Sabtu, 4 September 2010

Elak Provokasi Jumud Bagi Keutuhan Perpaduan

Malaysia sebagai tanah tumpah darah kita sehingga kita disemadikan. Segala yang kita capai, bina dan hargai boleh hancur berkecai serta musnah dalam sekelip mata jika masyarakat dirosakkan dengan budaya jumud dan melampau menerusi isu perkauman serta agama. Sesungguhnya, pencapaian cemerlang negara sejak merdeka 53 tahun lalu adalah dengan bertunjangkan keamanan, keharmonian dan kestabilan. Jika tiga elemen ini tidak dijaga apatah lagi tidak disuburkan sepanjang masa, ia bakal mengundang musibah besar kepada rakyat dan negara.
Tidak ada rakyat yang rata-rata menikmati kehidupan sempurna sekarang, mahu dihidangkan dengan soal ancaman kehancuran dan kemusnahan. Perkauman dan agama adalah dua perkara yang sangat sensitif. Ia bagai minyak yang boleh menyambar dan membakar diri mahupun negara walaupun terkena percikan api. Demi keutuhan dan kepentingan kedua-duanya, sejarah membuktikan ramai orang sanggup melakukan apa sahaja untuk mempertahankan kaum atau agama mereka. Jika kedua-dua perkara itu dijadikan bahan persendaan atau dimanipulasikan kelompok yang jumud dan pelampau untuk kepentingan tertentu, maka ini petanda masyarakat mula dirosakkan serta terdedah kepada kehancuran. Kita harus mengambil iktibar bagaimana sikap jumud dan melampau di beberapa negara yang mengheret rakyatnya ke kancah konflik antara kaum atau agama.  Konflik yang lebih buruk pula mencetuskan perang saudara dan mengakibatkan  kemusnahan negara. Akhirnya pihak ketiga yang mengaut keuntungan, campur tangan dan menjadi dominasi menentukan hala tuju kedua-dua pihak yang bertelagah dan lemah itu.
Sudah sampai masanya, masyarakat berbilang kaum di Malaysia memperbaharui tekad untuk bersatu. Dengan menonjolkan identiti nasional yang tidak dapat lari daripada teras Melayu, kelompok bukan Melayu, Cina dan India tidak sekali-kali kehilangan atau kekurangan identiti etnik kerana Malaysia mengamalkan dasar kepelbagaian budaya. Ini dapat dilihat pada kebebasan dinikmati dalam pengamalan adat resam masing-masing yang ikut merangkumi pendidikan dalam bahasa ibunda.
Aspirasi rakyat negara berdaulat termasuklah Malaysia, lebih-lebih lagi daripada penduduk asalnya, adalah melihat keperibadian watan ikut diangkat oleh semua warganya ketika menonjolkan jati diri kebangsaan. Ini penting untuk maruah, selain citra negara. Di Malaysia, ini perlu untuk menegaskannya sebagai negara majmuk yang terasnya adalah Melayu.

Oleh:
MD RASUL BIN HARON

Islam Menerapkan Akhlak Yang Baik

Islam adalah agama yang universal dan komprehensif. Apabila bertemu dengan situasi sosial dan budaya, Islam banyak memberi mekanisme  penyelesaian dengan sifat-sifat baik seperti adil, persamaan dan kemanusiaan. Melalui prinsip tersebut, manusia mendapat pembelaan dalam Islam. Sifat agama Islam yang fleksibel, memberi kemudahan dan tidak memaksa menjadikan ia mudah diterima oleh masyarakat.
Menurut hasil kajian Cliiford Geertz, ahli antropologi Amerika yang membandingkan antara Islam di Morocco dan Nusantara, terdapat hubungan sejarah antara fungsi pasar dan masjid. Ia membuktikan perkembangan Islam di pasar dan masjid. Ia membuktikan perkembangan Islam di Nusantara berlaku kerana faktor perdaganagan. Ia bertepatan dengan fakta al-Quran yang menyebut orang Arab gemar berdagang. Pendekatan dialog kebudayaan yang digunakan oleh pendakwah Islam di Nusantara pada masa itu sesuai dengan situasi dan latar belakang masyarakat pada masa itu.
Islam mengajar kebebasan dan kasih sayang. Penjajah yang menindas dan zalim tidak boleh diterima. Ia bertentangan dengan sifat kemanusiaan. Islam juga mengajar pengikutnya 'nasionalisme' iaitu semangat cintakan tanah aiar yang menjadi sebahagian daripada iman. Islam juga tidak suka sifat bodoh, mundur dan miskin. Usaha bagi melenyapkan tiga perkara itu sama dengan perjuangan agama. Jadi laungan Allahu Akbar atau Allah maha besar sentiasa disebut oleh pejuang Islam.
Umat Islam di Malaysia harus berfikir semula bagi membebaskan diri daripada masalah yang membelenggu umat  supaya kita semua sebagai orang-orang Islam dapat menjalani kehidupan yang lebih sempurna daripada segi ibadat mahupun kemasyarakatan.

Oleh:
MD RASUL BIN HARON
Rujukan Mohamad Nurhakim.2008. Jatuhnya Sebuah Tamadun. Selangor:PTS Islamika Sdn.Bhd.

Awalan meN-

Munsyi Md Rasul bin Haron@Amatara Bahagian Matrikulasi 30 Jun 2022 Panduan Bahasa PROSES PENGIMBUHAN 2) Awalan meN- fungsi pengg...