Ahad, 23 Oktober 2011

Pampasan Akibat Tidak Dibayar Gaji




Anda mempunyai sebab yang berpatutan untuk menuntut 
gantirugi terhadap syarikat 


Soalan


Setelah menghadiri pemeriksaan perubatan prapekerjaan, saya diberitahu oleh bakal majikan saya bahawa saya tidak sesuai untuk jawatan eksekutif jualan yang telah ditawarkan kepada saya kerana didapati menghidap penyakit tekanan darah tinggi.

1. Saya ingin tahu sama ada penyakit tekanan darah tinggi boleh menjadikan satu faktor untuk menentukan seseorang tidak sesuai untuk pekerjaan seperti jualan dan promosi bahan bacaan.

2. Bolehkah saya mengadakan pemeriksaan perubatan prapekerjaan di hospital besar kerajaan?

3. Di manakah saya boleh memfailkan aduan tentang layanan yang tidak adil oleh syarikat tersebut dan doktor syarikatnya jika saya boleh membuktikan bahawa saya adalah sesuai untuk pekerjaan tersebut?

Jawapan

Jika bakal majikan anda telah menyebutkan dalam surat tawaran kerja bahawa lantikan anda adalah atas syarat bahawa anda perlu disahkan sesuai dari segi perubatan untuk pekerjaan tersebut oleh doktor syarikatnya, maka anda tidak boleh mendesak untuk mengadakan satu lagi pemeriksan perubatan oleh seorang doktor atau hospital lain.
Bakal majikan anda tidak perlu menerima permintaan anda untuk mengadakan pemeriksaan yang kedua di mana-mana hospital atau klinik lain.
Jika anda merasai anda mempunyai sebab yang berpatutan untuk menuntut gantirugi terhadap syarikat berkenaan, anda boleh mempertimbangkan mengadakan suatu tindakan Mahkamah Sivil terhadapnya.
Anda belum lagi mula bekerja dengan syarikat. Oleh yang demikian anda bukanlah seorang pekerja di bawah Akta Kerja 1955 atau Akta Perhubungan Perusahaan 1967 dan tidak boleh membuat sebarang tuntutan di bawah kedua-dua akta tersebut.

Memahami Proses Jual Beli Rumah


Fahami proses jual beli rumah


Pada kali ini, perbincangan kepada perjanjian jual beli dan pembelian daripada pemaju perumahan. Dalam situasi sebegini, perjanjian jual beli di antara pemaju perumahan dan pembeli mesti menurut peruntukan Akta Pemaju Perumahan (Kawalan & Lesen) 1966.
Akta ini adalah satu undang-undang yang digubal oleh Parlimen untuk mengawal pemaju perumahan dari segi pelesenan dan juga menetapkan kemestian-kemestian minimum yang perlu dipatuhi oleh pemaju perumahan agar hak pembeli sentiasa terjaga dan terbela. Akta ini telah menetapkan perjanjian jual beli dengan kandungan dan formatnya yang selaras untuk semua urusan jual beli rumah antara pemaju dan pembeli bagi tujuan penyelarasan dan juga untuk memastikan bahawa semua pembeli rumah mendapat sekurang-kurangnya hak dan perlindungan yang terdapat di dalam akta ini.
Secara lazimnya, apabila pembeli sudah membuat keputusan untuk membeli sebuah rumah di mana-mana projek perumahan, beliau akan mengunjungi tapak jualan ataupun terus ke pejabat pemaju untuk memilih lot. Pada masa ini, pembeli perlu prihatin terhadap beberapa perkara dan bertanya beberapa soalan penting sebelum membuat keputusan. Ramai pembeli yang terus menandatangani surat tawaran daripada pemaju dan akhirnya apabila mendapati bahawa ada perkara-perkara yang tidak memuaskan, mereka akan kehilangan wang pendahuluan.
Pertamanya, pastikan pemaju perumahan mempunyai rekod yang boleh diyakini sama ada pemaju tersebut pernah terlibat dengan projek yang lain dan apakah perkembangan projek tersebut. Menurut Seksyen 5 Akta Pemaju Perumahan, pemaju mesti mendapatkan lesen kelulusan daripada pihak Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan sebelum menjalankan sebarang aktiviti berkaitan dengan projek perumahan termasuklah mengiklankan untuk menjual sebarang unit jenis rumah. Oleh itu, sekurang-kurangnya telitilah brosur-brosur yang terdapat di tapak jualan sama ada kelulusan daripada Kementerian Perumahan ada dinyatakan di situ. Malah sekiranya pemaju membuat iklan di media cetak sudah tentu nombor lesen dan kelulusan dinyatakan di dalamnya.
Kemudian, bertanyalah mengenai tanah itu sendiri, adakah ia pegangan bebas atau pajakan daripada pihak berkuasa negeri. Maksud ‘pegangan bebas’ ialah hak milik ke atas tanah itu adalah untuk selama-lamanya. Ini berbeza daripada tanah pajakan daripada kerajaan negeri, di mana tanah tersebut hanya boleh dimiliki oleh pemilik berdaftar selama tempoh pajakan yang lazim selama 99 tahun dari tarikh penganugerahan tanah tersebut. Tarikh luput pajakan tanah akan dinyatakan di atas surat hak milik. Kadang-kadang pembeli lebih gemar memilih projek di kawasan di mana pemilikannya adalah pegangan bebas tetapi ini adalah pilihan peribadi sahaja. Dari segi undang-undang tidak ada masalah sekiranya tanah itu adalah tanah pajakan, cuma pastikan tempoh pajakan pada geran yang akan dikeluarkan kepada lot yang dipilih itu nanti memadai.
Juga mungkin harga pasaran bagi tanah pegangan bebas lebih tinggi berbanding dengan tanah pajakan. Tetapi yang pentingnya lokasi, kerana ada juga tanah pajakan di lokasi strategik yang nilainya naik mendadak.
Ketiganya, bertanyalah sama ada ada sebarang sekatan kepentingan ke atas hartanah tersebut. Maksud ‘sekatan kepentingan’ ialah sebarang had-had yang dikenakan oleh pihak berkuasa negeri ke atas hak pemilik berdaftar untuk menjalankan urusan-urusan atas tanah tersebut. Misalnya, sekatan kepentingan yang lazim ialah yang menyatakan bahawa tanah tidak boleh dipindah milik, dipajak, dicagar atau digadai tanpa kebenaran daripada pihak berkuasa negeri.
Seterusnya, sebagai langkah lebih berjaga-jaga, pembeli boleh membuat satu carian rasmi di Pejabat Tanah berkenaan untuk memastikan status terkini tanah di dalam pendaftar. Ini hanya boleh dilakukan sekiranya hartanah itu sudah ada surat hak milik berasingan. Carian rasmi ke atas tanah tersebut akan menunjukkan siapakah pemilik berdaftar terkini serta sebarang urusan yang telah didaftarkan atas tanah itu seperti kaveat atau gadaian. Lazimnya bayaran yang dikenakan untuk carian rasmi oleh Pejabat Tanah ialah RM30.
Pembeli juga mesti ada banyak lagi persoalan berkenaan hartanah seperti reka bentuk dan saiz rumah, kemudahan-kemudahan awam atau komersial berdekatan dan lain-lain yang juga perlu ditanya dan dibincang sebelum membuat keputusan pembelian.
Selain itu, ada juga pembeli yang mementingkan faktor-faktor pelaburan seperti peningkatan pelaburan awal hartanah itu dan kadar sewa yang boleh diperoleh. Walau apa pun keutamaan anda, pastikan anda juga menimbangkan faktor-faktor yang dibincangkan di atas.

DBP: Orang Melayu tak yakin dengan bahasa sendiri



malaysiakini.com

Ketua Bahagian Komunikasi Korporat DBP Abdul Ghapar Abdullah berkata sikap tidak bangga, tiada kesedaran dan kurang jati diri bangsa menyebabkan usaha untuk memartabatkan Bahasa Malaysia sebagai Bahasa Kebangsaan terjejas.



Beliau berkata DBP memang bertanggungjawab memastikan penggunaan Bahasa Kebangsaan dengan betul tetapi sebenarnya tidak mempunyai kuasa untuk menghalang orang ramai daripada tidak menggunakan Bahasa Malaysia.

"Contohnya samalah dengan kempen Ops Sikap yang dilaksanakan polis.  Walaupun pelbagai usaha dan kempen yang dilakukan, kemalangan tetap berlaku dan ia berpunca dari sikap pengguna jalan raya.

"Begitu juga dengan DBP yang melaksanakan pelbagai program untuk memartabatkan Bahasa Kebangsaan tetapi orang ramai masih juga menggunakan bahasa rojak," katanya kepada Bernama.

Beliau berkata DBP tidak boleh menghalang dan menguatkuasakan atau mendenda orang yang tidak menggunakan Bahasa Kebangsaan, tetapi apa yang boleh dibuat ialah membantu sekiranya mereka tidak begitu arif dengan penggunaannya.

Untuk program Bulan Bahasa Kebangsaan pada bulan ini, Abdul Ghapar berkata kira-kira 300 program khusus diadakan di seluruh negara dan ia tidak termasuk program dan kempen yang dilaksanakan DBP sepanjang tahun.

Bahasa bercampur

"DBP sedia membantu mana-mana pihak yang mahu menggunakan khidmat nasihat untuk menggunakan Bahasa Kebangsaan dengan betul, sama ada menerusi bengkel atau seminar," katanya.

"Penyiar iaitu media cetak atau elektronik termasuk radio swasta banyak menggunakan bahasa bercampur. Jadi dalam konteks ini kita tidak mempunyai kuasa untuk mengambil tindakan. Namun untuk penyiar yang tidak mempunyai kepakaran, DBP sedia membantu di mana yang perlu," katanya.

Mengambil contoh penggunaan bahasa Kebangsaan yang betul di papan-papan iklan pula, beliau berkata DBP tidak mempunyai kuasa untuk mengenakan peraturan kerana yang ada kuasa ialah Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

Beliau kesal banyak orang Melayu sendiri yang tidak mempunyai keyakinan, jati diri dan rasa bangga untuk menggunakan Bahasa Malaysia dalam perhubungan sehari-hari.Menurutnya dalam pelbagai mesyuarat rasmi juga kadang-kadang Bahasa Malaysia tidak digunakan sepenuhnya.


"Kita nak beritahu, Bahasa Malaysia ialah Bahasa Kebangsaan dan bukannya bahasa orang Melayu sahaja. Jadi setiap rakyat Malaysia perlu mengangkat martabat Bahasa Kebangsaan itu seperti yang termaktub dalam Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan," katanya.
Papan iklan

Di pihak DBP, katanya, pada laman sesawang DBP (dbp.gov.my), pelbagai usaha dipaparkan untuk memastikan penggunaan Bahasa Kebangsaan yang betul di bawah tajuk perkhidmatan antara lainnya - Khidmat Nasihat Bahasa, Pedoman dan Panduan Bahasa Melayu dan Pantau Tegur Bahasa.
Menurutnya, Pantau Tegur Bahasa mengajak rakyat bersama-sama berusaha mengesan kesilapan bahasa yang berlaku atau yang dipamerkan di tempat-tempat awam, seperti di papan iklan atau papan tanda, sama ada di luar atau pun di dalam bangunan, yang mesti dicegah segera untuk mengelak mencemarkan maruah Bahasa Kebangsaan.

"Antara ciri pencemaran bahasa ialah pengutamaan bahasa asing, sama ada dari segi saiz atau warna, penggunaan bahasa yang tidak menepati tatabahasa Melayu, termasuk sistem ejaan, pemilihan kata, pembentukan kata, pengolahan  ayat, dan penggunaan laras, atau pun mencampuradukkan Bahasa Melayu dengan Bahasa Inggeris," katanya.  

DBP dalam menyempurnakan tugas dan tanggungjawabnya pastinya akan terus menerus melaksanakan pelbagai kempen dan program bagi memartabatkan Bahasa Kebangsaan, suatu usaha yang mungkin tidak berpenghujung.
Para pencinta dan penggiat Bahasa Kebangsaan pula akan terus menyuarakan pandangan demi pandangan, yang semuanya bernas, tentang bagaimana Bahasa Kebangsaan boleh dimartabatkan, dijadikan bahasa ilmu dan bahasa perniagaan baik di peringkat dalam negara mahupun hingga ke luar negara.

Namun, tanpa kesedaran dan perubahan sikap di kalangan semua rakyat Malaysia, sukar untuk menentukan bila masanya Bahasa Kebangsaan sudah mencapai martabatnya yang seharusnya.

Bagi, pejuang dan pakar Bahasa Kebangsaan Dr Awang Sariyan, sikap dan penerimaan masyarakat terhadap Bahasa Kebangsaan merupakan topik penting yang kerap dibincangkan setiap kali memperkatakan usaha memartabatkan Bahasa Malaysia.
Menimbulkan keghairahan

Katanya, proses globalisasi yang sebahagian besarnya melalui perantaraan bahasa Inggeris, menimbulkan keghairahan yang kadangkala berlebihan di kalangan masyarakat untuk mengutamakan penguasaan Bahasa Inggeris dan mengurangkan perhatian kepada penggunaan Bahasa Melayu.
Menurut beliau, ia terjadi dalam kalangan pelbagai lapisan masyarakat sama ada pemimpin, profesional dan orang awam.

"Budaya berbahasa Melayu dalam pelbagai aspek kehidupan masyarakat Malaysia, termasuk dalam kalangan orang Melayu sendiri tidak cukup mantap kerana adanya anggapan bahawa bahasa Melayu tidak berhubung kait dengan taraf sosial dan pendidikan serta tidak mempunyai nilai ekonomi yang tinggi," katanya dalam sebuah tulisannya.

Ada kebimbangan yang nyata di sebalik tulisan bekas penyandang pertama Kursi Pengajian Melayu Kerajaan Malaysia di Beijing Foreign Studies University dan bekas Pengarah Jabatan Bahasa Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) itu.

Penyair dan pencinta Bahasa Kebangsaan Dr Ibrahim Ghafar, yang menyetujui pandangan Dr Awang, berkata di situlah letaknya sikap yang salah di kalangan masyarakat yang mengaitkan penggunaan Bahasa Malaysia secara negatif dengan taraf sosial dan pendidikan serta nilai ekonomi.
Bersosial rendah

"Seolah-olah Bahasa Malaysia hanya layak dituturkan oleh mereka yang bertaraf sosial rendah, berpendidikan tidak tinggi. Apatah lagi bila menganggap Bahasa Kebangsaan tidak mempunyai nilai ekonomi yang tinggi, hilanglah jati diri bangsa kita," katanya.

Beliau berkata seharusnya rakyat menanam sikap 'marilah bersama-sama kita menambah nilai ekonomi Bahasa Kebangsaan' dengan menuturkannya secara meluas, menggunakan dalam urusan rasmi dan perniagaan dan mempelbagaikan aktiviti yang boleh mendorong kecintaan kepada Bahasa Kebangsaan.

"Biar apapun keturunan kita, sebagai rakyat Malaysia kitalah yang harus berperanan memberi nilai tambah kepada Bahasa Kebangsaan kita kerana ia bukan milik satu bangsa sahaja tetapi milik keseluruhan rakyat Malaysia," katanya.


Ahli parlimen kawasan Kepong Dr Tan Seng Giaw pula melihat usaha memartabatkan Bahasa Kebangsaan wajib dimulakan dari awal sejak di bangku sekolah lagi dengan memastikan kualiti dan kemahiran guru-guru yang mengajarnya termasuk di semua sekolah jenis kebangsaan.

Dr Tan yang bangga fasih berbahasa Melayu dan boleh pula membaca dan menulis Jawi, berkata latihan awal penggunaan Bahasa Kebangsaan yang baik ibarat membentuk buluh daripada rebungnya lagi dan boleh dilihat kesannya apabila murid-murid itu membesar sebagai penutur yang baik.

"Saya tidak pernah berhenti menimbulkan hal ini di Parlimen. Kita harus melihat semua sisi pengajaran dan pembelajaran Bahasa Kebangsaan termasuk usaha meningkatkan standard dan penguasaan di kalangan guru. Ingatlah Bahasa Jiwa Bangsa," katanya.



Pelajar dakwa diliwat guru


Utusan Borneo

Posted on October 23, 2011, Sunday



MIRI: Seorang pelajar lelaki tingkatan empat di sebuah sekolah menengah di sini kelmarin tampil membuat laporan polis, mendakwa diri nya telah diliwat beberapa kali oleh seorang lelaki, dipercayai guru.
Ketua Polis Miri, ACP Jamaluddin Ibrahim ketika dihubungi semalam mengesahkan ada menerima satu laporan polis mengenai perkara tersebut di Balai Polis Pusat Miri.
“Ya, kita memang ada me-nerima satu laporan polis dibuat mengenai dakwaan mangsa pada petang Jumaat,” jelas Jamaluddin.
Menurut Jamaluddin, mangsa mendakwa telah beberapa kali diliwat oleh suspek di rumahnya (rumah suspek).
Jamaluddin berkata, pihak polis akan menjalankan siasatan terperinci mengenai dakwaan tersebut.
“Buat masa sekarang, kita belum lagi melakukan sebarang tangkapan terhadap suspek kerana kita hendak melaku- kan siasatan secara terperinci,” katanya.
Kes tersebut disiasat di bawah Seskyen 377 Kanun Keseksaan.
Menurut sumber, mangsa telah dihantar ke Hospital Miri untuk pemeriksaan lanjut.



Masalah kewangan bukan alasan pelajar ponteng


Utusan Borneo
SIMBOLIK: Lawrence (tiga kiri) dan Siew Jin (tiga kanan) memotong pulut kuning sebagai simbolik perasmian Majlis Anugerah Pelajar Cemerlang 2010 SMK Merbau Miri semalam.


MIRI: Masalah kewangan bukan alasan untuk pelajar ponteng sekolah kerana kerajaan menyediakan pelbagai kemudahan dan bantuan, khasnya kepada golongan kurang berkemampuan.
Menteri Muda Perhubungan, Datuk Lee Kim Shin berkata, bantuan tersebut bukan sahaja mengurangkan beban kewangan ibu bapa, sebaliknya masalah keciciran pelajar dalam pelajaran turut diatasi.
“Bantuan ini membolehkan ibu bapa menghantar anak-anak ke sekolah supaya mereka tidak tercicir dalam pelajaran yang akhirnya menye-babkan mereka tidak mampu bersaing dalam pasaran pekerjaan,” katanya.
Teks ucapan Lee dibacakan oleh Kaunselor Lawrence Kong pada Majlis Anugerah Pelajar Cemerlang 2010 Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Merbau Miri, semalam.
Menurut Lee, usaha untuk melahirkan lebih ramai pelajar cemerlang bukan hanya terletak di bahu guru, malah ibu bapa harus memainkan peranan penting dalam menentukan kejayaan anak-anak mereka.
“Ibu bapa sama ada berkemampuan atau sebaliknya perlu menyediakan kemudahan dan keselesaan belajar kepada anak-anak kerana pendidikan dan pengetahuan amat penting untuk kelangsungan hidup,” katanya.
Pada masa sama, katanya, kerajaan akan membina sekolah-sekolah baru bagi mengurangkan kesesakan pelajar dalam kelas.
“Pembinaan sekolah baru ini nanti dapat menampung jumlah pelajar yang semakin ramai berikutan peningkatan penduduk di kawasan ini yang semakin pesat membangun,” ujarnya.
Tambahnya, prasarana yang mencukupi, lengkap, dan suasana yang selesa adalah faktor penentu kecemerlangan pelajar dalam pelajaran.
Sementara itu, Lee yang juga Menteri Muda Sukan berkata, semua warga pendidik perlu mencurah bakti mendidik anak bangsa tanpa mengenal erti penat dan jemu.
“Kerajaan juga tidak meminggirkan pegawai kerajaan dengan memberikan kenaikan gaji supaya para guru sentiasa memperbaharui tekad dan iltizam dengan penuh berdedikasi mendidik pelajar,” katanya.
Hadir sama ialah Pengetua SMK Merbau Ang Siew Jin dan Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru PIBG SMK Merbau Jairy Sahari.
Lebih 100 pelajar cemerlang dalam akademik dan kokurikulum menerima sijil penghargaan masing-masing pada majlis tersebut.


Sokong dasar menyeluruh: KM


Utusan Borneo
by Sandy Mark Luna. Posted on October 23, 2011, Sunday

MODAL INSAN BERKUALITI: Taib melihat skrol graduan kurang upaya lepasan program Ekonomi Antarabangsa, Ngu Nyok Ping sambil disaksikan oleh Hatta (dua kanan) dan Khairuddin (dua kiri). Turut kelihatan, penerima-penerima Anugerah Diraja, Khaddraa Rajuli (tiga kiri), dan Chua Kim Eng (kanan) serta penerima Anugerah Khas Senat Lau Ee Li. — Gambar Jeffery Mostapha

KOTA SAMARAHAN: Pendekatan yang lebih bersifat terbuka sekarang menyediakan ruang kepada para graduan untuk memberi maklum balas dalam memperbaiki sistem yang diperkenalkan kerajaan.

Ketua Menteri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud berkata, ia bagi memastikan tidak wujud ketirisan dalam sistem penyampaian dan membasmi ‘Little Napaleon’ sekiranya masih ada di negeri ini.
“Inilah dasar yang perlu kita sokong, dasar yang lebih melihat dan menangani segala permasalahan daripada perspektif lebih menyeluruh dan bukannya daripada sudut pandangan sempit dan ‘populis’,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Konvokesyen Universiti     Malaysia Sarawak (UNIMAS) ke-15 di Dewan Tunku Abdul Rahman Putra (DeTar Putra), di sini, semalam.
Hadir sama, Pengerusi Lembaga Pengarah UNIMAS, Datu Dr Hatta Solhi dan Naib Canselor UNIMAS Profesor, Datuk Dr Khairuddin Ab Hamid.
Dengan pendekatan tersebut, Taib mahu graduan melengkapkan diri dengan pelbagai pengetahuan dan kemahiran sebagai persediaan untuk mengharungi cabaran ekonomi yang lebih hebat.
Sementara itu, katanya, Sarawak bertuah kerana UNIMAS mempunyai persiapan lengkap dan rapi dalam membantu melahirkan modal insan berkualiti.
Beliau turut mencadangkan agar UNIMAS menggunakan data-data alumni dalam memenuhi pasaran kerja sebagai salah satu indeks pencapaian universiti.
Pada masa sama, katanya, graduan perlu memberi maklum balas dan menyumbang kepada alumni mereka, se-perti yang dipraktikkan beberapa universiti terkemuka dunia, antaranya Havard, Cambridge dan Oxford.
“Saya amat yakin UNIMAS dan Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (SCORE) dapat menyumbang ke arah negara mencapai status eko-nomi berpendapatan tinggi dan negara maju menjelang 2020,” katanya.
Dalam ucapannya, Taib menegaskan pembudayaan inovasi dalam semua aspek pembelajaran khususnya di peringkat universiti akan menyaksikan peningkatan dalam ekonomi negara selain mewujudkan modal insan yang kompetitif.
Menurutnya, pembudayaan inovasi mampu membawa pembangunan dan transformasi ke tahap lebih tinggi lagi bagi mencapai kejayaan besar pada masa depan.
“Oleh itu, universiti mela-lui pengeluaran graduan yang inovatif dan penyertaan aktif warga akademik harus menjadi wadah paling berkesan sebagai pemacu utama model ekonomi baru negara.
“Di sinilah saya ingin me-lihat universiti berperanan sebagai ejen pembangunan negara secara lebih berkesan,” katanya.
Sementara itu, Khairuddin dalam ucapannya berkata, dua kompleks baru iaitu Pusat Islam dan Kompleks Sukan dan Rekreasi di UNIMAS dijangka siap pada tahun 2012.
Menurut beliau, kompleks sukan itu bagaimanapun dijangka siap lebih awal, sebelum tahun ini berakhir bagi membolehkan universiti itu menjadi tuan rumah kepada Sukan Borneo yang bakal diadakan tidak lama lagi.
“Saya ingin mengambil peluang ini untuk mengucapkan ribuan terima kasih kepada pihak kerajaan persekutuan dalam membantu UNIMAS menjadikan usaha ini kepada satu realiti,” katanya.
Antara prasarana baru   UNIMAS ialah Dewan Tunku Abdul Rahman Putera (DeTar Putra) dan Fakulti Eko-nomi & Perniagaan dan Fakulti Sains Sosial.
Fakulti Perubatan & Sains Kesihatan dijangka akan berpindah ke kampus barat menjelang tahun depan.
“Selaras dengan itu, UNIMAS akan beroperasi di kampus barat secara keseluruhannya,” katanya.
Beliau turut memaklumkan, Program Sains Asasi Kemanusiaan yang ditawarkan khusus buat lepasan SPM aliran sastera merupakan salah satu daripada pelbagai program baru yang akan diper-kenalkan UNIMAS pada tahun depan.
Katanya, pihak universiti sedang berusaha untuk menawarkan program itu yang di bawah Pusat Pengajian Pra-Universiti (PPPU) UNIMAS.
“Sekiranya tidak ada halangan, program ini dijangka akan mula ditawarkan pada sesi 2012/2013,” katanya.
Menurutnya lagi, PPPU Unimas berjaya berjaya menarik seramai 575 orang pelajar pada sesi 2011/2012 berbanding 232 orang pada sesi sebelumnya.
“Kenaikan jumlah peng-ambilan ini membuktikan masyarakat telah mengetahui tentang kewujudan program asasi di UNIMAS  hasil daripada nama baik dan promosi universiti,” katanya.
Sementara itu, majlis konvokesyen selama dua hari yang berakhir hari ini, menyaksi-kan 1,651 graduan menerima ijazah masing-masing.
Daripada jumlah itu, lapan graduan adalah penerima Ijazah Doktor Falsafah dan 126 penerima Sarjana.
Penerima Sarjana Muda pula seramai 1,517 orang yang mana seramai 495 daripada jumlah itu terdiri dari graduan lelaki.
Tahun ini, seramai tujuh graduan dipilih menerima Anugerah Akademik 2011. Anugerah Pendidikan Diraja (dua), Anugerah Canselor (seorang), Anugerah Pro-Canse-lor (seorang) dan Anugerah Khas Senat (tiga).


Elaun bulanan baru untuk ketua kampung di Sabah




KOTA KINABALU: Ketua-ketua Kampung di Sabah akan memperoleh elaun bulanan yang baharu berjumlah RM650 mulai bulan depan, demikian diumumkan Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah Datuk Hajiji Noor semalam.
Beliau berkata, pembayaran elaun itu dipersetujui Kabinet negeri dalam mesyuaratnya dipengerusikan Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman, baru-baru ini.
Bercakap kepada pemberita pada satu perhimpunan di kementerian itu di sini, beliau berkata, jumlah pembayaran itu berbeza dengan pembayaran elaun ketua kampung sebanyak RM800 di Semenanjung.
“Ini kerana di Semenanjung, Ketua Kampung adalah juga Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK). Dalam lain perkataan, beliau melakukan dua kerja dan adalah adil untuk Ketua Kampung di Semenanjung memperoleh RM800.
“Tetapi di Sabah, keadaannya berbeza kerana ketua kampung dan pengerusi JKKK adalah orang yang berlainan. Yang demikian, sebelum elaun ini dinaikkan ketua kampung hanya mendapat RM450, dengan RM400 dibiayai Kerajaan Persekutuan dan RM50 oleh Kerajaan Negeri.
“Dengan elaun yang baharu, ketua kampung di Sabah akan mendapat RM650, dengan RM600 datang daripada Kerajaan Persekutuan dan RM50 oleh Kerajaan Negeri. Ini merupakan kenaikan RM200 sebulan bagi ketua kampung di Sabah,” katanya.
Hajiji berkata, berikutan perbezaan sistem di Sabah, Ketua Menteri telah membangkitkan hal ini dengan Kerajaan Persekutuan, dan akhirnya diputuskan kedua-dua ketua kampung dan pengerusi JKKK di Sabah mendapat tambahan elaun bulanan sebanyak RM200 sebulan.
Katanya, dengan itu, pengerusi JKKK akan menerima elaun bulanan baharu RM400.
Hajiji berharap elaun baru berkenaan akan memberi motivasi kepada ketua kampung dan pengerusi JKKK di Sabah untuk melaksanakan kerja dengan lebih baik.
“Kedua-dua ketua kampung dan pengerusi JKKK adalah tokoh penting di kampung dan kedua-dua mereka memainkan peranan penting sebagai “mata dan telinga” kerajaan.
“Mereka seharusnya bekerja keras bukan sahaja untuk membawa pembangunan, keamanan, keselamatan, perpaduan dan keharmonian kampung tetapi juga membantu merealisasikan Hala Tuju Ketua Menteri dan menjadikan Sabah sebuah tempat yang selesa didiami untuk semua,” katanya.  — Bernama


Jurujual hilang ditemui mati dalam but



KUALA LUMPUR – Seorang jurujual lelaki yang hilang sejak dua hari lepas, ditemui mati dan mayatnya yang dibaluti kain selimut ditemui dalam but sebuah kereta di Seksyen 4 Bandar Baru Bangi dekat sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Kajang, ACP Abdul Rashid Abdul Wahab berkata, mayat lelaki berumur 49 tahun itu ditemui pada pukul 5 petang dalam kereta Toyota Unser yang ditinggalkan di kawasan semak berhampiran bulatan Seksyen 4.
Mangsa yang tinggal di Ipoh, Perak itu dilaporkan hilang oleh isterinya di Balai Polis Jelapang Perak hari ini setelah tidak pulang sejak dua hari lepas, katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Beliau berkata, mayat lelaki itu ditemui dalam keadaan terbaring dan dibaluti selimut dengan kesan cedera di bahagian belakang badan dan peha, dipercayai akibat ditetak.
Berdasarkan keadaan mayat, polis tidak menolak kemungkinan lelaki itu mati dalam tempoh kurang 48 jam, katanya. – Bernama

Gaddafi dijulang dan dibuang


Kosmo Online
Oleh MEGAT LUTFI MEGAT RAHIM & SYALMIZI HAMID


KHAMIS lalu, pemimpin Libya yang digeruni selama 40 tahun oleh Barat, Muammar Gaddafi, 69, diheret keluar dari sebuah saluran pembetung di sebatang lebuh raya enam lorong di Sirte, tempat kelahiran Gaddafi. Dia ditangkap oleh sekumpulan pejuang Majlis Peralihan Kebangsaan (NTC).
Kemudian, dalam video yang dirakam oleh seorang pejuang NTC, Gaddafi kelihatan cedera dan keliru apabila ditarik dari atas sebuah kenderaan dengan beberapa orang merentap rambutnya untuk menjatuhkan tubuhnya ke tanah.
Dalam tempoh sejam selepas diseksa, dia didapati sudah tidak bernyawa lagi.
Kisah kematiannya masih menjadi satu misteri. Bagaimanapun, keperibadian tokoh itu dianggap lebih eksentrik.
Musuh
Dilahirkan di dalam khemah puak Badwi berdekatan Sirte pada tahun 1942, Gaddafi seperti kanak-kanak lain mendapat pendidikan di sekolah Islam.
Beliau mempelajari asas-asas ketenteraan apabila memasuki Akademi Tentera Libya pada tahun 1961. Kekecewaan terhadap kepimpinan dunia Arab yang dimalukan oleh Israel menyebabkan Gaddafi mula menanam ideologi tersendiri.
Impian pegawai tentera muda itu ketika itu ialah mahu menyatukan dunia Arab dalam satu perikatan selain menyingkirkan sistem pemerintahan monarki Libya di bawah Raja Idris I.
Bersemangat bersama sekumpulan pegawai tentera muda, Gaddafi berjaya merampas kuasa daripada Raja Idris yang sedang mendapat rawatan di Turki dan membentuk Republik Arab Libya pada 1 September 1969.
Inspirasi beliau mengenai demokrasi, ekonomi dan sosial sebuah negara Islam mendapat pujian ramai apatah lagi ia diadaptasikan melalui buku bertajuk The Green Book yang dihasilkan Gaddafi pada tahun 1975.
Cetusan ideanya dengan menjadikan Amerika Syarikat (AS) sebagai musuh ketat selain membentuk Republik Arab Libya cukup memikat.
Malah, ia menjadi satu ideologi unik yang berjaya menyatukan penduduk Libya yang berpuak-puak sebelum itu.
Gaddafi juga pernah menjemput lebih 200 kerabat raja Afrika dan pemimpin puak ke bandar Benghazi yang terletak di pinggir Laut Mediterranean bagi menyokong kempen Penyatuan Afrika.

“Kita mahu tentera Afrika mempertahankan Afrika, kita mahu mata wang tunggal Afrika dan kita hanya perlukan satu pasport untuk mengembara ke seluruh negara di Afrika,” beritahu Gaddafi kepada kumpulan itu yang datang dengan memakai mahkota emas dan pakaian kebesaran berwarna-warni.
Selepas peristiwa itu, Gaddafi mula digelar ‘Raja Segala Raja’ di Afrika.
Salah satu sumbangan terbesar Gaddafi kepada negaranya ialah usahanya membina ‘sungai buatan’ bertujuan menyalurkan air bawah tanah ke seluruh negara Libya yang tandus itu. Malah bagi rakyat Libya, projek yang dikenali sebagai Great Man-Made River Project itu merupakan Keajaiban Kelapan Dunia.
Pembaharuan
Gaddafi menggunakan kepintaran dan kekayaan negara itu untuk mengairi kawasan tandus berkenaan.
Bagi mengatasi masalah mendapatkan air bersih buat seluruh warga Libya, pembinaan paip air gergasi itu dimulakan pada Ogos 1984 di Brega.
Libya tidak mempunyai kepakaran tempatan untuk membina projek besar itu. Tetapi atas kekayaan hasil minyak, Gaddafi menjemput kepakaran luar untuk membantunya termasuklah dari Korea Selatan, Turki, Jerman, Filipina dan Britain.
Pada September 1993, lengkaplah pembinaan fasa pertama projek itu yang bermula dari timur di Sarir dan Tazerbo hinggalah ke Benghazi. Tiga tahun kemudian usaha menyalurkan air dari Tripoli ke barat iaitu di Jebel Hassouna siap.
Menyingkap sejarah lalu, air bawah tanah Libya itu ditemui secara tidak sengaja ketika usaha mencari telaga minyak baharu pada tahun 1953.
Daripada analisis radio karbon, sumber air fosil itu dianggarkan berusia kira-kira 40,000 tahun.
Kini, usaha itu membuahkan hasil apabila kira-kira 1,300 kilometer persegi tanah disalurkan dengan air untuk perladangan. Sebahagian tanaman itu adalah untuk makanan di dalam negara.
Tetapi bagi ladang-ladang besar yang mendapat bekalan air itu, ia ditanam dengan gandum, oat, jagung dan barli. Semua tanaman itu perlu diimport sebelum ini.
Kini, paip sepanjang 5,000 kilometar (km) itu boleh menyalurkan sebanyak 6.5 juta meter padu air sehari ke lebih 1,000 kawasan padang pasir.
Bagaimanapun, kekejaman Gaddafi semasa berkuasa menyebabkan rakyat Libya menentang beliau. Sejak berkuasa pada tahun 1969, Gaddafi sanggup menghukum musuhnya tanpa belas kasihan.
Pada tahun 1970, beliau sendiri mengarahkan hukuman gantung sampai mati dilakukan di tempat awam kemudian. Pada tahun 1977, beliau hadir semasa pelajar-pelajar yang memberontak ke atas rejimnya dihukum gantung.
Malah, kuasanya bukan setakat di Libya malah diakui di seluruh Afrika.
Tetapi, apabila menerima tekanan dunia berikutan insiden pengeboman pesawat Pan Am Flight 103 yang membunuh 270 orang pada tahun 1988 di Lockerbie, Scotland, nada keras Kolonel Gaddafi tidak sekuat dahulu terhadap dunia Barat.
Gaddafi mula cenderung kepada sekularisme dan tidak lagi pro-Islamik.
Bekas Presiden Amerika Syarikat (AS), Ronald Reagan pernah menggelar lelaki itu anjing gila dari Timur Tengah, manakala Presiden Sudan, Gaafar Nimeiry menggelarkannya sebagai lelaki dengan dua personaliti, tetapi kedua-duanya adalah jahat.
Dengan riak wajah yang bengis diiringi renungan tajam yang menggerunkan, gelaran-gelaran tersebut hakikatnya bukanlah asing untuk Gaddafi.
Walaupun The Green Book memperlihatkan perjuangan Gaddafi sebagai seorang pemimpin Islam, tetapi retorik keagamaan yang dibawa Gaddafi sukar dibendung kerana sifat penyalahgunaan kuasa, kekejaman, mengumpul kemewahan dan kaki perempuan semakin terserlah.
Kemuncak kepada kemarahan rakyat ialah apabila pada saat rakyatnya hidup dalam kemiskinan kerana kadar pengangguran yang tinggi, Gaddafi didapati memiliki harta berjumlah AS$60 bilion (RM182.64 bilion)
Akhirnya, selepas memerintah Libya lebih empat dekad beliau dibunuh oleh rakyatnya sendiri.

Awalan meN-

Munsyi Md Rasul bin Haron@Amatara Bahagian Matrikulasi 30 Jun 2022 Panduan Bahasa PROSES PENGIMBUHAN 2) Awalan meN- fungsi pengg...