Subjek Sejarah perlu disyaratkan wajib lulus di sekolah bagi mendidik generasi muda untuk memahami situasi sebenar penubuhan negara ini yang berlandaskan kepelbagaian kaum. Semakin ramai generasi muda menafikan sejarah hingga sanggup mempersoalkan bantuan kepada golongan memerlukan yang dianggap berat sebelah dan tidak adil. Sikap sedemikian rupa, secara tidak langsung membuatkan mereka sukar memahami program transformasi kerajaan dan ekonomi yang sedang giat dijanakan.
Golongan ini sukar memahami atau sengaja buat-buat tidak faham mengapa Malaysia perlu mengikut acuan pemerintahannya tersendiri. Subjek Sejarah mesti diangkat martabatnya menjadi subjek wajib lulus di sekolah agar generasi muda pelbagai kaum dapat saling menghormati serta tidak meletakkan kepentingan puak melebihi kepentingan nasional. Kerajaan serta golongan dewasa juga perlu mencari pendekatan berbeza bagi mendidik generasi muda mengenai Sejarah termasuk dengan memanfaatkan teknologi. Kefahaman Sejarah boleh diberi dalam bentuk pengkisahan atau penceritaan. Selain itu terapkan juga elemen sejarah melalui filem, animasi atau permainan komputer bagi menjadikan sejaran sesuatu yang ingin diketahui dan menangkap imaginasi mereka.