Khamis, 27 Oktober 2011

Remaja mabuk nyaris dibelasah kerana langgar motosikal



Utusan Borneo



KANOWIT: Padah memandu ketika di bawah pengaruh alkohol, seorang remaja nyaris dibelasah selepas kenderaan yang dipandunya merempuh tiga motosikal yang diparkir di hadapan sebuah kedai runcit di sini petang Isnin lalu.
Sebelum kejadian, ketigatiga pemilik motosikal terbabit meletakkan motosikal mereka di luar sebuah kedai runcit sebelum memasuki sebuah kedai kopi di pekan ini sekitar jam 3 petang.
Ketika sedang asyik berbual sambil menikmati minum petang, tiba-tiba mereka terdengar bunyi dentuman kuat dari kedai bersebelahan lalu bergegas memeriksanya.
Ternyata mereka mendapat kejutan besar apabila motosikal yang diparkirkan tadi dirempuh sebuah kereta yang dipandu seorang remaja lelaki.
Insiden itu menyebabkan suasana di luar kedai runcit tadi menjadi hingar-bingar sementara beberapa barang yang dipamerkan di luar kedai turut rosak akibat rempuhan kereta itu.
Dan ketika ketiga-tiga mangsa memeriksa keadaan motosikal yang rosak, pemandu yang dikatakan di bawah pengaruh alkohol itu dengan selamba beredar meninggalkan tempat kejadian.
Namun, tindakan remaja itu yang pergi ke sebuah bengkel berhampiran dipercayai untuk membaiki kereta yang dipandunya berjaya dikesan pemilik motosikal tadi yang bergegas mengekorinya.
Akibatnya, pemuda itu nyaris dibelasah sebelum berjanji membayar ganti rugi kepada ketiga-tiga pemilik motosikal tadi.


Promosi pendidikan teknik, vokasional


Utusan Borneo
by Jessica Jawing. Posted on October 27, 2011, Thursday




KUCHING: Pusat-pusat latihan kemahiran disaran membuat perancangan strategik dan drastik bagi mempromosikan pendidikan teknik dan vokasional, yang disifatkan bidang paling penting pada masa akan datang.
Menteri Kebajikan, Wanita dan Pembangunan Keluarga Datuk Fatimah Abdullah berkata selain menggunakan pendekatan konvensional seperti merayu ibu bapa menggalakkan anak-anak mereka, pusat latihan hendaklah berusaha menguar-uarkan pendidikan teknik dan vokasional.
Ia kata beliau perlu disertakan dengan penekanan daripada perspektif kerja dan anggaran gaji yang diterima setiap bulan.
“Sistem pendidikan teknik dan vokasional yang baik mampu menjana pembangunan sumber manusia berkualiti dan seterusnya memacu negara ke arah negara maju berpendapatan tinggi yang memerlukan pekerja mahir,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Hari Kualiti Teknik Sejingkat 2011 di Sekolah Menengah Teknik Sejingkat yang dihadiri Pengetuanya Abdul Munap Shaikh Abdul Kadir di sini, semalam.
Bagaimanapun kata Fatimah di Malaysia kedudukan pekerja mahir sebanyak 25 peratus pada masa ini dan ia masih dianggap rendah berbanding negara jiran untuk memacu ke arah sebuah negara maju berpendapatan tinggi.
Misalnya kata beliau, Taiwan sudah mencapai tenaga kerja mahir sebanyak 33 peratus, Korea Selatan (36 peratus) dan Singapura (48 peratus).
Kerajaan kata beliau menyasarkan untuk mencapai 48 peratus tenaga kerja mahir menjelang tahun 2020 di negara ini, tetapi ia pasti memerlukan perancangan dan strategi yang akan memberikan hasil.
“Maka itu untuk mencapai perkara berkenaan kerajaan melakukan program transformasi pendidikan termasuk teknik dan vokasional yang bermula dengan 78 kolej vokasional beroperasi sepenuhnya pada 2013,” kata beliau.
Selain itu Fatimah memberitahu bahawa Kementerian Pelajaran turut memperkenalkan Program Aliran Vokasional (PAV) di sekolah harian di mana pelajar telah mula belajar ketika Tingkatan Satu dan Tingkatan Tiga.
Pada 2012 katanya, sebanyak 15 sekolah menengah menjalani projek PAV dan SMK Belaga telah dipilih dengan menawarkan kursus pendawaian elektrik.
Bagi Sarawak jelas Fatimah, dengan pertambahan kelas yang mengikuti PAV serta penglibatan institusi latihan awam dan politeknik sedia ada, sasaran yang dianggarkan sebanyak 435,210 tenaga kerja teknikal berkemahiran untuk Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (SCORE) adalah sesuatu yang munasabah.


PPUKM laku pembedahan lubang kunci pertama di dunia





Pusat Perubatan UKM (PPUKM) telah menjalankan pembedahan kaedah lubang kunci yang pertama di dunia ke atas bayi yang baru berusia 14 hari bagi mengeluarkan 95 peratus daripada organ pankreasnya.    Pembedahan itu dilakukan pada Ogos lepas tetapi tidak diumumkan kerana PPUKM perlu mendapat kepastian yang ia adalah yang pertama di dunia ke atas bayi yang berusia bawah 30 hari.    "Kami telah melakukan carian perubatan dan bayi yang termuda yang pernah melalui pembedahan laparoscopic pancreactectomy berusia 40 hari yang dilaporkan telah dilakukan di Vietnam," kata Dr Dayang Anita Abdul Aziz, Pakar Bedah Pediatrik dan Ketua Unit Pediatrik PPUKM, yang melalukan pembedahan itu.

Pembedahan itu terpaksa dilakukan untuk melindungi bayi itu daripada kecacatan otak. Ia menghidap penyakit Persistent Hyperinsulinemic Hypoglycemia of Infancy (PHHI) di mana pankreasnya mengeluarkan insulin yang berlebihan daripada yang sepatutnya.    Ini menyebabkan tahap glukosa dalam darahnya jatuh dan mendatangkan keadaan hypoglycemic (kekurangan gula kritikal) yang akan mengakibatkan kecacatan otak bayi itu.    Biasanya bayi yang menghidap PHHI akan dirawat menggunakan ubat terlebih dahulu tetapi di dalam kes ini, bayi itu tidak memberi sebarang tindak balas positif terhadap ubat yang diberikan.    Rawatan adalah dengan mengeluarkan hampir keseluruhan pankreas tetapi ia mesti dilakukan dengan tepat. Jika terlalu banyak pankreas bayi itu dikeluarkan ia akan membawanya menghidap diabetes apabila dewasa kelak.    "Maka itu pembedahan perlu dilakukan dengan sempurna. Ia dikenali sebagai near total pancreatectomy," kata Dr Dayang Anita, yang dibantu satu pasukan pembedahan yang cekap yang telah memberinya keyakinan untuk melakukan pembedahan itu.    Dengan menggunakan kamera laparoskopi yang dimasukkan melalui bahagian pusat pesakit, pankreas dapat dilihat dengan jelas di skrin berdefinisi tinggi tanpa perlu membuat torehan yang panjang di perut pesakit.    Dr Dayang Anita kemudiannya memasukkan suatu alat untuk melakukan pembedahan melalui torehan yang kecil yang tidak melebihi dua sentimeter di bahagian kiri dan kanan perut bayi itu.    Berpandukan gambar yang berada di skrin, beliau memotong pankreas bayi itu dengan hirisan yang kecil untuk mengeluarkannya sedikit demi sedikit.

Semua proses untuk menghiris dan memotong termasuk menjahit dilakukan dengan mengerakkan picu yang berada di luar perut bayi itu. Pembedahan mengambil masa dua setengah jam.    Dr Dayang Anita, yang sedang menulis mengenai pencapaiannya itu untuk diterbitkan dalam jurnal, berkata pembedahan lubang kunci adalah seperti membina kapal miniatur dalam sebuah botol dengan menggunakan angkup.    Perbezaannya adalah, Dr Dayang Anita menggunakan peralatan moden yang terkini sebagai angkup untuk mengeluarkan pankreas yang terletak di belakang perut.    Pembedahan itu telah berjaya dilakukan dan bayi tersebut telahpun pulang ke Terengganu.    "Dia kini berada dalam keadaan sihat dan tidak memerlukan rawatan susulan sehingga berusia empat bulan kelak," kata Dr Dayang Anita.    Pembedahan lubang kunci kini sering dilakukan di hospital kerajaan dan swasta tetapi apa yang membezakan bagi PPUKM adalah kemudahan dan kepakaran melakukan pembedahan yang kompleks menggunakan kaedah lubang kunci untuk bayi yang baru lahir.
    
- Bernama

400 pelajar Swinburne terima ijazah dan diploma



Utusan Borneo
KUCHING: Swinburne University of Technology Kampus Sarawak mengadakan majlis konvokesyennya yang kelapan semalam dengan seramai 400 pelajar menerima skrol masing-masing.



Graduan universiti itu kali ini terdiri daripada 367 lepasan ijazah sarjana muda manakala 33 lagi lepasan program diploma.
Ketua Menteri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud selaku pro canselor universiti itu hadir menyampaikan skol ke-pada para graduan.
Pada majlis sama 15 pelajar menerima anugerah khas yang didahului Jeremy Chia Wei Liang, graduan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan (Robotik dan Mekatronik) sebagai penerima Anugerah Graduan Cemerlang Sarawak daripada Yayasan Sarawak.
Ronnie Johan Iswandy @ George graduan Ijazah Sarjana Muda (Kejuruteraan Elek-trik dan Elektronik) pula dinobat sebagai penerima Anugerah Galakan Bumiputera juga daripada Yayasan Sarawak.
Anugerah tersebut telah di-sampaikan oleh Pengerusi Majlis Swinburne University of Technology Kampus Sarawak yang juga Pengerusi Yayasan Sarawak Tan Sri Datuk Amar Adenan Satem sambil disaksikan oleh Taib.
Manakala 13 lagi penerima lain menerima anugerah khas daripada Sarawak Information System Sdn Bhd, Ernst & Young, KPMG Tax Services Sdn Bhd, CPA Australia, Cahya Mata Sarawak Berhad, Sarawak Energy Berhad, Sarawak Aluminium Company dan Naim Land Sdn Bhd.
Sementara itu Taib dalam perutusannya dalam buku program majlis konvokesyen berkenaan, yakin kemahiran dan pengetahuan yang dimiliki graduan universiti ber-kenaan akan memberi kelebihan kepada mereka bersaing dalam pasaran pekerjaan domestik serta luar negara.
Kerajaan katanya mengalu-alukan penyertaan pelajar dalam sektor tenaga kerja di negeri ini.
“Saya yakin kita (kerajaan negeri) akan mendapat banyak manfaat daripada sumbangan anda nanti lebih-lebih lagi dalam pembangunan Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (SCORE), satu inisiatif untuk membangunkan wilayah tengah Sarawak seterusnya menjadikan Sarawak negeri maju menjelang 2020,” katanya.
Hadir sama pada majlis itu, Timbalan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu Numpang, Menteri Kanan Tan Sri James Masing, Speaker Dewan Undangan Negeri Datuk Amar Mohd Asfia Awang Nassar, Pengerusi Swinburne Sarawak Sdn Bhd yang juga Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Amar Mohamad Morshidi Abdul Ghani dan Canselor Swinburne University of Technology Ben Cohen.

Prasekolah diingat patuhi standard piawaian menu makanan



Utusan Borneo



KUCHING: Ketua atau penyelia prasekolah (tadika mahupun tabika) di negeri ini diingatkan agar mengambil iktibar serta prihatin terhadap Laporan Audit Negara berhubung standard piawaian menu makanan yang disediakan.
Menteri Kebajikan, Wanita dan Pembangunan Keluarga Datuk Fatimah Abdullah berkata ia bagi mengelakkan perkara yang sama berlaku di tadika di negeri ini.
Antara Laporan Audit Negara yang dibentangkan baru-baru ini termasuk lebih daripada separuh tadika di Johor, Kelantan, Kedah dan Sabah tidak patuh kepada menu yang disediakan oleh kerajaan.
“Jadi ia merupakan satu perkara yang perlu diberi perhatian kerana kalau dilihat dari segi pendidikan awal kanak-kanak, pertamanya antara yang perlu diteliti bukan sahaja standard kualiti bangunan premisnya tetapi piawaian standard dari segi pemakanan,” katanya.
Menurut Fatimah setiap menu di tadika dan tabika seharusnya perlu mendapat kelulusan daripada Jabatan Kesihatan, yang sudah menjadi prosedur oleh setiap taska sebelum diberi sijil atau lesen beroperasi.
Bagaimanapun kata beliau, ia tidak terhenti di situ sahaja kerana agensi-agensi yang menawarkan pendidikan awal kanak-kanak perlu melakukan pemantauan tahap menu yang diadakan.
Sehubungan itu beliau memberitahu di Sarawak sendiri antara penekanan yang diambil kira di bawah Majlis Pendidikan Awal Kanak-kanak adalah pematuhan standard kualiti.
“Ia bukan sahaja kepada tadika swasta tetapi tadika kerajaan seperti KEMAS, Jabatan Pelajaran serta Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (Tabika Perpaduan),” katanya.
Fatimah menegaskan meskipun perkara itu tidak berlaku di negeri ini tetapi ia harus di ambil kira.
Laporan Audit Negara itu menyatakan tadika terbabit memberikan ‘doughnut’ kepada kanak-kanak yang sepatutnya diberikan mihun goreng selain dijamu nasi lemak kosong tanpa kacang dan telur.
Selain itu laporan turut mendedahkan Tadika KEMAS di Kedah didapati menjadikan tandas sebagai stor menyimpan makanan.


Guru nyaris ditelan sungai


Utusan Borneo
by Andy Sabang. Posted on October 27, 2011, Thursday



Tiga guru lelaki SK Nanga Kua terselamat selepas belakang kuarters mereka runtuh



SIBU: Tiga guru lelaki SK Nanga Kua di Selangau, nyaris ditelan sungai selepas bahagian belakang kuarters yang didiami mereka runtuh pada malam Isnin lepas.

                                              

Salah seorang guru terbabit, Haliff Irwan Hassan, 28, ketika ditemui Utusan Borneo semalam berkata, kejadian berlaku sekitar jam 10.15 malam.
Katanya, semasa kejadian beliau serta dua orang rakannya sudah masuk ke bilik tidur masing-masing.
“Semasa berada di dalam bilik, saya terdengar bunyi yang mencurigakan di bahagian belakang rumah sebelum memaklumkannya kepada rakan yang lain.
“Belum sempat mengetahui lanjut apa yang sedang ber- laku, bahagian belakang rumah kami yang menempatkan tempat memasak serta bilik mandi dan tandas pun runtuh,” ujar beliau.
Menurut Haliff, beliau antara yang paling bernasib baik kerana sejam sebelum kejadian beliau menggunakan bilik air untuk mencuci pakaian.
Haliff yang berasal dari Johor dan telah mengajar di sekolah berkenaan sejak tiga tahun lalu menjelaskan, petanda kawasan berkenaan sudah tidak selamat sudah mula dikesan sejak Sabtu lalu.
Jelas beliau, kerana bimbang air Sungai Kua semakin naik, beliau serta yang lain bertindak memindahkan tangki air ke kawasan tinggi.
Difahamkan, hujan lebat sejak beberapa hari lalu telah mengakibatkan Sungai Kua yang terletak di belakang kuarters guru semakin naik dan deras sehingga menyebabkan berlakunya hakisan tanah.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tamin Joseph Mauh Ikeh ketika ditemui semalam menjelaskan, beliau bersama Pegawai Daerah Wan Akil Wan Muhamad Bujang serta Pegawai Pelajaran Daerah (PPD) Selangau Limok Shem telah melawat tempat kejadian.
“Hasil daripada lawatan tersebut, saya telah meminta PPD (Pegawai Pelajaran Daerah) membincangkan perkara tersebut dengan pihak Pejabat Pelajaran Sibu.
“Saya juga, akan berbincang mengenai peruntukan yang diperlukan dengan pihak Kementerian Pelajaran supaya kuarters guru yang baru dapat dibina,” ujar beliau yang pernah menjadi guru besar di se- kolah berkenaan dari 1978 hingga 1982.
Mauh memberitahu, be liau mencadangkan supaya ke semua kuarters guru di tebi ngan Sungai Kua dirobohkan dan dipindahkan ke kawasan lapang berdekatan dengan pintu masuk ke sekolah berke- naan.
Pihak sekolah dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) juga bersetuju untuk membina kuarters baru secara gotong-royong, katanya.
Bercakap lanjut, Mauh menjelaskan bahawa isu-isu se kolah yang berisiko tinggi di landa banjir dan tanah runtuh di sekitar Tamin pernah dibin-cangkan dalam kabinet sebelum ini.
MAUH: Bina kuarters baru    

Empat daripada enam sekolah yang dimaksudkan antaranya ialah SK Nanga Kua, SK Nanga Pelugau, SK St Mark dan SK Nanga Tajam.
Mauh berharap, kerajaan dapat memberi perhatian lebih terhadap situasi sekolah berkenaan pada Rancangan Malaysia akan datang.

Belum sempat mengetahui lanjut apa yang sedang berlaku, bahagian belakang rumah kami yang menempatkan tempat memasak serta bilik mandi dan tandas telah pun runtuh. Haliff Irwan Hassan Guru SK Nanga Kua

Tiga bot pukat tunda ditahan di kawasan larangan


The Borneo Post

by SHAMRY M SANI. Posted on October 26, 2011, Wednesday




TAWAU: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) di sini menahan dua bot nelayan di perairan Tawau selepas didapati melakukan aktiviti pukat tunda di kawasan larangan.
Ketua Penguatkuasa Maritim Daerah APMM Tawau, Kapten Maritim Wan Mohd Affandi Wan Ahmad berkata bot pertama ditahan pada jam 6.46 pagi kelmarin semasa sedang menarik pukat tunda di muara Sg Imam.
“Seramai tiga awak-awak bot nelayan itu turut ditahan mengikut Akta Imigresen kerana menyalahgunakan pas lintas untuk bekerja,” katanya pada sidang media kelmarin.
Beliau berkata, bot nelayan kedua ditahan pada jam 7.35 pagi apabila didapati turut melakukan kesalahan yang sama dan kesemua awak-awak seramai tiga orang turut ditahan bagi membantu siasatan.
“Operasi yang dijalankan oleh anggota Bot Ronda APMM mengesyaki kedua dua bot berkenaan telah melakukan kesalahan mengikut Akta Perikanan 1985 kerana melakukan aktiviti menarik pukat tunda kurang dari tiga batu nautika,” katanya.
Sementara itu, dalam kes berasingan, APMM turut menahan sebuah bot nelayan pada jam 9.45 pagi di perairan Tawau selepas disyaki membawa muatan larangan.
“Hasil pemeriksaan mendapati bot itu membawa muatan disyaki minyak diesel sebanyak lima tong anggaran 4,000 liter tanpa sebarang dokumen pemilikan yang sah,” katanya.
Hasil pemeriksaan lanjut juga mendapati bot terbabit tidak mempamerkan nombor pendaftaran seperti yang terdapat di dalam lesen bot.
“Bot disyaki melakukan kesalahan mengikut Akta Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 dan dua awak-awak ditahan mengikut Akta Imigresen kerana menyalahgunakan pas lintas dengan bekerja,” katanya.
Mohd Affandi berkata, kesemua tiga buah bot nelayan dan lapan orang awak-awak berumur lingkungan 19 hingga 49 tahun itu ditahan bagi membantu siasatan.
Sehubungan itu, katanya, pihak APMM Tawau akan mempergiatkan lagi usaha bagi membanteras sebarang bentuk jenyah maritim di perairan Tawau secara khasnya.
Pihak agensi mengalu-alukan sebarang maklumat berkaitan kesalahan maritim di talian Hotline 089-752115 yang beroperasi 24 jam.


Awalan meN-

Munsyi Md Rasul bin Haron@Amatara Bahagian Matrikulasi 30 Jun 2022 Panduan Bahasa PROSES PENGIMBUHAN 2) Awalan meN- fungsi pengg...