Ahad, 23 Oktober 2011

Masalah kewangan bukan alasan pelajar ponteng


Utusan Borneo
SIMBOLIK: Lawrence (tiga kiri) dan Siew Jin (tiga kanan) memotong pulut kuning sebagai simbolik perasmian Majlis Anugerah Pelajar Cemerlang 2010 SMK Merbau Miri semalam.


MIRI: Masalah kewangan bukan alasan untuk pelajar ponteng sekolah kerana kerajaan menyediakan pelbagai kemudahan dan bantuan, khasnya kepada golongan kurang berkemampuan.
Menteri Muda Perhubungan, Datuk Lee Kim Shin berkata, bantuan tersebut bukan sahaja mengurangkan beban kewangan ibu bapa, sebaliknya masalah keciciran pelajar dalam pelajaran turut diatasi.
“Bantuan ini membolehkan ibu bapa menghantar anak-anak ke sekolah supaya mereka tidak tercicir dalam pelajaran yang akhirnya menye-babkan mereka tidak mampu bersaing dalam pasaran pekerjaan,” katanya.
Teks ucapan Lee dibacakan oleh Kaunselor Lawrence Kong pada Majlis Anugerah Pelajar Cemerlang 2010 Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Merbau Miri, semalam.
Menurut Lee, usaha untuk melahirkan lebih ramai pelajar cemerlang bukan hanya terletak di bahu guru, malah ibu bapa harus memainkan peranan penting dalam menentukan kejayaan anak-anak mereka.
“Ibu bapa sama ada berkemampuan atau sebaliknya perlu menyediakan kemudahan dan keselesaan belajar kepada anak-anak kerana pendidikan dan pengetahuan amat penting untuk kelangsungan hidup,” katanya.
Pada masa sama, katanya, kerajaan akan membina sekolah-sekolah baru bagi mengurangkan kesesakan pelajar dalam kelas.
“Pembinaan sekolah baru ini nanti dapat menampung jumlah pelajar yang semakin ramai berikutan peningkatan penduduk di kawasan ini yang semakin pesat membangun,” ujarnya.
Tambahnya, prasarana yang mencukupi, lengkap, dan suasana yang selesa adalah faktor penentu kecemerlangan pelajar dalam pelajaran.
Sementara itu, Lee yang juga Menteri Muda Sukan berkata, semua warga pendidik perlu mencurah bakti mendidik anak bangsa tanpa mengenal erti penat dan jemu.
“Kerajaan juga tidak meminggirkan pegawai kerajaan dengan memberikan kenaikan gaji supaya para guru sentiasa memperbaharui tekad dan iltizam dengan penuh berdedikasi mendidik pelajar,” katanya.
Hadir sama ialah Pengetua SMK Merbau Ang Siew Jin dan Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru PIBG SMK Merbau Jairy Sahari.
Lebih 100 pelajar cemerlang dalam akademik dan kokurikulum menerima sijil penghargaan masing-masing pada majlis tersebut.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Awalan meN-

Munsyi Md Rasul bin Haron@Amatara Bahagian Matrikulasi 30 Jun 2022 Panduan Bahasa PROSES PENGIMBUHAN 2) Awalan meN- fungsi pengg...