Sabtu, 24 Disember 2011

Pesakit mati selepas alat kelamin putus digigit tikus




Berlaku di Hospital SSKM semalam ke atas Arun Sandhukh, 53, semasa dia menerima rawatan kerana penyakitnya itu
Seorang pesakit radang paru-paru atau pneumonia dipercayai mengalami pendarahan teruk sehingga maut akibat alat kelamin lelakinya putus digigit tikus di sebuah hospital kerajaan di Kolkata, di India, demikian menurut laporan sebuah media tempatan.

Kejadian menakutkan itu berlaku di Hospital SSKM semalam ke atas Arun Sandhukh, 53, semasa dia menerima rawatan kerana penyakitnya itu, kata akhbar Asian Age.
Pihak berkuasa hospital berkenaan mengakui banyak tikus berkeliaran dalam wad namun enggan mengulas lebih lanjut mengenai kejadian tersebut.


"Tidak seorangpun jururawat berada bersama pesakit yang mengerang kesakitan. Alat kemaluan lelakinya putus digigit tikus," kata seorang saudara kepada lelaki malang itu yang hanya dikenali sebagai Bishwanath kepada pemberita.

Ahli keluarga mangsa yang datang melawat menemui Arun mati berlumuran darah, kata laporan itu.

Kejadian malang di hospital yang tidak cukup kelengkapan dan sesak dengan pesakit di Kolkata, ibu negeri Bengala Barat itu telah menarik tumpuan media beberapa minggu kebelakangan ini.

Sabtu lalu, seorang pekerja pembersih hospital yang pemabuk di Kolej Perubatan Calcutta dilaporkan telah mencabut topeng oksigen seorang bayi yang berusia tiga minggu mengakibatkan kematiannya.

Dalam satu lagi tragedi malang di sebuah hospital swasta juga di Kolkata, pada 9 Disember lepas, lebih 90 orang mati lemas terhidu asap dalam satu kebakaran di bangunan hospital tersebut.

- Bernama

Ari Software 




Guru ponteng isu serius



Hasil pemantauan dan pemeriksaan pihak Jemaah Nazir dan Jaminan Kualiti (JNJK)
RANAU: Kementerian Pelajaran menerusi Jabatan Pelajaran memandang serius isu ketidakhadiran guru di sekolah, tegas Pengarah Pelajaran Negeri Sabah, Datuk Dr Muhiddin Yusin.
Beliau berkata hasil pemantauan dan pemeriksaan pihak Jemaah Nazir dan Jaminan Kualiti (JNJK) pada 22 Februari 2010, mendapati seramai 117 guru dari 11 sekolah tidak hadir bertugas, manakala pada 25 Mei 2010 pula seramai 157 guru dari 14 sekolah juga tidak hadir bertugas.
“Pihak kementerian dan Jabatan Pelajaran Negeri Sabah (JPNS) berasa kesal dan memandang serius tentang ketidakhadiran guru ke sekolah,” katanya ketika ditemui di SMK Ranau, di sini.
Muhiddin menegaskan walaupun kejadian itu mungkin terpencil, namun hal berkenaan tidak boleh dibiarkan berterusan kerana ia mampu melumpuhkan sistem pendidikan negara jika tidak ditangani sewajarnya.
“Dengan itu, juga difikirkan keperluan untuk JPNS mewujudkan satu lagi program iaitu Program AKUN yang bakal dilaksanakan pada tahun 2012-2016.
“Ia bertujuan meningkatkan peratusan kehadiran guru di sekolah sekaligus memantapkan lagi keberkesanan penyampaian serta penyebaran maklumat 
pekeliling dan peraturan di 
semua peringkat, menerusi empat strategi pelaksanaan iaitu e-Cerap, Pemantauan Silang, Pemantauan Bersepadu dan e-Hadir,” katanya.
Menurut Muhiddin lagi, program itu yang bersifat serampang empat mata akan menekankan pemantapan kualiti perkhidmatan di peringkat sekolah yang menjadi cermin kejayaan dan pencapaian sebenar pendidikan.
Beliau memaklumkan e-Hadir dan e-Cerap membolehkan pemantauan kehadiran guru dan anggota kakitangan sokongan serta pelaksanaan proses pencerapan dilakukan secara online.
Sementara pemantauan bersepadu dan silang akan dapat menyelia pelbagai elemen di luar bidang masing-masing untuk meningkatkan kecekapan dan keberkesanan pengurusan termasuk ruang dan peluang kepada Pegawai Pelajaran Daerah (PPD) memantau semua sekolah di bawah kawalan masing-masing melalui pendekatan antara zon dan sekolah.
Dengan tema ‘Transformasi Sikap Ke Arah Integriti’, katanya, program itu menyediakan ruang bagi kakitangan Jabatan Pelajaran untuk mentransformasikan sikap ke arah lebih bertanggungjawab, komited dan berintegriti.
“Program AKUN ini juga tentunya memberi ruang dan peluang kepada pentadbir di sekolah dan PPD memberi khidmat serta bimbingan dengan lebih terus, bersepadu dan komprehensif,” jelas Muhiddin dan mengharapkan kepada semua warga pendidikan supaya membuat penilaian kendiri bagi meningkatkan kopetensi dalam pengajaran di dalam kelas kerana setiap orang akan dipantau, seterusnya mampu menangani isu ketidakhadiran guru di sekolah.
Beliau juga mengharapkan supaya enam impak Program AKUN akan dapat dicapai dengan cemerlang iaitu Keputusan Peperiksaan Awam Meningkat, Kos Tenaga, Masa dan Wang Dapat Dioptimumkan, Semua Sekolah Dapat Dipantau Dalam Jangka Masa Setahun, Peningkatan Kualiti P&P Guru, Masalah Ketidakhadiran Guru/AKS Dapat Dikurangkan dan Amalan Budaya Kerja AKUN Diterapkan.
Ia berlandaskan 5M fungsi utamanya yakni Melatih, Membimbing, Memantau, Menilai dan Menambahbaik melibatkan empat tenaga bersepadu JPNS/Sektor, PPD, Pengetua/Guru Besar dan Guru.
Hadir sama pada majlis itu ialah Timbalan Pengarah Pelajaran Negeri, Maimunah Suhaibul, Ketua Sektor Pengurusan Sekolah, Raisin Saidin bersama ratusan pegawai daripada JPNS, para PPD seluruh Sabah, pengetua, guru besar dan warga pendidikan daerah Ranau.
Sumber: Utusan Borneo 24.12.2011



Tarikh terima opsyen SBPA dilanjut 15 Jan










Tempoh penerimaan opsyen bagi umur persaraan 60 tahun kekal pada 30 Disember ini.
PUTRAJAYA: Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) semalam bersetuju melanjutkan tarikh penerimaan tawaran opsyen skim Saraan Baharu Perkhidmatan Awam (SBPA) bagi penjawat awam kepada 15 Januari depan, kata Timbalan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (Operasi) Datuk Dr Ismail Alias.
Beliau yang mengumumkan perkara itu berkata bagaimanapun, tempoh penerimaan opsyen bagi umur persaraan 60 tahun kekal pada 30 Disember ini.
“Kami akan meneruskan SBPA, dan sebenarnya Cuepacs tidak menolak SBPA. Opsyen yang kami beri itu, ada dua. Pertama, opsyen umur persaraan 60 tahun itu tetap pada 30 Disember tarikh tutupnya kerana ia melibatkan banyak isu perundangan.
“Manakala opsyen SBPA, memandangkan tempoh itu agak terdesak, JPA bersetuju supaya ia dilanjutkan kepada 15 Januari depan,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan rundingan dengan Cuepacs yang diketuai oleh Presidennya Datuk Omar Osman, di ibu pejabat JPA di sini semalam.



Rundingan itu yang berlangsung selama lebih tiga jam diadakan untuk menyelesaikan isu berbangkit berhubung pelaksanaan SBPA yang akan dikuatkuasakan bermula 1 Januari depan.
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak kelmarin mengarahkan supaya CUEPACS dan JPA mengadakan rundingan dengan segera bagi menyelesaikan isu tersebut.
Sebelum ini, penjawat awam diberi tempoh 15 hari mulai 16 Disember lalu bagi mereka membuat pilihan sama ada untuk memilih SBPA atau kekal dalam skim perkhidmatan yang lama.
Dr Ismail berkata pada keseluruhannya, rundingan tersebut mendapat kata sepakat untuk melaksanakan SBPA dan lima isu termasuk ‘Exit Policy’ yang dibangkitkan oleh Cuepacs turut dibincangkan.
“Jadi dalam konteks ini, pendekatan kita ialah melihat kepada beberapa isu yang telah dikemukakan oleh Cuepacs, berbincang dan akhirnya mendapat persetujuan tertentu,” katanya.
Beliau berkata bagi penjawat awam yang telah pun menandatangani surat tawaran opsyen SBPA, mereka tidak perlu bimbang kerana JPA telah memaklumkan bahawa opsyen SBPA masih berjalan seperti yang ditetapkan cuma tempohnya akan dilanjutkan.
Sementara itu, Omar pada sidang media sama berkata rundingan kelmarin mencapai kata sepakat yang amat baik dan persetujuan bersama semalam merupakan jaminan kepada penjawat awam untuk menandatanganinya.
Omar berkata, lima perkara yang telah dibangkitkan oleh CUEPACS ternyata selesai apabila mendapat hak rundingan awal, disusuli dengan rundingan tiga bulan sekali khusus berhubung SBPA dan rundingan akan diadakan sehingga perkara berbangkit dapat diselesaikan bersama.




Katanya, opsyen bagi umur persaraan 60 tahun tiada masalah dan penjawat awam boleh menandatangani tawaran opsyen tersebut atas kapasiti masing-masing, hanya tawaran opsyen SBPA yang diberikan dalam tempoh 15 hari itu yang didapati singkat.
Beliau berkata, rundingan semalam turut bersetuju untuk melakukan penambahbaikan gred iaitu bagi gred 17 dalam kumpulan pentadbiran dan keselamatan khususnya Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Jabatan Bomba dan Jabatan Imigresen.
“Kita dah bersetuju dalam tempoh tiga bulan ini akan dibuat semakan semula, akan melakukan kajian menyeluruh. Jadi, kita harap bersabar,” katanya.
Mengenai ‘Exit Policy’, Omar berkata rundingan semalam mencapai persetujuan supaya wakil Cuepacs hadir dalam panel di JPA sebagai pemerhati sebelum seseorang penjawat awam itu dikenakan tindakan.
Katanya, langkah itu bagi mengelak sebarang ketidakadilan atau kejadian dianiaya dan sebelum sebarang tindakan diambil atau dibersarakan awal, wakil CUEPACS akan hadir untuk memberi pandangan.
“Jadi, kita dah berunding, jabatan tidak boleh membersarakan kakitangan di bawah exit policy. Ia (jabatan) hanya akan melaporkan kepada JPA mengenai masalahnya, dan di JPA nanti, CUEPACS akan hadir sebagai pemerhati dan dari situ kita akan selesaikan.
“Apabila kita dalam (panel) itu, kita rasa adil sebelum menentukan seseorang penjawat awam itu untuk dibersarakan awal,” katanya.
Omar berkata, satu taklimat akan diadakan pada minggu hadapan antara CUEPACS dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Tan Sri Abu Bakar Abdullah.
Katanya taklimat itu berhubung kenaikan gaji tujuh hingga 13 peratus yang didapati tidak begitu jelas mengenai golongan penjawat awam yang akan menikmati kenaikan tersebut dan sama ada ia dikira berdasarkan gaji pokok atau gaji hakiki. — Bernama





Awalan meN-

Munsyi Md Rasul bin Haron@Amatara Bahagian Matrikulasi 30 Jun 2022 Panduan Bahasa PROSES PENGIMBUHAN 2) Awalan meN- fungsi pengg...