Selasa, 1 November 2011

Dahsyat Kebakaran keretapi






KOTA KINABALU: Anggota bomba dan penyelamat memantau tempat kejadian sejurus selepas sebuah kereta api penumpang dan lori tangki minyak bertembung dan terbakar dekat Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu, Sabah, petang semalam.
Tiada kemalangan jiwa dilaporkan dalam kejadian itu. — Gambar AFP



Kanak-kanak perempuan hilang selepas bermain dengan kawan



Utusan Borneo

Posted on November 1, 2011, Tuesday


SITI NOR HAJAR


BINTULU: Seorang Ibu tidak menduga anak perempuannya yang berusia enam tahun hilang begitu sahaja selepas bermain dengan kawan-kawannya berdekatan dengan rumahnya di Kampung Baru Laut di sini lewat petang kelmarin (Ahad).
Bahkan sebelum kehilangannya, kanak-kanak itu yang dikenal pasti sebagai Siti Nor Hajar Mohd Rashidi sempat memesan kepada ibunya untuk membeli buah rambutan.
Kali terakhir ibunya melihat anaknya itu adalah pada jam 2.30 petang kelmarin di rumahnya di sini.
Ibu kanak-kanak itu, Suriana Yunus, 27, berkata anaknya itu berkeadaan seperti biasa bahkan setiap kali dia ke pasar anaknya itu selalu memesan membeli barang makanan untuknya.
“Kelmarin anak saya ada memesan membeli buah rambutan. Dia cakap hendak makan buah itu.
“Saya pun membelinya tetapi bila saya balik dari pasar saya mencarinya dan saya tidak nampak kelibatnya di rumah dan kawasan tempat dia bermain.
“Rambutan yang anak saya pesan itu masih ada saya simpan. Saya tiba di rumah sekitar 7 malam kelmarin selepas membeli barang di kedai. Saya memanggil anak saya tetapi dia tidak menyahut.
“Lantas saya pergi mencarinya di sekitar tempat dia bermain dan rumah jiran, saya mencarinya dengan menunggang motosikal namun saya hampa tidak menjumpainya,” katanya dengan nada sebak semasa ditemui di Kampung Baru Laut di sini semalam.
Suriana berkata, anak sulungnya itu sebelum ini bersama adiknya bermain di kawasan kampung berdekatan dengan rumahnya di sini dan hilang antara jam 5 dan 6 petang.
“Adiknya Mohd Fadzley, 4, ada memberitahu saya yang kakaknya ada mengikut seseorang. Tetapi tiada saksi lain yang melihatnya.
“Saya tidak pasti sama ada anak saya itu jatuh dalam sungai, disembunyi makhluk halus atau di bawa orang lari. Itu hanya sangkaan saya,” jelasnya yang dikurniakan dua cahaya mata dan telah 11 bulan bercerai dengan suaminya.
Sambil tidak menyangka kejadian itu akan menimpa katanya: “Setiap kali saya membeli barang di kedai saya selalu meninggalkan dua anak saya dengan adik-beradik saya dan nenek mereka dan mengharapkan mereka menjaganya, namun saya tidak menyangka kejadian ini akan berlaku kerana perkara sebegini tidak pernah terjadi.
“Saya tidak mahu tuduh sesiapa mengambil anak saya itu. Polis pun telah menyiasat dan kini sedang giat mencari anak saya itu. Mungkin ada orang lain yang mengambilnya,” katanya.
Ujarnya, beberapa usaha lain yang telah saya lakukan ialah dengan menggunakan khidmat empat orang bomoh dan ada bomoh memberitahu yang anak saya disembunyikan oleh makhluk halus, ada yang mengatakan anak saya itu diculik orang dan takut untuk memberi kepada saya balik, ada yang mengatakan anak saya jatuh dalam sungai.
“Pelbagai versi cerita yang berbeza saya terima. Di samping itu ada juga saya diberitahu oleh bomoh yang anak saya itu disembunyi oleh orang yang dekat-dekat dengan kawasan kampung ini.
“Pihak polis dan pihak berkuasa lain juga telah pun bertindak mencari anak saya itu dan saya juga telah mengedarkan gambar mengenai kehilangannya di semua tempat dan pasar di sini,” katanya.
Bagaimanapun katanya, sehingga kini anaknya itu belum dijumpai dan khabar mengenainya juga belum diterima.
“Saya telah pun membuat laporan polis sekitar jam 7.30 pagi tadi (semalam),” katanya sambil menambah anaknya merupakan murid prasekolah Sekolah Kebangsaan (SK) Bintulu di sini dan tahun depan akan memasuki Tahun Satu.
Katanya, dia juga telah pun memaklumkan mengenai kehilangan anak saya itu kepada guru-gurunya di sekolah.
Justeru katanya, dia merayu sesiapa yang ada melihat atau kenal dengan anaknya agar menghubunginya di talian 013-8480265 atau bapanya, Mohd Rashidi (014-5978414) atau memaklumkan kepada balai polis terdekat.
Usaha untuk menjejaki Siti Nor Hajar juga kini giat dilakukan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat, Pasukan Gerakan Marin (PGM) sama ada di darat dan sungai. Mereka turut berada di Kampung Baru Laut di sini untuk operasi mencari Siti Nor Hajar semalam.



Elak sertai silat berunsur ‘mentera’





ALOR SETAR: Ibu bapa di negeri ini disaran agar mengawal anak-anak mereka daripada menyertai seni mempertahankan diri atau silat yang mempunyai unsur-unsur ‘mentera’ yang terpesong daripada akidah Islam.
Presiden Silat Pesaka Kedah Datuk Latt Shariman Abdullah berkata ibu bapa perlu lebih berhati-hati serta mengenal pasti terlebih dahulu jenis silat sama ada mempunyai bacaan mentera atau tidak sebelum membenarkan anak-anak mereka menyertainya.
Katanya, beliau memandang serius mengenai perkata itu kerana ia boleh memudaratkan diri pesilat serta boleh mengakibatkan berlaku kejadian yang tidak diingini terhadap masyarakat sekeliling.
“Saya berharap agar ibu bapa prihatin mengenai masalah tersebut agar anak-anak tidak terlibat dalam kegiatan persilatan yang memesongkan akidah umat Islam di negara ini,” katanya pada sidang media dekat sini malam kelmarin.
Katanya, terdapat kira-kira 300 pertubuhan silat di negeri ini yang mempunyai anggota berdaftar sebanyak 50,000 orang.
Latt Shariman berkata, generasi muda digalakkan mempelajari ilmu mempertahankan diri sebagai persediaan untuk mempertahankan diri daripada sebarang ancaman penjenayah.
Katanya, mereka yang mempelajari ilmu persilatan ini dapat mendisiplinkan diri serta dapat memupuk nilai murni masyarakat Melayu yang kian hilang pada hari ini.
Terdahulu Latt Shariman turun padang berkunjung ke Gelanggang Silat Kuntau
Patani di Kampung Sungai Batang, Tambak Bunga, Kuala Kedah dekat sini bagi mengenal pasti masalah yang dihadapi oleh pesilat dan jurulatihnya.
Latt Shariman yang juga Ketua UMNO Bahagian Kuala Kedah juga turut meluluskan peruntukan untuk membaik pulih gelanggang silat di kampung itu bagi membolehkan mereka melakukan latihan dengan lebih selesa. — Bernama



Nahas keretapi tembung lori tangki, lapan cedera: Video tempat kejadian





Tiada kematian dilaporkan, namun lapan orang cedera dalam letupan besar akibat pelanggaran antara keretapi dengan sebuah lori tangki minyak di hadapan Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu petang semalam.

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hamza Taib memberitahu pemberita di tempat kejadian penumpang-penumpang lain dalam keretapi itu sama ada berjaya menyelamatkan diri ketika pelanggaran berlaku kira-kira 5.30 petang atau mereka diselamatkan bila anggota bomba tiba.  

Mangsa-mangsa segera dihantar ke Hospital Queen Elizabeth untuk rawatan, kata beliau.   

Menurut Hamza, lori tangki itu sedang melintasi trek keretapi untuk menghantar minyak ke sebuah stesen minyak, tetapi pergerakannya agak perlahan menyebabkan keretapi berkenaan melanggarnya.  

Beliau berkata pemandu lori berusia 41-tahun dibawa oleh polis untuk siasatan, sementara pemandu keretapi berusia 51-tahun mengalami luka-luka di kaki.   

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Sabah Nordin Fauzi memberitahu Bernama lima kereta bomba ditugaskan dari balai bomba Kota Kinabalu, Penampang dan Lintas.

Beliau berkata mereka juga dibantu dengan sebuah kereta tangki air dan dua kereta bomba dari Perkhidmatan Bomba dan Penyelamat lapangan terbang itu.  

Sementara itu, seorang staf Penerbangan Malaysia Busri Asad, 39, berkata beliau nampak beberapa orang penumpang keluar melalui tingkap keretapi sejurus selepas pelanggaran berlaku.   

"Saya juga melihat orang-orang berlari ke bahagian belakang keretapi. Kira-kira 10 minit selepas pelanggaran, satu letupan berlaku dan api naik dengan marak," kata beliau.  

Busri berada di seberang jalan dari tempat kemalangan selepas habis kerja.       

Seorang setiausaha akhbar kepada menteri negeri, Arshad Hussin berkata beliau berada pada jarak kira-kira 700 meter ketika kemalangan berlaku.  

"Saya dalam perjalanan pulang dan hendak mengisi minyak di stesen. Tetapi saya membuat keputusan menghentikan kereta di tepi jalan kerana saya ternampak dari stesen itu kebakaran besar dan asap tebal.

"Lalu lintas di jalan tiga lorong terhenti di depan tempat kemalangan dan kenderaan lain bergerak jauh menuju ke lorong sebelah kanan, mengelakkan lorong sebelah kiri," katanya, dan menambah beliau turut mendengar dua letupan.   

Beliau juga nampak orang-orang dalam gerabak berlari ke bahagian belakang keretapi.  

- Bernama

Awalan meN-

Munsyi Md Rasul bin Haron@Amatara Bahagian Matrikulasi 30 Jun 2022 Panduan Bahasa PROSES PENGIMBUHAN 2) Awalan meN- fungsi pengg...