Khamis, 6 September 2018

Pintu Mana Lagi?


Hadiah Sastera Selangor 2018
Selangorkini
Oleh IdaRasul

MATA terasa pedih. Bukan kerana mengantuk tetapi tegal terlalu lama menguluti surat khabar yang sudah renyuk. Helaian surat khabar yang sekerat itu didakap ke dada seraya tubuh disandar ke dinding yang sejuk. Mataku tertancap ke arah isteriku yang tidur tanpa selimut. Hanya cebisan kain terpakai yang kubawa dari kampung menutupi sebahagian kaki isteri yang berkudis dan bernanah. Anak-anak yang masih kecil pula sudah lama dipulas mimpi. Sesekali bau asap ubat nyamuk Fumakillamenyerang pernafasanku. Aku mula terasa sesak serta dihentak dengan perasaan yang berkecamuk sambil cuba mencongak-congak masa depan yang semakin bertakuk-takuk untuk didaki.

Ah! apa lagi yang harus aku lakukan? Anak sudah tiga orang. Yang sulung sudah berumur lima tahun. Sepatutnya, anak sulungku sudah dihantar belajar di tadika seperti anak-anak manusia yang lainnya. Ini tidak, dia hanya kubiarkan tinggal di bawah naungan ibu dan adik-adiknya. Berkubang dan bergelut untuk meneruskan kehidupan. Anak yang semuda itu sudah kuasuh untuk berdikari dan tidak merungut. Menerima segalanya tanpa dakwa-dakwi. Aku memang seorang lelaki yang dayus! Aku bermonolog sendirian. Surat khabar yang tinggal sisa itu kucampakkan sekuat hati ke atas lantai simen yang mengerutu. Itu tanda protes dan bantahan terhadap kenyataan hidup yang perlu aku harungi kini.

Ayah…Man nak air.” Ujar anak keduaku sambil bangit dari tidurnya. Serta-merta naluri kebapaanku menyerang sanubari apabila melihat anak yang dipanggil dengan nama Man itu terbatuk-batuk. Dadanya berombak-ombak seperti dilanda taufan tsunami.

“Man, ini airnya.” Aku menghulurkan air yang kutuang ke dalam cawan plastik lantas menyuakannya. Man menyambut huluran itu lantas meneguk air perlahan-lahan. Dalam samar-samar cahaya, aku melihat keadaan Man. Sudah dua minggu Man batuk-batuk dan demam. Sudah dua minggu jugalah Man asyik tidur terbongkang dan tidak lalu makan. Man hanya menjamah sedikit nasi untuk mengalas perutnya yang kosong. Tubuh Man sudah semakin susut dan kurus. Entah apa kuman yang menyerang anakku itu pun aku tidak pasti? Aku hanya membekali Man dengan panadol yang kubeli dari kedai serbaneka di hujung tempat kami berteduh ini. Untuk mendapatkan rawatan dari klinik swasta yang jaraknya hanya sekangkang kera juga aku tidak mampu. Sungguh, aku tidak ada wang untuk membawa anakku itu berjumpa dengan doktor.

“Man…mari tidur dengan ayah. Biar ayah urut dada Man,” kataku sambil mengesot sedikit memberi ruang untuk anak itu berbaring di sebelahku.

Man bangun lalu melangkah lemah ke arahku. Langkahnya terhuyung-hayang. Melihat keadaan Man, hatiku dijentik dengan perasaan sedih. Sebagai seorang ayah, aku langsung tidak berdaya memberi kebahagiaan dan kemewahan buat anak-anak dan isteriku. Aku memang dayus! Tidak patut aku dijadikan tempat untuk berpaut. Dahanku rapuh dan kering-kontang. Malah, aku adalah lambang kepada penderitaan dan kematian! Rungutku kuat di dalam hati.

Namun, gema kedukaan dan rungutan itu tidak sesiapa pun peduli. Malah aku dipijak dan dihina hingga terbenam ke dasarnya, malah seluruh jiwaku sudah hilang ditiup oleh angin kebosanan untuk terus meminta-minta diberikan ruang untuk bernafas dan hidup.

Melihat keadaan keluargaku menyebabkan hatiku sakit. Sudah hampir enam bulan aku dan keluargaku menumpang berteduh di bawah jejambat di tepi Sungai Gombak. Sudah hampir enam bulan juga aku bertungkus-lumus mencari pekerjaan untuk menyara ahli keluargaku yang seramai empat orang. Namun, aku cuma hidup kais pagi makan pagi dan kais petang makan petang dan kadang-kadang, kaisanku langsung tidak mendatangkan hasil. Semenjak aku dihalau dari rumah sewa di Kampung Baru, sejak itulah hidup kami semakin tersepit dan tinggal di bawah jejambat yang airnya kotor dan berkeladak.

Udaranya seperti duri mencucuk dada pada saban masa. Deria pendengaran pula sudah dipekakkan oleh bunyi kenderaan yang menderum-deram. Siang atau malam sama sahaja. Langsung tidak ada kenikmatan hidup. Malah, hidup bergelandangan ini menjadikan aku tidak tahu malu dan tidak punya harga diri. Aku dituduh pemalas. Malah lebih kejam lagi dituduh memperjudikan nasib anak dan isteriku.

Sebenarnya, aku sudah lelah untuk meminta bantuan. Beritahu kepadaku pintu mana lagi yang belum aku terjah dan aku lolosi? Semuanya sudah aku cuba. Dan petang itu, aku berjalan menuju ke sebuah bangunan untuk mencari kerja. Sesampai sahaja aku di sana, penghuninya langsung tidak mengendahkan kehadiranku, malah langsung tidak menjemput aku duduk. Tanpa segan, aku memberitahu bahawa aku memerlukan pekerjaan. Biarpun pekerjaannya hanya tukang cuci atau tukang sapu, aku sanggup melaksanakannya. Walaupun aku ditawarkan sebagai pembancuh minuman sekalipun, aku sanggup menerimanya. Tetapi, aku dihalau seperti anjing kurap dari muka pintu dan nyaris tersembam di kaki lantai.

Kemudian, aku berusaha lagi. Kali ini aku ke bangunan lain untuk meminta bantuan. Aku hanya dilayan oleh pengawal keselamatan berbangsa Nepal. Nampaknya, aku lebih hina daripada mereka sedangkan aku adalah anak jati bumi bertuah ini. Dengan kasar, pengawal itu memberikan aku pelbagai jenis borang untuk diisi. Untuk meminta RM10 pun aku dipaksa untuk menghantar borang? Ah, pintu mana lagi yang harus aku terjah dan terpa? Kalau pintu bangunan ini menolak permintaanku, ke mana lagi harus aku pergi?

Usai beredar dari bangunan itu, aku duduk termenung di bahu jalan memikirkan keadaan aku dan ahli keluargaku yang tinggal di bandar metropolitan. Sungguh, aku tidak sanggup lagi. Aku menghampiri seorang lelaki berbaju kemeja putih dan bertali leher. Lelaki itu menjegilkan matanya apabila melihat kehadiranku. Aku tidak malu lantas segera aku menyuarakan keinginanku yang satu.

“Encik. Tolonglah bawa saya dan ahli keluarga saya ke Rumah Kebajikan Masyarakat.” Rayuku penuh simpati.

Dan petang itu, pintu yang satu itu ternganga luas menerima kehadiran aku, isteri dan anak-anakku. Tangan-tangan ghaib yang tidak kukenali kemudiannya muncul satu-persatu. Aku tiada pilihan. Hanya pintu itu sahajalah yang mahu menerima kehadiran aku dan ahli keluargaku

Demi Pengakhiran Itu


Idarasul
Hadiah Sastera Kumpulan Utusan 2016
Cerpen Media Baharu

Segala-galanya bermula kira-kira penghujung tahun 2015. Ketika itu, adik lelakiku sedang sakit dan terlantar di rumah. Pada  wajahnya tidak kelihatan tanda-tanda seperti mahu meninggalkan kami di dunia ini. Sakit yang ditanggungnya sukar untuk diterjemahkan. Kadang-kadang mengerang kesakitan.
Segala-galanya bermula kira-kira penghujung tahun 2015. Ketika itu, adik lelakiku sedang sakit dan terlantar di rumah. Pada  wajahnya tidak kelihatan tanda-tanda seperti mahu meninggalkan kami di dunia ini. Sakit yang ditanggungnya sukar untuk diterjemahkan. Kadang-kadang mengerang kesakitan. Hilang semua keceriaan dan kenikmatan hidup. Penyakitnya itu benar-benar merenggut sebahagian daripada kebahagiaan yang pernah dilaluinya. Dua bulan lamanya doktor tidak dapat mengesan jenis penyakit yang dihidapi. Menderita dalam kelelahan dan kepayahan. Menderita dalam kesakitan. Namun, Tuhan lebih menyayangi dirinya apabila dijemput Illahi pada penghujung bulan Januari tahun 2016. Yang tinggal hanyalah anak-anaknya yang baru sahaja menginjak ke alam remaja dan seorang lagi baru bersekolah tadika. Satu tamparan hebat bagi diriku dan adik-beradik yang lainnya.
Aku bodoh ketika itu. Terlalu bodoh! Tidak langsung terfikir untuk mencari maklumat mengenai penyakit yang dideritainya. Sudah ada simpton-simpton yang menunjukkan adik lelakiku itu mengidap kanser hati. Entah mengapa aku sendiri tidak tahu, jari-jemariku kaku dan tidak bertulang untuk mencari maklumat berkaitan penyakit itu sedangkan pada masa kini dunia ditebak dengan kemudahan ICT yang canggih lagi mengkagumkan. Aku seolah-olah sudah buta dan tuli padahal aku memiliki telefon pintar, komputer riba, kemudahan internet malahan beribu-ribu ringgit mahalnya. Entahlah, aku tidak tahu di mana silapnya. Jika tidak, mungkin adik lelakiku masih lagi diberikan keizinan untuk terus bernafas di bumi ciptaan Tuhan ini. Pun begitu, semuanya sudah tertulis di Loh-Mahfuz  dan aku sebagai hamba-Nya perlu reda dan menerimanya kerana aku tahu aku juga bakal berada di alam sana!
            Namun, itu jugalah yang menjadi kayu ukur perubahan diriku. Rupa-rupanya kehilangan insan yang aku sayangi ini benar-benar mengubah diriku agar menjadi hamba-Nya yang sebenar.
            Ya Tuhan, aku juga bakal disemadikan dengan berbekalkan kain kapan semata-mata. Tidak akan ada satu pun harta dan insan yang aku sayangi akan dibawa menemaniku ke dalam liang lahat. Hanya yang akan kubawa adalah amalanku ketika di dunia. Ya Allah, aku benar-benar menginsafinya dan aku bukanlah hamba-Nya yang baik malah sering kali terjerumus dalam dosa yang tidak pernah kering untuk dilakukan.
Namun, keluhan kekesalan itu hanya terbit apabila aku menatap wajah adikku tatkala dimandi dan dikafankan.Semuanya terbit tanpa aku sedari. Ku tinggalkan segala kenangan di pusara arwah adik lelaki namun hakikatnya berbulan lamanya aku menangisi pemergian adikku itu. Sungguh, pada setiap malam aku pasti merindui dirinya.
            Segala kesedihan di hati terbawa-bawa ke alam mimpi. Tiba-tiba sahaja aku merasakan orang di sekelilingiku meratap dan menangisi diriku yang terbujur kaku di tengah rumah. Aku semakin hairan. Hairan melihatkan sikap mereka yang langsung tidak mengendahkan panggilanku malah langsung tidak bertegur sapa denganku. Terlalu pelik! Aku melihat sekujur tubuh itu dan akhirnya membuka penutup wajah dengan penuh hati-hati. Ternyata, tubuh yang terkujur itu adalah diriku sendiri. Aku meraung memanggil mak dan abah. Namun, tiba-tiba sahaja aku terkejut jaga dari mimpi itu. Sungguh aku tidak mengerti! Sebaik terjaga peluh dingin membasahi segenap penjuru badanku. Apakah sebenarnya mimpiku itu? Lantas menerusi telefon pintarku aku menceritakan segala-galanya kepada rakan baikku menerusi aplikasi WhatsApp.
            Apa makna mimpiku itu?
            Agaknya kau masih dalam keadaan trauma disebabkan adik kau baharu sahaja meninggal dunia. Kau terimalah dengan reda, tentu ada hikmahnya yang Allah akan berikan nanti.
Itu sahaja balasan WhatsApp daripada rakan baikku. Namun masih lagi belum membantu aku mencari jawapan yang sebenarnya.
            Tidak cukup dengan WhatsApp, aku menjelajah melayari internet tentang perasaan gundah -gulanaku. Apa yang kucari sebenarnya? Aku juga tidak pasti!
Menerusigoogle, aku dapati banyak info berkaitan dengan soal kematian dan pengakhiran. Membaca semua maklumat belum tentu akan habis. Malah terlalu banyak untukku hadamkan di benak fikiranku. Itulah kelebihan kemudahan teknologi ICT kepada manusia. Bukan sahaja memudahkan pengguna di dunia tetapi juga di akhirat! Melalui ICT aku leka merujuk dan mencari pengakhiran abadi ini. Namun, aku masih lagi lemah untuk metaksirkannya.
            Ah! Apa yang kucari? Masih belum mengerti? Semakin berbelit-belit?getus hati kecilku lagi.
Selang sebulan, melalui paparan telegram di dada telefon pintarku, seorang ustaz memberikan sedikit tazkirah mengenai alam kematian. Ternyata untuk sekali lagi kemudahan aplikasi ini memberikan jawapan kepada apa yang kucari.
            Ya Allah,aku banyak melakukan dosa. Dosaku terlalu banyak dan tidak terhitung seperti pasir di tepian pantai.
Namun, gema kesedaranku itu hanya berdetak-detak di dalam hati tanpa orang lain yang mengetahuinya. Biarlah...
Bermula pada saat itu, aku mengerti tentang pencarianku. Aku harus melabur seberapa banyak kebaikan di dunia ini. Segala yang hitam perlu aku putihkan walaupun aku tahu warna hitam itu lebih banyak menutup kebaikan yang kulakukan.
            Setiap hari lebih kurang1 jam, aku cuba membaca ayat-ayat suci al-Quran. Ternyata, aku masih lagi merangkak-rangkak membacanya. Teraba-raba di alam yang semakin suram. Waktu itu, aku menangis semahu-mahunya. Sungguh! Aku terlalu jahil.
            “Mama, adik boleh ajarkan mama kalau mama mahu,”kata anakku dengan mata yang bersinar.
Kata-kata yang keluar dari mulut seorang anak yang berumur sepuluh tahun itu benar-benar membuatkan aku malu. Dalam usia sementah itu, dia sudah khatam al-Quran sedangkan aku langsung tidak pernah! Namun, aku langsung tidak memberikan jawapan kepada kebaikan yang dihulurkan. Aku terlalu ego!
            Aku melayari internet pada laman youtube. Tujuanku untuk belajar al-Quran. Biar cepat pandai. Biar cepat khatam. Namun, semakin banyak aku belajar semakin itu juga banyak yang terlupa. Rutin harianku masih tetap sama. Belajar dan masih juga terus merangkak-rangkak. Aku membayangkan keadaanku di sana nanti. Merangkak di padang pasir seperti mana aku merangkak ketika membaca al-Quran.
Aku membuka youtube dan memilih zikir-zikir untuk dibaca dan dihafal. Kadang-kadang aku memuat turun kesemuanya. Menghafalnya malah turut cuba untuk mengamalkannya tatkala aku berada dalam keadaan yang alpa. Benar, sedikit sebanyak zikir-zikir yang kupelajari melalui youtube itu membantu aku agar lebih menjadi muslimah sejati.
“Kalau hendak mengaji boleh melalui telegram. Kita ada group mengaji di telegram. Cuba joint,”kata rakan baikku dengan memberikan alamatnya.
Kelas Online Haraki Ustaz Zakaria (KOHUZ) haraki.my/kohuz. Kataku sambil termenung.
Ternyata, kemudahan dan kecanggihan ICT mampu memberikan khidmat yang berguna serta memberikan ganjaran pahala yang berganda. Namun, aku hanya menjadi pengikut setia untuk kelas itu tanpa menunjukkan mutu bacaanku. Bacaan al-Quranku masih lagi tahap merangkak-rangkak.
“Mama, kalau mama malu mengaji dengan adik, mama mengaji dengan abang sajalah,”kata anakku yang belajar di UITM Puncak Alam.
Kata-kata itu membuatkan aku tersentak. Bagaimana pula anakku tahu tentang masalah yang sedang aku hadapi? Mungkin adiknya telah memberitahu kepada abangnya. Rupa-rupanya, mereka lebih cepat dan cekap daripada diriku!
Aku masih lagi diam dan tidak memberikan jawapan. Masih juga membaca dengan merangkak-rangkak. Ah, diriku ini terlalu ego!
            “Abah, mama hendak belajar mengaji. Boleh ajarkan?”tanyaku pada suatu hari kepada suamiku.
Suamiku yang sedang membaca surat khabar tersentak. Terlepas pegangan surat khabarnya tatkala aku mengajukan permintaan itu. Sudah hampir dua puluh tahun aku berkahwin, baru kini aku memintanya untuk mengajar. Suamiku hanya ketawa. Namun, pada malam itu selepas solat Isyak aku duduk di hadapan suamiku dengan al-Quran di rehal. Aku membacanya. Sekali, dua kali dan seterusnya. Namun, aku masih gagal lagi untuk melancarkan bacaanku.
            Allah, aku harus kuat dan sabar. Kata hati kecilku seperti memberikan semangat.
Namun, tidak sampai seminggu aku tidak mahu lagi belajar dengan suamiku. Suamiku hanya mengeleng-gelengkan kepala tanda tidak memahami diriku. Manakan mungkin, bacaan suamiku terlalu cepat. Aku semakin gelisah. Entahlah, kata suamiku kalau aku budak-budak sudah disesahnya dengan lidi penyapu. Aku tunduk diam membungkam sedih.
            Untuk sekali lagi, aku membeli al-Quran digital. Al Qalam menjadi tempat untuk misi aku khatam al-Quran. Itu pun aku membelinya secara online. Menerusi pencarianku aku dapati ianya adalah salah satu produk Quran digital bagi memudahkan pembacaan Al-Quran Al Karim. Mudah mesra dan mudah untuk digunakan. Kesemua maklumat itu aku perolehinya daripada sumber internet. Begitu besar jasa ICT kepada manusia yang buta al-Quran seperti diriku!
            Alhamdullilah, ada juga jalan penyelesaianya. Kataku berkali-kali di dalam hati.
Namun, entah di mana silapnya, tiba-tiba sahaja pen al-Qalam itu tidak berfungsi. Puas aku cuba mencari puncanya namun tidak juga ditemui. Akhirnya, aku terpaksa menelefon pengedar Al-Qalam untuk tujuan penggantian pen semula. Namun, kerana tempat kerjaku jauh, aku terpaksa menundanya.
            “Kalau pen itu tidak rosak, tentu mama akan bergantung sepenuhnya kepada pen tersebut. Sampai bila nak pandai?”kata suamiku apabila aku mengajaknya ke kedai untuk menukar pen tersebut.
            Aku tersengih. Sampai bila nak pandai? Jangan bang, jangan kata begitu. Bersyukurlah abang kerana isterimu ini mahu belajar menggaji. Bersyukurlah abang kerana isterimu ini masih lagi dibukakan pintu untuk bertaubat. Abang tahu, di akhirat esok hanya ayat-ayat Al-Quran itu sajalah yang menjadi penerang dan peneman aku di alam barzakh. Aku paling terkesan apabila group WhatsApp adik-beradikku selalu menyuruh aku untuk sama-sama khatam al-Quran. Setiap hari, ada saja paparan WhatsApp yang menunjukkan mereka sudah sampai halaman dan juzuk ke berapa. Sedangkan aku masih lagi terkial-kial untuk satu halaman dalam masa satu hari! Ah, terlalu perit untuk diriku menghadapi segala-galanya.
            Keluhan itu hanya bergema di dalam hatiku tanpa suamiku mengetahuinya. Biarlah...
Ketika aku mengikuti kursus yang dijalankan di sekolahku, aku diberikan penerangan tentang penggunaan ICT secara meluas. Kata-kata penceramah itu membuatkan aku lebih jelas dan tahu.
“Teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) dapat membantu pengurus pendidikan dalam membuat keputusan, menyesuaikan diri dengan perubahan dan selanjutnya dapat meningkatkan komunikasi dalam organisasinya. Hakikatnya ICT sangat membantu dan menolong mereka (pengurus sekolah) untuk berfungsi dengan lebih cekap, berkesan, mudah, cepat dan membuat keputusan yang baik yang melibatkan maklumat, proses dan kerja seperti pendaftaran pelajar, pelbagai rekod, kawalan inventori, jadual waktu, opsyen guru, bilangan waktu mengajar, hal yang berkaitan peperiksaan, pembelian stok dan sebagainya.”
Lalu aku termenung memikirkan misiku yang masih belum dapat dicapai. Jika ICT dapat meningkatkan komunikasi mengapa tidak aku menggunakan pendekatan aplikasi Skype seperti mana yang pernah disarankan oleh anak lelakiku yang belajar di UITM. Mungkin dia dapat membantuku?
Malam itu juga aku menghantar WhatsApp kepada anak lelakiku. Tepat jam 8 malam, aku bersemuka secara langsung dengan anakku itu. Walaupun jarak kami jauh, namun aku merasakan anak lelakiku itu terlalu dekat dengan diriku. Aku gembira. Pada permulaannya aku membaca dan disemak oleh anak lelakiku. Baru setengah halaman, anakku menyuruh aku mengulangnya semula untuk tujuan lebih mantap pada esoknya.
            “Mama, esok kita ulang dan sambung lagi. Sekejap lagi abang kena study dengan kawan-kawan,”kata anakku lagi.
Aku hanya menganggukkan kepala dan komunikasi kami terputus di situ.
Ah! Terlalu singkat masaku. Ada baiknya jangan diganggu pembelajaran anakku itu. Kataku perlahan.
Aku terdengar suamiku terbatuk-batuk di dalam bilik. Sudah hampir seminggu suamiku batuk kuat. Sudah bermacam-macam ubat batuk yang aku beli di farmasi. Aku juga sudah membawa suamiku ke klinik namun, batuknya masih belum reda. Kerana kasihankan suamiku, aku lantas membuka komputer ribaku dan mencari maklumat serta petua di google. Ternyata, terlalu banyak petua dan pendapat yang dikongsi oleh orang perseorangan di laman itu. Pencarianku tidak hanya di situ sahaja, malah selepas aku memasuki lamanfacebook, ramai pula rakan dan kenalan facebookku memberikan pelbagai petua dan cadangan untuk mengurangkan batuk suamiku.
            Cuba guna daun sireh, mana tahu mujarab!
            Cuba guna bawang putih dan air panas. Mungkin boleh sembuh?
            Kalau malas, pergi saja ke klinik. Ubat bayar dah tentu berkesan. Atau jumpa nurse mesti terus baik!
Kerana kecanggihan ICT maka ramailah yang bergelar doktor dan tukang nasihat. Paling tidak pun jawapan yang ketiga itu membuatkan darahku membuak-buak sehingga takat didih.  Mujur juga hanya berjumpa di alam maya jika ada di hadapanku mahu sahaja aku mengetuk kepala empunya diri sampai benjol!
            “Sebenarnya banyak ilmu dan manfaat yang boleh digunakan dengan kewujudan teknologi ICT tetapi bila disalahgunakan terutama medium internet menyebabkan semua lapisan masyarakat menjadi pak turut yang paling setia,”begitu kata-kata penceramah ICT pada kursus yang lalu.
Ya, aku akui ada benarnya kata-kata itu. Kemudahan ICT memudahkan manusia untuk melakukan apa sahaja. Justeru, hanya ‘Jauhari yang mengenal manikan’.
Aku tersengih apabila membaca idea serta komen-komen di laman facebook. Baru aku sedari aku sudahtersasar jauh daripada matlamat asalku. Kucapai telefon pintarku dan aku menghantar WhatsApp kepada seorang kenalan yang bergelar ustazah.
            Yani, boleh ajar saya menggaji?
Ringkas sahaja permintaanku. Sepuluh minat kemudian, rakanku itu membalas WhatsApp dengan memberikan tanda setuju.
            Boleh, esok jumpa aku!
Aku tersenyum. Bukankah ICT yang menjadi penyelamat untuk mengatasi masalah yang dihadapi. Kelegaan semakin terserlah pada wajahku. Namun, hanya aku yang mengetahui betapa kelelahanku itu sudah semakin hilang ditelan oleh kesanggupan kawanku untuk mengajar al-Quran.
            Segala keseronokan pada hari itu menjelma dalam mimpiku. Aku dapat merasakan diriku duduk di tengah-tengah tetamu yang hadir. Berpakaian serba baru dan bersemangat. Ketika itu, adalah saat yang paling kunanti-nantikan. Au bakal khatam al-Quran setelah bertungkus lumus belajar menggaji dengan rakanku itu. Aku tidak akan lagi malu untuk membacakannya di depan anak-anakku atau paling tidak akan diketawakan oleh suamiku nanti. Namun, bukan itu yang kuhajati. Aku mahu pusaraku nanti bercahaya dengan ayat-ayat suci al-Quran yang sentiasa menjadi peneman dan amalanku di sana nanti. Jadi, aku tidak akan takut lagi tinggal keseorangan di alam barzakh.
            “Eh! apa senyum-senyum ni? Tidur pun boleh senyum?”tanya suamiku secara tiba-tiba.
Aku terkejut jaga apabila mendengar teguran daripada suamiku. Ternyata keinginanku itu membuatkan aku meneroka begitu jauh.
            Senyum dulu bang, tapi esok mama dah mula menggaji dengan ustazah. Biar sampai khatam! balasku di dalam hati dengan penuh bangga.


Reda Abah


Idarasul
Utusan Malaysia
10 Mac 2018

SUASANA di ruang legar hospital agak suram. Hanya beberapa orang jururawat dan doktor yang melalui ruang legar itu. Aku hanya duduk tercatuk seperti seekor burung. Memerhatikan para jururawat dan doktor yang mundar-mandir menjalankan tanggungjawab masing-masing.
Di luar jendela, kelihatan rintik-rintik hujan mula membasahi bumi. Seolah-olah menggambarkan kesayuan di hatiku tatkala itu. Beberapa kali juga aku menghamburkan nafas seolah-olah memberitahu betapa aku kelelahan dalam menghadapi pelbagai dugaan yang mendatang. Sebagai hamba-Nya, aku sedar bahawa setiap dugaan dan ujian yang diperturunkan itu pasti ada hikmah di sebaliknya. Pun aku lebih sedar, selagi aku bergelar insan maka aku tidak akan terlepas daripada diuji dan terus diuji kerana ujian demi ujian itu menandakan bahawa Allah masih sayangkan aku sebagai hamba-Nya.
Kemudiannya, mataku tertancap kepada seorang pesakit yang duduk di atas kerusi roda. Wajahnya kelihatan pucat. Pesakit lelaki yang berumur lebih kurang 60 tahun itu hanya duduk seperti patung cendana tanpa menghiraukan kehadiran aku di situ. Barangkali sedang berjuang dan berhempas-pulas melawan kesakitan yang dialaminya. Kedut-kedut pada wajahnya menyimpan pelbagai cerita suka dan duka. Betapa dalam usia sebegitu, dia terpaksa menahan kesakitan. Ternyata tubuh yang serba kurus itu akan cepat lemah dan sakit tatkala menghadapi ujian kesihatan daripada Allah jua.
Abah...Getusku di dalam hati.
Namun, panggilan keramat itu hanya kaku di lubuk jiwaku tanpa abah mendengarnya. Aku juga tidak tahu mengapa secara tiba-tiba aku menyebutnya. Barangkali kerana teringatkan abah yang terbaring di wad hospital itu menyebabkan fikiranku menerawang mencari kelibat abah tanpa kusedari.
Teringatkan abah membuatkan hatiku terasa sebak. Sudah seminggu abah dimasukkan ke wad kerana masalah kencing manis dan buah pinggang. Sudah seminggu jugalah mak menjaga abah tanpa ruang untuk berenggang. Semua adik-beradikku telah menziarahi abah melainkan aku yang terlalu sibuk dengan kerja-kerja di pejabat yang tidak pernah habis. Kerana tuntutan kerja yang menimbun tinggi itu menyebabkan aku alpa dan membiarkan abah menunggu lama di wad itu. Kasihan abah!
“Kak, kenapa duduk di luar? Marilah masuk ke dalam. Abah panggil kakak.” Ujar Alang sambil melihat wajahku.
“Kenapa kak? Kakak menangis?” soal Alang membuatkan aku cepat-cepat mengelap air mata yang semakin bertakung di kelopak mata.
“Tak ada apa-apa.” Jawabku ringkas. Cuba menyakinkan Alang.
Aku tidak mahu Alang sedih apabila melihat perlakuanku. Sungguh, dalam setiap detik, aku menyesal kerana mengabaikan abah dan mak. Aku lebih mengutamakan pekerjaanku daripada menjenguk mak dan abah di kampung. Kerana kesibukan yang semakin bermaharajalela di hati menyebabkan hubungan kasih sayangku terungkai dan hambar dengan adik-beradik yang lain.
Namun, keluhanku itu hanya berlegar-legar di dalam hati dan terhenti lalu terkulai di lubuk jiwaku. Entahlah...
Aku melangkah lesu menuju ke wad yang menempatkan abah. Pada waktu itu, aku bertemu dengan wajah-wajah yang tidak ku kenali. Maklumlah, waktu itu merupakan masa untuk melawat pesakit. Kemudiannya, aku menuju ke sebuah bilik yang bernombor 2A. Di dalam bilik itu, terdapat empat buah katil yang menempatkan empat orang pesakit. Setiap katil hanya dipisahkan oleh tirai putih sebagai sempadan. Di suatu sudut, aku melihat wajah mak yang sedang tersenyum apabila melihat kehadiranku di situ.
Ah, mak. Dalam kepayahan masih lagi tersenyum menyambut kehadiran anaknya, sedangkan aku sebagai seorang anak, sering melukakan hati mak dan abah dengan ketidakhadiranku untuk menjenguk mereka. Aku bermonolog sendirian. Ternyata, perasaan kesalku semakin mencengkam ke seluruh urat jantungku.
“Mak...” panggilku mesra sambil memeluk tubuh tua itu dengan erat.
Aku mahu mak tahu bahawa aku terlalu bersalah kerana mengabaikan kasih sayangku terhadap mak dan abah. Namun, mak dengan segera membalas pelukanku lebih erat dan hangat dengan rimbunan kasih sayang yang mendamaikan. Aku terharu diperlakukan sedemikian. Kemudiannya, aku melihat wajah abah. Wajah tua itu kutatapi sedalam-dalamnya. Ada kolam-kolam derita yang semakin surut pada wajah itu. Pada wajah tua itu kutemui garis-garis kehidupan yang semakin terbenam di ufuk senja. Terlalu banyak pelabuhan yang disinggahi, namun selangkah lagi ke pelabuhan abadi. Aku terkedu apabila memikirkan tentang ketentuan Ilahi. Wayar yang berselirat di dada abah itu membuatkan air mataku merembes keluar. Kasihan abah!
Lantas terlintas di fikiranku tentang abah pada masa yang lalu. Abah adalah nadi kehidupan kami sekeluarga. Pada waktu mudanya, abah banyak menghabiskan masa dengan bekerja menyara kehidupan kami. Ketika itu, adik-adikku masih kecil. Hanya aku dan Angah sahaja yang bersekolah rendah pada waktu itu. Aku melihat kesusahan yang dihadapi oleh abah. Abah mengerahkan tulang empat keratnya untuk melakukan pelbagai pekerjaan untuk membesarkan kami adik-beradik. Abah memandu lori menghantar muatan barangan tanpa mengira detik masa. Siang dan malam berhujan dan berembun demi membesarkan anak-anak yang masih kecil. Tangan abah dari lembut bertukar menjadi kasar kerana terpaksa mengangkat barang. Tubuh abah dari sehari ke sehari menjadi sasa dan tegap. Seteguh cita-cita abah untuk melihat anak-anak berjaya hingga ke menara gading. Abah langsung tidak pernah merungut dengan kepayahan hidup yang dirasainya. Bagi abah, tanggungjawabnya sebagai ketua keluarga menyingkirkan segala perasaan ingin hidup mewah sebagaimana insan yang lain. Abah pasrah dan redha menerima segala-galanya.
Aku masih lagi teringat tentang abah. Jika abah bercuti, abah akan menggoreng sayur kangkung kegemaran aku dan Alang. Biarpun masakan abah tidaklah sehebat chef terkemuka, namun kami dapat merasakan kelazatan kangkung goreng abah. Barangkali, air tangan abah menjadikan hubungan kami adik-beradik begitu rapat dan dipenuhi dengan kasih sayang yang abadi. Barangkali juga, abah menggoreng sayur kangkung dengan menambah ramuan cinta abadi di hati kami.
Ah, abah. Jasa dan pengorbananmu tidak dapat dibalas dengan kata-kata. Malah, sebesar kuman sekalipun, aku pasti tidak akan dapat membahagiakan diri abah sebagaimana yang pernah dilakukan oleh abah kepada anak-anaknya.
“Kakak...” panggil abah dengan suara yang perlahan menyebabkan aku tersentak dari lamunan.
Aku menghampiri abah lalu kucium tangan abah. Tangan abah yang berkedut dan sejuk itu membuatkan aku tersentak. Baru kusedar abah yang dahulunya muda kini sudah semakin pudar usianya. Abah yang dahulunya bertubuh sasa dan tegap sudah semakin kurus hingga menampakkan tulang-temulangnya. Kini, rambut abah semakin putih membayangkan betapa abah sudah semakin jauh meninggalkan kenangan silam pada masa nan lalu.
“Abah...” panggilku sayu.
“Kakak...abah kini bukan seperti abah yang kuat dan sihat. Abah sudah semakin tua. Anak-anak abah semuanya sudah besar dan ada keluarga sendiri. Kalau dulu, rumah abah dan mak sentiasa riuh dengan kakak dan adik-adik yang lain tetapi kini rumah itu semakin sunyi dan sepi. Tetapi abah masih redha menerimanya.” Luah abah dengan air mata yang semakin bertakung di kelopak matanya.
“Kakak...abah tahu anak-anak abah sentiasa sibuk bekerja siang dan malam. Abah langsung tidak pernah marah kalau anak-anak abah sentiasa sibuk mencari rezeki untuk kelangsungan hidup. Abah mengerti dan redha. Kerana tuntutan hidup pada zaman ini menyebabkan penghuninya terpaksa berhempas-pulas mengejar hakikat kehidupan yang serba mencabar.” Ujar abah dengan linangan air mata.
Aku hanya tunduk memandang permukaan simen yang menggerutu dan berbalam-balam. Selama ini, abah langsung tidak pernah berfalsafah tentang kehidupan. Apa yang sebenarnya ingin abah sampaikan kepada diriku? Aku bermonolog.
“Abah...”panggilku dengan sayu. Aku mahu tahu apa yang bersarang di hati abah.
“Abah dan mak tak mahu apa-apa. Jauh sekali wang ringgit dan kemewahan harta. Sudah lama kami kehilangan anak-anak kami. Rumah itu sudah semakin sunyi. Semakin sepi. Hanya tinggal mak dan abah sahaja yang melayani hari tua kami tanpa anak-anak di sisi. Justeru, kami mahu anak-anak kami kembali bersatu seperti dahulu yang semasa kecilnya bersama-sama membahagiakan hati mak dan abah. Itu sahaja yang abah ingin.” Ujar abah hiba.
Aku tersentak. Permintaan abah itu benar-benar meruntun hatiku. Kata-kata abah membuatkan diriku tertikam dengan serpihan kaca yang jatuh berderai. Sakit dan pedih dengan kalimat yang kudengar sebentar tadi. Selama ini, abah dan mak kesepian walaupun dalam dakapan anak dan cucu-cucunya. Kami membiarkan abah dan mak menghabiskan sisa-sisa kehidupan mereka tanpa anak-anak di sisi. Untuk sekian kalinya, aku menghamburkan nafas yang panjang seperti baru tersedar dari lena yang panjang. Kini, tekadku hanya satu, aku akan menjaga mak dan abah seperti mana mak dan abah pernah menjaga kami adik-beradik seperti masa nan lalu.


Wadah PajatSong




Idarasul
Utusan Malaysia
29 April 2018



“BRO! Kalau hendak ke Menara Berkembar Petronas mesti ikut jalan mana?” tanya seorang pemuda yang melalui kawasan pejalan kaki. Kebetulan, pada waktu itu aku dan pemuda itu bertembung ketika sama-sama berteduh daripada rintik-rintik hujan yang semakin lebat di Jalan Silang, Kuala Lumpur.

“Kalau saudara mahu ke Menara Berkembar Petronas, saudara perlu menggunakan perkhidmatan teksi yang disediakan di sini. Saya sarankan begitu kerana jarak di antara tempat saudara berada sekarang ini jauh dari tempat tersebut.” Ujarku dengan penuh sopan.

Pemuda itu menggaru-garu kepalanya. Kemudian menganggukkan kepala seperti seekor burung belatuk. Dia seperti tidak memahami tutur bicaraku barangkali.

“Thank you Bro,” balas pemuda itu ringkas.

Aku hanya mengukirkan sebuah senyuman yang kukira menzahirkan perasaan terima kasih kembali kepadanya. Mataku masih meleret melihat telatah pemuda itu yang tenggelam dalam kelompok manusia yang pelbagai kerenah di situ. Melihatkan gaya berpakaian dan cara percakapannya menyebabkan aku menghamburkan nafas yang panjang. Meskipun pemuda itu berbangsa sama sepertiku dan berkulit sawo matang, tetapi nilai-nilai kemelayuan sudah semakin terhakis dalam setiap tindak-tanduknya.

Ah, generasi sekarang langsung tidak mahu menghormati budaya yang telah diperturunkan oleh nenek moyang masa dahulu. Bercakap pun disulami dengan kata-kata yang menyakitkan hati dan perasaan. Langsung tidak mahu berbahasa Melayu dengan baik. Kan lebih manis kalau dia memanggil aku dengan panggilan abang daripada memberikan aku gelaran ‘bro’. Kalau tidak kena gaya panggil mungkin boleh sahaja memanggil aku sebagai ‘beruk’. Aku bermonolog di dalam hati seperti menzahirkan rasa ketidakpuasanku.

Kegusaran di hatiku itu terbawa-bawa hingga sampai ke rumah. Ketika aku sedang menonton televisyen, tiba-tiba sahaja terpampang pesanan ringkas daripada rakan sepejabatku. Aku meneliti butiran pesanan itu sambil menggeleng-gelengkan kepala berulang kali.

“Zam, esok kau roger aku bila dah sampai pejabat. Jangan kau lupa plak.”
Bukan aku marahkan rakan sepejabatku dengan menghantar pesanan ringkas pada waktu malam. Yang aku marah dan kesalkan ialah penggunaan kata-kata yang tidak sesuai seolah-olah memperlekehkan kemampuan bahasa itu sendiri. Sudah acapkali aku menerangkan penggunaan ayat-ayat yang betul berdasarkan nahu dan istilah kepada rakan-rakan sepejabat tetapi mereka masih tetap menggunakan bahasa rojak yang terlalu sinonim dengan kehidupan seharian. Kata mereka, menggunakan bahasa rojak lebih mudah dan ringkas daripada menggunakan bahasa yang strukturnya panjang berjela-jela.

Aku menyandarkan tubuh di birai katil sambil termenung. Fikiranku menerawang di segenap ruang untuk mengingati tentang kepincangan bahasa yang berlaku di media sosial. Paling banyak kesalahan yang kutemukan itu datangnya daripada penggunaan bahasa pasar dan rojak yang akhirnya menjadikan bahasa Melayu itu lintang-pukang dan cacamarba. Pembacaanku tersentap apabila melihat kepincangan itu. Telingaku akan berdesing apabila mendengar ayat-ayat yang sudah diseleweng dan disogok dengan bahasa penjajah. Ternyata, meskipun negara sudah lama merdeka tetapi bahasa Melayu itu masih lagi dijajah oleh perkataan dan ayat yang tidak sepatutnya.
“Abang, kenapa tak tidur lagi?” soal isteriku yang curiga melihat perlakuan gelisahku.
“Entahlah...” aku membalasnya sambil mengeluh perlahan.

Keluhan
Kening isteriku berlaga-laga cuba mencari jawapan daripada keluhanku itu. Isteriku langsung tidak mengerti tentang apa yang sedang kufikirkan.

“Apa yang entah?” soal isteriku ingin tahu.

“Hmm... dunia sudah semakin berubah. Perubahan membawa kepada kemusnahan bahasa. Bukankah bahasa itu sebagai cerminan sesebuah bangsa? Kalau sudah hilang jati diri seseorang maka bahasa juga akan hilang kedaulatannya tanpa disedari. Di sana sini orang sibuk dengan bahasa pasar dan rojak. Langsung tidak ada nilai-nilai kesantunan untuk diperhalusi. Kalau bukan kita yang mengamal dan mempraktikkannya, siapa lagi?” aku meluahkan segala yang terbuku di dalam hati kepada isteriku.

Terbeliak biji mata isteriku apabila mendengar keluhanku itu. Barangkali dia memikirkan bahawa aku mempunyai masalah di pejabat. Namun, sangkaannya sama sekali meleset.
“Sebagai seorang Munsyi Dewan yang baharu dilantik, abanglah yang harus memperbetulkannya. Bukan mama ataupun orang lain,” pantas sahaja kata-kata isteriku itu yang akhirnya tidur tanpa mempedulikan aku.

Aku tergumam apabila mendengar kata-kata isteriku. Ya, semuanya ada kebenaran tanpa dapat aku sangkalkan. Apa gunanya gelaran Munysi Dewan jika aku tidak berani menegur dan membantu orang lain? Apalah gunanya ilmu jika tidak diamalkan? Ilmu yang tidak diamalkan akan samalah dengan pokok yang rendang tetapi tidak berbuah. Rendangnya hanya dapat dinikmati pada zahirnya tetapi pada lahiriahnya langsung tidak mendatangkan apa-apa kebaikan.

Kemudian, perasaan gusar itu mendorong aku untuk menghasilkan sebuah blog yang kuberikan namanya ‘Wadah PajatSong’. Entahlah, aku sendiri tidak tahu dari mana terbitnya nama itu. Hanya yang terbit di benak fikiranku pada waktu itu ialah daerah kelahiranku Pajak Song yang terletak di Kepala Batas. Song itu sendiri bukanlah membawa maksud kepada lagu atau gubahan nyanyian. Yang aku tahu, wadah ini akan menjadi satu medan pertempuran antara bahasa yang harus diaplikasikan dengan struktur yang baik.

Kecintaan terhadap bahasa Melayu itu kulakar dan kulukiskan di kanvas pembicaraanku dalam blog Wadah PajatSong. Pelbagai maklumat mengenai istilah malah meliputi bidang-bidang morfologi serta sintaksis dikemukakan sebagai bahan rujukan. Aku mahu seluruh dunia mengetahui ketinggian peribadi sesebuah bangsa itu hasil daripada didikan dan cara berbahasa. Bahasa itu cerminan diri si penutur. Tanpa bahasa akan lenyaplah sesebuah bangsa.
Teringat aku tentang filem yang bertajuk Gurindam Jiwa lakonan seniman Nordin Ahmad dan seniwati Latifah Omar. Bahasa yang dituturkan terlalu indah dan disulami dengan bait-bait pantun yang kata-katanya bisa menggugat perasaan.

Tuai padi antara masak,
Esok jangan layu-layuan;
Intai kami antara nampak,
Esok jangan rindu-rinduan.

Perkataan yang digunakan itu menimbulkan kesyahduan dan keasyikan apabila dihayati. Bait-bait pantun itu terlalu indah jika diperhalusi satu persatu. Rasa kasih dan rindu dirungkaikan secara sopan tanpa ada keterlanjurannya. Di sebalik kata-kata itu mencerminkan perasaan rindu yang teramat apabila berlakunya perpisahan. Hal inilah yang menjadikan bahasa itu indah untuk dikenang sehingga kini.

Tidak seperti sekarang yang bahasanya langsung tidak berlapik. Menyatakan perasaan rindu dan sayang secara terang-terangan. Tanpa segan dan silu. Memaksa generasi kini untuk melupakan budaya yang diwarisi oleh nenek moyang dahulu. Natijahnya, bahasa itu diperkosa dan ditelanjangi tanpa rasa simpati.

Kesemua dapatan dan rasa itu aku catatkan dalam blog Wadah PajatSong. Tidak ada satu pun yang tertinggal. Aku mahu generasi sekarang lebih menghargai bahasa. Aku mahu anak-anakku nanti boleh berbicara dengan bahasa yang lunak dan merdu. Yang paling penting aku mahu blog Wadah PajatSong ini menunjukkan jalan yang benar dan lurus kepada pengguna bahasa yang sudah terpesong daripada landasannya.

Lewat malam itu aku terus tekun menulis di dada blog. Blog hasil air tanganku ini sebagai medan pertempuran memerangi kebatilan kebahasaan.

Mataku masih lagi terasa segar dan langsung tidak menunjukkan tanda-tanda mengantuk. Beberapa minit kemudian, aku mendengar nada ‘bit’ dari peti pesanan ringkas. Sengaja aku offline telefon bimbitku kerana aku tidak mahu menghadap kesalahan bahasa dan ejaan yang terlalu banyak pada layar skrin.

Kekeliruan
“Zam, terima kasih kerana membantu aku menyelesaikan kekeliruan penggunaan kata ‘adalah’ dan ‘ialah’. Sudah puas aku merujuk dan bertanyakan tentang perkara ini dengan rakan-rakan di sekolahku. Ternyata, blog Wadah PajatSong yang kau buat itu benar-benar membantu diriku.” – Ikhlas daripada Helmi rakan sekelasmu dulu.

Untuk kesekian kalinya aku terkedu membaca mesej itu. Baru tiga jam aku melayari internet dan membuat blog Wadah PajatSong tanpa kuduga ia sudah mendapat sambutan di luar sana. Kegilaanku terhadap bahasa membolehkan aku membantu insan lain menyelesaikan permasalahan daripada penggunaan bahasa yang tidak tepat. Aku mengukirkan senyuman kepuasan atas kejayaan malam itu.

Aku merebahkan diriku di sebelah isteriku. Dengkuran isteriku membuatkan mataku semakin mengantuk. Atas faktor kepenatan bekerja di pejabat, akhirnya aku tertidur juga.
Aku terkejut jaga apabila hari sudah menjelang subuh. Pada keheningan subuh itu, aku memanjatkan doa agar seluruh ahli keluargaku dirahmati Tuhan. Begitu juga dengan bahasa Melayu yang sentiasa bertakhta di hatiku. Aku mendoakan agar bahasa Melayu kecintaanku itu tidak akan terbiar begitu sahaja.

Pagi di pejabat masih sama seperti dahulu. Tiba-tiba aku dipanggil oleh PA Pengarah untuk masuk ke dalam bilik mesyuarat. Aku tidak mengerti. Hati dan perasaanku diserang dengan rasa gementar. Apa salahku? Ah, aku tidak ada menimbulkan sebarang masalah di pejabat. Atau mungkin blog yang aku ciptakan Wadah PajatSong itu menimbulkan perasaan kurang senang pada hati Pengarah atau orang lain? Tidak, tidak mungkin kerana aku tidak menyentuh sebarang sensitiviti insan lain. Wajahku sedikit pucat apabila ditenung lama oleh Pengarah. Aku seperti patung cendana duduk tercatuk kaku dan membungkam sepi.

“Encik Zam. Saya suka dengan tulisan blog anda. Saya mahu blog itu diteruskan penulisannya dari semasa ke semasa. Di samping itu, saya hendak semua kerani di bawah Encik Zam belajar menulis surat dengan menggunakan bahasa yang betul dan tepat. Usaha Encik Zam saya puji dan berharap agar jangan berhenti setakat ini sahaja. Saya juga seperti Encik Zam yang cintakan bahasa. Tetapi saya bukanlah ‘orang bahasa’ seperti Encik Zam. Oleh itu, saya mahu Encik Zam menjadi pakar rujuk kepada pegawai-pegawai di Kementerian ini.” Ujar Pengarah sambil tersenyum.

“Kadang-kadang, pantun saya pun tidak betul. Berterabur di sana sini. Kalau saya salah, tolong betulkan ya, Encik Zam.” Kata Pengarah tanpa segan silu.

Aku tersengih apabila mendengar kata-kata pengarah. Ah, siapalah aku untuk membetulkan kesalahan ketua tempatku bekerja. Kadang-kadang aku juga sama seperti orang lain yang buta dan pekak dengan bahasa sendiri. Aku sendiri bukanlah pandai untuk berkias dan berpantun. Semuanya aku ambil daripada kata-kata nenek moyangku dahulu. Kerana kecintaanku terhadap bahasa itu terlalu menebal, maka aku menyayangi bahasa Melayu itu sepenuhnya.

Namun, gema keluhan itu hanya aku dengari tanpa orang lain mendengarnya.

Aku menghembuskan nafas kelegaan apabila mendengar kata-kata pengarah itu. Baru sebentar tadi, nafasku turun naik memikirkan apa salahku tetapi kata pujian yang melambung tinggi pula yang telah kuterima. Aku meminta izin untuk melakukan tugasan seterusnya. Sepanjang hari itu, bibirku hanya mempamerkan senyuman yang menguntum.

Malamnya ketika isteriku telah larut dibuai mimpi, aku kembali bertandang di blog Wadah PajatSong. Aku dapati sudah ramai yang mengikuti blog hasil nukilanku itu. Ada antara mereka yang meninggalkan komen agar aku mengajari mereka cara menghasilkan pantun kerana kata mereka pantun ‘Gurindam Jiwa’ itu benar-benar terkesan di hati pembaca blog.

Untuk sekian kalinya, aku menitipkan sebuah pantun Melayu lama yang sering dinyanyikan oleh Datuk Siti Nurhaliza dalam blog Wadah PajatSong.

Yang kurik itu kundi,
Yang merah itu saga;
Yang baik itu budi,
Yang indah itu bahasa.

Cintaku terhadap bahasa tidak akan luntur. Ia seluas pasir di tepian pantai dan sebanyak bintang di langit.




KUIZ ASEAN

Awalan meN-

Munsyi Md Rasul bin Haron@Amatara Bahagian Matrikulasi 30 Jun 2022 Panduan Bahasa PROSES PENGIMBUHAN 2) Awalan meN- fungsi pengg...