Faridah Bt Mohamad Saad Institut Pendidikan Guru Kampus Pendidikan Teknik Bandar Tun Razak Cheras, Kuala Lumpur |
Adakah kehidupan kita semakin rumit kesan daripada kegagalan kita mengawal perbelanjaan akibat kita masih bertahan dengan gaya hidup yang kita jalani selama ini. Bukan sedikit orang yang hidupnya sengsara gara-gara terlebih berbelanja. Ada yang perlu melangsaikan hutang atau kad kredit kerana dulu sudah ambil beberapa barang dengan metode 'guna dahulu, bayar kemudian' atau bayar selepas sekian tempoh yang ditetapkan.
Masa mengambilnya dulu, memang seronok sebab dapat memiliki barangan yang dihajati, tapi kini, baru kita sedar akan tindakan kita dahulu kurang atau tidak bijak langsung. Kerana turutkan kata hati, inilah akibatnya. Perkara ini bukan baru dan dialami oleh banyak orang. Sejak dahulu hingga sekarang, masih ada orang yang akan terperangkap dalam situasi begini.
Memang sukar mengubah sikap kerana ia berkait-rapat dengan faktor seperti cara berfikir, tahap pendidikan, kesedaran dan suasana sekeliling. Yang jadi beban ialah mereka yang mengamalkan sikap sanggup berhutang dan biar papa asal dapat bergaya.
Seharusnya, semakin berusia kita semakin matang dan tidak lagi mudah terikut-ikut orang lain. Ukur kemampuan sendiri. Biar bersederhana asalkan jiwa tidak merana.