Khamis, 27 Oktober 2011

PPUKM laku pembedahan lubang kunci pertama di dunia





Pusat Perubatan UKM (PPUKM) telah menjalankan pembedahan kaedah lubang kunci yang pertama di dunia ke atas bayi yang baru berusia 14 hari bagi mengeluarkan 95 peratus daripada organ pankreasnya.    Pembedahan itu dilakukan pada Ogos lepas tetapi tidak diumumkan kerana PPUKM perlu mendapat kepastian yang ia adalah yang pertama di dunia ke atas bayi yang berusia bawah 30 hari.    "Kami telah melakukan carian perubatan dan bayi yang termuda yang pernah melalui pembedahan laparoscopic pancreactectomy berusia 40 hari yang dilaporkan telah dilakukan di Vietnam," kata Dr Dayang Anita Abdul Aziz, Pakar Bedah Pediatrik dan Ketua Unit Pediatrik PPUKM, yang melalukan pembedahan itu.

Pembedahan itu terpaksa dilakukan untuk melindungi bayi itu daripada kecacatan otak. Ia menghidap penyakit Persistent Hyperinsulinemic Hypoglycemia of Infancy (PHHI) di mana pankreasnya mengeluarkan insulin yang berlebihan daripada yang sepatutnya.    Ini menyebabkan tahap glukosa dalam darahnya jatuh dan mendatangkan keadaan hypoglycemic (kekurangan gula kritikal) yang akan mengakibatkan kecacatan otak bayi itu.    Biasanya bayi yang menghidap PHHI akan dirawat menggunakan ubat terlebih dahulu tetapi di dalam kes ini, bayi itu tidak memberi sebarang tindak balas positif terhadap ubat yang diberikan.    Rawatan adalah dengan mengeluarkan hampir keseluruhan pankreas tetapi ia mesti dilakukan dengan tepat. Jika terlalu banyak pankreas bayi itu dikeluarkan ia akan membawanya menghidap diabetes apabila dewasa kelak.    "Maka itu pembedahan perlu dilakukan dengan sempurna. Ia dikenali sebagai near total pancreatectomy," kata Dr Dayang Anita, yang dibantu satu pasukan pembedahan yang cekap yang telah memberinya keyakinan untuk melakukan pembedahan itu.    Dengan menggunakan kamera laparoskopi yang dimasukkan melalui bahagian pusat pesakit, pankreas dapat dilihat dengan jelas di skrin berdefinisi tinggi tanpa perlu membuat torehan yang panjang di perut pesakit.    Dr Dayang Anita kemudiannya memasukkan suatu alat untuk melakukan pembedahan melalui torehan yang kecil yang tidak melebihi dua sentimeter di bahagian kiri dan kanan perut bayi itu.    Berpandukan gambar yang berada di skrin, beliau memotong pankreas bayi itu dengan hirisan yang kecil untuk mengeluarkannya sedikit demi sedikit.

Semua proses untuk menghiris dan memotong termasuk menjahit dilakukan dengan mengerakkan picu yang berada di luar perut bayi itu. Pembedahan mengambil masa dua setengah jam.    Dr Dayang Anita, yang sedang menulis mengenai pencapaiannya itu untuk diterbitkan dalam jurnal, berkata pembedahan lubang kunci adalah seperti membina kapal miniatur dalam sebuah botol dengan menggunakan angkup.    Perbezaannya adalah, Dr Dayang Anita menggunakan peralatan moden yang terkini sebagai angkup untuk mengeluarkan pankreas yang terletak di belakang perut.    Pembedahan itu telah berjaya dilakukan dan bayi tersebut telahpun pulang ke Terengganu.    "Dia kini berada dalam keadaan sihat dan tidak memerlukan rawatan susulan sehingga berusia empat bulan kelak," kata Dr Dayang Anita.    Pembedahan lubang kunci kini sering dilakukan di hospital kerajaan dan swasta tetapi apa yang membezakan bagi PPUKM adalah kemudahan dan kepakaran melakukan pembedahan yang kompleks menggunakan kaedah lubang kunci untuk bayi yang baru lahir.
    
- Bernama

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Awalan meN-

Munsyi Md Rasul bin Haron@Amatara Bahagian Matrikulasi 30 Jun 2022 Panduan Bahasa PROSES PENGIMBUHAN 2) Awalan meN- fungsi pengg...