Selasa, 4 Oktober 2011

KESIHATAN FAKTOR PENTING DALAM MELANJUTKAN HAD UMUR PERSARAAN - CUEPACS




Bernama
1/10/2011


JOHOR BAHARU, 1 Okt (Bernama) -- Faktor kesihatan akan menjadi perkara yang penting dalam menentukan had umur persaraan penjawat awam yang dicadang dinaikkan daripada 58 ke 60 tahun, kata presiden CUEPACS, Datuk Omar Osman.

Beliau berkata ini bagi memastikan penjawat awam mampu memikul tugas untuk membantu melaksanakan agenda kerajaan dalam membangunkan negara.

"Hanya mereka yang benar-benar sihat dan cergas boleh dilanjutkan had umur persaraan mereka kerana kita tidak mahu mereka asyik mengambil cuti sakit," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Agung Kesatuan Kebangsaan Pembantu Tadbir Kesihatan Semenanjung Malaysia di sini hari ini.

Beliau juga berkata ramai penjawat awam akan memilih untuk bersara khasnya wanita dan ini akan menjadikan hanya 40 peratus sahaja penjawat awam yang bakal bersara, dijangka terus bekerja sehingga usia 60 tahun.

Omar juga menjelaskan bahawa apa yang CUEPACS mahu ialah lanjutan umur persaraan tidak diberikan secara opsyen seperti sekarang di mana penjawat awam terpaksa membuat permohonan terlebih dahulu untuk bekerja secara kontrak hingga usia 58 tahun.

Sehubungan itu katanya, satu mekanisme khas perlu diwujudkan bagi menentukan penjawat awam boleh terus berkhidmat sehingga usia 60 tahun.

Golongan muda dan mereka yang masih belajar di universiti katanya, tidak perlu bimbang terhadap cadangan tersebut kerana ia tidak memberi kesan yang banyak.

Menurut beliau, banyak peluang akan wujud pada masa akan datang berikutan kerajaan kini melaksanakan pelan transformasi dan apa yang penting ialah bagi menyiapkan diri dengan pelbagai ilmu kemahiran.

Dalam pada itu Omar berharap Kementerian Kesihatan mempertimbangkan untuk turut menempatkan pembantu tadbir kesihatan bergred tinggi di hospital-hospital daerah.

Ini katanya akan dapat memberikan ruang kenaikan pangkat yang lebih besar kepada pembantu-pembantu tadbir kesihatan.

-- BERNAMA

Awalan meN-

Munsyi Md Rasul bin Haron@Amatara Bahagian Matrikulasi 30 Jun 2022 Panduan Bahasa PROSES PENGIMBUHAN 2) Awalan meN- fungsi pengg...