Rabu, 17 Ogos 2011

WASPADA DENGAN KES SIMBAH ASID DI JALANAN





Abstrak
Kes simbah asid terutamanya pada wanita semakin menjadi-jadi di sekitar Lembah Klang. Simbah asid dianggap sebagai suatu cara untuk membalas dendam dan melepaskan geram oleh segolongan manusia yang tidak berperikemanusiaan. Masyarakat memandang hal ini dengan serius kerana isu ini akan menggugat keselamatan dan ketenteraman orang ramai sekiranya pihak berkuasa tidak bertindak untuk menyelesaikan masalah ini secepat mungkin.
Pengenalan
Kes simbah asid ini dipercayai dilakukan oleh dua orang lelaki misteri yang menunggang motosikal dengan sengaja menyimbah asid terhadap wanita yang berjalan dengan sendirian di kawasan sekolah, kawasan yang tidak sesak seperti tempat letak kereta dan laluan ke stesen transit aliran ringan (LRT). Dipercayai suspek menggunakan jenis cecair kimia ‘Oxidizing Agent’ atau ‘Alkaline-based’ sebagai senjata untuk menyerang golongan wanita. Terdapat sumber yang mengatakan bahawa jenis cecair tersebut boleh didapati secara mudah dengan harga yang murah.
Menurut Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil, peraturan terhadap pembelian dan penjualan cecair tersebut perlu diperketat bagi mengelakkan cecair tersebut digunakan secara sewenang-wenangnya. Dua orang lelaki yang mungkin menghadapi masalah mental dipercayai setakat ini terlibat dalam 22 kes simbah asid di Lembah Klang dalam masa beberapa bulan ini iaitu dari bulan Februari 2011 hingga 8 Mei 2011.
Kes-Kes Yang Pernah Terjadi
· 20 Mei 2011 – Mangsa adalah seorang wanita yang merupakan kakitangan sebuah bank disimbah cecair warna merah ketika memandu kereta di Jalan Tun Tan Cheng Lock. Mangsa tidak membuka tingkap keretanya, lagipun cecair itu tidak mendatangkan sebarang kecederaan.
· 13 Mei 2011 - Seorang wanita yang berada dalam keretanya dan menurunkan cermin kenderaannya sebelum  disimbah sejenis cecair oleh penunggang motosikal. Kesan simbahan hanya menimbulkan kegatalan.
· 8 Mei 2011 - Seorang ibu dan anak perempuannya yang berusia setahun menjadi mangsa simbah asid di hadapan rumahnya di Persiaran Titiwangsa.
· 7 Mei 2011 - Dua wanita disimbah asid oleh penunggang motosikal dari arah belakang di Jalan Pudu Lama.
· 7 Mei 2011 - Seorang peguam wanita yang berumur dalam lingkungan 30-an disimbah asid berhampiran tempat letak kereta pusat beli-belah di Jalan Putra.
· 25 Mac 2011 -Seorang guru pula menjadi mangsa simbahan asid di Jalan Sultan Abdul Samad, Brickfields.
· 24 Mac 211 - Dua orang eksekutif pemasaran disimbah asid di Jalan Tun Sambanthan.
· 2 Mac 2011 – Seorang guru dan lapan orang murid Sekolah Kebangsaan Bukit Bandaraya, Jalan Bangkung, Bangsar diserang dengan asid oleh penunggang motosikal.

Petua Berwaspada Hadapi Situasi Ini
  • Undang-undang tentang pembelian, penjualan dan penyimpanan asid perlu diperketat oleh pihak berkuasa.
  • Wanita dinasihatkan supaya tidak berjalan berseorangan. Dinasihatkan supaya sentiasa membawa teman (ibu bapa, suami atau anggota keluarga) bersama.
  • Sentiasa memakai jaket atau baju yang berlebihan. Sekiranya terkena simbahan asid pada jaket atau baju tersebut cepat-cepat tanggalkannya supaya cecair tidak terkena luka pada kulit.
  • Sentiasa bawa senjata dalam beg tangan anda seperti payung, botol atau pepper spray. Di samping membawa air botol untuk membasuh kesan simbahan cecair tersebut.
  • Jalan jauh daripada jalan raya dan sentiasa berhati-hati sekiranya terdapat motosikal yang cuba menghampiri anda.
  • Pemandu kereta dinasihatkan supaya menutup tingkap kenderaan dan tidak membukanya jika ada orang datang mengetuk kecuali tempat tersebut benar-benar selamat.
  • Laporkan segera kepada pihak polis atau hubungi Rakan Cop di talian 03-21159999 sekiranya ternampak kejadian serangan simbah asid atau cubaan disimbah asid pada anda.

Kesimpulannya
Kejadian simbah asid yang berlaku di negara kita bukan sahaja melibatkan kaum wanita malah kanak-kanak turut menjadi mangsa serangan simbah asid ini. Walaupun pihak polis mempertingkat pemantauan dan pemeriksaan di beberapa tempat di Lembah Klang yang disyaki menjadi tumpuan lelaki misteri motosikal tersebut namun kesedaran diri untuk mengambil langkah-langkah berjaga adalah amat penting. Oleh itu, sikap berhati-hati perlu ada pada setiap orang khususnya wanita bagi mengelakkan kaum wanita terus menjadi mangsa simbahan asid.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Awalan meN-

Munsyi Md Rasul bin Haron@Amatara Bahagian Matrikulasi 30 Jun 2022 Panduan Bahasa PROSES PENGIMBUHAN 2) Awalan meN- fungsi pengg...