Sabtu, 4 September 2010

Elak Provokasi Jumud Bagi Keutuhan Perpaduan

Malaysia sebagai tanah tumpah darah kita sehingga kita disemadikan. Segala yang kita capai, bina dan hargai boleh hancur berkecai serta musnah dalam sekelip mata jika masyarakat dirosakkan dengan budaya jumud dan melampau menerusi isu perkauman serta agama. Sesungguhnya, pencapaian cemerlang negara sejak merdeka 53 tahun lalu adalah dengan bertunjangkan keamanan, keharmonian dan kestabilan. Jika tiga elemen ini tidak dijaga apatah lagi tidak disuburkan sepanjang masa, ia bakal mengundang musibah besar kepada rakyat dan negara.
Tidak ada rakyat yang rata-rata menikmati kehidupan sempurna sekarang, mahu dihidangkan dengan soal ancaman kehancuran dan kemusnahan. Perkauman dan agama adalah dua perkara yang sangat sensitif. Ia bagai minyak yang boleh menyambar dan membakar diri mahupun negara walaupun terkena percikan api. Demi keutuhan dan kepentingan kedua-duanya, sejarah membuktikan ramai orang sanggup melakukan apa sahaja untuk mempertahankan kaum atau agama mereka. Jika kedua-dua perkara itu dijadikan bahan persendaan atau dimanipulasikan kelompok yang jumud dan pelampau untuk kepentingan tertentu, maka ini petanda masyarakat mula dirosakkan serta terdedah kepada kehancuran. Kita harus mengambil iktibar bagaimana sikap jumud dan melampau di beberapa negara yang mengheret rakyatnya ke kancah konflik antara kaum atau agama.  Konflik yang lebih buruk pula mencetuskan perang saudara dan mengakibatkan  kemusnahan negara. Akhirnya pihak ketiga yang mengaut keuntungan, campur tangan dan menjadi dominasi menentukan hala tuju kedua-dua pihak yang bertelagah dan lemah itu.
Sudah sampai masanya, masyarakat berbilang kaum di Malaysia memperbaharui tekad untuk bersatu. Dengan menonjolkan identiti nasional yang tidak dapat lari daripada teras Melayu, kelompok bukan Melayu, Cina dan India tidak sekali-kali kehilangan atau kekurangan identiti etnik kerana Malaysia mengamalkan dasar kepelbagaian budaya. Ini dapat dilihat pada kebebasan dinikmati dalam pengamalan adat resam masing-masing yang ikut merangkumi pendidikan dalam bahasa ibunda.
Aspirasi rakyat negara berdaulat termasuklah Malaysia, lebih-lebih lagi daripada penduduk asalnya, adalah melihat keperibadian watan ikut diangkat oleh semua warganya ketika menonjolkan jati diri kebangsaan. Ini penting untuk maruah, selain citra negara. Di Malaysia, ini perlu untuk menegaskannya sebagai negara majmuk yang terasnya adalah Melayu.

Oleh:
MD RASUL BIN HARON

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Awalan meN-

Munsyi Md Rasul bin Haron@Amatara Bahagian Matrikulasi 30 Jun 2022 Panduan Bahasa PROSES PENGIMBUHAN 2) Awalan meN- fungsi pengg...