Jumaat, 22 April 2022

Padanan Bunyi untuk Ejaan bagi dh

 

Memartabatkan Bahasa Melayu

Bil. 10/2022 BMKPM

 Munsyi Md Rasul bin Haron

 

Istilah bagi bulan puasa ialah bulan Ramadan. Perkataan tersebut berasal daripada bahasa Arab. Perkataan itu digunakan secara lisan dan tulisan secara meluas, sama ada ketika ceramah dan tazkirah, atau dalam penulisan dalam akhbar, majalah, poster, kain rentang, tayangan pada skrin televisyen, iklan, malahan di mana-mana sahaja.

Malangnya, kebanyakan pihak yang menggunakan perkataan itu dalam penulisan, masih keliru akan ejaan yang tepat. Ejaan Ramadhan digunakan dengan meluas. Hal sedemikian terjadi kerana pengaruh sebutan bahasa Arab. Tidaklah salah sekiranya dibunyikan seperti sebutan asal, namun demikian, ejaan sedemikian tidak wujud dalam Sistem Ejaan Rumi Baharu Bahasa Malaysia yang diguna pakai semenjak 16 Ogos 1972. Ejaan sedemikian tidak dianggap salah sebelum tarikh tersebut kerana peraturan baharu ejaan Rumi bahasa Melayu belum dimuktamadkan.


Padanan bunyi untuk ejaan bagi dh dalam bahasa Melayu ialah d. Penetapan ini dibuat dengan berdasarkan hakikat bahawa dalam bahasa Melayu tiada bunyi berkenaan. Dengan sebab tiada bunyi itu, maka huruf (lambang bagi bunyi dalam tulisan) juga tidak wujud. Oleh itu, semua perkataan daripada bahasa Arab yang mempunyai bunyi dh hendaklah diejakan dengan d, seperti daif, darab, dif, fadilat, fardu, kadi, mudarabah, reda ("rela"), qada ("ganti"), qadar ("ketentuan"), dan seumpamanya. Sungguhpun ejaan ditetapkan begitu, penutur dibenarkan untuk menggunakan bunyi atau sebutan asal demi untuk menjaga ketepatan makna perkataan-perkataan tersebut.

Di sebalik kesalahan ejaan tersebut, tinjauan mendapati bahawa banyak pengguna bahasa yang menggunakan ejaan yang betul bagi perkataan Ramadan. Tahniah kepada semua yang berkenaan.



 

Awalan meN-

Munsyi Md Rasul bin Haron@Amatara Bahagian Matrikulasi 30 Jun 2022 Panduan Bahasa PROSES PENGIMBUHAN 2) Awalan meN- fungsi pengg...