sebuah bank disimbah cecair warna merah ketika memandu kereta di Jalan Tun Tan Cheng Lock. Mangsa tidak membuka tingkap keretanya, lagipun cecair itu tidak mendatangkan sebarang kecederaan.
· 13 Mei 2011 - Seorang wanita yang berada dalam keretanya dan menurunkan cermin kenderaannya sebelum  disimbah sejenis cecair oleh penunggang motosikal. Kesan simbahan hanya menimbulkan kegatalan.
· 8 Mei 2011 - Seorang ibu dan anak perempuannya yang berusia setahun menjadi mangsa simbah asid di hadapan rumahnya di Persiaran Titiwangsa.
· 7 Mei 2011 - Dua wanita disimbah asid oleh penunggang motosikal dari arah belakang di Jalan Pudu Lama.
· 7 Mei 2011 - Seorang peguam wanita yang berumur dalam lingkungan 30-an disimbah asid berhampiran tempat letak kereta pusat beli-belah di Jalan Putra.
· 25 Mac 2011 -Seorang guru pula menjadi mangsa simbahan asid di Jalan Sultan Abdul Samad, Brickfields.
· 24 Mac 211 - Dua orang eksekutif pemasaran disimbah asid di Jalan Tun Sambanthan.
· 2 Mac 2011 – Seorang guru dan lapan orang murid Sekolah Kebangsaan Bukit Bandaraya, Jalan Bangkung, Bangsar diserang dengan asid oleh penunggang motosikal.

Petua Berwaspada Hadapi Situasi Ini
  • Undang-undang tentang pembelian, penjualan dan penyimpanan asid perlu diperketat oleh pihak berkuasa.
  • Wanita dinasihatkan supaya tidak berjalan berseorangan. Dinasihatkan supaya sentiasa membawa teman (ibu bapa, suami atau anggota keluarga) bersama.
  • Sentiasa memakai jaket atau baju yang berlebihan. Sekiranya terkena simbahan asid pada jaket atau baju tersebut cepat-cepat tanggalkannya supaya cecair tidak terkena luka pada kulit.
  • Sentiasa bawa senjata dalam beg tangan anda seperti payung, botol atau pepper spray. Di samping membawa air botol untuk membasuh kesan simbahan cecair tersebut.
  • Jalan jauh daripada jalan raya dan sentiasa berhati-hati sekiranya terdapat motosikal yang cuba menghampiri anda.
  • Pemandu kereta dinasihatkan supaya menutup tingkap kenderaan dan tidak membukanya jika ada orang datang mengetuk kecuali tempat tersebut benar-benar selamat.
  • Laporkan segera kepada pihak polis atau hubungi Rakan Cop di talian 03-21159999 sekiranya ternampak kejadian serangan simbah asid atau cubaan disimbah asid pada anda.

Kesimpulannya
Kejadian simbah asid yang berlaku di negara kita bukan sahaja melibatkan kaum wanita malah kanak-kanak turut menjadi mangsa serangan simbah asid ini. Walaupun pihak polis mempertingkat pemantauan dan pemeriksaan di beberapa tempat di Lembah Klang yang disyaki menjadi tumpuan lelaki misteri motosikal tersebut namun kesedaran diri untuk mengambil langkah-langkah berjaga adalah amat penting. Oleh itu, sikap berhati-hati perlu ada pada setiap orang khususnya wanita bagi mengelakkan kaum wanita terus menjadi mangsa simbahan asid.

Dua sekolah rendah agama dibina di Sarawak tahun depan




The Borneo Post

Posted on August 16, 2011, Tuesday


KUCHING: Kerajaan negeri bakal membina dua sekolah rendah agama menjelang tahun depan menerusi Rancangan Malaysia Ke-10.
Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Hal Ehwal Islam) Datuk Daud Abdul Rahman berkata, dua sekolah itu nanti masing-masing dibina di Mukah dan Kuching.
“Kerajaan membina dua lagi sekolah rendah agama adalah bagi memenuhi permintaan dan keperluan di kedua-dua kawasan itu menerusi peruntukan daripada kerajaan negeri,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) Sekolah Agama Bantuan Kerajaan di SMK Tun Ahmad Zaidi di sini semalam.
Daud memberitahu dengan adanya dua lagi sekolah rendah agama di Sarawak ia dapat menambah peluang anak-anak tempatan untuk belajar di sekolah tersebut.
“Sekarang ini kita ada lapan sekolah agama, dua sekolah menengah dan selebihnya sekolah rendah di setiap bahagian iaitu Kuching, Samarahan, Sri Aman, Sarikei, Sibu, Bintulu, Miri dan Limbang kecuali Mukah dan Kapit,” katanya.
Tambahnya, dengan adanya MoU tersebut, ia dapat memudahkan urusan pentadbiran dan pembangunan sekolah agama di negeri ini.
“Saya berharap dengan adanya MoU ini ia dapat memudahkan kerajaan menghulurkan bantuan serta meningkatkan mutu prestasi pelajar di sekolah ini sekali gus mencapai sasaran kita untuk menjadi sekolah berprestij di negeri ini,” ujarnya.
Hadir sama Yang Dipertua Majlis Islam Sarawak Datu Putit Matzen, Mufti Negeri Sarawak Ustaz Kipli Yasin, Ketua Setiausaha Kementerian Pelajaran Malaysia Datuk Dr Rosli Mohamed dan tetamu kehormat lain.

2 bahasa ajar Sains, Matematik




MUHYIDDIN menyampaikan hadiah kepada adik-beradik dari Sekolah Menengah 
Kebangsaan King George V, Negeri Sembilan, Lee Shan Shan dan Lee Ching 
Ching serta guru mereka, Chan Sook Lai (kanan) yang memenangi Pertandingan 
Kreatif Sains dan Matematik Kebangsaan 2011 Kategori Sekolah Menengah di Putrajaya semalam.



PUTRAJAYA - Kementerian Pelajaran masih mengkaji kemungkinan menggunakan dua bahasa untuk mengajar Sains dan Matematik di sekolah, kata Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Beliau yang juga Menteri Pelajaran berkata, kajian itu perlu dilakukan dalam konteks kerajaan telah memutuskan dasar Memartabatkan Bahasa Melayu, Memperkukuhkan Bahasa Inggeris (MBMMBI) sama ada tawaran atau pilihan boleh dibuat kepada mana-mana sekolah yang berminat tanpa menimbulkan sebarang masalah.
Katanya, kajian itu sedang dilakukan oleh sebuah jawatankuasa kecil yang telah ditubuhkan dan diketuai oleh Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Abdul Ghafar Mahmud.
"Ini kerana yang kita utamakan dalam dasar baru kita iaitu untuk memperkukuhkan bahasa Inggeris. Saya tahu ramai ibu bapa berminat tentang soal pembelajaran dan penguasaan bahasa Inggeris.
"Jadi apabila ada saranan begitu, mungkin ada pihak yang menyatakan boleh tak beri kelonggaran,'' katanya kepada pemberita selepas menyampaikan hadiah kepada pemenang Pertandingan Kreatif Sains dan Matematik Kebangsaan 2011 di sini semalam.
April lepas, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, kerajaan akan mendapatkan input daripada ibu bapa sebelum memutuskan mengenai pengajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris di sekolah-sekolah. - Bernama

4 parah diserang pelajar guna besi



Oleh Kalidevi Mogan Kumarappa dan Siti Nor Hidayatidayu Razali(am@hmetro.com.my)



KUALA LUMPUR: Empat pelajar sekolah menengah parah selepas diserang lebih 30 pelajar sebuah sekolah menengah lain yang sebahagiannya bersenjatakan besi, cota dan topi keledar, semalam.
Kejadian berlaku ketika waktu pulang sekolah kira-kira jam 1.15 tengah hari di pekarangan sebuah sekolah di Bukit Nanas, di sini.

Timbalan Ketua Siasatan Jenayah Operasi dan Risikan Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Khairi Arasa, berkata kejadian dipercayai berpunca daripada rasa tidak puas hati antara dua kumpulan pelajar terbabit.


“Empat pelajar yang cedera itu berusia 17 tahun. Seorang cedera di kepala, seorang retak tangan kanan manakala dua lagi cedera di beberapa anggota badan.




“Mereka dibawa ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk menerima rawatan dan kini dilaporkan stabil,” katanya ketika dihubungi, semalam.









Awalan meN-

Munsyi Md Rasul bin Haron@Amatara Bahagian Matrikulasi 30 Jun 2022 Panduan Bahasa PROSES PENGIMBUHAN 2) Awalan meN- fungsi pengg...