Sabtu, 10 Disember 2011

5.2 juta rakyat dijangka pohon bantuan RM500










Kementerian Kewangan menyasarkan 5.2 juta rakyat Malaysia akan mendaftar untuk mendapatkan bantuan kewangan RM500 dari program Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M).

Menteri Kewangan Kedua Datuk Sri Ahmad Husni Hanadzlah berkata kumpulan sasaran itu terdiri daripada mereka yang berpendapatan kurang daripada RM3,000 bagi satu isi rumah serta ramai tangunggan, warga emas yang berumur 60 tahun ke atas dan ahli keluarga yang berdaftar di bawah program eKasih.
    
"Atas tujuan untuk menilai pendapatan sebenar keluarga, hanya ahli keluarga yang bekerja sahaja layak untuk mengisi borang permohonan, bukan seluruh anggota keluarga," katanya kepada pemberita selepas menyerahkan borang BR1M hari ini.
    
Ahmad Husni berkata pemprosesan para pemohon akan dilakukan oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM) dan permohonan yang tidak layak boleh dikenal pasti melalui rekod.
    
"LHDNM mempunyai rekod pendapatan individu yang telah mengisytiharkan jumlah pendapatan mereka dan sebarang permohonan yang tidak layak boleh dikenal pasti dengan serta merta," katanya.
    
Berdasarkan sasaran yang telah ditetapkan, beliau berkata kerajaan telah menyediakan borang pendaftaran lebih daripada yang diperlukan dan juga tidak mengenakan sebarang cas untuk mendapatkan borang permohonan bantuan kewangan tersebut.
    
"Setakat hari ini, selain memuat turun dari lamanweb Kementerian Kewangan, sebanyak 862 kaunter telah dibuka di seluruh negara untuk mendapatkan borang permohonan dan 415 daripadanya adalah di sekolah-sekolah yang terpilih," katanya.
    
Selain itu, Ahmad Husni juga berkata pembayaran akan dibuat pada pertengahan Januari 2012, tetapi, format pembayaran bantuan kewangan belum diumumkan lagi kerana fokus yang ingin diberikan kepada proses pendaftaran.
    
Pendaftaran permohonan BR1M akan bermula pada hari ini sehingga 10 Januari 2012 dan sebarang pertanyaan boleh merujuk kepada Talian Hotline BR1M, 1-800-222-500.
    
- Bernama





SARAAN BARU PERKHIDMATAN AWAM (SBPA) | KAEDAH PEMINDAHAN GAJI




Cara Pengiraan


PENINGKATAN GRED GAJI SISWAZAH




PENINGKATAN GRED GAJI BUKAN SISWAZAH


Pelajar lemas, hasrat duduki kertas terakhir SPM tidak kesampaian



MENYAYAT HATI: Durin dan ibunya meratapi kematian anak tunggalnya yang ditemui lemas, petang semalam.


KUCHING: Hasrat seorang pelajar Tingkatan 5 untuk menduduki kertas terakhir peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) minggu depan tidak kesampaian apabila dia lemas ketika menangkap udang di Sungai Merdang Lumut, Muara Tuang di sini, semalam.
Mangsa dikenali Jerrels Rurin, 17, mengikuti bapa saudaranya ke Sungai Merdang Lumut yang terletak tidak jauh dari rumahnya di Kampung Merdang Gayam untuk menangkap udang ketika kejadian tragis itu berlaku sekitar jam 10 pagi.
Menurut bapa saudaranya, David Japet, 41, beliau sibuk menebar jalanya ke sungai yang mana kedalamannya hingga ke paras dada dan hanya menyedari kehilangan anak buahnya 30 minit selepas mereka tiba di sungai itu.
“Saya fikir dia mungkin berada di atas tebing sungai dan (saya) pergi mencarinya. Saya cuba memanggil namanya, tetapi dia tidak menjawab… menyebabkan saya memikirkan yang dia terjatuh ke dalam sungai dan tenggelam,” katanya.
Bimbang kejadian buruk menimpa anak buahnya itu, David memberitahu, beliau bergegas pulang ke rumah dan memaklumkan ibu Jerrels, Durin Japet, 48, mengenai kehilangan mangsa sebelum menghubungi Jabatan Bomba dan Penyelamat untuk mendapatkan bantuan.
Durin, seorang ibu tunggal yang bekerja sebagai tukang cuci di sebuah klinik kerajaan menjelaskan, mangsa seorang yang hormat kepada orang tua dan rajin.
Mangsa bekerja sambilan di sebuah kedai serbaneka untuk membantu keluarganya termasuk nenek dan adik pe-rempuannya.
“Kami dari keluarga yang susah. Selain bekerja di kedai, anak saya akan mengikut bapa saudaranya ke sungai untuk menangkap udang untuk dijual bagi menambah pendapatan keluarga,” katanya  sambil menambah mendiang bakal menduduki kertas terakhir SPM pada 13  Disember ini.
Anggota Bomba dan Penyelamat dari Balai Samarahan, Tabuan Jaya dan Padungan termasuk sepasukan penyelam bergegas ke tempat kejadian sejurus menerima panggilan kecemasan pada jam 11 pagi.
Ketua Balai Bomba Tabuan Jaya, Tawang Lingem memberitahu, anggotanya menemui mayat Jerrels pada jam 2.45 petang hari sama, kira-kira dua meter di bawah sungai tidak jauh dari lokasi dia dilaporkan hilang.
Durin yang tidak dapat menahan sebak terus mendapatkan anak lelakinya yang sudah tidak bernyawa lagi bersama nenek, sahabat handai dan rakan taulan.
Sementara itu, pemilik kedai tempat mendiang bekerja sambilan memberitahu Durin bahawa beliau akan membiayai kos pengebumian anak tunggal lelakinya itu.
Polis kemudiannya membawa mayat mangsa ke Hospital Umum Sarawak (HUS) dan mengklasifikasikan sebagai mati mengejut sementara menunggu keputusan bedah siasat.



Gerhana bulan dijangka pada malam ini






Fenomena gerhana bulan penuh dijangka dapat dilihat secara jelas di seluruh negera jika cuaca mengizinkan pada 10 Disember (Sabtu), dari jam 7.33 malam hingga 12.00 tengah malam.Ia berlaku adalah semata-mata sebagai satu tanda kebesaran dan keagungan Allah sebagai pencipta seluruh alam.






Berlakunya kejadian gerhana matahari atau bulan bukan merupakan suatu tanda akan timbul kejadian aneh dan membimbangkan, tetapi ia berlaku atas sifat wajib bagi Allah iaitu berkehendak serta berkuasa atas segala sesuatu yang tidak dapat dihalang oleh apa jua kekuatan pun di dunia ini.

Apabila berlaku gerhana, kita sebagai umat Islam adalah dianjurkan oleh Rasulullah supaya segera untuk melakukan perkara-perkara yang berkebajikan seperti berdoa, berzikir, bersembahyang, bertakbir, bersedekah dan beristighfar.

Hadis Rasulullah SAW menyatakan yang bermaksud: “Sesungguhnya matahari dan bulan adalah dua bukti daripada tanda-tanda kebesaran Allah Ta’ala di mana kedua-duanya tidak akan gerhana kerana kematian atau hidupnya sesorang. Maka apabila kamu melihat gerhana itu maka berdoalah kepada Allah, bertakbirlah, dirikanlah sembahyang dan bersedekahlah…” (Hadith Riwayat Imam Bukhari)




Remaja mengaku halang tugas, gelar ‘polis anjing’



Sumber:
Utusan Borneo
Posted on December 9, 2011, Friday



MIRI: Mahkamah Juvana pagi semalam menetapkan 9 Januari depan untuk mendengar laporan akhlak seorang remaja lelaki yang mengaku bersalah terhadap tuduhan menghalang tugas seorang anggota polis dan menggelarnya ‘polis anjing.’
Mahkamah kemudian membenarkan remaja terbabit dibebas dengan ikat jamin RM500 dengan ibu atau bapanya sebagai penjamin.
Juvana terbabit, 17, dari Taman Tunku di sini telah didakwa mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan yang boleh membawa hukuman penjara dua tahun atau denda RM10,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Berdasarkan pertuduhan kes, juvana terbabit didapati telah menghalang seorang anggota polis, Koperal Mohd Safrie Simon Abdullah daripada menjalankan tugas dengan tidak memberikan kerjasama dan pada masa mengeluarkan kata-kata kesat iaitu ‘polis anjing’ terhadap anggota polis terbabit.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu pada jam 3.40 pagi, 6 Disember lalu di hadapan Pub Tajau Mas, Miri Waterfront di sini.
Pendakwaan dilakukan Inspektor Mizlan Abdul Ghani di hadapan Majistret Fazira Azlina Mohd Rofli.


Umur Persaraan Paksa 60 Tahun


PEKELILING PERKHIDMATAN BILANGAN 11 TAHUN 2011
PELAKSANAAN SARAAN BARU PERKHIDMATAN AWAM BAGI PEGAWAI PERKHIDMATAN PERSEKUTUAN

Bagi pegawai yang dilantik pada atau selepas 1 Januari 2012, umur persaraan paksa adalah 60 tahun. Bagi pegawai yang kini tertakluk kepada umur persaraan paksa 55 tahun, 56 tahun atau 58 tahun, pegawai akan ditawar opsyen melanjutkan perkhidmatan sehingga umur persaraan paksa 60 tahun.

Awalan meN-

Munsyi Md Rasul bin Haron@Amatara Bahagian Matrikulasi 30 Jun 2022 Panduan Bahasa PROSES PENGIMBUHAN 2) Awalan meN- fungsi pengg...