Kuala Selangor-10 Mei 2009. Kontinjen Bola Tampar Gombak berkumpul di SMK Seri Gombak sebelum berangkat secara konvoi ke Kuala Selangor. Lebih kurang pukul 2.00 petang dengan semangat membara untuk menjulang nama Gombak, enjin kereta mula menderum-derum seperti tidak sabar memulakan perlumbaan Formula 3 di litar Sepang. Manakan tidak, pada pukul 4.00 petang. Pegawai-pegawai pasukan seperti Azam, Aina dan Kak Nora perlu menghadiri mesyuarat pengurus pasukan dan pendaftaran serta semakan borang M01, R01, M02 dan R02.
Pendaftaran dan taklimat berlangsung di Pantai Indah Seaview Resort. Penulis bersama Kamrul pula menghadiri mesyuarat pengurus pasukan. Kelihatan di dalam gambar, Azam, Aina dan Kak Nora begitu tekun mendengar penerangan Pegawai Pendaftaran yang begitu semangat menyambut pegawai-pegawai dari Gombak. Bukan apa, selepas Gombak membuat pendaftaran, boleh lah pegawai-pegawai yang rambut dibelah tepi ini rehat. Pasukan P15 dan P18 pada ketika dan saat ini sedang menikmati udara segar di Apartmen Majlis Daerah Kuala Selangor.Kedatangan Dr.Ir Mohd Helmi Yang DiPertua PIBG SMK Sri Gombak pada hari pendaftaran juga menyuntik semangat pasukan Gombak. Beliau memberi kata-kata semangat kepada pegawai-pegawai dan pemain-pemain bola tampar untuk mengharumkan nama Gombak. Beliau turut berpuas hati dengan kemudahan penginapan yang disediakan oleh pihak penganjur dan sempat membuat tinjauan kemudahan-kemudahan yang disediakan oleh pihak pengurusan apartmen.
Walaupun masih belum menikmati makanan tengahari, pegawai-pegawai serta pemain-pemain bola tampar Gambar tetap senyum dan bertegur sapa dengan kontinjen daerah lain yang jalan membusung dada menunjukkan ciri-ciri mereka adalah pasukan yang sukar ditandingi. Pembawaan pasukan-pasukan daerah lain ini tidak sedikitpun memberi getaran jiwa kepada pasukan Gombak yang terkenal dengan sikap singa di dalam hati. Di luar senyum. Di dalam mengaum. Ganas... ganas...
Pasukan Gombak beruntung kerana Kak Nora yang terkenal dengan sikap menjaga kebajikan kontinjen Gombak mulai risau dengan makan-minum pemain-pemain dan pegawai-pegawai. Kak Nora mula membuat tinjauan kedai-kedai makan lima bintang di sekitar Kuala Selangor. Mas Ayu yang bertindak sebagai Pegawai Kebersihan Makanan, Pegawai Kesedapan Makanan, Pegawai Pemantau Makanan Baru Atau Lama dan macam-macam lagi jawatan telah menetapkan kedai-kedai yang diberi penarafan 'A' untuk pasukan Gombak menyerbu menghabiskan makanan yang dihidangkan oleh peniaga-peniaga yang tidak sangka rezekinya bertambah di sepanjang kejohanan berlangsung bermula 10-15 Mei 2009. Ada peniaga yang berkira-kira nak tukar sport-rim kereta baru. Ada isteri peniaga asyik membelek pergelangan tangan dengan menjerit, 'gelang emas bang, murah aje, 1 gram baru RM 103. Pasukan Gombak datang makan dan minum sahaja boleh mencecah RM 140 hingga RM 200 dan mungkin lebih. Itu baru satu sesi menghadap makanan.
Komitmen Jurulatih-Jurulatih yang tidak kenal letih seperti Enal, Saras, Neezam, Farah, Hel dan Wan untuk meletakkan nama Gombak pada tempat yang terbilang memang tidak dapat disangkal lagi. Walaupun pada kejohanan kali ini pasukan P15 dan P 18 tidak merangkul gelaran Johan. Pasukan Bola Tampar Gombak masih diiktiraf sebagai pasukan lima terbaik di negeri Selangor. TAHNIAH. Tidak dilupakan juga pasukan perempuan 12 yang mendapat sentuhan jurulatih-jurulatih yang tidak dapat disangkal kredibeliti mereka. Antaranya Sir Yazid dan Hafeez yang dikenali sebagai "The Greatest Blocker" dalam kalangan peminat bola tampar daerah Gombak. Pasukan perempuan 12 berjaya mendapat tempat ketiga pada peringkat negeri Selangor.
Apa yang membanggakan pasukan L 12 berjaya merangkul gelaran Juara Bola Tampar Lelaki MSS Selangor 2009. Kejayaan membenamkan pasukan dari Sabak Bernam merupakan kenangan terindah. Manakan tidak, ramai penyokong Gombak berteriak bagai histeria apabila Gombak menang dengan penuh bergaya.
Cabaran seterusnya dibawa oleh pasukan Lelaki 15 dan 18. Menurut Pengerusi Teknik Bola Tampar Daerah Gombak, Azam bin Hashim yang juga dikenali sebagai "The King of Setter" dalam kalangan jurulatih dan pemain bola tampar Gombak, pelbagai persiapan telah mereka lalui sebagai persediaan menghadapi kejohanan tersebut dan mereka sudah giat menjalani latihan setiap hari bagi memantapkan lagi corak permainan. Pasukan kita diwakili pemain yang mempunyai fizikal dan mental yang mantap. Jadi, pendedahan pada kejohanan peringkat negeri ini adalah jalan terbaik bagi membolehkan kami bersaing pada peringkat kebangsaan kelak.
Pendapat Azam turut disokong oleh Aina dan Ayu yang setia menyokong pasukan Gombak. Mereka begitu fanatik dan agak ekstrem apabila menjerit nama Gombak yang sudah sebati di dalam jiwa mereka. Selain membantu Kak Nora dalam menyediakan makanan dan kebajikan pasukan Gombak, mereka juga penjerit nama Gombak di dalam keriuhan dan kebisingan penonton-penonton lain di Stadium Tertutup Majlis Daerah Kuala Selangor. Kelihatan di sebelah Aina seorang penyokong daerah lain yang mungkin sedang membuat panggilan kepada pihak polis agar mengambil tindakan tegas kepada kedua-dua penyokong yang fanatik ini. Hasratnya satu, keluarkan mereka berdua dari stadium atau penjarakan mereka sehingga tamat kejohanan.
Pada hari Jumaat 15 Mei 2009, tiba saat yang menyedihkan. Wan Kamarul tidak dapat berpisah dengan baby Kak Nora. Manakan tidak baby merupakan salah seorang pengunjung setia Stadium Tertutup MDKS.
Tahniah pasukan Gombak. Gombak masih terbaik dan masih menjadi igauan daerah-daerah lain.