Ahad, 23 Oktober 2011

Bantuan RM100 kepada pelajar di Sarawak mungkin secara tunai




KUCHING: Mekanisme pengagihan bantuan persekolahan sebanyak RM100 kepada para pelajar di Sarawak mungkin akan diberikan secara tunai.
Menteri Kebajikan, Wanita dan Pembangunan Keluarga Datuk Fatimah Abdullah berkata beliau telah mencadangkan perkara itu kepada Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Ini kerana, kata beliau mekanisme pengagihan yang diguna pakai oleh Kementerian Pelajaran iaitu menggunakan Bank Simpanan Nasional (BSN) adalah tidak sesuai bagi Sarawak terutama melibatkan kawasan luar bandar.
“Kawasan luar bandar, rumah panjang malah di daerah-daerah negeri ini tidak terdapat kemudahan BSN.
“Maka, mekanisme pengagihan melalui BSN kepada pelajar di Sarawak adalah tidak sesuai,” katanya dalam sidang media di pejabatnya di Wisma Bapa Malaysia, Petra Jaya di sini, kelmarin.
Jelas Fatimah yang juga ADUN Dalat, sekiranya mekanisme menggunakan BSN dilaksanakan di negeri ini, ia akan memberikan bebanan kepada ibu bapa pelajar selain merugikan.
“Misalnya di kawasan pedalaman, mereka perlu menggunakan bot serta pengangkutan lain dengan menanggung kos melebihi RM100 untuk pergi ke bandar bagi mengeluarkan bantuan tersebut.
“Maka, ini amat tidak sesuai dan perlu diubah berdasarkan keadaan kita di Sarawak,” katanya sambil menambah, mekanisme pengagihan paling sesuai ialah secara tunai.
Sehubungan itu, katanya cadangan yang beliau nyatakan itu telah mendapat persetujuan Muhyiddin dan ia mungkin akan dilaksanakan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Awalan meN-

Munsyi Md Rasul bin Haron@Amatara Bahagian Matrikulasi 30 Jun 2022 Panduan Bahasa PROSES PENGIMBUHAN 2) Awalan meN- fungsi pengg...